Kedah La Nie: BA Tawan Kedah (Edisi Merbok)
Oleh Umar Mukhtar
Assalamualaikum.

Saudara Pengarang,

Merbok, adalah nama seekor burung yang sememangnya sinonim dengan fauna yang terdapat di Malaysia ini. Ia dikatakan setanding dengan tekukur, yang begitu digilai oleh kaki-kaki burung dan lebih daripada itu diadakan pertandingan suara burung tersebut, begitulah realitinya yang ada akibat kepelbagaian minat atau hobi manusia bagi mengisi ruang-ruang kehidupan yang ada.

Apa yang hendak dibicarakan di sini ialah bukannya persoalan merbok atau tekukur yang bagaimana yang mempunyai suara yang merdu tetapi mengenai salah satu kawasan Parlimen di negeri Kedah iaitu P 14 Parlimen Merbok.

Setelah persempadanan semula kawasan pilihanraya dibuat oleh SPR, Merbok kini hanya tinggal dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tanjung Dawai dan Bukit Selambau setelah Gurun dibawa masuk ke kawasan Parlimen Jerai (dahulunya Yan).

Uniknya Merbok ini seuniknya spesis burungnya yang dikatakan mempunyai harga yang tinggi di pasaran iaitu ia merangkumi pelbagai jenis tempat yang didiami pelbagai jenis latar belakang manusia. Maksudnya di sini kawasannya meliputi sebahagian bandar Sungai Petani termasuk kawasan perindustriannya, estet yang bertaburan di Bukit Selambau sehinggalah kawasan sawah padi sekitar pekan Merbok dan kawasan pantai di Tanjung Dawai. Secara jelas di sini golongan-golongan yang mendiami kawasan ini terdiri daripada kakitangan kerajaan, pekerja industri, petani, penoreh getah dan nelayan.

Tinjauan daripada keputusan pilihanraya lepas, dilihat UMNO/BN tidak begitu terjejas kedudukan mereka di sini walaupun mengalami kekurangan majoriti namun masih boleh bergaya dengan selesa 14 000 lebih undi majoriti oleh Tun Daim Zainuddin.

Persetujuan pembahagian kerusi antara PAS dan Keadilan di Kedah, melihat sekali lagi Keadilan akan berdepan dengan calon baru UMNO/BN untuk kerusi parlimen, begitu juga dengan DUN Bukit Selambau diserahkan kepada Keadilan untuk dibuat percaturan, manakala PAS kekal di Tanjung Dawai (antara DUN yang menjadi target PAS untuk menang).

Kita kecilkan lagi skop perbincangan dengan memfokuskan kepada DUN Tanjung Dawai yang pasti akan menjadi medan pertempuran sengit antara kedua-dua pihak di dalam untuk memenuhi impian masing-masing.

Kejayaan PAS membuat kejutan di beberapa buah daerah mengundi yang majoriti Melayu dalam pilihanraya umum lalu sedikit sebanyak meletakkan keyakinan mereka untuk merampas kerusi ini dalam pilihanraya kali ini. Menurut sumber tempatan, kalau tidak kerana undi daripada pengundi-pengundi Cina dari Semeling dan Bedong, pasti UMNO/BN awal-awal lagi akan berputih mata.

Dalam situasi yang ada pada hari ini dengan beberapa kemungkinan yang ada, para pemerhati politik berpendapat bahawa peluang kedua-dua pihak untuk memenangi kerusi ini berada pada kedudukan 50-50.

Faktor utama yang perlu dilihat ialah faktor calon yang bakal ditawarkan. Di pihak UMNO/BN, wakil rakyat sekarang, Cik Rosnah Majid pada awalnya menyatakan pendirian tidak mahu mengekalkan kedudukan atas sebab masalah kesihatan tetapi baru-baru ini terdengar pula ura-ura Ketua Wanita Umno Kedah dan juga Exco Kerajaan Negeri telah bertukar fikiran pula.

Nama lain yang disebut ialah Dato’ Azmi, Ketua Penaja Bahagian, tetapi beliau nampak cenderung untuk menggantikan tempat bos lamanya di kerusi parlimen, begitu juga dengan Mokhzani Tun Mahathir dan tak ketinggalan Zainuddin Maidin yang baru-baru ini dikatakan menggunakan platform K3P yang diadakan di Sekolah Menengah Sungai Layar untuk mempopularkan atau melobi dirinya.

Di samping mereka, beberapa orang kuat UMNO setempat seperti Cikgu Mahmud juga tidak mahu melepaskan peluang untuk meninjau kot-kot ada lubang-lubang yang boleh dimasuki untuk dilantik sebagai calon.

Bagi pihak PAS pula, kalau dahulu mereka diwakili oleh Yang Dipertua Kawasannya, Almarhum Ust. Yusuf Omar, tetapi kini dikatakan mereka telah bersedia dengan senarai-senarai calon yang berpendidikan tinggi, profesional, muda dan berketrampilan untuk membuktikan kesungguhan mereka kali ini untuk menawan kerusi DUN Tanjung Dawai.

Nama yang disebut-sebut sekarang ialah tak lain tak bukan, Dr. Hamdan Mohd. Khalib, seorang pengamal perubatan yang mempunyai klinik di bandar Sungai Petani dan Yan. Di dalam parti kini, beliau diamanahkan selaku Timbalan Ketua Pemuda Kawasan dan juga AJK Kawasan. Penglibatan beliau di dalam aspek kebajikan memang tidak dapat dinafikan melalui Pasukan Perubatan Islam Kedah dan turut menyertai misi bantuan kemanusiaan PAS ke Afghanistan dan Bam, Iran.

Terdapat ramai lagi individu-individu yang menduduki saf pimpinan malah di kalangan ahli PAS sendiri yang sememangnya layak untuk ditonjolkan sebagai calon. Namun sumber-sumber peringkat bawahan sememangnya mengharapkan agar individu yang bakal dipilih memenuhi ciri-ciri yang telah disebutkan di atas kerana mengambil kira faktor semasa yang semakin mencabar, yang bukan sahaja perlu dilihat kepada reputasi kerja seseorang tetapi turut diambil kira aspek latar belakang akademik, iaitu memerlukan kepada individu yang diiktiraf tahap keintelektualannya.

Penulis beranggapan bahawa ini adalah faktor penting sebenarnya bagi PAS sendiri di dalam untuk merealisasikan impian pendokongnya dan rakyat Tanjung Dawai sendiri kerana faktor isu tempatan sama ada peringkat negeri dan juga kawasan sudah cukup untuk merimaskan UMNO/BN pada waktu ini di samping perebutan di kalangan mereka untuk menjadi calon.

Teori bahawa faktor-faktor penentu kemenangan sesebuah parti di dalam pilihanraya iaitu 30% untuk dasar parti, 40% untuk isu dan 30% lagi adalah untuk calon perlu diteliti dan diambil perhatian.

Di dalam konteks Tanjung Dawai khususnya dan negeri Kedah amnya, 70% untuk dasar parti dan isu, kini banyak menyebelahi PAS walau pun dicanangkan bahawa pembangkang kini telah kekurangan isu-isu besar tetapi ini tidak bermakna isu di peringkat negeri dan kawasan tidak memberi kesan kerana majoriti pengundi kini sudah mampu untuk berfikir sebelum bertindak. Cuma tinggal 30% sahaja lagi untuk dicapai iaitu calon yang bakal disajikan kepada pengundi.

Harapan penulis ialah untuk melihat apa yang dicanangkan oleh PAS di dalam setiap ceramahnya mutakhir ini dan keluaran Harakah yang terbaru iaitu profesional kini telah ramai bersama-sama PAS dibuktikan dengan mereka ini ditampilkan sebagai individu yang memimpin perubahan yang diidam-idamkan iaitu untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang progresif, adil dan sejahtera di negeri hijau kuning ini, di samping gandingan bersama ulamak yang terbukti kewibawaan keilmuan dan amalan mereka untuk sama-sama membawa rakyat menuju keredhaan Allah SWT.

 PAS / BA TAWAN KEDAH 2004

Oleh Umar Mukhtar - 19.02.2004 (suntingan M@RHAEN)
(Penulis merupakan anak Kedah yang kini bertugas sebagai pegawai penyelidik di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam di Lembah Kelang)
#Permintaan penulis agar email ini dapat disiarkan dalam keluaran Harakah yang akan datang. Sekadar untuk berkongsi maklumat dan impian !

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN