RAKYAT SELANGOR JUGA BERSUBAHAT DENGAN KHIR TOYO

Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)

Rakyat negeri Selangor tentu merasa kecewa dan sakit hati di atas apa yang bakal menimpa ke atas tanah seluas 800 ekar (Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam) ekoran arahan Perdana Menteri Abdullah Badawi al-Hadhari agar tanah itu diserahkan kepada kerajaan Persekutuan.

Abdullah yang nampaknya begitu kurang senang dengan cara pentadbiran Khir Toyo telah membuat keputusan drastik agar taman itu diserahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk diuruskan.

Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, rakyat Selangor sekali lagi akan kehilangan sebahagian lagi bumi negeri mereka. Sebelum ini sudah dua kali rakyat Selangor kehilangan bumi mereka atas nama pembangunan.

Pertama kali ialah ketika menyerahkan Kuala Lumpur kepada kerajaan Persekutuan pada tahun 1974 untuk dijadikan Wilayah Persekutuan. Seluas 234 kilometer persegi tanah yang bernilai jutaan billion terpaksa dilepaskan.

Gara-gara itu Selangor terpaksa mengalih ibu negerinya ke Shah Alam. Benar, ada ganjaran oleh kerajaan Persekutuan di atas budi baik kerajaan Selangor itu, tetapi nilainya tentulah tidak sama. Kuala Lumpur tetap Kuala Lumpur dan tidak akan sama dengan Shah Alam.

Kali kedua ialah pada 8 Oktober 1997 apabila tanah seluas 4,581 hektar di Sepang pula diserahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk dibangunkan bandaraya pentadbiran baru Putrajaya.

Walaupun mulanya penyerahan tanah itu menimbulkan kontroversi, namun ia dapat diselesaikan apabila MB Selangor ditukar.

Khabarnya Abu Hassan Omar (MB ketika itu) keberatan untuk menandatangani menyerah tanah itu kepada kerajaan Persekutuan. Kesannya skandal beliau dengan adik iparnya didedahkan. Akhirnya MB berkepala putih itu dipecat dari menjadi MB.

Apabila tempatnya diambil oleh Khir Toyo maka tidak lama kemudian proses menandatangani penyerahan itu pun selesai! Ada juga orang berpendapat salah satu syarat untuk Khir Toyo dicadangkan menjadi MB Selangor beliau harus bersetuju untuk menyerahkan tanah di Putrajaya itu kepada kerajaan Persekutuan?

Mungkin penyerahan kedua tanah itu tidak berapa mengecewakan kerana ianya adalah di atas kepentingan rakyat Malaysia. Rakyat Selangor boleh berbangga kerana mereka sanggup menyerahkan tanah milik mereka demi maruah negara dan untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia.

Sebaliknya penyerahan tanah seluas 800 ekar, Taman Pertanian itu berlainan dengan semangat penyerahan dua kawasan berkenaan. Penyerahan kali ini bukan atas desakan pembangunan tetapi disebabkan kerana kegagalan pihak pentadbir negeri menguruskan tanah berkenaan.

Mungkin isu penyerahan Taman Bukit Cahaya Seri Alam itu tidak timbul sekiranya tanah itu diuruskan dengan baik dan masalah kepincangan (penyelewengan) pembangunan di Selangor tidak berlaku. Perdana Menteri tidak akan berang sehingga mahu taman itu diserahkan kepada kerajaan Pusat. Jelas arahan itu kerana pentadbiran Putrajaya tidak berpuas hati dengan pentadbiran Shah Alam.

Dalam hal ini, secara profesionalnya kekesalan itu tertuju kepada Menteri Besar, Khir Toyo Erodikrono. Seandainya Khir Toyo dapat menguruskan dengan baik taman berkenaan dan segala projek di sekelilingnya tidak menjejaskan taman itu masalah yang timbul kini tidak akan berlaku.

Namun disebabkan kecuaian, kelemahan dan kurang tegas MB serta para Exconya maka berlakulah apa yang berlaku. Pembangunan di sekeliling taman itu menjejaskan taman itu dan kesannya (implikasinya) menyebabkan taman itu akan hilang dari menjadi hak milik Selangor sampai ke bila-bila.

Sudah pastinya rasa kecewa rakyat Selangor itu bukan terhenti di situ sahaja. Rakyat Selangor mesti mahukan sesuatu tindakan dilakukan. Di dalam hal ini cara terbaik tidak lain dan tidak bukan ialah Khir Toyo harus diberhentikan. Tidak guna Selangor membayar gaji kepada seorang Menteri Besar yang tidak dapat menjaga khazanah negeri berkenaan. Membazirkan wang sahaja! Kalau terus dibiarkan lama kelamaan habis negeri Selangor digadaikannya.

Sebaliknya dengan sikap dan kelemahan Khir Toyo ia boleh menyebabkan Selangor akan terus kehilangan tanah di masa akan datang. Yang jelasnya masalah yang berlaku seperti di U10 dan juga Gombak (Taman Templer) itu bukan terhad di situ sahaja sebalik, banyak lagi kawasan lain yang mengalami pencerobohan yang serupa.

Selain daripada beberapa projek yang didedahkan itu boleh merosakkan ekologi dan ekosistem dan alam sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, masih banyak lagi masalah pencemaran dan juga kehilangan hasil negeri lain di Selangor.

Masalah kilang haram masih belum selesai. Pencurian air juga belum selesai. Begitu juga kejadian mencuri pasir tidak ada tanda-tanda akan berhenti. Pembinaan rumah mewah di atas tanah setinggan dan sebagainya terus menjadi-jadi tanpa ada jalan penyelesaian dan tindakan tegas diambil.

Begitu juga nasib rakyat marhaen yang memerlukan rumah dan tempat berlindung masih belum dapat diatasi dengan sempurna. Yang menghairankan berpuluh projek perumahan di bina di dalam tempoh setahun namun masalah ketiadaan tempat tinggal masih berlaku dan bertambah dari setahun ke setahun.

Himpunan segala masalah itu semua menjelaskan akan kelemahan Khir Toyo selaku MB. Kalau dia berwibawa sudah pasti arahan-arahan yang dikeluarkan kepada Exco akan dilaksanakan. Tetapi kerana Exco mengambil sikap mendengar sahaja, maka ia tidak ada penyelesaian. Jelas bahawa sikap Exco itu kerana mereka tidak respect Khir Toyo sebagai MB.

Khir juga tidak mempunyai idea untuk menyelesaikan segala masalah ekonomi dan sosial di Selangor. Beliau masih tercari-cari formula untuk mengatasinya. Beliau juga tidak serius menyelesaikan segala kemelut itu. Beliau dilihat lebih memberi tumpuan dan mengumpul kekuatannya di dalam politik. Cita-citanya untuk menjadi Ketua Pemuda Umno Malaysia lebih menonjol daripada agenda memajukan Selangor tahun 2005.

Memerhati kepada keupayaan Selangor di bawah Khir Toyo ini jelas menunjukkan tindakan melantik budak mentah menjadi MB tidak banyak membawa kebaikan kepada Selangor. Jelas idea orang yang melantik Khir Toyo dulu semata-mata hendak pergunakan budak itu bagi kepentingan si pelantik itu sahaja.

Menyentuh mengenai perasaan duka rakyat Selangor yang kehilangan tanah, sekali imbas ia juga bukan boleh disalahkan kepada Khir Toyo seratus peratus. Rakyat tidak meletakkan kesalahan itu di atas penjaga lembut itu. Rakyat harus faham bahawa apa yang dilakukan Khir Toyo itulah bentuk dan juga corak pemerintahan kerajaan yang ada hari ini.

Rasuah dan penyelewengan serta wakil rakyat bekerja untuk membuncitkan tembolok sendiri adalah lumrah dan juga budaya di dalam kerajaan Umno dan BN selama ini. Jadi rakyat tidak perlu sangat kecewa di atas apa yang berlaku sebaliknya haruslah menerimanya kerana rakyat yang pilih.

Kalau kerajaan bersih, cekap dan amanah atau adil, telus dan ikhlas, tidak rasuah dan zalim bukan namanya kerajaan BN. Di dalam hal ini mengenai nasib yang menimpa Selangor dan juga negeri lain, rakyat harus sama memikul dan bertanggungjawab. Pada saya rakyat (Selangor) turut bersubahat untuk mengkhianati negeri itu.

Nah sekarang kalau rakyat benar-benar insaf inilah masanya untuk bertindak. Dari sekarang siap sedia untuk memperbetulkan kepincangan itu. Jangan pilih mereka lagi untuk menjadi pentadbir dan pengurus negeri ini (Selangor). Pilih dan lantiklah mereka yang boleh dipercayai, mempunyai iltizam yang tinggi untuk memartabatkan rakyat dan mendaulatkan negeri.

Peluang untuk berbuat demikian terbuka setiap lima tahun sekali. Lakukan dan gunakan peluang itu sebaik mungkin. Tidak ada gunanya kita menangisi nasib negeri dan bangsa kita, kerana kita sendiri juga ada saham dalam membenarkan segala penyelewengan dan ketidakadilan itu berlaku. Di dalam hal ini mereka yang kecewa dengan apa yang berlaku itu (khasnya orang Umno) harus tepuk dada dan tanya selera!  Reformasi.

Tun Paduka Tuan - 05.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: