Raya di Terengganu: Soal Calon
Oleh Temingat di Belantara
Sekarang ini ke mana-mana sahaja kita pergi, terutama di negeri yang dilihat sebagai pro-pembangkang seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu, kita boleh lihat bendera BN di mana-mana, menandakan pilihanraya memang nak dekat sangat dah.

Dalam banyak-banyak negeri, yang paling menarik perhatian saya ialah negeri Terengganu. Bukan kata saya, tapi saya yakin ramai juga peminat politik tanah air yang berminat benar ingin mengetahui kedudukan dan peluang serta nasib kedua-dua parti PAS dan UMNO dlmp/raya akan datang.

Kerana itu, mengambil peluang ketika berhari raya korban di sana baru-baru ini, saya cuba membuat survey peribadi sambil menganalisa peluang kedua-dua parti. Berikut adalah analisa saya yang saya rasa ada yang berminat untuk tumpang membacanya.

Oleh kerana saya cuma berpeluang menghabiskan dua tiga hari di sana, maka tak banyaklah rasanya maklumat yang mampu saya pungut; cumanya saya bernasib agak baik kerana dalam perjalanan berhari raya itu, perjalanan takdir menentukan saya diberi peluang untuk ‘bersembang politik’ dalam masa yang agak panjang dengan saudara mara yang punya fikrah politik yang berbeda; yang seorang itu UMNO Hardcore, seorang lagi PAS Pure dan seorang pula Atas Pagar Yang Keliru!

Memang menarik sekali perbualan saya dengan mereka ini, dan tidak salah jika saya katakan hasil daripada perbualan panjang itu, apa yang dibicarakan mereka itu benar-benar mampu menggambar suasana politik di negeri Terengganu pada masa ini, dan kesimpulan daripada bicara politik dengan mereka ini juga saya agak yakin mampu menggambarkan peluang kedua-dua parti, PAS dan UMNO dalam pilihanraya  akan datang.

Hari raya pertama, saya berhariraya di rumah seorang saudara yang hardcore UMNO, punya la hardcore sehinggakan anak isterinya sendiri suatu ketika dulu tidak dibenarkannya memakai tudung kepala; cuma sejak akhir-akhir ini sahaja mulai nampak perubahan, salah sorang anak perempuannya sudah pun mula bertudung walaupun kakak yang sulung walaupun sudah beranak dua, masih lagi glamor dengan rambut perangnya.

Entah mengapa, entah tanda apa yang ada di dahi saya, awal-awal lagi saudara saya ini ingatkan saya juga seperti beliau, seorang UMNO sepertinya. Mungkin nafas saya yang masih berbau UMNO itu dapat dihidunya. Apabila saya tanyakan peluang UMNO kali ini, beliau nampaknya tidak berapa confident  UMNO akan kembali bertapak di sana. Mungkin kerana ingatkan saya orang UMNO, maka perbualan beliau lebih berkisarkan kelemahan UMNO yang beliau rasa adalah punca kenapa masyarakat memilih PAS di sana.

Antara yang tak boleh saya lupa, apabila beliau berkata:

“Cuba tengok UMNO kita, mana kita ada Dewan sendiri, yang kita ada Dewan Orang Ramai, yang kita ada Balai Raya. Sepatutnya kita kena ikut style PAS, mereka ada Dewan/Bangunan/Markaz mereka sendiri. Kita perlu ada Dewan kita sendiri di setiap kampung macam yang PAS buat tu……kalau ada Dewan sendiri, barulah ada ROH!!!”

Tu dia aih, tak sangka betul Markaz PAS yang banyak dok ada di merata ceruk kampung itu, walaupun sesetengah orang PAS sendiri tak tahu tujuan dibinanya, tapi tiba-tiba ada hardcore UMNO yang boleh nampak rahsia di sebaliknya. Saya sendiri tak pernah terfikir markaz-markaz tersebut mampu berperanan sehingga ke tahap itu.

Beliau juga mengeluh mengenai pemuda-pemuda UMNO yang tidak seghairah dan sekomited pemuda-pemuda PAS dalam merealisasikan perjuangan mereka. Selain itu, yang agak memeranjatkan saya ialah apabila beliau bercerita mengenai isu Wang Ehsan yang bakal makan diri.Kata beliau:

“Inilah yang kita sendiri pun rasa ada yang tak kena. Wang Ehsan yang kita dok bagi atas macam-macam nama itu (Dana Pemuda, Bantuan Raya, Bantuan Persekolahan, Bantuan Baiki Rumah dll) kita rasa boleh makan kita balik. Ya lah, orang mesti fikir, dulu ada wang royalti tapi duit rakyat tak nampak; bila PAS
perintah, duit ada pula. Sekarang ini rakyat dapat duit tu, rakyat mesti fikir, kalau UMNO menang, habislah mereka, tak dapatlah merasa  duit tu lagi. Jadi, nak mudah; biar PAS terus perintah rakyat terus dapat duit. Makan dirilah saya rasa duit ehsan ni!”

Itu tak masuk lagi cerita bagaimana ada orang-orang UMNO sendiri yang tak puas hati sebab duit ehsan itu pun bila dibahagi-bahagi, ada juga orang UMNO yang miss, ada juga cerita pasal kroni dan lain-lain lagi. Untuk pengetahuan anda yang tidak pernah ke Terengganu; wang ehsan ini begitu mewah ditaburkan
UMNO di merata ceruk kampung di sana.

Wang Ehsan itu diagih-agihkan atas berbagai nama dan jenama, walaupun lain tajuknya tapi matlamatnya sama, untuk meraih undi. Misalnya, ada bantuan khas untuk setiap isi keluarga, satu keluarga ~ RM300 setahun, ada pula bantuan khas untuk musim buka sekolah, satu budak RM120.

Ada pula bantuan raya, satu keluarga ~RM200. Ada juga dana khas untuk baiki rumah mencapai beribu ringgit satu keluarga. Tak cukup dengan itu, untuk
mendapat undi golongan pemuda khususnya yg pertama kali mendaftar dan akan mengundi dlm p/raya akan datang, satu kepala tak silap saya RM200 atau RM300 dengan syarat mereka pergi mendaftar mengundi kemudian isi borang UMNO pergi jumpa JKKK minta pengesahan.

Dua tiga hari menjelang aidiladha misalnya, penuh sesak Bank Pertanian di Bandar Kemaman dengan geng-geng muda, mat-mat Rock, kaki motor rambut pendek rambut  panjang seluar ketat seluar compang comping beratur panjang dekat Bank Pertanian untuk mendapatkan wang ehsan.

Orang-orang PAS gelak saja tengok keadaan ini, dan orang-orang UMNO yang punya kemampuan  berfikir seperti sahabat saya ini hanya mampu mengeluh panjang. Banyak kali beliau ulang, silap-silap wang ehsan ini kelak makan Tuan. Apabila ditanya mengenai peluang UMNO dan juga PAS menang dlm p/raya ini, beliau cakap, itu semua benar-benar bergantung kepada siapa si CALON yang ditonjolkan.

Dan, to my surprise, jawapan yang sama juga diberikan oleh 2 orang lagi sahabat saya , seorang Atas Pagar dan  seorang lagi orang PAS. Makna kata, besar sungguhlah faktor siapa calon dalam menentukan siapa yang akan menang dlm p/raya ini.

Misalnya, sahabat saya ahli PAS di sebuah kawasan DUN di Terengganu, cuma ahli biasa dan bukan aktivist parti, apabila ditanya mengenai prestasi YB di tempatnya, dalam nada agak perlahan beliau katakan secara ikhlas bahawa YB DUN di situ agak lembab perkhidmatannya, agak sukar ditemui apabila rakyat
memerlukan.

Lain pula dengan sahabat saya, orang Atas Pagar itu; beliau memuji seorang YB PAS yang kebetulan terserempak dengan beliau tatkala beliau berkunjung ke sebuah rumah yang ada kematian. Beliau bercerita bagaimana “Tok Wakil” itu sendiri yang baca Yassin dan menyembahyangkan Jenazah berkenaan. Kata beliau:

“Cuba tengok UMNO , boleh YB UMNO buat macam tu? YB PAS ini silap-silap kalau gi kubur boleh baca Talkin lagi. YB UMNO, kalau turun pun, salam tangan kiri kanan, hulur 2 ketol, kemudian angkat h/phone, dial sana dial sini, kemudian salam lagi cakap minta maaf nak kena pergi dulu sebab ada hal sikit, macam tu aja. Macam mana nak tarik hati masyarakat, sedangkan dalam masyarakat bila berlaku kematian, waktu itulah yang paling sedih dan paling sensitif sekali. Waktu itu pitih/duit  tak perlu dah, kalau orang tolong baca Yassin pun, sejuk rasa dada. Bila orang lihat YB sendiri baca Yassin dan solat jenazah, orang akan
ingat sampai bila-bila dan orang akan cerita sampai ke mana-mana; hat inilah yang YB UMNO tak leh nak buat”

Seronok sembang dengan sahabat Atas Pagar yang Keliru ini, sekejap beliau sokong PAS, sekejap beliau hentam PAS, sekejap beliau sokong UMNO sekejap beliau hentam UMNO.

Di akhir perbualan, saya masih tak dapat nak kesan p/raya ini beliau akan undi PAS atau Barisan, cuma sama juga dengan 2 orang sahabat saya di atas tadi, semua mereka bersetuju tang satu benda sahaja; menangnya PAS atau UMNO di Terengganu dalam pilihanraya akan datang banyak bergantung kepadasiapakan CALON yang ditonjolkan.

Harapan saya, sedikit feedback yang diberikan ini mampu membantu Parti PAS khususnya PAS Negeri Terengganu dalam mencaturkan pergerakan mereka dalam pilihanraya yang akan datang. Moga, Calon yang akan disenaraikan nanti akan benar-benar memenuhi kriteria yang diperlukan oleh rakyat jelata di sesuatu Daerah atau Mukim itu.

Dari kejauhan, kami doakan moga Terengganu Darul Iman akan terus bersama PAS dalam pilihanraya akan datang. Allah hu Akbar. Insyallah!

Sekian.

Temingat Di Belantara - 10.02.2004 (tanpa suntingan)

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN