TAG: Daripada Dedebu Yang Kini Bersinar - 4 drp 11:
Oleh Khadija Abdul Qahar (Dipetik daripada Jihad Unspun)
trategi pemasaran yang asal memang amat mudah. Jihad Unspun akan memberitahu ataupun menyiarkan kisah kedua-dua belah pihak dan membiarkan para pembaca membuat keputusan akan kebenarannya. Ini membawa makna kerana beberapa sebab-musababnya. Setiap penerbit yang berpengalaman tentu tahu bahawa para pembaca bukannya golongan yang tongong dan tentu sekali mereka mampu membuat rumusan sendiri apabila diberikan pendapat kedua-dua belah pihak sehingga mampu membuat andaian yang betul seandainya kami menjalankan tugas yang sempurna. Ini juga bermakna bahawa kami boleh bergantung harap kepada bahan terbitan pihak ketiga dan sekali gus menentukan bajet sidang pengarang kami sentiasa di tahap yang rendah. Sebagai persiapannya, kami telah wujudkan satu sistem pemberitaan yang berasaskan teknologi agen risikan yang terkini. Agen risikan merupakan beberapa kod komputer yang menentukan secara sendirinya kerja-kerja bebas sesuatu ‘browser’ dan menjelajah di alam siber mencari fungsi yang sudah disiap-program. Dalam kes kami, kod-kod itu berkeliaran menyentuh skrin laman sumber dan membawa balik maklumat untuk diisi ke dalam pangkalan data induk kami. Ini merupakan satu projek pembangunan yang besar, secara tersendirinya.

Kerja-kerja mendapatkan berita di pihak yang lagi satu ternyata merupakan satu kesulitan jua. Sebenarnya memang tidak ada berita yang betul di media perdana mengenai tentangan yang dihadapi oleh Pihak Bersekutu di Afghanistan ataupun di mana juga dan setiap kenyataan yang disiarkan mengenai Osama Laden selalunya merupakan sedutan dan memang tidak berasas sama sekali, walaupun disiarkan juga berita itu. Kebanyakan laman web 'jihad' dan portal yang menerbitkan bahan bacaan berkenaan mempunyai sifat tenggelam timbul laksana yo-yo, kerana itu kami tidak boleh bergantung kepada mereka untuk bekalan maklumat yang berterusan. Ada yang merupakan tulisan kerana amarah dan banyak yang lain menerbitkan maklumat yang boleh dipertikai. Kerana itu kami terpaksa mewujudkan satu kumpulan penyaring berita yang melayari pelbagai rupa laman web dan ‘boards’ untuk mendapatkan maklumat yang kemudiannya disemak kesahihannya sebelum diterjemahkan daripada Bahasa Arab ataupun Urdu. Kami juga mendapatkan khidmat penyaring berita di kawasan yang berhampiran rantau konflik. Mereka melakukan tugas dengan bantuan orang tempatan untuk mengisi kekosongan berita. Memang sistem itu tidaklah secanggih mana tetapi ia ternyata satu permulaan untuk kami.

Semua wartawan mempunyai tabiat yang luar biasa berbanding orang-orang biasa – dan ini merupakan satu kelayakan yang dimestikan untuk jawatan mereka. Sepanjang kerjaya saya memang saya punya pengalaman bekerja dengan ramai jenis ini untuk membolehkan saya memperbaharui hubungan lama dengan segelintir mereka yang saya tahu memang pakar untuk memahami konsep dan membantu melakar beberapa rencana editorial untuk terbitan sulung kami. InsyaAllah kalau semuanya berjalan lancar, kami tentu mampu meraih sumber kewangan yang amat diperlukan sebaik sahaja pelancaran itu, dan tentunya saya dapat menyediakan satu pasukan petugas yang dinanti-nanti.

Para penerbit memang masak dengan kerenah para pembaca. Seandainya putaran penerbitan itu digugat – para pembaca akan beralih ke tempat lain. Saya sedar betapa kami akan menyentuh perasaan kedua-dua belah pihak pada satu ketika nanti kerana kami membuat laporan terhadap kedua-dua pihak pada sesuatu masa. Besar kemungkinan ada pembaca yang tidak selesa membaca sesuatu yang mereka baca. Walaupun kami tidak pernah menduga berdepan dengan beberapa jenis cabaran yang mungkin timbul, kami memang faham satu hari nanti kami pasti akan menjadi sasaran penggodam siber, virus dan sepertinya. Itu sebabnya kami berhati-hati untuk menentukan sistem yang terbina itu dapat bertahan lama. Kami telah laksanakan beberapa jenis perkakasan, pemprosesan dan prosedur sebagai penyelesaian kepada usaha serangan ini untuk menentukan kami mempunyai laman web yang sentiasa segar.

Cabaran yang paling besar tentunya berupa kefahaman kami terhadap isu terkini untuk membolehkan kami menyediakan maklumat yang bermutu tinggi. Yang lebih penting lagi, saya perlu mengetahui lebih awal lagi daripada mana datangnya orang Islam, itu kalau saya mahu menyiarkan versi kisah mereka tanpa propaganda. Ini merupakan satu hambatan sementara kerana saya belum pernah bercakap dengan orang yang beragama Islam (seingat diri sendiri) ataupun pernah bersua muka dengan seseorang seperti itu.

Saya telah menghubungi beberapa pertubuhan Islam di Kanada tetapi mendapat sambutan dingin, mungkin kerana mereka sudah menjadi takut berhubungan dengan kumpulan bukan-Islam, dan ketika itu saya tidak mahu menyalahkan mereka. Saya telah menghantar emel kepada beberapa ilmuwan Islam di AS, UK dan Timur Tengah yang telah membantu dalam beberapa isu tetapi tidak memberikan saya satu perasaan keIslaman secara umumnya. Saya selongkar Internet sekali lagi – kali ini untuk mengesan kumpulan ‘chat’ (borak) dan forum dalam bahasa Inggeris yang dijelajahi selalu oleh umat Islam. Daripada situ saya dapat berkenalan dengan kawan kepada kawan, saudara mereka, kumpulan, Sheikh dan ramai orang lain lagi yang dapat membantu saya untuk membangunkan rangkaian jaringan saya itu.

Dengan pelbagai rencana untuk pelancaran itu, masih ada satu lagi elemen yang tidak lengkap. Saya tahu ini adalah peperangan menentang Islam, sebahagiannya kerana ia semacam mangsa yang mudah ditumpas, tetapi dalam banyak hal ia merupakan satu penindasan agama yang terlalu jelas. Apakah yang ada dalam Islam sehingga ia dipandang serong? Sebagai penganut Kristian, saya memang tidak tahu-menahu apa-apa mengenai Islam, apakah kepercayaan penganutnya, dan apakah doktrin agama mereka. Walaupun Islam merupakan salah satu agama besar dunia ini, di Barat hanya terdapat dua agama yang dominan, yakni Kristian dan Judaism. Saya pun mula bertanya-tanya, tanpa memikirkan untuk sejenak betapa kepercayaan saya itu yang akan tergugat sama..

Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah

Saya mengamalkan hidup beragama hanya ketika usia yang sudah matang kerana melalui satu pengalaman pahit-maung kehidupan yang tidak boleh dianggap normal. Setiap insan melalui cabaran hidup dan setiap kita ini mempunyai pengalaman yang ganjil-ganjil, namun pengalaman saya memang telah lama menjangkau apa yang kebanyakan manusia lalui mungkin lebih sepuluh kali usia hidup ini.

Pada awalannya saya adalah seorang anak angkat yang lumpuh, yang menghabiskan sebahagian besar usia kanak-kanak di hospital sehinggalah timbul kesedaran bahawa saya akan mati di situ selagi tidak berusaha untuk belajar berjalan-jalan. (Itulah yang saya lakukan secara menyusup keluar daripada katil hospital pada malam hari, jatuh tersembam di bahagian muka sehingga dapat merasakan kesakitan tetapi berjaya mencapai matlamat dan dikatakan pulih kerana ‘keajaiban’). Itulah yang membuatkan saya mempunyai permulaan hidup yang menarik hati. Selepas itu, saya merupakan seorang kanak-kanak yang cepat dewasa dan tidak serasi dengan alam kanak-kanak itu menyebabkan saya lari daripada rumah ketika berusia 13 tahun dan menjadi hamil ketika 14 tahun. Saya berkahwin pada usia 15 tahun, berpisah ketika 17 tahun, kahwin semula pada usia 18 tahun dan bercerai dua kali sebelum saya mencecah usia 20 tahun.

Itu merupakan segelintir babak hidup saya untuk pengetahuan anda sahaja. Saya terpaksa melepaskan anak yang berusia enam tahun ketika saya mencecah usia 21 tahun. Apabila mencecah 21 tahun, saya sedar betapa hidup ini tidak akan menyerupai hidup yang dilalui oleh orang lain. Saya tidak akan menjadi mangsa dan meminta-minta ataupun meminjam-minjam. Saya tidak mahu kelaparan lagi. Saya juga mula sedar betapa segala pahit-maung yang saya lalui itu sebenarnya satu sumber kekuatan – apabila anda tumpaskan hambatan yang besar-besar, anda mendapat kekuatan dan saya mempercayainya ketika berusia 23 tahun. Itulah ketikanya saya mulakan perniagaan pertama kerana saya terlalu berkeinginan mahu melakukan sesuatu sehinggakan tidak ada ruang untuk apa juga menegahnya. Saya mula meraih keuntungan besar tetapi turut juga mengalami kerugian yang besar-besar. Hidup saya sentiasa berbuai laksana ‘pendulum’ yang menyentuh kejayaan besar dengan diwarnai kegagalan yang menghampakan juga.

Bersambung ke Bahagian 5

Bahan asal dan grafik: Hakcipta © Jihad Unspun
http://www.jihadunspun.net/articles/20030911-ashes.to.light/ashes2light04.html
Siri 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11

Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN) - 10.12.2003

Sertailah
Blog M@RHAEN - Wadah interaksi yang penggunaannya semakin popular pada masa kini. (Baru)
Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/



Click Here!
Hantar artikel ini kpd sahabat: