TAG 1759:
Anwar Ibrahim dan Parti Politik Malaysia Yang Mereput
(Anwar Ibrahim and Malaysia's arthritic political parties) Oleh MGG Pillai 21-10-2004 03:00 pm  - Laman M@RHAEN

Malaysia sedang dimendungi oleh kerajaan barisan dan pembangkang yang mengandungi parti politik yang sedang mereput. Kerana terlalu lama terabai dan cuai makanya tercetus kehendak masa yang mahukan perubahan sedangkan tidak ada mana-mana parti yang sanggup menangani desakan itu. Selama ini, desakan semacam itu ditangani dengan pampasan kewangan, keagamaan dan politik sahaja. Selama itu juga, kerajaan BN (Barisan Nasional) terlalu angkuh dengan keyakinan bahawa ia mempunyai satu monopoli kuasa yang sungguh kebal; pihak pembangkang pula yakin bahawa falsafah politik mereka yang berbeza dan kesepaduan pendekatan berkempen setiap kali muncul pilihan raya umum mampu melonjakkan mereka ke tampuk kuasa. Sebaliknya yang termampu mereka tunjukkan ialah ketidakmampuan dalam kedua-dua pendekatan itu, gara-gara ketandusan daya usaha pemikiran dan tokoh politik yang mampu membendung proses mereput yang menghantui mereka.

Kemelut ini hanya dapat diperbetul dengan bantuan kuasa luar. Inilah yang tidak disetujui oleh parti-parti politik, baik dalam kerajaan mahupun di pihak pembangkang. Namun, selama lima dekad, iklim politik Malaysia sudah berganjak daripada asas prinsip dan ideologinya kepada kaedah gila-gila menyetujui kerenah pemimpinnya. Yang lain dianggap tidak penting sahaja. Apa pun parti politik yang kita pantau, bukannya politik yang menonjol tetapi siapa pemimpinnnya. Demikian juga berlaku dalam PAS, yang merupakan parti politik Malaysia yang amat teguh prinsipnya. Memang jelas bahawa dasar parti politik Malaysia terlalu bergantung kepada siapa yang menjadi pemimpinnya. Lantas, lebih banyak masa yang ditumpukan kepada pemimpin mereka daripada asas perjuangan parti itu sendiri.

Dengan kata mudah semangat perjuangan sesuatu parti politik di Malaysia banyak bergantung kepada cengkaman pengaruh orang yang mencengkam kuasa. Selama ini, tidak ada parti yang dapat merobah hala tujunya sehinggakan orang luar melihatnya sebagai parti yang tidak mampu membuat keputusan sendiri dan terus kebingungan apakah asas perjuangan mereka sebenarnya. Masa terus berlalu dan para pemimpin parti terus termangu sehingga ke tahap merasa malu memikirkan apakah sebenarnya yang mereka perjuangkan selama itu BN sudah berantakan lebih satu ribu kali tetapi masih mampu menyerkapnya agar orang luar tidak juga sedar. Walaupun para pemimpin dicengkam dengan ugutan, mereka masih degil bertegas segalanya berjalan lancar dengan alasan bahawa parti masih berjalan mengikut lunas demokrasi yang segar. Demikian juga lagaknya di pihak pembangkang, di mana kisah pemberontakan memang sama dahsyatnya. Fenomena ini terjalin kerana perpaduan mereka hanya menjadi serba mungkin kalau mereka turut setuju untuk meniru perjalanan politik parti yang lain. Fahaman begini seolah-olah mengakui bahawa kedamaian tapak pusara adalah serasi dengan pandangan politik yang ketara.

Dengan kata mudah, parti politik di Malaysia, sudah terhenyak kepada menumpukan perjuangan mereka yang berasaskan kepada slogan dan kata-kata; baik dalam parti yang menerajui kerajaan mahupun dalam pihak pembangkang. Setiap parti masih bingung akan idea yang jelas apakah sebenarnya perjuangan mereka dan apakah mereka sebenarnya. Namun, mereka acapkali bertegas betapa mereka tahu dan arif akan perjuangan itu berasaskan segala ucaptama Presiden mereka dan beberapa bentuk ucapan parti mereka yang lain, yang rata-rata dibuat tanpa banyak kajian dan penyelidikan yang rapi. Akan tetapi, perubahan datang menjenguk setiap kali berlakunya perubahan kepada pucuk kepimpinan parti. Selama ini rakan seperjuangan di kalangan parti gagasan kerajaan sengaja dianggap sepi sahaja, segala pendapat parti komponen itu dipandang sepi dan sesiapa yang berani bersuara lantang mudah dikuis dengan deraan untuk terus membisu. Di kalangan parti pembangkang pula adalah amat sukar untuk mereka bersetuju merangka program yang membolehkan mereka memaparkan satu benteng pakatan yang jitu untuk mencabar kerajaan dalam pilihan raya umum.

Seandainya kereputan politik ini tidak disekat, besar kemungkinan akan tercetus suasana gila-gila, yang kini semakin ketara akan pertandanya. Sejarah sudah lama mengajar kita, apabila keadaan terus bercelaru, akan muncul seorang tokoh yang membawa bersamanya satu rencana yang akan merobah perjalanan suasana. Selalunya dia akan dicemuh, dipinggirkan dan ada kalanya dimusnahkan. Namun, kilauan aura dan ketokohan yang ada padanya akan menyinar juga akhirnya untuk menyanggah aliran arus politik yang mereput itu dengan berani Sejarah memang kaya dengan rakaman tokoh-tokoh seperti ini: Garibaldi di Itali, Ghandi di India, Mandela di Afrika Selatan, Rizal di Filipina, Sukarno di Indonesia, Sihanouk di Kambodia. Seseorang tokoh seperti itu tidak perlu lebih berketrampilan daripada tokoh-tokoh yang disebut tadi, asalkan dia mampu melaksanakan tugas yang mesti dilakukannya. Peranannya nanti mungkin untuk mencetuskan proses politik sahaja, tetapi itulah peranan yang dapat menyekat kereputan politik yang sudah membarah dan mencekik Malaysia.

Tokoh itu bernama Anwar Ibrahim seorang bekas Timbalan Perdana Menteri yang tegas mahu meneruskan kerjaya politiknya selepas dilepaskan bebas daripada penjara. Kilauan ketokohannya adalah lebih gah dan besar daripada namanya. Beliau kini sengaja diperlekeh dan dicemuh oleh kerajaan Malaysia dan media perdana. Pihak pembangkang pun, yang satu ketika dulu menjadikan beliau seakan-akan maskot parti mereka, kini masih termangu-mangu dengan kemunculan tokoh ini semula, kerana terkejut betapa perkasa kilauan ketokohannya. Anwar tidak boleh berpolitik secara aktif sehinggalah April 2008, kerana itulah kekangan perundangan yang dikenakan terhadap sesiapa yang keluar daripada penjara. Namun, Anwar masih diraikan di negara ini dan di luar negara sebagai seorang tokoh masa depan yang berwibawa. Sejurus menjalani pembedahan di Munich, pemimpin serata dunia telah menghubunginya. Ada yang menelefon, dan ada yang mengutus pesan. Yamtuan Besar Negri Sembilan, yang pernah menjadi Yang Dipertuan Agong telah mencemar duli bersama Permasuri baginda untuk makan tengah hari bersama Anwar di Munich. Semasa berada di Jeddah, baginda Sultan Brunei telah tiba untuk santap bersama dengannya. Ada beberapa orang sultan yang telah menghubungi Anwar melalui telefon ataupun menghantar wakil menemui beliau. Anwar beralih ke Arab Saudi selepas pembedahan itu, sebagai tetamu diraja dan akan pulang pad 31 Oktober nanti.

Sepatutnya Anwar pulang dengan pesawat peribadi Raja Fahd. Kini, dia dijadualkan pulang dengan pesawat komersial biasa, setelah adanya bantahan rasmi kerajaan Malaysia kepada Arab Saudi kerana terlalu bermurah hati. Kepulangan Anwar ke persada politik kini menyatukan kerajaan dan pihak pembangkang untuk memusuhinya. Barisan Nasional tidak berhasrat menerima beliau semula. Persidangan UMNO yang berlalu bulan sudah telah menyekat kemasukannya. Tindakan itu adalah lebih disebabkan oleh ketakutan kerana Anwar tidak boleh menganggotai mana-mana parti politik sehinggalah selesai persidangan tahunan UMNO 2007 nanti.

Perkara semacam itu memang tidak perlu dikisahkan sangat. Anwar kini sudah muncul sebagai musuh UMNO yang paling berbahaya.

Eloklah kita lupakan sahaja sikap biadab serta tidak bertamadun yang ditunjukkan oleh kerajaan Malaysia ketika memprotes layanan baik keluarga istana Arab Saudi. Yang penting, kenapakah kepulangan Anwar menyatukan kerajaan dan pihak pembangkang untuk sama-sama memusuhi beliau? Penganalisis politik dan ahli politik BN masih bertegas bahawa masa depan Anwar untuk berpolitik hanya terletak dalam UMNO sahaja. Oleh sebab dia tidak boleh rujuk semula, maka kerjaya politik beliau dikira tamat. Memang pelik rumusan mereka. Anwar dianggap tidak layak menjadi Perdana Menteri kecuali dia menganggotai UMNO semula.

Apa yang mereka tidak sanggup akui ialah hakikat bahawa BN akan berada dalam bahaya seandainya Anwar memimpin satu gagasan parti pembangkang. Anwar mempunyai kemampuan untuk meleraikan kekusutan yang selama ini menjadikan pihak pembangkang selalu renggang. Beliau merupakan satu-satunya tokoh politik yang mampu berurusan dengan PAS dan DAP, yang kini mempunyai hala tuju yang berbeza. Beliau merupakan ketua terunggul Parti Keadilan Rakyat (yang masih dikenali sebagai KeADILan, tetapi terpaksa disebut dengan singkatan PKR). Seperti parti pembangkang yang lain, PKR sudah jauh tersasar daripada hala tuju asalnya. Akan tetapi pihak pembangkang sudah sebulat suara dalam mengakui kemampuan beliau sebagai seorang pemimpin pembangkang. Malahan, pihak pembangkang sudah berani mengakui kemampuannya menakutkan gagasan parti pemerintah di luar kemampuan berbuat begitu sejak lima dekad yang lalu.

Anwar Ibrahim belum lagi membuat keputusan muktamad akan masa depan politik beliau. Malahan dia belum boleh berbuat begitu lagi setakat ini. Anwar sedang merasa kenikmatan seorang yang bebas, dan sebagai seorang ahli politik yang mahir dan bijaksana dia memang sedar betapa ketokohannya dikagumi di Malaysia dan di seluruh dunia. Semakin hari berputar Anwar semakin segar memaparkan keterampilannya persis ketokohan politiknya yang dulu-dulu. Cuma kali ini dia muncul dengan kematangan yang menyerlah dan falsafah hidupnya yang diperkasakan oleh pengalaman menyendiri dalam penjara. Anwar muncul kini sebagai insan sepanjang musim. Namun di sebalik ketokohan itu dia memang digeruni oleh terlalu ramai orang lain. Kemungkinan beliau mencetuskan kegerunan dalam kerajaan dan pihak pembangkang adalah satu hakikat yang benar. Sejak dibebaskan, ketokohannya sudah begitu menonjol sehinggakan amat sukar ditandingi oleh sesiapa jua di negara ini; termasuklah Perdana Menteri dan orang-orangnya.

Ada pemimpin UMNO yang membuat tohmahan bahawa Anwar adalah ejen pemimpin negara luar dan kepentingan mereka. Ini adalah satu kenyataan golongan yang sudah putus asa. Kalaulah benar tohmahan ini, sudah tentu beliau telah disiasat dan diselidik semasa dia ditahan di bawah Akta ISA pada 1998 lagi. Kalaulah ada kebenarannya, sudah tentu UMNO menggunakan maklumat itu untuk menjerut masa depan politiknya. Kenapa tidak? Dia telah
diaibkan dan dibuang oleh UMNO atas fitnah sodomi dan korupsi. Pengaibannya telah memecahbelahkan UMNO dan bangsa Melayu. UMNO hilang kuasa ke atas budaya Melayu. PAS telah mencapai prestij politik apabila menjuarai dilema Anwar. Akan tetapi UMNO dan PAS menggunakan Anwar untuk mencapai tujuan politik mereka sahaja.

Kini, kemunculan Anwar semula di pentas politik dengan ketokohan yang semakin menyinar dan berkilau, menyebabkan UMNO dan PAS sama-sama naik risau. Namun, Anwar merupakan sebesar-besar harapan pihak pembangkang untuk menyungkit mereka naik ke puncak kuasa menerajui kerajaan pusat. Walaupun BN dan UMNO enggan mengakuinya, mereka memang sedar akan kebenaran kenyataan ini. Namun demikian, pihak pembangkang masih takut-takut juga. Anwar memang jelas dengan prioritinya (keutamaan pilihan): beliau tidak akan rujuk semula menganggotai UMNO; dia akan terus menetap bersama pihak pembangkang. Asas ketegasan ini adalah kesinambungan minat politiknya, dan majlis terbuka hari raya di rumah kediamannya di Permatang Pauh nanti, adalah gambaran ketegasan ini. Para pembantu Anwar sudah pun mengeluarkan amaran kepada pemimpin UMNO yang menyerang beliau dalam persidangan UMNO yang berlalu, seandainya mereka terus degil, Anwar akan bertindak balas. Inilah yang membuatkan usaha mereka terencat jadinya.

Secara tiba-tiba Anwar telah muncul sebagai budak belasahan dalam persinggitan politik antara Paklah dan Najib Tun Razak untuk menguasai UMNO. Kumpulan Paklah telah menakutkan kem Najib kemungkinan memberikan pengampunan kepada Anwar. Apa pun, mereka memang tidak akan melakukannya. Tetapi, acah semacam itu sudah cukup menakutkan puak Najib agar berhati-hati meneliti setiap gerak-gerinya. Kewaspadaan begini boleh meledak untuk menggugat kedua-dua pihak. Memang ada desas-desus wujudnya usaha untuk memberikan pengampunan tidak bersyarat kepada Anwar. Beberapa orang Sultan sudah pun menunjukkan minat menyebelahinya. Kalaulah Anwar diberikan pengampunan semacam itu memang ramai yang akan merasa malu.

Anwar merupakan tokoh yang sesuai buat ketika ini. Ini tidak bererti beliau akan menjadi Perdana Menteri ataupun aktif berpolitik selepas 2008 nanti. Beliau sudah muncul sebagai pemangkin yang memaksa kerajaan dan pihak pembangkang melakukan reformasi dalam pemikiran dan mencarta hala tuju yang baru. Sememangnya banyak yang berubah sejak beliau ditahan dulu. Namun dia masih cekal dan tabah. Anwar sudah menyahut setiap cabaran untuk menghumban beliau ke jurang sampah sejarah. Dia berjaya melepasi segala cabaran itu. Orang yang paling bertanggungjawab mereputkannya, kini dikenali oleh seluruh dunia dengan panggilan Tun Kepala Taik Mahathir. Si tua hangkoi ini masih taksub dengan dakwaan yang Anwar bersalah. Tidak ramai yang mempedulikannya. Kalaulah benar si tua hangkoi itu percaya akan segala bukti pada 1998 dulu, manakah semua itu yang boleh menghukum Anwar?

Kalaulah Anwar berjaya menggerakkan senario politik Malaysia untuk maju ke depan, Malaysia akan berhutang besar kepadanya. Sama ada dia akan menjadi Perdana Menteri sudah tidak menjadi satu perkara yang relevan sekarang ini, walaupun kemungkinannya serba ada. Apakah dia akan rujuk kepada UMNO turut dianggap tidak relevan lagi. Itu pun dianggap sebagai berkemungkinan sahaja. Apakah dia akan menganggotai pihak pembangkang dianggap tidak relevan juga. Itu pun dianggap sebagai berkemungkinan sahaja. Cuma, Anwar tidak akan diam membisu. Dia akan terus bercakap apa yang disukainya dan akan terus membayangi pemikiran rakyat jelata. Inilah yang membuatkan kerajaan kecut perut kerana takut. Kerajaan telah didatangi permohonan agar para penyokong dibenarkan berkumpul menyambut kepulangan Anwar. Kerajaan bertegas hanya mereka yang mempunyai tiket penerbangan ataupun menerima ketibaan tetamu yang akan dibenarkan masuk. Untuk mengelak kekecohan, para penyokong beliau telah mendesak agar disewa Stadium Bukit Jalil untuk para penyokong Anwar berkumpul. Kalaulah amalan silam menjadi rujukan, permohonan semacam itu pasti akan ditolak. Ataupun dibenarkan hanya pada saat terakhir. Penyokong Anwar tidak mahu kepulangannya nanti menjadi satu ujian siapa yang lebih perkasa. Akan tetapi, kalau terpaksa, perkara itu akan menjadi juga.

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com - 21.10.2004
Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: