TAG 1758:
Dato' Seri Politik Wang
(Dato' Seri Money Politics) Oleh MGG Pillai 19-10-2004 08:49 pm  - Laman M@RHAEN
{Artikel asal ada dalam HARAKAH keluaran terkini}


Pada 1974, mantan Perdana Menteri si TKT Mahathir telah menerima tawaran agar melibatkan dirinya dengan politik wang dalam usaha memenangi pencalonan jawatan Naib Presiden UMNO. Beliau enggan, kerana itu hanya memenangi tempat yang ketiga dalam pertandingan itu. Di sinilah terletaknya kesilapan beliau dalam mengimbau sejarah silam. Sebenarnya ketika itu nama beliau adalah tersenarai dalam carta calon pilihan Presiden UMNO ketika itu, Tun Abdul Razak Hussain. Namun demikian, apa yang disebutnya mengenai politik wang ketika itu memang ada kebenarannya. Malahan, yang benar ialah sikap pemimpin UMNO yang sengaja membiarkannya. Dalam masa dua tahun (selepas peristiwa itu) Mahathir naik menjadi Timbalan Menteri, dan dalam masa tujuh tahun beliau telah menjadi Perdana Menteri. Mahathir tidak juga berbuat sesuatu untuk membendung gejala buruk itu. Kini, dia ada kelentong baru untuk fenomena itu. “Seandainya anda fikir korupsi itu adalah sesuatu yang tidak baik, bererti kawan anda terpaksa berhenti. Saya pernah terpaksa bertindak terhadap seorang kawan, satu ketika dahulu.” Demikianlah pengakuan beliau secara selamba, dengan memberi andaian bahawa korupsi yang sanggup dilakukannya untuk mengorbankan seorang ‘kawan’ itu ialah peristiwa bagaimana Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah diaibkan. Itulah kawan beliau yang dihumban dengan undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk dilanyak oleh mantan Ketua Polis Negara sehingga hampir maut. Kemudian, ‘kawannya’ itu dikenakan pelbagai tuduhan dan didakwa dengan pelbagai tohmahan yang turut mencemar martabat badan kehakiman Malaysia.

Dalam bahagian kedua wawancara beliau dengan The Star (18 Oktober 2004, muka surat 28-29), TKT Mahathir telah berpendapat bahawa pemimpin UMNO tidak mampu membendung politik wang yang berleluasa itu, kerana tidak ada sesiapa yang sanggup mengemukakan buktinya. Pemimpin UMNO menangani politik wang dengan sikap acuh-tak-acuh sahaja. Tunjukkan bukti, baru ada tindakannya, merupakan laungan yang sudah lumrah didengar. Parti itu tidak sanggup merelakan pembabitan Badan Pencegah Rasuah untuk menyiasat penyakit itu. Jawatankuasa Disiplin UMNO memang tidak bergigi, dan memang ada segelintir ahli parti yang mengharapkan jawatankuasa itu memainkan peranan lain, walaupun ada anggota parti yang maju ke depan dengan bukti yang sungguh jelas dan menyeluruh. Gembar-gembur mengenai politik wang di kalangan para pemimpin parti adalah satu muslihat untuk menyungkup kekerapannya, kerana ramai pemimpin yang takut kalau diadakan siasatan yang menyeluruh, ramai antara mereka, bermula daripada Presiden parti sehinggalah ke peringkat bawahan, boleh didapati bersalah. Mereka lebih selesa kalau perkara ini dapat dilupakan begitu sahaja tanpa perlu diungkit-ungkit lagi.

UMNO mengharapkan perkara ini akan mendap begitu sahaja dan politik wang ataupun rasuah akan menjadi pelincir yang merancakkan perjalanan pilihan raya. Amalan rasuah begini sudah mendarah-daging dalam UMNO sehinggakan perwakilan dan anggota lain mudah menghantarkan butiran akaun bank mereka kepada bakal calon yang bertanding. Selalunya mereka menghantarnya melalui pesanan SMS, agar senang dimasukkan dalam akaun bank untuk membeli undi. Para perwakilan dikenakan syarat berbelanja mengongkosi para perwakilan yang datang termasuk wang saku untuk mereka berbelanja. Demikian halnya bagaimana berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan. Ada seorang calon Naib Presiden yang telah berbelanja sekitar RM20 juta, termasuk RM5 juta pada malam sebelum hari mengundi. Ada pihak yang membuat taksiran betapa jumlah wang sogok telah mencapai sekurang-kurangnya RM400 juta. Ada calon yang membayar dengan mata wang Euro, ada pula yang membayar dengan pemberian anugerah bintang kerajaan negerinya. Daripada 83 anugerah 'Datuk’ dalam senarai kerajaan Melaka baru-baru ini, 50 gelaran itu dikhususkan kepada pemimpin bahagian UMNO dan petugas lain yang mengusahakan undi untuk Ketua Menterinya Ali Rastam. Melaka juga memperuntukkan bintang dan anugerah lain yang lebih rendah daripada gelaran datuk itu kepada pegawai-pegawai UMNO yang membantu beliau menang. Kalaulah beliau kalah, senarai anugerah itu tidak pun akan dicemuh oleh sesiapa.

Saya percaya orang ramai terkejut dengan sikap penganugerahan negeri itu bukan kerana ia telah terjadi, tetapi kerana pemberiannya yang melampaui batasan. Pada 1970-an dulu, orang ramai merungut terhadap Dato’ Harun Idris, yang kemudiannya terhukum dan dipenjarai, kerana beliau telah bersungguh-sungguh mengumpul dana untuk kempen politiknya dengan cara menjual tanah negeri untuk memperkasa kedudukan politiknya. Memang banyak beza antara memberikan hadiah gelaran negeri dengan menjual tanah kerajaan. Saya masih ingat ketika itu, betapa ada kempen terhadap Dato’ Harun. Tetapi kempen itu adalah laksana hangat-hangat tahi ayam sahaja. Kini, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bergelumang dengan perbuatan yang sama. Tidak ada sesiapa yang mengungkitnya, dan saya jangkakan pada masa depan anugerah Dato’ dan bintang adalah perkara biasa sebagai upah untuk memperkasakan kedudukan politik orang tertentu. Apa pun, perbuatan Ali Rastam hanya meniru gelagat pemimpin UMNO kerajaan pusat yang sudah lama diamalkan selama ini. Mereka selalu memberi arahan kepada pemimpin negeri untuk memberikan gelaran kepada calon mereka. Mereka ini adalah pegawai kerajaan dan kebanyakannya adalah pemimpin politik BN.

Kekejutan terhadap melambaknya anugerah daripada kerajaan Melaka memang sengaja dibesar-besarkan kerana Ali Rastam bukan tergolong dalam kem Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi. Lantas beliau dikutuk tanpa henti, sehinggakan orang lain dilupakan begitu sahaja. Saya berani berkata, di kalangan mereka yang dipilih menganggotai Majlis Tertinggi UMNO, bermula daripada Presiden parti hinggalah ke jawatan yang ke bawah, memang ada hanya segelintir yang berpegang kepada prinsip hidup tanpa bersedia membayar apa-apa untuk mendapatkan undi. Yang lain itu memang bersalah. Itu sebabnya mesti ada bukti sahih sebelum UMNO sanggup bertindak. Perkara ini tidak akan mendingin begitu sahaja. Walaupun persidangan UMNO sudah selesai bulan lalu, tajuk perbualan masih berkisar kepada beli undi dan wang sogok. Inilah yang diungkit bersama desakan supaya ada bukti, dan kedinginan terhadap skandal membeli undi dengan memberi anugerah kerajaan Melaka.

Akan tetapi orang politik BN, khususnya UMNO telah lama mendominasi hal-ehwal anugerah gelaran kerajaan pusat dan negeri, selama berdekad dulu lagi. Pelbagai anugerah baru dicipta semata-mata untuk memberi ruang kepada percambahan gelaran. Orang perniagaan menganggapnya satu kejayaan kalau mempunyai gelaran Dato’ yang pelbagai, dengan gelaran Tan Sri sebagai lambang rapatnya beliau kepada pucuk kepimpinan BN-UMNO. Kaedah menapis bakal penerima gelaran yang diasaskan satu ketika dulu, kini sudah lama lenyap disebabkan campur tangan politik. Almarhum Sultan Ibrahim Johor hanya menganugerahkan tiga gelaran ‘Dato’ setiap tahun – satu untuk orang awam dan satu untuk pegawai kerajaan. Yang ketiga itu diberikan silih berganti di antara dua sektor ini, untuk setiap dua tahun. Lantas anugerah diraja itu amat dihormati. Baginda juga tidak teragak-agak menarik balik anugerah itu kalau si penyandang mempunyai hutang melambak, ataupun tertangkap dalam serbuan polis di rumah sundal ataupun menyebabkan gelarannya itu tercemar.

Anakanda baginda, Sultan Ismail tidak mampu mengekalkan amalan itu kerana Menteri Besar ketika itu bertegas untuk mempunyai hak turut menentukan penerima anugerah negeri. Hubungan mereka begitu berkecamuk sehinggakan Sultan mempunyai senarai sendiri yang mempunyai satu calon lebih daripada jumlah senarai yang disediakan oleh Menteri Besar. Kesannya muncullah 101 gelaran ‘Dato’ dalam sesuatu tahun. Bermacam-macam gelaran lucu telah dicetuskan. Ada seorang Dato’ yang diberikan gelaran ‘Dato’ Permaidani’ kerana dia telah menghadiahkan Menteri Besar sebidang permaidani Parsi yang mahal-mahal. Ada seorang bergelar ‘Dato’ Binatang’ kerana memberikan hadiah binatang kepada Zoo Johor. Anakanda baginda, Sultan Iskandar telah menghentikan semua ini, dengan menarik balik beberapa gelaran itu dan mengizinkan gelaran Dato’ yang terhad setiap tahun. Selalunya baginda bertindak tidak mahu memberi sebarang gelaran pada tahun-tahun tertentu.

Apabila gelaran diagihkan secara bebas dan menjadi kuasa orang politik, sudah tentu ia membabitkan wang juga akhirnya. Sudah menjadi rahsia terbuka berapa yang perlu dibayar kalau seseorang mahukan anugerah dan gelarannya. Sesiapa sahaja layak menerima gelaran kalau dia sedia membayar wangnya. Kini, kelentungan ini sudah merebak luas di mana terdapat penjualan anugerah palsu. Dua orang insan, seorang sudah pun mati dan seorang lagi masih menganggotai kabinet Paklah, telah diberikan sokongan untuk menerima anugerah Yang DiPertuan Agong dan bergelar Tan Sri. Perdana Menteri ketika itu, TKT Mahathir telah bersetuju, tetapi dua orang itu tidak pun menerima gelaran mereka. Orang yang bertanggungjawab menulis senarai akhir dalam tulisan jawi telah menggantikan salah satu nama calon itu dengan namanya sendiri. Apabila beliau mengetahui kisah ini, TKT Mahathir tidak pun berbuat apa-apa. Dalam satu kisah lagi, Sultan mahu memberikan anugerah kepada seorang pegawai kerajaan daripada negeri baginda, akan tetapi ketua jabatan calon yang bakal menerima gelaran itu, bertindak bahawa dia lebih layak daripada Timbalannya.

Keengganan untuk bertindak balas terhadap kerja-kerja buruk ini menjadikan kerja-kerja kawalan semakin berserabut pada tahun-tahun yang berikutnya. Kini, serba-serbi sudah bercelaru dan tidak dapat dikawal lagi. Sebarang anugerah walaupun untuk pegawai kerajaan mesti mendapat perkenan parti komponen BN. Nama lain dimasukkan pada saat akhir, setelah senarai itu diperiksa dan disaring dulu beberapa bulan sebelum anugerah dibuat. Sekarang ini senarai itu dibuat hanya beberapa bulan sebelum pemberian anugerah, tanpa ada penapisan yang rapi dan tanpa memastikan siapakah calon yang akan menerima gelaran itu sebenarnya.

Dua orang samseng Selangor telah menerima gelaran Dato’, setelah menerima sokongan Presiden MCA, Ong Ka Ting. Memang ramai yang membantah apabila perkara itu terdedah, tetapi perkara itu menjadi sejuk begitu sahaja. Pemberian anugerah semacam itu tidak ada kena mengena dengan keinginan Sultan melihatkan anugerah baginda sebagai penghargaan kepada khidmat kepada awam dan mahu memberikannya secara berpilih-pilih. Tetapi, untuk masa kini, sesiapa yang layak diberikan gelaran Dato’ mestilah terlebih dahulu diperkenankan oleh parti politik yang mewakili kaumnya. Kenapa begitu jadinya?

Pada waktu dahulu, parti politik mengemukakan beberapa nama yang diterima ataupun ditolak selepas diadakan penapisan. Kini, sebarang sokongan parti politik tidak ditolak lagi. Setiap parti mempunyai kuota sendiri dan anugerah diberikan walaupun pencalonan dibuat satu minggu sebelum majlis anugerahnya. Tidak siapa yang sanggup membuka mulut akan hal ini. Sesiapa yang berani bising diberi amaran yang dia tidak akan diambil kira untuk sebarang gelaran. Pihak Pembangkang memang tidak diambil kira untuk pemberian gelaran. Anugerah berganda untuk peniaga yang ada hubungan mesra dengan politik, wartawan dan orang lain adalah perkara lumrah. Kalau sistem anugerah ini mahu diperbetulkan, Presiden UMNO mesti bertindak seperti yang dilakukan oleh Sultan Iskandar. Adakah sesiapa yang seperti baginda pada masa ini sekarang?

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com - 21.10.2004
Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: