TAG 1752:
Dilema Pak Lah
(Pak Lah's dilemma) Oleh MGG Pillai 10.10-200 - Laman M@RHAEN

Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi telah menasihatkan para peniaga Malaysia agar bersikap terbuka dan jujur. Itu sahajalah yang mampu dikatakannya dalam majlis jamuan makan malam untuk mengutip derma (6 Oktober, 2004) bagi pihak sebuah persatuan, KLSTI (Kuala Lumpur Society for Transparency And Integrity) sebuah persatuan mengenai ketelusan dan martabat. Dunia harus mengetepikan Malaysia seandainya peniaga Malaysia korup dan mengamalkan korupsi untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. Jika tidak, pelabur asing harus pergi ke tempat lain. Keazaman dan bukannya korupsi harus menjadi tarikan kepada dunia. Para peniaga Malaysia harus sedar akan perkara itu untuk mendapat tempat dalam bisnes global. Kerajaan akan membantu di mana perlu tetapi para pedagang mesti bersikap jujur. Kerajaan membantu dengan memperkasakan Badan Pencegah Rasuah (BPR), hukuman yang lebih berat kepada sesiapa yang didapati bersalah, dan dengan satu rencana integriti nasional.

Kerajaan tidak boleh memerangi korupsi secara sendirian. Semua pihak mesti turut serta untuk memperakui nilai etika dan integriti. Jika tidak, segala-galanya tidak akan bermakna. Persatuan seperti KLSTI berganding bahu dengan kerajaan untuk membasmi korupsi dan Paklah telah mengeluarkan kata-kata yang diharapkan darinya. Selepas itu beliau berlepas menghadiri persidangan ASEM di Hanoi. Tidak berapa lama kemudian apa yang disebutnya itu telah tercabar. Kumpulan penyiasat Iraq (Iraq Survey Group) yang telah menghabiskan 18 bulan menyiasat kes senjata pemusnah Saddam Hussein, tidak pun menjumpai senjata itu. Sebaliknya ia telah menjumpai senjata korupsi besar-besaran. Apabila mereka gagal mengesan sebarang senjata pemusnah, sekali gus mereka mengaibkan dua pemimpin dunia yang bertegas benda itu wujud. Laporan ini telah menggemparkan dunia politik Amerika dan Great Britain. Lantas kerja-kerja kelentungan diengsotkan sedikit kepada perbuatan Saddam semasa mengelolakan pertukaran minyak untuk makanan, untuk membolehkan Baghdad mengedarkan makanan kepada rakyat. Semasa sekatan ekonomi dikuatkuasakan, kumpulan penyiasat (ISG) itu, telah menjumpai beberapa dokumen rasmi, di mana beberapa pemimpin dunia merata negara telah menikmatinya untuk KEPENTINGAN DIRI mereka. Maklumat ini sudah cukup menjadi pelencong kepada masalah politik yang melanda London dan Washington.

Laporan ISG setebal 1,800 muka surat telah menyebut banyak nama laksana bunga rampai yang ditabur di majlis perkahwinan. Terdapat kira-kira setengah dozen nama yang berasal daripada Malaysia dalam bentuk nama syarikat dan individu. Inilah yang telah mencabar tema ucapan Paklah minggu lalu.. Hampir semua orang yang disebut namanya diam membisu ataupun menafikannya. Paklah yang berada di Hanoi, telah menafikannya. Akan tetapi, penafian itu menunjukkan yang dia tidak pun mengamalkan apa yang disebutnya semasa jamuan makan malam KLSTI dulu. “Saya tidak ada kena mengena dalam perkara itu,” kata beliau, “Saya tidak tahu bagaimana nama saya boleh dikaitkan.” Nama beliau dikaitkan sebagai penerima baucer khas minyak sebanyak 1,949,000 tong. Kalau dijual minyak itu ia mendatangkan keuntungan sebanyak USDollar 1.3 juta (bersamaan RM5.2 juta). Urusan telah dibuat melalui sebuah syarikat bernama Tradeyear. Paklah berkata itu bukan cerita benar. Marilah kita buat-buat percaya kata-kata itu. Akan tetapi dia juga berkata, seperti yang dilaporkan oleh Bernama di Hanoi bahawa “memang ada beberapa orang peniaga Malaysia yang berminat dalam program (minyak untuk makanan) itu dan meminta saya menulis surat kepada bekas kerajaan Iraq menyokong permohonan mereka dalam program tersebut. Saya tidak tahu apa yang terjadi selepas itu.”

Rupa-rupanya, tiga syarikat yang terbabit: Petronas, Jawala Corporation dan Tradeyear telah menerima baucer minyak-untuk-makanan itu. Tentu Paklah telah mengirim beberapa dozen surat sokongan untuk mereka. Kenapa? Kenapa pula dia menulis surat sokongan untuk syarikat-terbang-malam yang dimiliki ataupun dikuasai oleh pemimpin UMNO? Kalau benarlah surat sokongan diperlukan, kenapa tidak dikeluarkan oleh pegawai kementerian berkenaan ataupun oleh menteri yang bertanggungjawab; yakni Rafidah Aziz? Kenapa pula surat itu mesti ditulis oleh seorang Perdana Menteri? Di negara ini tidak ada bisnes yang boleh dibuat secara percuma. Saya kenal beberapa orang peniaga yang tahu berapa nilainya perniagaan seperti ini. Kita faham surat semacam ini tidak akan dikeluarkan kalau tidak ada fulus yang bertukar tangan. Mungkin juga Paklah tidak sedar betapa sistem sogokan semacam ini memang wujud. Tetapi itulah caranya yang diamalkan.

Inilah amalan di serata dunia ini. Tidak kira di dunia ketiga, di dunia pertama, kedua ataupun keempat. Semua mengamalkannya. Haliburton bukannya sebuah syarikat daripada dunia ketiga. Cuma caranya yang berubah-ubah. Kenapa begitu ramai peniaga Malaysia yang mengekor Perdana Menteri semasa lawatan keluar negara? Tujuan mereka ialah untuk rapat dengannya, untuk mencari peluang dan membuat hubungan dengan orang luar yang rapat dengannya. Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Kepala Taik Mahathir pernah mengetuai satu rombongan pedagang kita membuat lawatan rasmi ke United Kingdom, termasuk menghadiri satu persidangan pelaburan. Beliau telah berucap di persidangan itu dan pulang ke London. Para peniaga yang mengekornya telah menunjukkan kesungguhan mereka berniaga untuk beberapa jam selepas itu, tetapi dengan senyap-senyap telah menaiki kereta api lari ke London, untuk berada dekat TKT dan meninjau peluang lagi.

Di Malaysia sekarang ini, isu hangat yang berada di bibir rakyat ialah kata-kata Paklah tentang rasuah. Inilah yang sibuk dibincangkan semasa persidangan UMNO yang baru berlalu. Tetapi tidak ada yang dibuat mengenainya. Ini juga amalan di dalam dunia perniagaan. Tidak ada tindakan membanterasnya. Ini juga amalan dalam perkhidmatan awam, dan tidak ada apa-apa yang dilakukan untuk membanterasnya. Ini juga yang diamalkan oleh badan kehakiman negara dan juga dalam kabinet dan tidak ada apa-apa yang dilakukan untuk membanterasnya. Demikian juga yang menjadi kehidupan di merata negara, dan tidak ada tindakan menumpaskannya. Apabila perkara semacam ini semakin memalukan, bermula daripada Perdana Menteri hinggalah ke akar umbi, barulah semua orang terkejut. Bagaimana perkara ini boleh berlaku di Malaysia? Orang mungkin faham kalau ia terjadi di negara Ougadougou tetapi tidak di sini. Perbuatan keji ini menjadi amalan apabila ia diamalkan oleh orang politik Barisan Nasional dan tokoh perniagaan. Badan Pencegah Rasuah tidak boleh bertindak kalau tidak ada kelulusan Jabatan Perdana Menteri. Kalau ada orang atasan yang ditangkap, perbicaraan kesnya akan bertukar menjadi satu lakonan sahaja. Tahun lalu, seorang menteri kabinet telah ditangkap dan didakwa kerana rasuah tetapi kisah ini tidak pun menakutkan sesiapa di kalangan rakannya. Apa yang telah dilakukannya dan apa yang dilakukan oleh Paklah adalah sama sahaja. Seorang sudah dikenakan dakwaan dan seorang lagi menafikannya sebagai bukti dia tidak berdosa.

Bukan setakat itu sahaja. Peranan Paklah dalam kisah skandal senjata nuklear membabitkan syarikat milik anak beliau tidaklah seperti yang diketahui umum. Cuba fikirkan bagaimana nama beliau sekarang ini boleh terlibat dengan satu syarikat sahaja dan bukan dengan syarikat lain, tentu boleh menjadi satu teka-teki. Yang lebih penting, dia didakwa menerima baucer minyak Iraq itu semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri. Penafian beliau di Hanoi, memberikan gambaran yang dia mungkin tidak bersalah, tetapi tidak mungkin orang lain. Petronas, Jawala Corporation dan pihak lain yang disebut-sebut, sudah diam menikus, mengharapkan kebisuan mereka adalah laksana kencana. Ini adalah tidak benar. Seperti yang diperjelas dalam perbicaraan Anwar dulu, korupsi adalah salah guna kuasa dan pangkat. Segala penafian Paklah menunjukkan bahawa beliau sama-sama bersalah semacam Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga. Kenapa begini jadinya? Kerana mereka yang berkuasa telah menggunakan kuasa itu untuk menghancurkan sesiapa sahaja yang mengancam dan memilih orang pilihan mereka sahaja. Dengan lain perkataan, apa juga tindakan mereka, walaupun dinafikan oleh Paklah, adalah bukan satu rahsia lagi.

Apabila kuasa digunakan secara ini, ia mampu dan selalunya berputar balik untuk mengena orang yang menyalahgunakannya. Inilah yang terjadi sekarang dan inilah dia dilema yang menghantui Paklah.

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com - 15.10.2004
Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: