TAG 1704:
Rasuah UMNO: Kalau Berumah Di Tepi Pantai
Kenapa Takut Dilambung Ombak?
(Corruption in UMNO: Those who live by the sword dies by the sword)  Oleh MGG Pillai - 20.08.2004
{Artikel asal ada di Malaysia Today: www.malaysia-today.net}

Pemilihan pucuk kepimpinan UMNO merupakan musim para perwakilan menerima durian runtuh. Persidangan tahun ini akan diadakan bulan depan, tentunya amalan demikian tidak akan berbeza. Lagi kerap para pemimpin melalak mengenai rasuah dan perlunya membasmi rasuah, lebih galak amalan rasuah itu dipraktikkan. Yang berbeza ialah cara ia disungkup dalam pelbagai bentuk sogokannya. Pada tahun-tahun yang lalu, amalan itu dapat juga dikawal oleh UMNO. Tetapi pada tahun ini, UMNO tidak lagi mampu menyekatnya. Betapa pun pemangku Presiden UMNO, Abdullah Ahmad Badawi berlagak secara prinsipnya menentang rasuah, segala tindak-tanduk beliau adalah jauh menyimpang daripada kata-katanya. Tidak siapa yang percaya bahawa dia serius dengan apa yang dicakapkannya.

Lagipun, korupsi bukan tertumpu kepada wang ringgit sahaja; ia juga melibatkan salah guna kuasa dan pengaruh pangkat seperti yang diputuskan oleh mahkamah dalam episod Anwar Ibrahim dan Paklah yang pernah bertungkus lumus menegah sesiapa mencabar beliau bagi jawatan Presiden UMNO telah menggunakan kuasa demikian untuk menentukannya, adalah sama bersalah seperti golongan yang mengeluarkan wang. Paklah mungkin tidak nampak perkara itu sedemikian, tetapi demikianlah yang ditafsirkan oleh setiap insan yang mengetahui perbuatannya.

Bukannya mudah membasmi rasuah daripada sesuatu masyarakat, sehingga terungkai daripada akar-umbinya. Namun, tindakan mencegah dan mengenakan denda yang berat dapat juga membanterasnya sedikit sebanyak. Apabila langkah ini dianyam dengan mendidik orang ramai akan kesalahan kerja-kerja itu, sudah tentu ia difahami oleh semua pihak, menjadikan masyarakat itu terdidik mengenainya. Inilah yang tidak dilakukan di Malaysia.

Korupsi merupakan hanya satu-satunya cara untuk mendapatkan kerja, dilantik kepada sesuatu jawatan, ataupun mendapatkan sesuatu kontrak. Ia menjadi lebih rumit apabila undang-undang anti-korupsi digubal begitu ketat sehingga seseorang yang melanggar undang-undang itu tidak pula dapat didakwa oleh Badan Pencegah Rasuah. Kuasa mendakwa terletak pada keputusan politik membabitkan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara. Adalah sesuatu yang menghairankan kalau seseorang itu berjaya mendapat apa yang diingininya tanpa terlibat dengan korupsi.

Korupsi sudah menjadi semakin dahsyat kini. UMNO membiakkan korupsi, para pemimpinnya berpaling ke tempat lain setiap kali perkara itu dibangkitkan, sambil mahukan bukti. Sedangkan cara korupsi itu diamalkan sebegitu berahsia dan memalitkan semua pihak memang menyukarkan kerja-kerja mengemukakan bukti. Kejijikan rasuah mula melimpah ruah dalam UMNO dan seterusnya menular kepada semua rakan sekutunya dalam gagasan parti yang memerintah sejurus berlakunya rampasan kuasa selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang menjamin bahawa kerajaan terus dikuasai oleh UMNO.

Rakan-rakan bukan-Melayu dalam Barisan Nasional yang diwujudkan pada 1973 telah kehilangan suara dalam perdebatan politik berat sebelah di mana hanya pandangan UMNO sahaja yang diambil kira. Lantas, berputiklah budaya rasuah di mana UMNO mesti disogok dalam setiap kontrak ataupun usahasama perniagaan yang melibatkannya.

Satu jawatan, tidak kiralah apa pangkatnya dalam UMNO, menjadi satu keperluan. Para perwakilan disogok dengan jumlah duit yang semakin meningkat nilainya. Tidak lama lagi, rakan-rakan sekutu BN akan mengikut gelagat demikian, untuk mendapatkan jawatan kerajaan dan kontrak yang ditentukan oleh hubungan pengaruh politik. Peraturan dan undang-undang diubah-ubah untuk menyingkirkan sesiapa yang berani mencabar status quo ini. UMNO yang memulakannya, yang lain ikut sahaja. Keangkuhan pemimpin yang autokratik dan perbuatan mengampu yang dicetuskannya telah diamalkan melalui korupsi. Ahli-ahli politik BN amat arif dengan harga setiap sesuatu tanpa menyedari akan nilai-nilainya. Mereka semua sudah menjadi satu kelompok yang menganggotai kandang yang sama.

Ada seorang Perdana Menteri yang menyimpan satu fail mengenai amalan korupsi setiap insan di bawah pentadbirannya, sambil mengugut mahu menggunakan maklumat itu setiap kali seseorang menunjukkan riak-riak mahu bergerak bebas darinya. Memang bukannya sukar berbuat begitu. Apabila seseorang suka bermain taik, sudah tentu ada yang terpalit pada dirinya. Apabila orang itu mahu melepaskan dirinya untuk bebas, sudah tentu dia tidak mudah melakukannya. Kesannya telah melahirkan satu sikap angkuh dan ketaksuban yang melibas UMNO dan para pemimpinnya. Inilah yang menguasai sistem politik, menjadikan Pembangkang bercelaru, Parlimen dianggap sebagai satu penghalang dan sengaja diperlekeh kecuali kalau kerajaan BN mahu menyerlahkan sesuatu isu.

Paklah terjebak di tengah-tengah semua kemelut ini. Di sebalik itu para perwakilan menuntut dibayar kerana mengundi mereka. Inilah masanya mereka membuat duit dan menganggap bahawa tidak siapa harus mencegah mereka. Mereka menganggap bahawa inilah versi Malaysia akan unsur sama-sama menang - para perwakilan menerima duit mereka, dan para calon mempunyai peluang baik untuk menang pertarungan mereka.

Menjelang pemilihan kepimpinan UMNO, bulan depan, UMNO telah menentukan apa yang boleh dilakukan oleh setiap calon. Sebagai contoh, para calon tidak dibenarkan berkempen, mengeluarkan poster ataupun kad peribadi, dan dibolehkan memperkenalkan diri kepada para perwakilan yang akan mengundi mereka nanti. Seorang calon Majlis Tertinggi dan berpangkat Timbalan Menteri, Dato Mahazir Khir, telah berucap di satu mesyuarat bahagian UMNO, sedangkan ada peraturan yang melarangnya. Beliau telah diberikan amaran. Dua orang lain telah digantung keahliannya kerana melanggar peraturan parti. Akhbar-akhbar telah menyiarkan rungutannya sambil mengizinkan ruang kenapa tindakan ke atasnya dianggap salah.

Setakat ini lapan orang calon UMNO - untuk jawatan Naib Presiden dan Majlis Tertinggi - telah menawarkan antara RM500 hingga RM150 kepada seseorang ahli perwakilan. Yang mengetuai carta ini ialah Aztaman Aziz, anak kepada bekas Ketua Wanita UMNO dan menteri kabinet, Tan Sri Aishah Ghani, yang telah membuat syarat dia dan rakan kongsinya daripada Jepun, Sumitomo, diberikan projek jana kuasa Jimah di Negri Sembilan. Sepatutnya perjanjian telah dimeterai pada bulan sudah, tetapi Paklah telah memberi arahan agar dikaji semula semua kontrak yang dirundingkan secara terus, termasuklah yang ini.

UMNO Sabah telah melalak apabila mengadu perihal Setiausaha Parlimen kepada Kementerian Kewangan, Husni Hanadzlah menawarkan RM150 kepada setiap ahli perwakilan Sabah dalam usaha mahu menganggotai Majlis Tertinggi. Ketua Menteri Melaka Ali Rastam, telah menawarkan RM250 kepada setiap perwakilan daripada Kelantan. Adalah menarik untuk kita melihat gelagat menteri kabinet, Jamaluddin Jarjis menyerahkan RM1,000 kepada setiap perwakilan seperti yang ditawarkannya dalam pertandingan UMNO yang lalu.

Daripada senarai para calon yang bertanding, hanya dua orang yang mampu berdiri dengan kewibawaan dan merit sendiri tanpa perlu menyogok wang. Mereka ialah bekas menteri kabinet, Sahrir Samad dan menteri tanpa potfolio, Mustapa Mohamed. Shahrir Samad terus teguh dengan pendiriannya. Mustapa Mohamed akan mendapat iklan percuma apabila beliau akan membentangkan bajet tambahan sebanyak RM10 bilion di Parlimen. Pembentangan itu tidak akan dibuat oleh Menteri Kewangan, Paklah, ataupun Menteri Kewangan Kedua Nor Mohamed Yaacop. Ini akan memberikan Mustapa satu pendedahan yang sungguh luar biasa. Akan tetapi ini juga akan mencetuskan persoalan kenapa beliau yang diberikan tugas itu dan bukannya dua orang Menteri Kewangan yang patut melakukannya.

Paklah mahu melihat Mustapa naik menjadi seorang Naib Presiden supaya beliau boleh dilantik menjadi Menteri Kewangan pertama. Pelantikan ini dilihat oleh tukang karut UMNO sebagai satu tanggungjawab besar kepada Mustapa dan penonjolan mengagumkan setiap penonton yang menyaksikan siaran langsung pembentangan bajet itu. Dengan demikian Mustapa mengharapkan rasa tidak senang dan selesa dengan kawasan pilihan raya beliau, akan dilupakan oleh para perwakilan. Namun, soalan yang tidak terjawab ialah kenapa beliau yang mesti membentangkan bajet itu dan bukannya Paklah mahupun Nor Mohamed?

Sudah ada desas-desus bertiup kencang di kalangan orang dalam UMNO bagaimana usaha menjamin kemenangan Mustapa menonjol sebagai seorang calon bagi tiga jawatan Naib Presiden itu, tiga orang calon lain - Mohamed Taib, bekas Menteri Besar Selangor dan penyandang jawatan sekarang; Ketua Menteri Melaka, Ali Rastam; dan Menteri Wilayah Persekutuan, Isa Abdul Samad berkemungkinan dikira tidak layak bertanding atas tuduhan korupsi. Paklah masih lagi merupakan si dalang yang mahu menentukan siapa yang harus dipilih oleh para perwakilan menjadi Naib Presiden dan anggota Majlis Tertinggi.

Ada satu teori yang mengatakan seandainya Paklah tercapai niatnya, beberapa menteri kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak terpaksa bertarung untuk menyelamatkan kerjaya politik mereka. Nampaknya Paklah mahu mengekalkan tradisi UMNO Hadhari di mana Presiden UMNO menggulingkan Timbalannya seperti yang dilakukan oleh Tun Kepala Taik Mahathir terhadap semua Timbalannya. Sesungguhnya Paklah tidak akan mampu berbuat begitu.

UMNO sudah hilang arah kini. Paklah sudah kebingungan dan korupsi adalah bukti betapa serba-serbi memang bercelaru. Tetapi Paklah terpaksa juga bermuka-muka. Ini bererti beliau terpaksa berlakon seolah-olah tegas terhadap mereka yang dianggap bersalah. Tetapi, inilah yang tidak mampu dibuatnya malahan tidak boleh melakukannya. Itu sebabnya tidak ada sesiapa yang begitu risau kalau ditangkap ataupun didenda kerana membeli undi. Dengan demikian, tidak kiralah apa yang akan terjadi pada Persidangan UMNO bulan depan, tidak ada perkara baru yang akan menjelma. Korupsi akan terus hidup subur di kalangan UMNO seperti sedia kala.

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com
22.08.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)


Hantar artikel ini kpd sahabat: