TAG 1702:
Banduan Istana Keadilan
(The prisoner of the Palace of Justice)  Oleh Martin Jalleh - 18.08.2004

Ketua Hakim Negara (KHN) Ahmad Fairuz Abdul Halim sedang bersemayam di satu menara gading bernama Palace of Justice (Istana Keadilan) di Putrajaya. Hari demi hari beliau terus berkhayal jauh daripada hakikat hidup gara-gara kemewahan yang dinikmatinya.

Beliau kerap memutarbelit dongeng panjang bagaimana keadilan diamalkan secara bebasnya dalam Kerajaan Darulboleh. Beliau sudah menjadi begitu pintar untuk menggaulkan fantasi dengan fiksyen menjadi satu cerita yang dikatakannya benar.

Ketua Hakim itu telah melancarkan satu laporan awal -- laksana satu kad laporan (report card) mengandungi apa yang semua orang sudah lama tahu – mengenai struktur  badan kehakiman, carta organisasi pentadbirannya, perangkaan dan visi beliau terhadap badan kehakiman.

Masyarakat perundangan tempatan dan juga kumpulan keadilan antarabangsa tidak berapa selesa dengan kerenah badan kehakiman negara ini, menyebabkan beliau bertindak balas dengan mengeluarkan satu dokumen yang semacam menilai prestasi sendiri. Sesungguhnya laporan itu adalah satu lakonan laksana masuk bakul angkat sendiri.

Tujuan diterbitkan segala maklumat itu, jelas beliau, adalah “untuk menolak segelintir pengkritik yang mengatakan bahawa keyakinan terhadap badan kehakiman negara sudah terhakis begitu teruk sekali”.

“Sebenarnya keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman sudah semakin meningkat seperti yang digambarkan oleh statistik,” kata beliau - sambil mendedahkan beberapa perangkaan yang tidak menyelerakan.

Sejak mengambil alih kira-kira 17 bulan dulu masih terdapat banyak kes jenayah yang tertunda sehingga menyebabkan hampir 12,000 orang masih ditahan reman, di mana 914 antara mereka itu sudah disumbat dalam penjara lebih dua tahun lamanya.

Pengkritik goyang kaki

Siapakah gerangannya para pengkritik kerusi ampuh yang telah merunsingkan Ahmad Fairuz dan berani pula mengeluarkan gambaran tentang persepsi rakyat terhadap badan penghakiman yang bercanggah dengan pendirian Yang Amat Arif di Istana Keadilan itu?

Apakah orang yang dimaksudkan oleh Ketua Hakim Negara itu, Paduka Seri Sultan Perak? Memang tidak susah membayangkan baginda Sultan yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara sebagai seorang insan yang sengaja duduk diam sambil mengeluarkan kritikan yang berat sebelah terhadap badan kehakiman itu.

Berbeza dengan laporan kemajuan Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan Shah pernah memberikan amarannya pada Jun tahun ini, bahawa keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman yang terhakis itu akhirnya nanti akan mencetuskan suasana tidak stabil dalam negara ini dan segala kerja membetulkan keadaan akan menjadi sukar dan meleret-leret.

Di samping itu, persepsi rakyat terhadap badan kehakiman, serta pandangan masyarakat perundangan antarabangsa turut menjadi pengaruh dalam menentukan martabat badan kehakiman sesuatu negara.

Buat masa ini, “tidak ada satu negara pun yang boleh hidup sendirian dan terus terpencil daripada dipantau oleh pihak yang berminat, kumpulan pelobi dan media antarabangsa,” mengikut pendapat baginda seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Ataupun apakah Ketua Hakim Negara itu menyindir ahli parlimen Zaid Ibrahim sebagai pengkritik berkerusi ampuh? Dalam ucaptama beliau sebagai ahli parlimen yang baru pada bulan Mei tahun ini, Zaid telah meminta agar Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk mengembalikan kuasa badan kehakiman itu.

“Kalau kita percaya kepada kedaulatan perundangan, kita seharusnya meminda Perlembagaan Persekutuan supaya dikekalkan kembali kuasa badan kehakiman negara.”

Demikian pendapat beliau semasa membahaskan Titah Ucapan DiRaja di Dewan Parlimen.

Sebagai seorang peguam yang berpengalaman dan Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Zaid berpendapat bahawa peranan mahkamah sudah jatuh terperosok ekoran krisis perundangan 1988 dahulu yang berakhir dengan pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Mohd Salleh Abbas, diikuti oleh pindaan kepada perlembagaan negara yang mengehadkan kuasa badan kehakiman, termasuk hak menilai semula keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

Zaid berkata, bahawa “pindaan yang dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan pada 1988 telah melumpuhkan kuasa mahkamah daripada tugasnya sebagai alat kehakiman menjadi tukang buat keputusan terhadap perkara yang berkaitan dengan undang-undang.”

“Keseluruhan usaha itu”, kata beliau: “telah memberikan kuasa mutlak kepada eksekutif untuk menggunakan kuasanya yang berlebihan.”

Badan Kehakiman Yang Bebas?

Ketua Hakim Negara itu turut menjelaskan bahawa fokus utama laporan beliau mengenai perjalanan Istana Keadilan itu adalah gambaran iltizam para Hakim Mahkamah Persekutuan terhadap keadilan yang menghormati keluhuran undang-undang.”

“Hakikat bahawa ia mampu berdiri sendiri, jauh daripada pengaruh eksekutif dan segala cabang perundangan yang lain, menunjukkan hanya satu rumusan betapa badan kehakiman Malaysia dan para hakimnya adalah bebas dan tidak takut untuk bertugas - bebas daripada sikap berat sebelah ataupun memihak kepada sesiapa semasa membuat penghakiman mengikut perjalanan undang-undang; dan akan terus berkekalan begitu.”

Selain logik yang pelik-pelik ciptaannya, Ketua Hakim Negara ternyata bersendirian dalam usaha menilai persepsi rakyat terhadap kebebasan badan kehakiman negara.

Kenapakah baginda Paduka Seri Sultan Perak bertindak memberikan penekanan terhadap hakikat ‘bahawa kebebasan badan kehakiman adalah faktor penting untuk menentukan keadilan‘ dan ‘untuk menyekat dominasi, serta doktrin (prinsip utama) pengasingan kuasa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan)

Apakah Zaid Ibrahim mengelirukan Parlimen apabila berkata: “Hakikatnya, rakyat jelata menganggap para hakim dan badan kehakiman sebagai anggota kakitangan kerajaan dan bukannya sebagai satu institusi yang bebas. Satu hari nanti kita akan dahagakan keadilan dan perlindungan mahkamah. Pada ketika itu nanti, kita akan inginkan satu mahkamah yang tidak berbelah bagi dengan kuasa mutlak, serta para hakimnya yang penuh wibawa dan tanggungjawab”?

Kenapakah kerajaan tidak pun cuba mengusahakannya sendiri. Menteri Hal Ehwal Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abdul Aziz, telah menjelaskan betapa “konsep pemisahan kuasa antara legislatif, badan kehakiman dan eksekutif adalah sesuatu yang terlalu idealistik untuk dilaksanakan di negara ini.”

Banduan Sebenar

Tuan Besar Istana Keadilan itu tidak pun menyebut kisah penghakiman yang penuh kontroversi membabitkan Banduan Utama Sungai Buluh sejak beberapa tahun yang lalu yang menyerlahkan tompok hitam ke atas kad laporan rakyat terhadap badan kehakiman.

Untuk pertama kalinya rakyat jelata telah melihat bagaimana badan Kehakiman Darulboleh memerlukan persekongkolan tiga orang Hakim Rayuan masa selama sembilan bulan untuk mengeluarkan keputusan pengadilan mereka ke atas permohonan ikat jamin, sedangkan kes semacam itu mampu ditangani oleh seorang majistret dalam masa sembilan minit.

Bagaimana mungkin rakyat dapat disuntik satu keyakinan baru kalau untuk pertama kalinya dalam sejarah penghakiman negara ini para hakim mahkamah rayuan telah diejek dan dicaci kerana enggan bersidang sedangkan itulah yang telah mereka janjikan sebelum itu?

Tentu kita dapat bayangkan betapa Istana Keadilan yang mempunyai kuasa perundangan yang paling besar di negara ini boleh tergamak merelakan diri dipaksa mendengar kes yang paling mudah membabitkan rayuan ikat jamin – dan kemudian tu mengeluarkan satu alasan yang tidak setaraf dengan kemartabatan pengadilan untuk menolak ikat jamin?

Bolehkah orang ramai dipersalahkan kerana menyimpan persepsi negatif terhadap Ketua Hakim yang menggalakkan mereka menulis kepada beliau apabila menjadi semakin jelas yang beliau sengaja berdiam diri walaupun Anwar sudah beberapa kali mengutus surat meminta agar keadilan tidak dilengah-lengahkan? Perkara ini memang amat berbeza dengan apa yang pernah dituturkan oleh seorang hakim yang terkenal satu ketika dahulu: “Di mahkamah ini…… bukan adat resam kita untuk diam membisu”

Ketua Hakim telah menunjukkan sikap yang bertentangan dengan ‘Centre on the Independence of Judges and Lawyers of the International Commission of Jurists’ (Pusat Kebebasan Hakim dan Peguam Antarabangsa) dan diam membisu terhadap gelagat Mahkamah Persekutuan yang secara tiba-tiba menunda pada saat-saat terakhir tugas membaca keputusannya terhadap rayuan Anwar dalam kes sodomi. (Keputusan itu akan diumumkan pada 28 Ogos).

Apabila para peguam Anwar merayu agar keputusan Mahkamah Rayuan itu dipercepatkan, disebabkan penangguhannya selama itu ada kaitannya dengan keadaan kesihatan Anwar yang semakin memburuk – Ahmad Fairuz telah berkata bahawa dia tidak mempunyai hak untuk memberi arahan kepada para hakim cara mereka mesti menangani rayuan tersebut (MalaysiaKini).

Sepatutnya keputusan itu telah diumumkan pada 22 Julai. Atas beberapa sebab yang hanya diketahui oleh tiga orang hakim itu, (dan mungkin juga Ketua Hakim) ia telah ditunda di saat terakhir. Oleh kerana keputusan sudah pun dibuat, bagaimana mungkin Ketua Hakim masuk campur dengan meminta mereka mengumumkan perkara itu secepat mungkin? Para peguam Anwar telah disogokkan dengan kelentungan perundangan oleh Ketua Hakim di kamarnya sendiri.

Kelecehan Mahkamah Rayuan dan juga Mahkamah Persekutuan, sesungguhnya merupakan satu kesalahan terhadap peraturan yang mensyaratkan agar setiap penghakiman diumumkan selewat-lewatnya enam minggu selepas kes itu ditamatkan. Tindakan KHN menunjukkan beliau telah menyibuk dengan satu proses yang bertujuan melicinkan sistem perundangan negara.

Keadilan dan kebenaran memiliki cara pelik dan yang tidak dijangkakan untuk menyerlah sendiri dan menonjol ke hadapan. Memang ada ketikanya sepanjang perbicaraan Anwar dahulu dan kes mahkamah yang menyusulnya selepas itu di mana perwatakan banduan Penjara Sungai Buluh itu menonjolkan ketokohannya seolah-olah beliau adalah hakim perbicaraan dan para hakim sebenar adalah orang-orang yang sedang dibicarakan.

Sudah tentu tiga orang hakim Mahkamah Rayuan akan terus mengingati insan ini, yang sedang menanggung kesakitan penyakit tulang belakangnya, tetapi mampu memperlekehkan mereka sebagai hakim haprak yang tidak ada tulang belakang kerana mengeluarkan penghakiman yang telah diolah terlebih dahulu skripnya untuk mereka.

Apa juga keputusan Mahkamah Persekutuan pada 28 Ogos nanti, Anwar Ibrahim telah berjaya mendedahkan segala keburukan yang wujud dalam sistem badan kehakiman negara.

Sebagai contoh, permohonan ikat jamin Anwar mendedahkan bahawa keadilan yang tertangguh bererti keadilan yang dinafikan. Namun, keadilan dalam Darulboleh tidak boleh dinafikan hak untuk melengah-lengahkan keputusan. Mereka yang berani melengahkan keputusan itu memang amat menonjol sekali.

Sepanjang kes perbicaraan Anwar, rakyat jelata berjaya menyaksikan bagaimana badan kehakiman - yang merupakan sumber keadilan (yang sepatutnya) sanggup menghalalkan cara proses perundangan yang telah dimanipulasikan oleh politik, sedangkan proses itu memang sungguh tidak adil dan amat bersalahan.

Saban kali Anwar telah mendedahkan betapa mahkamah yang membicarakan beliau telah merelakan unsur-unsur intimidasi (campur tangan) di mana kebebasan mahkamah tercemar dan martabatnya terhakis sehingga amat mengaibkannya.

Rakyat jelata juga dapat melihat pada tahun lalu di mana keadilan telah dicemari oleh campur tangan politik di mana para hakim yang akur kepada manipulasi itu semua telah dinaikkan pangkat - walaupun mereka sebenarnya dianggap jijik di mata rakyat.

‘Report Card’ yang dibuat oleh Ketua Hakim Negara tidak pula menyebut bagaimana mahkamah Malaysia telah berdolak-dalik dalam beberapa isu berkaitan dengan perundangan sivil dan syariah serta implikasi sosial terhadap sanak saudara serta kaum keluarga yang terbabit dan tertindas begitu lama (MalaysiaKini)

Dalam seminar terbuka baru-baru ini, peguam berpengalaman Raja Aziz Addruse telah menyatakan betapa kebebasan beragama, penghijrahan agama dan peninggalannya, terutama sekali dalam perbalahan keluarga, masih tidak diselesaikan kerana sikap badan kehakiman Malaysia dan kerenah birokrasinya. Akan tetapi maharaja Istana Keadilan tidak pula ambil peduli dengan hakikat yang berkisar di persekitarannya. Dia tetap terbelenggu dalam dunia khayalan sendiri, sambil melontar ‘kebenaran’. Bahawasanya keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara sudah meningkat  secara berpada.

Sesungguh kepala yang disarung mahkota di Istana keadilan itu ternyata bukannya waras sentiasa.

Martin Jalleh
19.08.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)


Hantar artikel ini kpd sahabat: