TAG 1701:
Apabila Khayalan Dianggap Kenyataan
(When fantasy is reality, and reality fantasy)  Oleh MGG Pillai - 16.08.2004

Akhirnya, ‘Akademi Fantasia’ kedua yang berjalan selama sepuluh minggu berakhir pada hari Sabtu, 14 Ogos. Ia membawa keuntungan besar kepada penajanya. Rakyat Malaysia membayar 50 sen setiap kali mengundi dengan mengirim SMS sedangkan orang Brunei membayar RM2.20 untuk tujuan yang sama.

Lima belas juta SMS daripada Brunei bernilai RM800,000 merupakan tiga kali ganda nilainya daripada kiriman tahun lalu. Astro, sebagai penaja, telah mencipta beberapa cetusan yang kreatif untuk menarik minat rakyat Malaysia menghantar undi mereka.

Pihak media turut terseret dengan keghairahan itu sambil melalaikan rakyat Malaysia akan segala krisis yang menghantui masa depan mereka walaupun kerajaan terus bertegas mengatakan segala-galanya dalam keadaan baik belaka.

Sudah menjadi amalan tipu-helah politik untuk mencetuskan suasana panik ataupun mengkhayalkan rakyat jelata untuk melalaikan mereka daripada menyedari keadaan yang sebenar. Amerika Syarikat amat bergantung harap kepada sahabat lamanya, Osama bin Laden untuk menakut-nakutkan rakyat agar mengundi semula Pentadbiran haprak agar dapat terus mencengkam kuasa.

Begitu jua dengan unsur gila-gila dalam arena sukan di mana adanya perlawanan sengit yang berakhir dengan sambutan kemenangan yang dibesar-besarkan. Program TV sepanjang masa menggalakkan khayalan yang menjurus kepada alam fantasi ini. Semua itu bertujuan agar mampu melupakan keadaan yang sebenarnya.

Akademi Fantasia ialah cara kerajaan Malaysia melencongkan perhatian rakyat daripada pentadbirannya yang kelam-kabut. Memang tidak sukar membuat kerja-kerja melalaikan perhatian mereka. Kerajaan Barisan Nasional (BN) sedang bercelaru kerana kegagalannya mengekalkan pengaruh terhadap orang Melayu dan sehingga kini masih tidak tahu bagaimana membetulkan keadaan itu.

Kerana itu pertunjukan seperti Akademi Fantasia, “Malaysian Idol,” ‘Audition” dan ‘Sure Heboh’ sengaja digarap untuk melencongkan perhatian rakyat dengan tujuan melalaikan mereka.

Walaupun golongan alim ulama sudah pun menyatakan bantahan kepada konsert semacam itu, mereka telah diberitahu agar tidak mengada-ngada.

Konsert itu dianggap oleh ahli politik kerajaan sebagai bukti betapa mereka prihatin dengan keresahan mereka. Sebetulnya, selama beberapa tahun dulu lagi perkara semacam itu dianggap sebagai satu lakonan semata-mata.

Apabila bisnes dan politik dicampur-aduk, agama terpaksa ditinggalkan di belakang. Lebih-lebih lagi kalau kenyataan masalah yang akan dihadapi itu sengaja dilencongkan kepada keresahan teka-teki siapa yang akan menjuarai Akademi Fantasia.

Masalah seperti ini tidak pun di bincangkan dalam sebarang forum ataupun media, yang melihatnya sebagai satu unsur kreatif untuk menarik minat pembaca Yang dipentingkan ialah usaha melencongkan perhatian, walaupun usaha semacam itu akan menggalakkan hiburan yang berlebihan, hedonisme dan ketaksuban.

Kesan sampingan sengaja tidak diambil peduli untuk membolehkan orang berniaga membuat keuntungan dan ahli-ahli politik merasa selesa dan mencapai ketenangan sedangkan kedua-duanya terus menggelongsor memasuki gerbang kemusnahan.

Akan tetapi, pada tahun ini muncul satu perkara yang betul-betul benar daripada program Akademi Fantasia. Secara tiba-tiba semangat nasionalisme Sabah bangkit, sehingga mampu menyatukan rakyatnya untuk menonjolkan seorang juara daripada negeri itu. Usaha itu begitu berjaya sehingga dua orang peserta Sabah berjaya memasuki pusingan terakhir’. Salah seorang calon telah tersingkir sebelum itu tetapi terpaksa dimasukkan semula disebabkan melambaknya SMS yang diterima.

Apabila fenomena ini diketahui oleh Kuala Lumpur, kabinet Malaysia masuk campur dan merencana satu agenda sendiri untuk menentukan warga Semenanjung akan menang pertandingan itu. Menteri-menteri UMNO telah menumpukan perhatian kepada seorang calon dan mengusahakan agar semua undi tertumpu kepada beliau. Inilah yang memenangkannya.

Menteri-menteri Sabah naik angin kerana menganggapnya satu penipuan, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Lagipun mereka yang memulakannya. Mereka berpendapat sepatutnya mereka menumpukan perhatian kepada seorang calon sahaja. Akan tetapi, apakah gunanya semua itu? Bukannya tercapai sesuatu yang bermakna selain menentukan betapa politik terus bernafas dan bernyawa. Pihak yang berminat masih mampu menggunakan unsur-unsur hiburan sebagai alat untuk memanjangkan pengaruh politik mereka.

Memang ada pengajaran yang boleh dipelajari daripada kisah ini. Ungkapan ‘Akademi Fantasia’ dan perkataan ‘infotainment’ telah menaikkan kemarahan golongan pencinta bahasa sehingga ia mencetuskan satu suasana yang ribut-ribut. Akan tetapi suasana itu pun memperkukuhkan betapa tidak relevannya semua itu. Inilah yang membuang masa yang berharga banyak pihak sehinggakan ia menjejaskan martabat pihak berkuasa dan kerajaan.

Siapa yang menang pertandingan itu? Ahmad Zahid Baharuddin ataupun Zahid daripada Semenanjung; dan dua orang naib juara daripada Sabah: Norlinda Nanuwil ataupun Linda; dan Mohamed Aizam Mat Saman ataupun Adam. Mereka telah menerima hadiah dan mendapat liputan meluas untuk selama 15 minit, di mana pihak media telah memberikan sanjungan dan pujian. Mereka telah disanjung sebagai ‘role model’ kerana bakat yang boleh dicontohi konon; walaupun tidak ada latar belakang mereka yang sebenarnya melayakkan mereka dipuji sebegitu.

Sambil itu, dunia fantasi diteruskan juga. Para pemenang diberikan layanan bak “raja sehari”, dan apa yang tersembul dari mulut mereka diberikan liputan yang besar seperti kenyataan para menteri kabinet yang tidak pernah relevan. Sesiapa sahaja yang mempunyai peluang telah turut menyibukkan dirinya.

Menteri Penerangan, Abdul Kadir Sikh Fadhir, telah menyambar peluang semasa memberikan hadiah, kerana dia tidak lupa untuk memancing undi orang UMNO Sabah semasa persidangan UMNO bulan depan. Beliau telah menawarkan satu peranan kepada Linda untuk berlakon dalam 20 episod yang belum ditentukan apa pula namanya. Menteri belia dan sukan Sabah, Masidi Manjun, telah berbangga menyebut bahawa Linda adalah gadis mithali, dan sekali gus beliau mendedahkan betapa dia tidak tahu apakah makna sebenarnya apa yang disebutnya.

Inilah hiburan spontan selagi ia dapat bertahan, dan akan lenyap begitu dalam satu hari apabila berakhir segala-galanya. Demikian yang terjadi kepada minat pihak media Malaysia di sebalik segala kesibukan yang ditunjukkannya. Sedangkan kerajaan Sabah telah membatalkan segala acara malam untuk membolehkan rakyatnya menumpukan perhatian kepada pertunjukan itu dan mengirim undi menyokong calon kesayangan mereka. Fenomena ini seharunya mencetuskan kerisauan di kalangan ahli politik dan peniaga di mana juga, kerana hiburan yang tidak bermakna seperti ini boleh digembleng untuk mendorong minat orang ramai berpadu tenaga.

Perkara semacam ini boleh diwajarkan kerana itu adalah pilihan rakyat. Akan tetapi bukankah pelik apabila pilihan rakyat yang betul-betul bermakna dinafikan secara sengaja dan bukan pula kalau perkara itu tidak bermakna Inilah yang menjadi reaksi spontan untuk menaikkan sikap bengis rakyat yang naik muak kerana dipinggirkan.

Kita sudah pun melihat fenomena ini dalam dua suasana yang sungguh menarik: Pertama ialah kisah pilihan raya umum di India dan kedua ialah kisah referundum rakyat Venezuela. Di India dulu, pengundi marhaen, telah naik marah dengan sikap hidung tinggi kerajaan pimpinan BJP. Mereka telah bertindak dan bermuafakat untuk menjatuhkan kerajaan BJP dengan tidak mengundinya sekali lagi. Dalam kisah referundum rakyat Venezuela, mereka telah bertindak dan bermuafakat untuk melawan usaha yang ditaja oleh Amerika untuk menggulingkan presiden pilihan rakyat marhaen: Mr. Hugo Chavez.

Ketaksuban terhadap fantasia hanya melengahkan sesuatu kejadian yang tidak boleh dielakkan. Susulannya adalah warna-warna agenda politik yang diwajarkan oleh kata laluan (shibboleth) masa kini: seperti Osama bin Laden, sokongan yang semakin menurun, ancaman pengganas, pengurusan kewangan ataupun fiskal. Keangkuhan bahawa rakyat boleh diketepikan sebaik sahaja kerajaan sudah terbentuk tidak mampu dihakis oleh Akademi Fantasia ataupun apa juga bentuk hiburan yang lain. Masanya akan tiba apabila emosi yang begitu lama terperam akan meledak secara terbuka untuk membantah dalam peti undi ataupun di jalan raya.

Kerajaan Barisan Nasional kini sedang dihantui krisis yang tidak dapat diselesaikannya kecuali rakyat marhaen sanggup membantunya. Tetapi, BN sudah begitu angkuh untuk meminta-minta. Rakyat pula bukan mudah untuk menghulurkan bantuan, kerana jeran setelah ditolak begitu sahaja semasa keadaan begitu ceria. Apabila krisis semakin menjerutnya kerajaan BN terpaksa bermuka selamba. Untuk berbuat demikian ia mesti melencongkan perhatian. Kerajaan telah menggalakkan program fantasi ini seolah-olah ia adalah satu kebenaran berasaskan alam-nyata. Kerajaan menyandarkan harapan agar rakyat akan termakan umpan yang amat diharapkannya. Akan tetapi, hakikat sebenar adalah amat berbeza dan tidak ada sesiapa yang sanggup menyebutnya.

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com
19.08.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)


Hantar artikel ini kpd sahabat: