TAG 1700:
Islam Hadhari Ataupun Islam UMNO?
(Is it Islam Hadari or UMNO Islam?)  Oleh MGG Pillai - 16.08.2004

UMNO sedang tercungap-cungap dengan nafas politiknya. Apa yang selama ini merupakan perjuangannya sudah pun terlepas daripada genggaman, gara-gara ia dianggap tidak relevan lagi oleh orang Melayu yang merupakan penyokong kuatnya satu ketika dahulu. Orang Melayu sudah mual diberitahu apa yang paling baik untuk diri mereka. Satu ketika dahulu UMNO merupakan satu parti politik orang Melayu yang tidak ada tolok bandingnya. Kini ia terpaksa berhempas pulas melakar agenda politik baru untuk meraih sokongan lama. Masalah UMNO bermula pada 1987, semasa MP Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, hampir-hampir berjaya mengalahkan Presiden UMNO, (kini bergelar Tun Kepala Taik) Mahathir Mohamed.

Inilah yang menyebabkan Mahkamah Tinggi mengharamkan UMNO sebagai satu pergerakan massa pada tahun berikutnya. Tempatnya telah digantikan oleh UMNO Baru dan hari ini bolehlah dikatakan ia telah diganti oleh UMNO Hadhari. Tujuan penubuhan parti baru itu hanya satu sahaja, yakni menyekat Tengku Razaleigh daripada naik mencabar sekali lagi jawatan Presiden UMNO. Perbalahan dalam pencalonan jawatan Presiden UMNO 2004 memang berakar umbi daripada pergolakan 1987 dahulu. Apa yang tidak disebut ialah kisah bagaimana Tengku Razaleigh sudah pun menang ketika itu. Cuma Tengku Leigh tidak tahu dan sedar ketika itu betapa wujudnya beberapa orang konspirator yang mempunyai peranan besar untuk menentukan bahawa beliau kalah juga.

UMNO yang baru ini ketandusan golongan pemikir untuk meneruskan perjuangannya, dan terpaksa bergantung kepada kekuatan para penasihat Presiden. Keadaan begini dapat bertahan selagi TKT Mahathir masih dibantu oleh seorang insan yang beliau amat gemar sebut namanya sebagai insan yang dibawanya menyertai UMNO. Tetapi, kali ini dia amat marah kalau nama itu disebut-sebut lagi. Itulah dia bekas Timbalan Presiden UMNO merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri yang kini terpenjara: Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah namanya. Sejurus Anwar dipecat dan ditangkap pada 1998, segala martabat UMNO Hadhari telah turut tergolek sama tanpa ada sesiapa yang mempunyai kekuatan intelektual yang mampu menghidupkannya. Inilah kesan melanggar tradisi feudal dan budaya Melayu, kerana apa juga yang diusahakan sejak itu tidak menjadi juga.

Keadaan menjadi semakin teruk sekarang ini. Tidak ada lagi sesiapa dalam UMNO yang mampu memperbaiki keadaan ini. Masyarakat Melayu sudah keluar UMNO untuk memasuki PAS secara berbondong-bondong. PAS memang menggalakkan proses ini kerana mempunyai niat besar untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Akan tetapi PAS juga turut terjebak dalam keraguan politik sendiri, seperti yang dilaluinya beberapa tahun dulu lagi. Ramai cerdik pandai Melayu yang satu ketika dahulu berjinak-jinak dengan UMNO masih tidak selesa menganggotai PAS secara mutlak, kerana takut akan agenda politiknya yang (dikatakan) berunsur fundamental. Kerana itu PAS semakin dilihat sebagai sebuah pergerakan massa seperti UMNO satu ketika dahulu.

PAS memang perkasa di kawasan yang didominasi oleh orang Melayu. Kekuatannya terletak kepada negeri yang ramai dihuni Melayu yakni Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Dalam PAS masih wujud idealisme yang pernah menjadi lambang perjuangan UMNO. Inilah yang menjadi mesej politik yang kuat betapa UMNO tidak mudah mencabarnya apalagi di negeri-negeri yang didominasi oleh orang Melayu. Seandainya UMNO mahu menumpaskan PAS, ia perlu kembali kepada perjuangan lama ataupun mencabar PAS di medan pertahanannya. Para pemimpin UMNO terpaksa mengaibkan diri untuk kembali kepada perjuangan yang pertama tadi dan bertindak untuk mengambil langkah yang kedua.

Pada mulanya UMNO mengambil sikap mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Inilah yang tidak mahu didebatkannya dalam Parlimen ataupun mendapatkan persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu sedangkan keizinan majlis itu adalah penting dan utama dalam menentukan hal-ehwal agama. Sebaliknya, Mahathir yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, menganggap perkara ini sebagai perkara remeh sahaja dalam usaha beliau menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Tidak pula ada dinyatakan apa bendanya dan bagaimana ia merobah dasar politik Malaysia. Yang penting perkara itu tidak boleh dicabar oleh sesiapa.

Lantas UMNO menonjolkan Islam Hadhari ataupun Islam bertamadun, tanpa mahu mendebatkannya sebagai satu agenda menentang agenda PAS. Kita memang sudah lama faham apa yang mahu dibuat oleh PAS tetapi kita masih lagi samar dengan rencana UMNO dan kerajaan Malaysia dalam hal ini. Gagasan Barisan Nasional yang memang tidak arif akan hal ini menerima sahaja perkara itu kerana itu yang diingini oleh UMNO. Setakat ini kita masih tidak tahu apa maknanya semua ini. Ataupun apakah bezanya daripada Islam yang kita tahu selama ini. Namun demikian, Islam Hadhari disebarkan merata tempat sebagai satu idealisme, tanpa sebarang penjelasan mengenainya. Kita cuma diberitahu bahawa Islam Hadhari adalah alternatif yang lebih baik daripada Islam fundamental tajaan PAS.

Akan tetapi Islam Hadhari telah direka sebagai Islam versi para Orientalis di mana segala kerukunannya dilihat melalui kaca mata orientalis, dan mencabar para pengikut agama itu untuk beberapa kurun yang lalu. Kini, Islam Hadhari menerima kepercayaan orientalis bahawa Islam harus cintakan kedamaian setakat membenarkan Barat menghancurkannya sesuka hati seandainya amalannya itu dianggap melanggar persepsi para orientalis. Seseorang orientalis ialah orang barat yang membuat kajian dan mencadangkan sesuatu ideologi kepada kajiannya sehinggakan ia menjadi satu panduan kepada apa yang ditafsirkan oleh masyarakat persekitarannya.

Apabila teori ini kantul seperti di Iraq dan Afghanistan, ia terumbang-ambing sehingga menakutkan para Orientalis. Osama bin Laden telah dikritik sebagai seorang pelampau Islam, dan tindakan beliau dianggap satu penghinaan terhadap Islam. Apakah seseorang itu dianggap pelampau kalau dia berjuang mendapat ruangnya sendiri? Bukankah ini pelik kalau dibandingkan kisah bagaimana agama Katholik cuba mencengkam pengaruhnya di Ireland Utara? Kenapa pula pelampau Katholik dan bukannya agama Katholik yang disalahkan. Kenapa tidak begitu juga halnya dalam Islam, Hindu, Buddha ataupun apa juga lagi?

Kini, Islam Hadhari di Malaysia ini sedang menghadapi masalah. Apabila TV3 mewujudkan  karnival ‘Sure Heboh’ dengan izin kerajaan, para mufti dan ulama lantikan kerajaan telah membantah. Bantahan mereka itu dianggap sebagai mencampuri urusan agama dengan hal ehwal perniagaan dan keputusan budaya. Sebenarnya TV3 telah memperlekehkan masyarakat alim ulama apabila berdegil mahu meneruskan karnival ‘Sure Heboh’ merata negara. Ini adalah satu amaran kepada penguat kuasa agama bahawa mereka hanya boleh masuk campur dalam perkara semacam ini apabila pendapat mereka benar-benar diingini.

Jika demikian apakah dia Islam Hadhari? Kerajaan diam membisu. Cuma para penyokongnya muncul dengan beberapa penjelasan yang lebih mencelarukan daripada perkara sebenarnya. Islam Hadhari memang wujud sejak Islam bertapak lagi. Ada satu surat yang dikirimkan kepada MalaysiaKini yang menyenaraikan nama-nama orang Islam bermula daripada Nabi Mohamad (s.a.w.) hinggalah kepada nama datuk kepada Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, Ustaz Abdullah Fahim. Para pengikut Nabi dan pengganti beliau ada tersenarai dalam carta itu. Setakat ini ia belum dipertikai lagi. Apabila kerajaan cepat mencabar MalaysiaKini kerana tidak bersetuju dengan isi kandungan terbitannya tentulah kita boleh buat andaian betapa surat itu sebenarnya menjelaskan apa sebenarnya Islam Hadhari.

Jika demikian kenapa pula kerajaan amat liat menjelaskan apa sebenarnya Islam Hadhari? Mungkinkah kerana UMNO sengaja mahu melonjakkan Islam Hadhari sehingga tidak ada sesiapa mencabarnya, dan PAS serta pihak pembangkang tidak boleh menyerang ataupun mempersendakannya? Apakah kerana itu makanya Islam Hadhari tidak dijelaskan dan sengaja dijadikan samar-samar sahaja untuk kegunaan UMNO semata-mata? Di sinilah letaknya kerumitan itu semuanya. Apabila Islam versi Orientalis memacu sebuah parti Islam yang diisytiharkan sendiri oleh UMNO, tanpa memahami dengan mendalam apa sebenarnya perkara itu, bagaimana mungkin ia mencabar agama itu yang diamalkan oleh para pengikutnya mengikut apa yang diwahyukan kepada Nabi mereka? Yang lebih penting lagi, apakah Islam Hadhari itu nama lain kepada Islam UMNO?

Inilah satu peperangan yang tidak mudah dimenangi oleh UMNO. Pada 1970, Shah Iran telah berkonfrontasi dengan kumpulan bawah tanah yang diketuai oleh Ayatollah Khomeini. Kumpulan agama itu terus terhenyak kerana rejim Shah Iran menjadi semakin ganas dan kejam sehinggalah beliau tersingkir sejurus meledaknya revolusi Islam. Kerajaan Shah Iran telah mengisytiharkan berperang dengan kumpulan fundamentalis Islam bukan disebabkan ia percaya dengan ketegasan itu tetapi kerana ia telah diminta berbuat demikian oleh Amerika Syarikat. Pada 1970-an dulu Amerika telah menyokong Shah Iran ketika masyarakat Iran sudah sedia untuk melalui satu perubahan gara-gara diabaikan oleh kerajaan Shah begitu lama. Sebaliknya Paklah menghadapi situasi yang amat berbeza dengan keadaan Shah. Paklah tidak mempunyai satu ketumbukan para pemikir yang mampu mewarnai segala cakapnya dengan pemikiran yang bergeliga. Inilah yang membuatkan kedudukan beliau lebih berbahaya daripada keadaan yang sedang menghantuinya.

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com
16.08.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)


Hantar artikel ini kpd sahabat: