TAG 1611:
Laksana Beruk Diberikan Cincin
(Casting pearls before swine) Oleh MGG Pillai - 20.05.2004

Pada satu ketika dahulu kerajaan Selangor pernah mengagihkan komputer riba kepada Ahli Dewan Undangan Negerinya. Walaupun pemberian itu tidak membawa sebarang makna, siapa pula yang mahu mengambil kira. Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Mohamed (Mike Tyson) Taib mempunyai keyakinan betapa wakil rakyat negerinya mesti mempunyai daya unggul dalam teknologi. Yang pasti ialah memberikan mereka komputer riba agar mudah berhubungan setiap masa dengan kerajaan negeri dan juga penduduk dalam konstituensi mereka. Apa dikira kalau sembilan puluh peratus penghuni konstituensi mereka itu bukannya tahu selok-belok menggunakan komputer. Yang lebih penting, bukannya semua wakil rakyat itu tahu cara menggunakan komputer. Soalnya, bagaimana mungkin negeri yang paling utama dalam negara kita, begitu mundur dengan kecanggihan teknologi ini? Kerana itu satu langkah pembetulan amat diperlukan. Itu sebabnya setiap wakil rakyat BN diberikan satu komputer riba, dan diarahkan menggunakannya. Pihak pembangkang yang segelintir sahaja, tidak pula menerima habuan yang sama walaupun pembelian adalah dengan duit kerajaan negeri. Mereka boleh membeli komputer sendiri kalau mereka ingini. Lagipun, kalau komputer semacam itu diberikan kepada mereka, sudah tentu mereka menggunakannya dengan baik untuk menonjolkan ketokohan mereka dan mungkin menewaskan beberapa orang wakil rakyat BN dalam pilihan raya yang akan datang.

Separuh daripada wakil rakyat BN di negeri itu tidak pun tahu cara menggunakan komputer yang mereka terima. Kalau tahu pun, mereka masih tidak mampu mencari maklumat yang perlu daripada jabatan kerajaan, yang sudah begitu pintar memutar-belitkan maklumat mereka. Ada segelintir yang menggunakan komputer itu mengikut cara mudah yang mereka tahu, sebagai barang-berat himpunan kertas. Hari ini, tidak seorang pun yang sanggup bercerita apa jadinya dengan komputer yang mereka terima. Kerajaan negeri tidak lagi mengagihkan komputer riba kerana ada alasannya. Tan Sri Mohamed Taib pernah ditahan di Australia kerana membawa masuk mata wang asing bernilai RM2.5 juta, tanpa mengisytiharkannya terlebih dahulu, ataupun menjelaskan apa sebabnya. Sebagai peneroka teknologi moden, dia masih tidak percaya dengan konsep hi-tek memindahkan wang secara elektronik melalui bank ataupun draf. Dia terpaksa melepaskan jawatannya. Penggantinya tidak pun ambil peduli akan perkara itu lagi. Terpulanglah kepada Menteri Besar yang ada kini menentukan cara menyediakan format pengurusan kerajaan negeri dan segala keutamaannya. Adalah bukan satu kejutan kalau muncul orang baru yang mengeluarkan ide baru pula, kerana tujuan yang sebenar ialah untuk membiarkan kroninya menikmati komisen yang tinggi sambil menyediakan gajet (peralatan) yang tidak berguna ataupun memulakan satu dasar yang dicerna separuh masak sahaja.

Sifat begini bukan terhad kepada kerajaan negeri sahaja. Kerajaan Persekutuan turut berlagak serupa. Terkini ialah rencana separuh masak yang memaksa anak-anak muda Malaysia menjalani latihan khidmat negara. Memang bagus kalau kita mampu menyediakan satu program latihan khidmat negara. Tetapi, tiga dekad yang lalu, kerajaan yang ini juga menolak ide itu. Yang dimasukkan dalam program tersebut ialah latihan menggunakan senjata. Oleh kerana mereka yang akan diambil berlatih itu mengandungi juga muda-mudi kaum Cina dan India, ada puak tertentu dalam UMNO dan perkhidmatan awam yang menentangnya kerana takutkan kesannya kalau berlaku rusuhan kaum. Memanglah dalil begitu satu dalil yang tidak masuk akal, tetapi siapa yang mahu ambil peduli? Pada ketika itu, seperti juga sekarang ini, ada tanggapan bahawa kaum bukan-Melayu adalah satu kaum yang berbahaya dan mesti dihadkan gerak-gerinya. Program Khidmat Negara kali ini mempunyai hanya satu tujuan sahaja: ia bertujuan membolehkan segelintir penyangak dalam kerajaan mengendalikannya sambil mereka menyedut sebahagian besar peruntukan yang disediakan untuk masuk kantung sendiri. Apa yang jadi kepada pelatih semua, adalah satu perkara biasa sahaja. Walaupun rencana itu baru bermula, kesannya adalah gagal, segagal-gagalnya. Kita mudah mengesan perkara ini apabila menteri-menteri kabinet cuba sedaya upaya meyakinkan rakyat jelata. Selalunya mereka sahaja yang sedar betapa program itu adalah satu kejayaan besar. Daripada satu sudut, memang ada juga betulnya. Seorang isteri kepada pak menteri telah diberikan kontrak menyediakan pakaian seragam dan saya diberitahu dia telah menimba banyak keuntungan daripada kontrak itu. Satu ketika dahulu, projek Sekolah Bestari dilaksanakan untuk membolehkan seorang isteri menteri mendapat habuan menyediakan komputer dan perisiannya. Projek itu sudah lama mati tanpa bangkainya.

Kenapa kita perlu membeli senjata yang mahal-mahal? Bukannya untuk kepentingan pertahanan, tetapi untuk membolehkan para kroni mengaut keuntungan besar daripadanya.

Itu sebabnya tidak ada sesiapa yang terkejut apabila Menteri Besar BN di Terengganu, Dato’ Idris Jusoh, membuat keputusan agar wakil rakyat negeri itu diberikan elaun buku sebanyak RM250 setiap bulan. Sekali gus mereka menjadi ahli Perpustakaan Negeri. Mengikut kata beliau: “Tujuannya ialah untuk membangunkan budaya ilmu di kalangan wakil rakyat dan menggalakkan orang ramai membaca.” Saya tidak faham apa maksudnya dan saya fikir anda pun berpendirian begitu juga. Biarlah dia menjelaskannya: “Apabila kita bercakap perihal budaya ilmu, kita mesti mengamalkannya dan adalah tanggungjawab setiap wakil rakyat memberikan contoh yang baik kepada penduduk konstituensinya.” Saya masih tidak faham cakap beliau dan saya kira anda pun berpendirian begitu. Biarkan beliau menjelaskannya lagi: “Kerajaan Negeri akan melengkapkan Perpustakaan Negeri dan juga perpustakaan di kampung-kampung dengan buku-buku dan komputer.” Kenapa? “Semua perpustakaan ini memang kekurangan bahan bacaan yang mampu menarik minat keahlian.” Bukan itu sahaja. Semua cenderahati dan hadiah kenangan yang diberikan kepada pegawai negeri yang dijemput merasmikan majlis-majlis hendaklah dalam bentuk buku dan “bahan bacaan” yang lain. Tidak lagi barang tembaga, songket ataupun hasil kerja tangan. Demikian yang dilaporkan oleh New Straits Times hari ini (20 Mei, 2004). Idris masih mahu menambah sedikit lagi: “Elaun yang diberikan itu bukannya seberapa, tetapi buku-buku yang disediakan akan menambahkan pengetahuan mereka.”

Apabila seseorang pemimpin mempunyai satu idea yang samar-samar sahaja, dia akan memberikan penjelasan secara putar belit juga. Tidak ada bezanya kepada Dato’ Idris Jusoh dalam perkara ini. Saya fikir apa yang dimaksudkannya ialah setiap wakil rakyat negeri harus memberikan teladan yang baik, dan untuk menggalakkan tabiat membaca mereka diberikan elaun sebanyak RM250 setiap bulan. Apabila mereka dipaksa menganggotai Perpustakaan Negeri, sekali gus ia memberi andaian agar rakyat turut ikut membaca. Apakah jenis buku yang harus dibaca? Tidak pula disebutnya. Apakah ‘Penthouse’, ‘Playboy’ dan buku pornografi boleh diambil kira? Bagaimana dengan buku ‘meja-kopi’, yang penuh dengan gambaran yang tidak pun menggalakkan budaya ilmu yang penuh mitos itu? Yang lebih penting lagi, apakah kita boleh menentukan ataupun memaksa dasar seperti ini? Mantan Perdana Menteri, Tun Kepala Taik Mahathir, adalah seorang manusia (separuh haiwan?) yang suka membaca. Beliau pernah memaksa anggota kabinet beliau membaca buku yang dia fikir patut mereka baca, dan kerap mengadakan tutorial membincangkan isu buku, semasa pertemuan kabinetnya. Apakah beliau berjaya menyuburkan tabiat membaca di kalangan mereka? Tidak juga. Mereka yang memang sedia mempunyai tabiat membaca, memang menurut katanya. Akan tetapi kebanyakan anggota kabinet dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri, bukannya suka membaca. Perdana Menteri yang ada dan juga Menteri Luar Negeri, tidak suka membaca. Begitu juga hampir kesemua anggota kabinet yang ada.

Terdapat dua bekas menteri kabinet yang memang suka membaca dan mempunyai perpustakaan peribadi yang boleh disanjung tinggi. Mereka ialah Tan Sri Ghazali Shafie bekas Menteri Luar Negeri, dan bekas Menteri Pertanian (dan mantan Menteri Besar Kedah) Tan Sri Sanusi Junid. Perpustakaan peribadi Tan Sri Junid terletak di dua buah rumah di Bangsar selain satu koleksi khusus yang berada di rumah beliau di Damansara Heights. Kalau ada buku yang mahu saya baca tidak ada di (kedai buku) Malaysia, saya boleh membacanya dengan meminjam daripada mereka. Sudah bertahun-tahun lamanya saya meminjam buku-buku mereka untuk dibaca, kerana salah seorang antara mereka pasti memiliki buku yang saya ingini. Mereka tidak memerlukan elaun buku sebanyak RM250 setiap bulan untuk menanam sikap suka membaca.

Sekolah-sekolah tidak mendidik kanak-kanak agar suka membaca. Perpustakaan sekolah memang ketandusan bahan bacaan. Kalau diikutkan kehendak politik, memanglah patut setiap insan suka membaca. Industri percetakan di Malaysia adalah dinaungi orang politik, tujuannya ialah menyediakan buku teks untuk sekolah-sekolah. Kurikulum sekolah tidak menggalakkan murid-murid membaca dan berfikir. Seseorang yang suka membaca boleh dianggap sebagai satu kelainan kerana berjaya membanteras segala halangan rasmi yang mahukan dia terus menjadi separuh buta-huruf. Dengan lain perkataan, kerosakan dilakukan di sekolah lagi. Apa yang mahu dilaksanakan oleh Idris Jusoh adalah laksana memberikan cincin kepada kumpulan beruk dan ungka sahaja.

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com
23.05.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN