TAG 1609-2:
Kekejaman Amerika – Tiada Yang Baru (Bahagian Kedua)
(American Atrocities - Nothing New) Oleh Bill Phillips - 10.05.2004

(Bahagian Pertama)

Mencipta Musuh

Kebanyakan orang adalah aman serta lebih berminat tentang kesejahteraan diri sendiri berbanding untuk menceroboh negara lain. Dek kerana tiada musuh sebenar, Polisi Luar Amerika secara sengaja mencipta musuh dan konflik bagi menyokong industri pertahanan dan menyemarakkan matlamat elit pemerintah untuk tempoh 50 tahun lalu.

Vietnam

Perang Vietnam adalah contoh baik bagaimana AS mencipta musuh bagi melebarkan agendanya sendiri. Semasa PD2, Ho Chi Minh mengepalai penentangan bagi pihak Kuasa Perikatan menentang Jepun di bawah perjanjian yang Vietnam akan diberi kemerdekaan dari penguasaan Perancis selepas perang tamat. Ho Chi Minh berkeras dengan tawar menawar yang dipegangnya pada 17 Ogos 1945 apabila beliau menyiarkan ucapan:

“Kami telah berjuang menentang Jepun dengan berpihak kepada PBB. Kini Jepun telah menyerah kalah. Kami merayu kepada PBB supaya mengingati kembali sumpah dan janji mereka betapa kesemua bangsa akan diberi kemerdekaan serta kebebasan diri. Sekiranya PBB telah melupai janji mereka dan enggan memberi kemerdekaan penuh kepada Indochina, kami akan terus berjuang sehingga lah kami memperolehnya.”

Pada 2 September 1945, sebuah band muzik berkawad segak melalui Hanoi sambil memainkan lagu The Star Spangled Banner. Ho Chi Minh mengisytiharkan kemerdekaan Vietnam dan memulakan dengan ucapannya “Kesemua manusia dicipta sama rata”. Namun, impian demokrasi Vietnam tidak kesampaian. Negara itu telah dibahagi dua dengan bahagian Selatannya telah diserahkan kepada Perancis. AS telah mengkhianati rakyat Vietnam dan menyokong penindasan Perancis. Malah AS telah pula menawar senjata atom kepada Peranchis bagi digunakan menentang rakyat Vietnam yang nasib baik lah telah ditolak oleh Perancis. Hanya setelah dikhianati oleh AS baru lah Ho Chi Minh beralih kiblat kepada Rusia meminta pertolongan yang perlu untuk menundukkan Perancis dan menjadi ‘komunis’ sepenuhnya. AS telah dengan berjayanya menukar sebuah negara sekutu menjadi musuh dan memusnahkan demokrasi di Indochina.

Menjelang tahun 1954 AS telah membiayai sebanyak 78% seluruh belanja peperangan Perancis menentang Vietnam. Selepas Vietnam ditewaskan pada Mei 1954 di Dien Bien Phu, Perjanjian Geneva secara sementara telah membahagikan Vietnam kepada dua wilayah pada Garis Lintang 17 darjah dengan Ho Chi Minh memperoleh bahagian Utara sementara boneka Perancis rejim Bao Dai diberikan bahagian selatan. Perjanjian juga mensyaratkan pilihan raya akan diadakan di seluruh Vietnam dalam tempoh dua tahun bagi menyatukan negara itu. Amerika Syarikat menentang pilihan raya yang menyatukan dua wilayah itu kerana khuatir dimenangi oleh Ho Chi Minh dan enggan menandatangani Perjanjian itu- sekali gus menafikan hak demokrasi rakyat Vietnam.

Sebaik Perancis berundur, AS mula masuk untuk menguasai Wilayah Selatan Vietnam. Operasi Phoenix CIA dimulakan dengan serta merta selepas AS mengambil alih pada tahun 1954. di bawah pengurusan AS Polis Rahsia Vietnam Selatan telah melakukan pelbagai keganasan dan kekejaman termasuk pembakaran hidup-hidup, hukuman gantung, rogol, penyeksaan dan sabotaj yang kemudiannya telah dipersalahkan kepada Vietkong.

Lebih 50,000 orang awam Vietnam telah diseksa dan dibunuh di tangan CIA dan perisikan tentera. Sejumlah lebih sejuta rakyat Vietnam telah mati di tangan tentera AS. Jerangkap samar, peluru yang tidak meletup dan kematian ekoran pencemaran kimia telah membunuh dan mencacatkan lebih ramai lagi rakyatnya. Richard Nixon membuat pengakuan pada penghujung kuasanya betapa ia telah meningkatkan lagi kehangatan peperangan itu semata-mata untuk membolehkan industri pertahanan menjual lebih banyak senjata.

Pada awal pertempuran di Vietnam seorang pegawai Vietkong telah berkata kepada seorang tahanan Amerika: “kamu dahulunya adalah hero kami selepas Perang Dunia. Kami membaca buku Amerika dan menonton filem Amerika dan pepatah biasa kami ketika itu ialah ‘untuk menjadi kaya dan bijak seperti bangsa Amerika’. Apa yang terjadi?”

Penglibatan AS di Iraq bermula beberapa dekad ke belakang dan setara dengan penguasaan British ke atas negara itu pada awal kurun dahulu. Dalam tahun 1958 CIA telah mengupah Saddam Hussein untuk membunuh Presiden Iraq –Abdel Karim Qassim. Hanya pada tahun 1963 baru lah Saddam dan AS berjaya menggulingkan kerajaan demokratik Iraq. Dalam proses itu, 5000 orang terbunuh. Sebaik sahaja selepas kudeta 800 orang lagi telah ditangkap dan dibunuh menggunakan senarai yang disediakan oleh CIA yang dianggap sebagai penentang yang berpotensi. Pun begitu, rejim Baath yang baru itu tidak mendapat sokongan rakyat dan telah diganti oleh pegawai tentera 9 bulan kemudiannya. Dengan lebih banyak bantuan CIA Saddam akhirnya dapat menguasai negara itu dan terus bertakhta sehinggalah AS menceroboh Iraq pada tahun 2003.

Dalam bukunya “October Surprise”, Gary Sick memperincikan bagaimana Bush-Reagen telah menggunakan senjata dan wang tunai bagi merasuah rakyat Iran supaya menyimpan tahanan Amerika sehingga selepas pilihan raya bagi menghalang Jimmy Carter dari dipilih semula pada tahun 1980. Iran memegang bahagian janji mereka dan membebaskan tahanan pada hari Reagen mengangkat sumpah jawatan. AS berterusan secara rahsia membekalkan Iran dengan senjata untuk membiayai peperangan haram tajaannya menentang demokrasi di Nicaragua yang kemudiannya dikenali sebagai Iran-Contra. Dalam masa yang sama ia membekalkan Iraq dengan senjata kimia dan biologi untuk digunakan terhadap Iran. Iran kini sedang menyaman AS dan Jerman kerana membekalkan Iraq dengan senjata biologi dan kimia secara haram bagi digunakan terhadap mereka dalam perang yang didalangi CIA pada tahun 1980-1988.
Sejak itu sehingga lah ketika AS mengizinkan pencerobohan Iraq ke atas Kuwait, Jabatan Pertahanan AS sentiasa memuja-muji Saddam Hussein betapa ia telah memperbaiki pendidikan, penjagaan kesihatan dan taraf hidup rakyatnya. Rejim beliau telah digelar sebagai kerajaan yang paling baik serta progresif di rantau itu.

Apabila Iraq mengumpukkan tenteranya di sempadan dengan Kuwait dalam persediaan untuk menceroboh, AS memerhati dengan diam tanpa sebarang komen. Sebagaimana biasa yang taat kepada CIA dan kepentingan AS, Saddam telah menceroboh Kuwait bagi menyokong pentadbiran George Bush dan memastikan sokongan kepada pangkalan tentera secara jangka panjang di Timur tengah. Selepas membunuh 500,000 rakyat Iraq, AS kemudiannya memperdaya penentang Saddam supaya sebarang penentang yang aktif terhadap rejim ganasnya akan dihapuskan.

Untuk menambahkan lagi penderitaan rakyat Iraq dan mencatur mereka bagi bencana pada masa depan, sekatan ekonomi yang ganas serta tidak bermanfaat dikenakan. Di Mahkamah Antarabangsa tentang Jenayah Terhadap Kemanusiaan, AS, British dan para Pegawai PBB telah didakwa dengan tuduhan ‘menyebabkan kematian lebih dari 1,500,000 rakyat termasuk 750,000 kanak-kanak bawah usia 5 tahun, dan kecederaan terhadap seluruh penduduk Iraq oleh sekatan ala genosid itu’. Sementara rakyat Iraq menderita dan mati tanpa alasan, Saddam pula hidup mewah.

Kebencian rakyat Iraq terhadap AS yang telah menabalkan Saddam dalam kekuasaan dan mengekalkan kuasa beliau selama 25 tahun menjadi semakin mendalam oleh tindakan ganas AS kini. Sebenarnya tiada sebarang niat untuk ‘memenangi hati dan perasaan rakyat Iraq’. Pendedahan tentang penderaan AS ke atas rakyat Iraq benar-benar cara untuk mengipas lagi kebencian mereka terhadap orang Amerika.

“Kita telah mendengar yang setengah juta kanak-kanak telah mati,” kata wartawan Lesley Stahl dalam rancangan “60 minutes” ketika mengulas perihal sekatan ekonomi AS terhadap Iraq. “Maksud saya, jumlah itu melebihi dari yang mati di Hiroshima. Dan—apakah ianya berbaloi?” jemputannya pada bulan Mei 1996, Duta PBB Madeleine Albright, menjawab: “Saya fikir ini adalah pilihan yang sukar, tetapi harga itu—kita merasakan yang harga itu memang berbaloi.”

Di lain-lain negara seluruh dunia, AS telah menggulingkan demokrasi, menabalkan diktator, menubuhkan polis rahsia yang kejam dan skuad pembunuh serta mencipta konflik sekiranya tidak ada sebelumnya. Di mana-mana juga yang demokrasi sebenar memegang kuasa membelakangkannya, AS dengan pantas akan memancung serta meletakkan boneka kejamnya pula ke puncak kuasa. Di mana sahaja korupsi dan kekejaman wujud AS sentiasa sahaja di sebalik tabir memanipulasi keadaan. Dalam proses sebegitu, AS telah menyebabkan penderitaan yang bukan kepalang serta menidakkan harapan dunia.

Kesan negatif akan polisi luar AS begitu besar kesannya sehinggakan evolusi manusia telah diubah. Kudeta rahsia CIA dan peperangan telah menekan seluruh benua akan peluang untuk memanjat keluar dari kemiskinan dan menghapuskan generasi pemimpin kemanusiaan yang berpotensi. Alam sekitar telah dimusnahkan dengan segala projek yang diluluskan oleh kerajaan boneka AS dengan wang yang dipinjamkan oleh IMF dan Bank Dunia yang kemudiannya dicuri oleh korporat AS dengan akhirnya republik yang papa terpaksa membayar hutang piutang itu pula. Pemanasan sejagat (global warming) adalah perkara benar dan telah merugikan bilionan nilai kerosakan setiap tahun, namun AS terus juga menekan tenaga alternatif dan terus memuja minyak sebagai sumber tenaga.

Penipuan besar

Saya dibesarkan untuk mempercayai yang Amerika ialah “tanah yang bebas dan kediaman bagi yang berani”. Saya rupanya telah ditipu bontang. Amerika sebenarnya ialah “Syaitan yang besar”. Media massa Amerika berterusan menyogok imej AS sebagai “Kubu Demokrasi” dan “Pemimpin dunia bebas”- namun kini, sudah tidak ramai orang kecuali rakyat Amerika sahaja yang mempercayainya.

Agenda sebenar

Seperti mana kezaliman AS masa lalu yang telah mencipta peperangan dan konflik, kezaliman hari ini juga akan melahirkan lebih banyak konflik, kehilangannyawa serta kemusnahan alam sekitar. Persediaan untuk peperangan terhadap ‘keganasan’ sebenarnya telah berjalan untuk sekurang-kurangnya 20 tahun yang lalu. Dengan bersekongkol bersama keluarga pemerintah Al-Saud, elitis pemerintah sejagat telah meradikalkan Islam melalui penguasaan minda yang berselindung sebalik sekolah agama. (itu pendapat dia sahaja- Penterjemah). Dalam sekolah sebegitu mereka telah mencipta ‘pengganas’ yang diperlukan oleh musuh.

Tanpa CIA, sekolah Saudi dan penderaan Israel terhadap Palestin, tidak akan berlaku sebarang ancaman ‘pengganas Islam’. Sekiranya AS tidak merompak demokrasi dari banyak negara , fundamentalis Islam tidak akan berkembang sehingga ke tahap sekarang.

Kali ini tiada suara yang mampu mendorong untuk menyanggah Amerika. Peperangan yang akan berterusan itu akan menentang kebebasan, demokrasi dan juga kehidupan apabila empayar tentera AS dan para juaknya secara perlahan-lahan menguasai dunia sejagat atas nama ‘menentang keganasan’ dan penciptaan Negara Polis sejagat.

Bill Phillips - 25.05.2004 - Terjemahan N-SPAR (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN