TAG 1602:
Paklah Terkapai-Kapai Menonjolkan Suara Yang Tidak Ada Getarannya
(Pak Lah struggles for a voice that continues to elude) Oleh MGG Pillai - 11.05.2004

Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sedang terkapai-kapai menonjolkan suara dan kuasanya. Beliau menabur janji dan mengerah kerja sesuka hati, tanpa mencapai kesannya. Kempen anti-korupsi beliau sudah pun mati tanpa pusara. Usaha itu tidak akan berjaya selagi dia enggan melihat ramai pemimpin politik dan pemimpin utama UMNO diheret untuk didakwa. Setakat ini Paklah belum nampak boleh ke mana-mana. Apa yang digembar-gemburkan sebagai satu kejayaan besar bagi dirinya masih disaluti kontroversi dan kesangsian sehinggakan kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Umum Mac lalu tidak dapat menjentik suasana kemenangan besar seperti yang sepatutnya. Kerajaan beliau masih lagi hanyut terumbang-ambing seperti keadaannya di hari-hari terakhir pimpinan bekas ketuanya dulu. Kemenangan besar hasil penipuan dulu kini sedang mencekiknya. Segala yang dihajatinya tidak tertunai, kerana takut kalau-kalau ada sesiapa yang digugurkannya akan bertukar rupa sebagai pencabar perkasa untuk bertempur. Lantas dia bersuara dengan kenyataan yang tidak ada banyak makna, tetapi sengaja disalut sebagai sesuatu yang paling penting sekali. Inilah yang dibesar-besarkan oleh media perdana dengan cara menempelnya di muka depan akhbar mereka.

Itu sebabnya tidak menghairankan kalau Paklah memberi arahan kepada Suruhanjaya Diraja mengenai Pasukan Polis memulakan usaha melaksanakan idea mereka secepat mungkin. Cadangan yang baik-baik harus diterima dan dilaksanakan. Itu pun kalau tidak ada undang-undang yang perlu dipinda. Ketua Pembangkang, Mr. Lim Kit Siang, menerima saranan Paklah dengan sikap terburu-buru. Bagaimana pula keadaan ini boleh berlaku? Pengerusi Suruhanjaya Diraja, Tun Dzaiddin Abdullah, telah mencadangkannya ketika beliau menemui Ketua Polis Negara, Dato’ Seri Mohamad Bakri Omar, berserta beberapa pegawai kanan polis, dan menyampaikan berita itu. Gelagat ini ternyata tidak kena pada tempatnya. Suruhanjaya Diraja sepatutnya merahsiakan apa juga hasil kajiannya sebelum laporan rasmi dipersembahkan kepada Yang DiPertuan Agong. Apabila Paklah mencadangkan perkara semacam itu, bererti Paklah berkelakuan di luar etika. Sepatutnya apa juga yang menjadi hasil kajian Suruhanjaya Diraja harus dinyatakan sebagai satu laporan yang diserahkan untuk terbitan. Syarat penubuhan Suruhanjaya Diraja seharusnya diperjelaskan dengan nyata: apa juga yang dirumuskan tidak boleh dikuatkuasakan secara berdikit-dikit. Lagipun, apakah pentingnya Suruhanjaya Diraja mengongsi maklumat siasatannya dengan pihak polis sepanjang siasatan itu? Apa yang diketahui oleh Suruhanjaya Diraja bukannya sesuatu yang baru. Polis sudah pun mengetahuinya, terlebih dulu. Kenapa tidak Polis mengusahakannya sendiri tanpa mengaitkan martabat Suruhanjaya DiRaja dalam kerenah itu.

Suruhanjaya Diraja itu telah ditubuhkan pada bulan Disember untuk meredakan dakwaan yang menggunung mengenai korupsi, keganasan dan sikap kurang ajar pasukan polis. Akan tetapi, seperti biasalah, di Malaysia ini perkara semacam itu tidak diketengahkan dengan sempurna, walaupun anggota suruhanjaya itu mengandungi ahli-ahli NGO dan agensi lain, serta segelintir golongan bijak pandai dan bestari negara ini, terdapat satu kumpulan yang sebenarnya tidak pun tahu-menahu apakah peranan yang diharapkan sebenarnya daripada mereka. Kita tidak pun mendengar sebarang cadangan apakah yang sepatutnya diperbetulkan. Semua ini adalah disebabkan keadaan kerajaan BN yang terjebak dengan propaganda bikinan sendiri. Kerajaan tidak mampu bertindak tegas, seperti yang sepatutnya, tanpa mencetuskan bahaya yang mungkin menggelegak ketika persidangan UMNO pada akhir tahun ini. Keadaan yang tegang ini semakin menyenak, gara-gara kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum yang baru berlalu. Tidak ada satu perubahan yang boleh dilaksanakan kalau ia akan mencetuskan masalah kepada usaha Paklah menjadi presiden UMNO, yang sah. Yang lebih dipentingkan ialah apakah yang boleh memudahkannya. Apa yang keluar daripada mulut belau dianggap sebagai satu kata hikmah. Tidak ada sesiapa yang mencabarnya. Apabila gelagat itu ada kalanya menunjukkan beliau kelihatan sebagai seorang yang dungu, sengaja tidak dipedulikan.

Inilah yang menampakkan Paklah sebagai seorang insan yang tidak berguna. Dia sedang terkapai-kapai di lautan kejayaannya. Dia sudah menggelabah untuk bertindak tegas seperti yang sepatutnya. Kerana itu dia berpura-pura dengan perkara yang tidak membawa banyak makna sehingga tidak mampu mencerna sesuatu rencana yang berharga. Yang dipentingkan ialah supaya namanya muncul setiap hari di dada akhbar, sebagai andaian yang dia sedang menjalankan tugas yang baik. Memang begitulah kesannya untuk sementara. Tetapi apabila dia terus mengharap kepada taktik begini selalu, dan diikuti pula oleh para menterinya begitu, ia mendedahkan satu kerajaan yang berfungsi tanpa banyak idea dan kekuatan serta takut-takut dengan apa juga beban kerja yang menanti di hari muka. Apabila tugas itu dikaitkan dengan kegagalan menangani masalah di Selatan Thailand, sehinggakan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, terpaksa mendesak agar Paklah mendengar kisah yang terjadi di sana. Paklah telah dikecewakan oleh menteri luar Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar, yang telah terjebak semasa krisis itu meledak, dan tidak pun berdaya untuk bangkit menyelamatkan air mukanya semula.

Perbalahan dalam UMNO, di kalangan kabinet dan di luarnya, sudah menjadi begitu sengit sehingga tidak dapat dileraikan. Perdana Menteri dan timbalannya sentiasa tidak sebulu, masing-masing cuba mencari arah haluan yang berbeza, dan selalunya terpaksa bermuka-muka untuk menunjuk yang mereka berjaya menangani satu kerajaan yang kuat. Persengitan antara konco-konco Paklah dan konco-konco timbalannya, Dato’ Seri Najib Tun Razak, sudah begitu mendalam untuk dianggap sebagai cerita dongeng sahaja. Kekejangan kabinet yang sedia ada sudah menjadi perkara biasa, sehingga para menteri tidak lagi mengutamakan segala panduan kerja mereka, dan bertindak terhadap dasar yang diberikan sebagai taklimat dalam majlis singkat sahaja. Semua taklimat ini tidak boleh dipercayai sepenuhnya kerana kebanyakan majlis taklimat itu adalah helah pegawai kerajaan menunjuk-nunjuk untuk membodek para mengeri mereka agar mendapatkan lebih banyak peruntukan untuk projek mereka, sedangkan jumlah kewangan yang sama telah lama ditolak ke tepi oleh Perbendaharaan Negara. Kerana keghairahan, para menteri mudah termakan umpan yang disediakan untuk mereka sehingga sanggup mendedahkan perkara yang penuh kepalsuan kepada para wartawan yang turut rakus menyiarkan beritanya. Apa yang disiarkan akhirnya memberikan bayangan betapa wujudnya satu kabinet di mana setiap menteri mahu bertindak sesuka hati.

Akan tetapi ini bukan sahaja merupakan satu-satunya kesulitan yang menghantui Paklah. Dia mempunyai banyak masalah dengan menteri besar juga. Orang-orang BN dan UMNO berpendapat bahawa Paklah memang terlalu ‘lembik’ dan masih meraba mencari arah, dan tidak pandai menggunakan kuasanya untuk menentukan para pemimpin lain mendengar cakapnya. Para pemimpin ini yang lebih senang hati kalau dianggap sebagai panglima perang, memang tidak bersedia membenarkan Paklah menguruskan negara mengikut seleranya sahaja. Inilah keadaan yang lebih serius daripada yang saya bayangkan. Lagi lambat Paklah bertindak mengawal kerenah mereka, akan menjadi lebih sulit lagi setelah dia dilantik secara rasmi di jawatannya nanti. Sekarang pun sudah ada pertanda munculnya sikap memberontak: sudah muncul desas-desus mengatakan Paklah akan dicabar. Malis Tertinggi UMNO memang tidak mahu dua jawatan tertinggi dalam parti dipertandingkan, tapi sudah semakin ramai ketua yang fikir perkara in mesti diperbetul dan pertandingan dibenarkan. Inilah yang sukar ditarik balik. Tetapi Paklah sengaja tidak mahu terbabit dalam kemelut ini. Inilah silapnya. Dia cuba membiarkan keadaan berterusan. Timbalannya pula, Dato’ Seri Najib, nyata lebih cekap menangani sesuatu krisis. Dia mungkin dapat membantu Paklah memperkasakan kedudukannya. Tetapi dia tidak boleh dipercayai. Kerana itu para pemimpin UMNO masih teraba-raba, mencari arah dalam krisis yang melanda Malaysia masa kini. Semua itu masih diabaikan dan yang lebih dipentingkan ialah kenyataan seolah-olah serba-serbi berkeadaan baik. Ini bererti tidak perlu dilaksanakan dasar-dasar yang memerlukan sesuatu Suruhanjaya DiRaja menunjukkan kepincangannya.

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com
13.05.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN