TAG 1598:
Malaysia Terjebak Antara Ketuanan Melayu Dan Integrasi Nasional
(Malaysia is caught between Malay Dominance and National Integration) Oleh MGG Pillai - 02.05.2004

Sesebuah negara yang terlupa akan sejarah silamnya, dan mengutamakan pandangan Perdana Menterinya sahaja, sambil memperlekehkan perjanjian lama dan mengatur jalinan sejarahnya sebagai gambaran keunggulan politik semasa, sudah tentu berkemungkinan menghadapi malapetaka. Dua belas tahun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, rusuhan kaum meledak pada 13 Mei, (1969). Ini merupakan gambaran satu kejadian yang pasti akan terjadi, apabila dua masyarakat yang tidak saling bersefahaman, Melayu dan Cina, berantakan untuk menonjolkan ketuanan politiknya.

Penyebabnya ada kaitan dengan percanggahan yang berlaku dalam dunia politik Melayu – Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, merasa gusar seandainya dia tidak naik menjadi Perdana Menteri, akan muncul orang lain yang sudah sedia menunggunya. Persahabatan antara Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Razak sudah sampai ke tahap kurang mesra. Waktu itu orang Cina, yang dibantu oleh pergerakan hartal di Pulau Pinang pada 1967, telah mendesak agar bahasa Inggeris dikekalkan terus sebagai bahasa rasmi negara. Yakni melebihi tempoh sepuluh tahun selepas kemerdekaan yang dipersetujui sebelum itu. Inilah yang menjadi batu api kepada keadaan yang tegang.

Semasa itu, parti gagasan Perikatan, (yang kemudiannya dikenali pula dengan panggilan Barisan Nasional –BN) merupakan satu parti yang ditentang oleh barisan pembangkang yang merangkumi parti Melayu berhaluan kiri dan parti Cina yang bergabung di bawah Barisan Sosialis. Gagasan Pembangkang itu terus berbisa walaupun sudah dilumpuhkan pergerakan sayap kirinya yang cenderung memihak kepada percantuman dengan Indonesia. Apabila Parti Buruh Malaysia yang pro-China, mengambil keputusan tidak mahu terbabit dengan pilihan raya umum 1969 dulu, sambil mendesak rakyat jelata agar tidak keluar membuang undi mereka. Tindakan itu merupakan satu ugutan yang tidak boleh diperlekeh oleh Perikatan, semasa itu. Lagipun tindak-tanduk Front Sosialis di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-negeri yang kerap mencabar parti Perikatan, sehingga mencetuskan perubahan dalam dasar pemerintahan negara. Lantas ramai pemimpin utama gagasan pembangkang yang ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tanpa sebarang bicara. Pandangan Perikatan mengenai sikap Indonesia berkonfrontasi dengan Malaysia telah dicabar di peringkat yang lebih tinggi daripada yang mampu diperakui oleh pemimpin Melayu dan Cina. Ada seorang menteri kabinet yang telah ditahan di bawah ISA kerana pandangan beliau yang pro-Indonesia. Kebijaksanaan serta keghairahan orang Cina berpolitik telah menjadi pedang yang serasi kepada Tun Razak untuk bergerak.

Akan tetapi, untuk mengekalkan anjakan satu dasar politik dan budaya yang utama, usaha itu mesti terus dipupuk dan diperkasakan sepanjang masa. Inilah yang gagal dilaksanakan oleh UMNO. Hasilnya tercetus satu keangkuhan betapa hanya UMNO merupakan parti terunggul di antara semua pihak yang ada di Malaysia. Tidak ada seorang pun pemimpin bukan-Melayu dalam BN yang berani mencabar Presiden UMNO terhadap dasarnya, sehingga tertanam satu ketaksuban yang ia memang selalu betul walaupun ada dasar yang dibuatnya memang tidak begitu sebenarnya. Pada 1988, perpaduan Melayu mula retak sejurus Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa UMNO sudah menjadi satu pertubuhan haram. Inilah satu keputusan yang diterima dengan senang hati oleh Presiden UMNO ketika itu merangkap Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad. Beliau (yang kini bergelar Tun Kepala Taik Mahathir), telah mewujudkan satu parti UMNO Baru dan menguis keluar semua anggota parti lama yang menentangnya. Tindakan ini adalah hasil satu kesedaran bahawa kalau tidak bertindak demikian, dia pasti akan tersingkir dalam pertandingan yang diadakan selepas itu nanti. Tindakan itu juga mengerat hubungan tali pusat yang mengaitkan UMNO kepada masyarakat Melayu. Ini juga merupakan satu tindakan ke arah perlunya diadakan integrasi nasional yang semestinya bertentangan dengan dasar ketuanan Melayu, sebagai senjata menentukan kewujudannya untuk jangka waktu yang pendek. Apabila agenda ini dihidupkan semula, ia mencetuskan perasaan tidak senang di kalangan kumpulan loyalis dalam UMNO. Lagipun dakwaan berlakunya penipuan menyeluruh semasa pilihan raya umum yang baru berlalu, dianggap sebagai satu muslihat yang sengaja dilaksanakan untuk mengecutkan sandaran berlebihan kepada undi orang-orang Cina. Masyarakat Melayu naik angin dan semakin menjarakkan diri mereka daripada UMNO.

Memang sudah jelas kini betapa kejadian rusuhan kaum 13 Mei adalah ciptaan UMNO terhadap gagasan Perikatan. Hasilnya orang-orang bukan-Melayu dinafikan hak asasinya dan dibenarkan untuk terus tinggal di negara ini hanya setelah menerima tanpa syarat satu agenda yang dicipta secara tergesa-gesa dan disebut sebagai Prinsip Ketuanan Melayu. Memang tidak dinafikan lagi betapa negara ini adalah negara Melayu dan orang bukan-Melayu menerima hakikat yang dia adalah warga negara kelas dua. Semua kementerian yang ada kuasa membuat dasar diberikan kepada menteri Melayu, dan pemimpin Perikatan yang bukan-Melayu telah diberitahu betapa kesetiaan mereka adalah kepada Presiden UMNO, dan bukannya kepada orang yang mengundi mereka. Ketuanan Melayu telah dilaksanakan secara paksa tanpa ada bantahan daripada parti bukan-Melayu dalam Perikatan, gara-gara pemimpin yang tidak disangka-sangka menikus apabila berdepan dengan tindakan menurunkan pangkat mereka. Akan tetapi, apa yang disebut sebagai Ketuanan Melayu itu adalah berdasarkan satu tanggapan bahawa wujud seorang Presiden UMNO yang tidak tercabar kedudukannya, dan orang Melayu akan terus taat setia kepada UMNO sebagai parti yang menaungi politik dan budaya Melayu. Tanggapan ini masih berkekalan. Cuma UMNO kini memerlukan undi bukan-Melayu untuk terus mengekalkan kuasanya. Pada mulanya UMNO beranggapan dapat mengekalkan kuasa dengan menyandarkan harapan kepada golongan bumiputera di Sarawak dan Sabah. Rencana itu gagal, segagal-gagalnya. Tidak ramai pemimpin di seberang Lautan Cina Selatan itu yang sanggup dilihat sebagai rapat dengan penyangak di Kuala Lumpur.

UMNO sedang dihambat dilema. Integrasi Nasional kini didakwa sebagai satu dasar rasmi yang baru. Tanggapan ini memberi andaian betapa kek nasional itu akan dipotong untuk agihan mengikut nisbah 6 kepada Melayu, 3 kepada Cina, dan 1 kepada kaum India. Apabila muncul saat penentuannya, kenyataan politik seorang Perdana Menteri telah mendedahkan satu perangkap yang menyebabkan juak-juak dan pegawainya bersikap liat untuk melaksanakannya. Ternyata beliau tidak memikirkan perkara itu masak-masak. Satu dasar khidmat awam yang tidak formal memerlukan setiap ketua jabatan bertindak menjadikannya lebih Islamik daripada keadaan yang sebelumnya. Si pegawai itu akan menerima habuannya kalau dia mengetepikan orang bukan-Melayu dan bukan beragama Islam. Lantas diwujudkan pelbagai agenda gembar-gembur sahaja: seperti melantik lebih ramai guru besar yang melambangkan matlamat Integrasi Nasional, lebih ramai anggota polis, askar, anggota tentera udara dan laut serta pegawai perkhidmatan awam.

Ketuanan Melayu telah mencekik orang-orang bukan-Melayu daripada kedudukan mereka yang berpangkat, kecuali pangkat yang paling bawah. Pegawai tinggi-tinggi terpaksa merangkak ke arah tahap paling tinggi dan bersara apabila mencapai pangkat Timbalan kepada ketua Melayu yang masuk berkhidmat lebih satu dekad ataupun lebih lagi selepas kemasukannya. Integrasi Nasional tidak akan mencapai matlamatnya tanpa adanya pegawai Melayu yang memberontak. BN dan UMNO menganggapnya sebagai sisa dan saki-baki yang berada di meja makan Ketuanan Melayu. Inilah yang meminggirkan orang Melayu gara-gara memberikan banyak ruang dan meminggirkan juga orang bukan-Melayu kerana memberi sedikit sahaja. Setelah terpinggirnya budaya dan kini politik Melayu, dan pemberian kepada orang bukan-Melayu sesuatu yang tidak dapat dilaksanakannya, UMNO terpaksa mengambil sikap tegas. Tetapi tidak ada sesiapa dalam kumpulan Melayu yang berpengaruh itu yang mampu berfikiran jauh, untuk bertindak dengan berani. Tidak kiralah kalau menyakitkan hati orang Melayu dan bukan-Melayu dalam masa yang singkat ini, untuk mewujudkannya. Selagi dia mampu, Ketuanan Melayu adalah satu hakikatnya. Integrasi Nasional tidak merupakan satu harapan tetapi satu tolak-ansur politik yang disogok untuk hidup, dan ditarik-balik apabila krisis yang melanda mulai kendur, seperti sekarang ini.

MGG Pillai
pillai@streamyx.com
08.05.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN