TAG 1596:
Khidmat Negara: Petaka Yang Menunggu Ketikanya
(National Service: Fiasco Waiting To Happen) Oleh MGG Pillai - 27.04.2004

Malapetaka yang menghambat Program Khidmat Negara memang suatu kejadian yang menunggu ketikanya. Idea penubuhannya memang amat baik sekali. Tetapi kita tidak diberitahu apa pentingnya mewujudkan program ini secara tergesa-gesa. Yang disogokkan kepada kita ialah beberapa kenyataan rasmi kerajaan yang muluk-muluk akan tujuan yang mahu dicapainya. Sesiapa pun tidak boleh mengancamnya. Namun, di sebalik semua itu terdapat pelbagai kerja haprak yang mendedahkan korupsi, ketidakcekapan, bahaya mencemar pemikiran anak muda-mudi kepada rencana tarikan pasaran dan tenaga yang lama tersirat serta sengaja diabaikan dalam usaha menyogok program ini kepada rakyat jelata. Laksana si buta dan pekak mengajar orang yang celik dan sempurna daya-dengarnya; laksana ketam yang mengajar anaknya berjalan betul ke hadapan. Kini terserlah betapa golongan yang celik dan sempurna itu akan menjadi kabur penglihatannya dan separuh tuli pendengarannya. Inilah yang dipaksa ke atas rakyat jelata oleh kerajaan yang memerintah kita, sambil mengeluarkan ugutan untuk menghukum sesiapa yang lari daripada panggilannya. Apabila terserlah segala kepincangan yang terjadi, Kabinet telah masuk campur dengan bertegas program itu akan diteruskan tanpa ada hentinya. Seramai 10,000 pelatih yang enggan hadir telah diugut dengan hukuman penjara. Apabila bantahan rakyat semakin membara, maka dicipta alasan untuk memberikan mereka satu peluang lagi. Namun, semakin ghairah menganalisis projek ini, makin terserlah ketakutan kita akan impaknya.

Memang tidak ada silapnya dengan Program Khidmat Negara seandainya ia diuruskan seperti yang sepatutnya. Selama bertahun-tahun lamanya Barisan Nasional (BN) enggan menerima konsep ini kerana takutkan golongan bukan-Melayu belajar bagaimana menggunakan senjata api. Alasan perkauman sudah menjadi alasan terunggul sebagai dasar kerajaan yang rasmi. Rencana integrasi nasional kerajaan ialah menyatukan semua kaum mengikut satu rencana matematik: enam orang Melayu, tiga orang Cina dan seorang India. Tidak ada sesiapa yang pernah memberitahu kita apa perlunya rencana begini. Tetapi ia bertujuan untuk menyedarkan anak-anak muda Melayu yang hanyut ke bandar daripada perkampungan mereka, sehingga hanyut jauh daripada masyarakat mereka, tanpa mampu melayari hidup mereka dengan sempurna dan hanyut tanpa harapan dan bantuan. Di setiap pekan, di mana melepak, merupakan pusat kelakuan sumbang. Inilah kehidupan yang diwarnai penyalahgunaan dadah, perlakuan anti-sosial, kehamilan gadis yang masih mentah, dan pelbagai jenis penyakit sosial yang menyerlah. Inilah yang menguji ketahanan kerajaan yang telah lama menjanjikan satu perubahan untuk memperbaiki nasib mereka. Namun, di sebalik segala hasrat yang ternyata begitu suci itu, tidak ada sesuatu positif dapat dilakukan. Inilah yang kini menjadi masalah politik negara.

Inilah sebabnya direncanakan satu Program Khidmat Negara. Skopnya dilebarkan untuk mengambil semua muda-mudi, dan menggembleng mereka dalam satu rencana yang begitu tinggi harapan dan perancangannya. Tetapi tidak ada sebarang perbincangan mengenainya ataupun pemikiran serius yang diberikan, ataupun bagaimana wang yang dihamburkan itu harus dibelanjakan. Justeru satu rencana yang setengah masak diambil untuk dilancarkan. Segala projek yang mewah diagihkan di kalangan konco-konco politik yang rapat dengan UMNO. Segala impian yang tinggi dan muluk-muluk sebenarnya merupakan satu topeng yang menjadikan muda mudi yang menyertainya menjadi bahan ujian semata-mata. Seandainya kerajaan benar-benar serius mengenainya, rencana itu sepatutnya diserahkan untuk diurus oleh angkatan tentera sahaja. Mereka mempunyai pengalaman melatih rekrut menjadi satu pasukan yang berdisiplin. Mereka tahu apa yang perlu dibuat. Saya berani katakan, walaupun dalam tiga bulan yang diperuntukkan itu, sesiapa yang menjalani latihan itu memang akan dapat meraih sesuatu daripadanya. Untuk mencapai matlamat ini, sepatutnya mereka diajak ikut-serta dalam perbincangan. Tetapi tidak. Kerana tidak ada satu rencana yang konsisten, adalah meragukan apakah Program Khidmat Negara ini boleh diteruskan secara berkekalan. Apabila perbelanjaan menjadi kering kontang, ataupun para penganjurnya nampak cara lain bagaimana menyedut wang daripada projek semacam itu, program itu bolehlah dikatakan sudah berakhir begitu sahaja.

Yang kita tahu ialah peruntukan RM500 juta untuk projek demikian. Sebanyak 41 khemah latihan telah didirikan di mana setiap sebuah, seramai 600 muda-mudi ditempatkan dengan pengawasan para jurulatih yang dikatakan telah dipilih dan disaring dengan rapi, tetapi ternyata bukan begitu. Kalau ada tiga kumpulan pada tahun ini, bererti seramai 70,000 akan menjalani program begini. Mereka bergerak daripada satu khemah ke satu khemah latihan yang lain dalam menerima empat modul latihan. Setiap kali mereka bergerak, satu pasukan baru mengambil alih tempat mereka. Modul latihan fizikal dan khemah di mana latihan itu dijalankan sudah diswastakan dan diletakkan di pinggir hutan. Tidak ada ciri-ciri keselamatan di situ. Setiap kem sepatutnya mempunyai 20 orang pengawal keselamatan. Tetapi cuma dua orang sahaja yang kelihatan berada di situ. Walaupun bajet makanan harian ialah RM25 bagi setiap pelatih untuk setiap hari, hanya RM9 yang dibelanjakan. Pihak berwajib menafikan adanya kisah rogol dan jenayah lain, dan tertekan kerana kejadian yang mencemarkan projek itu. Seperti biasa, program seperti ini memang tidak ada agendanya. Adalah satu kenyataan betapa program ini berada di bawah naungan Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang mengikut arus perdana UMNO, sepatutnya insan yang sudah lama dihumban ke tepi.

Para jurulatih disaring secara rawak sahaja tanpa penyelidikan terhadap latar belakang mereka. Mereka dikerah bertugas selama 16 hingga 20 jam setiap hari. Ramai yang tidak pun dibayar gaji ataupun dibayar secara beransur-ansur sahaja. Moral petugas memang terlalu rendah tahapnya. Baik di kalangan jurulatih mahupun di kalangan golongan yang dilatih. Pergaduhan kerap berlaku, kejadian rogol kerap dilakukan, begitu juga kerja-kerja ‘mengintai’. Disiplin ternyata tidak ada di situ kerana niat untuk bertegas dalam bidang itu ternyata bukan keutamaan pihak yang berkuasa. Masalah yang lebih besar ialah perilaku begini bukan mudah diketepikan begitu sahaja. Apabila Kabinet bertegas, program itu tidak boleh dibatalkan, seharusnya ia tidak dijadikan alasan yang keadaan tidak boleh diperbaiki. Dua parti pembangkang, Keadilan dan PAS, telah menyeru agar program itu digantung. Kalau diambil kira segala keributan yang menghantui kerajaan, tidak mungkin permintaan itu akan mereka terima pakai. Tetapi ia mesti boleh diperbetulkan dengan cara yang lebih berkesan. Mulakan dengan golongan remaja lelaki dulu, barulah di terima golongan wanita dan kalau perlu hanya apabila semuanya sudah berjalan dengan licin. Kenapakah kem dan latihan diswastakan kepada orang tertentu dan syarikat yang tidak berpengalaman? Kenapa tidak dilibatkan anggota tentera yang memang berpengalaman dalam bidang ini? Kenapakah semua masalah ini tidak dibincangkan dan diperbetulkan setiap kali ia timbul?

Setiap kem yang ketiadaan unsur disiplin, tidak boleh bertahan lama. Lebih-lebih lagi, kalau pentadbirannya dianggotai petugas yang teruk tugasnya dan tidak diberikan gaji yang secukupnya sedangkan pihak pentadbiran hanya seronok mahu mengaut keuntungan daripada projek itu sahaja. Apa yang merisaukan kita, kalau diambil kira bentuk latihan yang dijalani oleh pelatih itu, kemungkinan ada segelintir mereka nanti bertukar perangai sebagai sampah masyarakat yang lebih dahsyat daripada jangkaan kita. Kalau penyertaan mereka itu diambil mengikut formula matematik yang dibincangkan tadi, kemungkinan mereka menjadi semakin yakin betapa Malaysia adalah sebuah negara di mana satu bangsa akan terus mempunyai keistimewaan ke atas kaum yang lain.

Sebagai contohnya, kenapakah semua jurulatih itu datang daripada bangsa Melayu? Kenapakah tidak ada kemudahan terhadap peruntukan juadah makanan mengikut adat dan cita rasa semua kaum? Golongan yang hanya makan sayur-sayuran telah diarahkan memilih sayur-sayur yang dijadikan sebagai perencah lauk ikan dan daging. Tidak ada lauk kaum lain, hanya lauk orang Melayu sahaja. Mereka yang tidak boleh makan daging lembu dan ikan disuruh berlapar begitu sahaja. Kalau inilah yang dikatakan integrasi nasional, sudah tentu ia memberikan isyarat yang silap. Saya merasa pelik juga apabila program yang akan menelan belanja RM1 bilion tidak pun menarik minat menteri-menteri kabinet melawatinya. Kenapa tidak? Beberapa kisah yang menakutkan itu disebarkan oleh golongan ibu bapa setelah mendengar cerita daripada anak-anak mereka. Tetapi siapa pula yang mendengar rintihan mereka? Adakah sebarang rencana meminta para pelatih menulis taksiran mereka semasa berada di kem latihan? Jika tidak, mereka seharusnya diarahkan berbuat demikian. Kalau ini merupakan satu program yang penting, kenapakah begitu dirahsiakan? Sepatutnya isu ini mesti diperdebatkan di Parlimen.

{Versi yang telah disunting ada dalam kolum Chiaroscuro bertarikh 27 April, di Malaysiakini. Di bawah tajuk “Cash cow for the connected” – Lembu tenusu kepada yang perlu disusui”.}

MGG Pillai
pillai@streamyx.com
03.05.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN