TAG 1594:
Indah Khabar Dari Rupa...
(What you see is not: The form is more important than the substance) Oleh MGG Pillai - 26.04.2004

Keangkuhan yang menjadi-jadi sudah menjadi pakaian hidup Barisan Nasional (BN), dan Presidennya merangkap Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Inilah yang memintal keyakinan mereka sehingga menjadikan BN sebuah parti yang semakin berkecamuk, menyembah bumi. BN sedang berpecah dari dalam, lebih dahsyat getarannya berbanding segala masalah yang menghantui pihak Pembangkang. Semua ini terjadi gara-gara kemenangan yang memberikan mereka majoriti besar di Parlimen. Memang tidak ada sesiapa yang bercakap mengenainya, tetapi sudah ternyata betapa BN sudah berpecah-belah tanpa peluang untuk bertaut semula. Paklah terjebak di dua lembah yang jerlus, tanpa upaya meraih keuntungan daripada mandat besar yang belum pernah diraih oleh sesiapa, apatah lagi menentukan orang bawahan mengikut katanya. Dalam BN memang wujud beberapa kumpulan pendesak yang perkasa, namun kebanyakannya memang sedang terhenyak di tempat mereka. Kemudian wujud pula dua kumpulan kecil yang tidak ramai sanggup menceritakannya: Satu kumpulan itu merupakan pengikut setia (loyalis) Tengku Razaleigh Hamzah, dan satu kumpulan lagi bersikap lebih berselera walaupun tanpa bisanya dan merupakan loyalis kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sedang terpenjara.

Namun demikian, dua kumpulan kecil ini mengambil sikap menyendiri, tidak lagi menunjukkan taring sebagai satu kumpulan pendesak, dan memang tidak rapat dengan tampuk kuasa dan naungannya dalam parti. Pada kali ini, perpecahan yang akan menyerlah dan muncul daripada dalaman dan bawah, berpunca daripada seorang Presiden parti yang begitu lemah dan tidak keruan hala tujuanya dan panglima perang di kalangan negeri-negeri yang semakin menyinga sikapnya; sedangkan perangai haprak begitu tidak berani menampakkan kuku di zaman semua Presiden basi mereka yang dulu-dulu.

Yang menambahkan tekanan besar mereka ialah kemenangan besar bulan lalu hasil pilihan raya umum yang mereka tipu. Itulah yang memenggal kepala Parti Pembangkang. Suruhanjaya Pilihan Raya telah memutarbelitkan peraturan pilihan raya untuk menentukan kemenangan sebesar itu. Malahan, segala hukum-hakam telah dilentuk sesuka hati tanpa mengambil kira Perlembagaan negara untuk menyulitkan sebarang usaha pihak pembangkang mempertikaikan keputusan yang telah dicipta. Kini, SPR dihantui teka-teki apakah ia mampu menentukan keadilan ketika pilihan raya. Apabila SPR tidak mampu menguruskan pilihan raya dengan jujur, ia bertindak melakonkan peranan mengikut undang-undang yang sengaja dilenturkan, sehingga terserlah segala kerja penipuan yang tidak sempat disorokkan. Sebagai contoh, cuba kita ambil daftar pengundi yang diserahkan kepada setiap calon pada hari pencalonan - kerana ghairah mahu membantu kemenangan parti pemerintah, SPR telah menggunakan daftar pengundi yang digazet hanya dua hari selepas hari pencalonan, dan juga yang digazetkan dua hari selepas hari pengundian. Inilah yang mencetus kelam-kabut pada hari mengundi. Keadaan semakin bercelaru sehingga di Selangor dan beberapa tempat yang lain ramai pengundi yang tidak terjumpa nama mereka dalam daftar di sebelah pagi hari tetapi tidak pula di sebelah petangnya. Di Sungai Lembing Pahang, pembuangan undi telah digantung selepas lima jam dibuka dan apabila para pengundi menunjukkan kesilapan di mana simbol parti calon pembangkang dicetak dengan menggunakan simbol parti lain.

Yang menjadi lebih pelik ialah kisah SPR yang tidak pun menyedarinya sehingga perkara itu dijolok pada matanya. Lantas SPR gelabah mencari kambing sembelihan untuk mengalihkan kesalahan. Akhirnya pengundian di Sungai Lembing telah ditunda kepada satu hari yang lain, tanpa sebarang amaran. Pilihan raya adalah diadakan mengikut satu rangkaian Undang-undang yang pasti telah digazetkan, di mana sebarang perubahan tidak boleh dibenarkan. Tetapi di Selangor, waktu mengundi telah dilanjutkan selama dua jam lagi, tanpa sebarang amaran awal dan kerana alasan yang tidak masuk akal; bahawasanya terdapat kumpulan pengundi yang ramai semasa waktu mengundi biasa semakin tamat. Perkara semacam itu mudah diselesaikan seandainya pintu pagar ditutup dan membenarkan hanya mereka yang berada di kawasan dalam meneruskan pengundian. Memanjangkan tempoh masa mengundi selama dua jam adalah satu kerja yang tidak sah. Akan tetapi memang ada alasan di sebalik tindakan ini. Pihak pembangkang sedang menghampiri garis kemenangan, dan Menteri Besar sudah pun kalah di tempatnya. Semasa waktu mengundi disambung, pengundi tambahan yang secukupnya telah dibawa masuk dengan bas untuk memberikan kemenangan besar kepada BN.

Penipuan ini telah mengabaikan satu masalah: pegawai Melayu dalam perkhidmatan kerajaan dan ahli politik UMNO telah bersekongkolan untuk menjaga kepentingan mereka. Perkara ini adalah lebih serius daripada yang dijangka. Dasar Ekonomi Baru yang dulunya bertujuan memajukan Melayu luar bandar kini ternyata sudah kantul dan gagal segagal-gagalnya. Ternyata kedua-dua kumpulan ini sudah lama bersekongkolan untuk menipu orang Melayu di kampung dan desa, dan melibatkan kumpulan bukan-Melayu hanya kalau memerlukan mereka untuk kepentingan bersama. Kelakuan busuk SPR dalam pilihan raya umum kali ini memang bukan perkara baru yang tidak dijangka. Tetapi pada zaman silam, kepintaran pihak profesional dalam perkhidmatan awam dan ketaksuban betapa hala tuju negara terletak kepada keupayaan mengekalkan kerajaan yang sedia ada, telah menggerakkan kerja-kerja tipu menipu dalam pilihan raya itu sesuatu yang diteka sahaja sehingga tidak ada dakwaan wujudnya penipuan yang ketara. Kali ini keadaan sudah berubah. Penipuan sudah dilakukan dengan begitu rakus sehinggakan orang Melayu marhaen naik marah kerana dinafikan hak asasi mereka. Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman, cuba menjelaskan bagaimana kesilapan telah berlaku dan dengan lantang mencadangkan agar ditubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja. Kerana dilonjakkan oleh kemenangan besar, Paklah tidak ingin memikirkannya. Kononnya, dia telah menang dengan telus dan saksama dan kalaulah SPR yang telah berbuat silap, kenapa pula dia mesti menanggung bebannya. Itu sebabnya dia masih berkeras dalam perkara ini.

Akan tetapi, kemenangan sebesar itu telah memaksa beliau mengekalkan kabinet lama, sedangkan sebilangan besar anggota kabinet itu sepatutnya sudah dijadikan pekasam sejak lama dulu. Mereka semuanya telah dibiarkan terus menikmati kuasa, sambil ramai lagi yang diambil untuk ikut serta. Inilah muslihat untuk mengekang mereka daripada mengancam masa depan politik Paklah sebelum berlangsungnya pemilihan dalam UMNO tidak lama lagi.

Sebaliknya pula, menteri-menteri kabinet masih lagi mempamerkan kedunguan sehingga menyerlahkan hakikat betapa kehadiran mereka sudah tidak relevan lagi. Sejurus selesai mengangkat sumpah, mereka telah menghadiri sesi taklimat yang diberikan oleh pegawai tinggi kerajaan. Tujuannya ialah untuk memberi gambaran yang muluk-muluk kepada menteri-menteri baru, sambil menyungkup segala kisah yang menakutkan. Dengan bantuan ‘audio-visual’ pak menteri diberitahu betapa beruntungnya beliau dalam kementerian itu. Segala perangkaan yang menarik dibentangkan, dan betapa beberapa ratus juta diperlukan untuk menentukan pak menteri akan terus canggih lagi. Memang menakjubkan apabila para menteri memerlukan lebih RM300 juta sebagai wang permulaan untuk mengendalikan sesebuah kementerian. Inilah bahayanya. Sepatutnya tidak ada menteri yang mengeluarkan kenyataan berasaskan taklimat kelentungan yang disogokkan kepadanya. Seharusnya menteri itu tidak membuat keputusan bersandarkan segala laporan pegawai kerajaan, sambil mencuba mengikut rentak nalurinya, dan kecanggihan jentera politiknya. Namun itu semua memerlukan usaha, yang semestinya amat menyulitkan gara-gara tipu muslihat dalam pentadbiran kerajaan yang sudah lama berkecamuk perjalanannya.

Cuba kita ambil Program Khidmat Negara sebagi contohnya. Ia diwujudkan untuk alasan yang dinyatakan, tetapi untuk membolehkan individu tertentu membalun harta karun daripada beberapa bentuk perkhidmatan seperti membuat uniform dan segala keperluan yang diperlukan. Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak bertanggungjawab dengan projek ini. Tetapi banyak laporan yang tersebar luas mengatakan bagaimana isteri beliau memiliki kontrak lumayan menyediakan sebilangan besar uniform yang diperlukan. Tentu kita ingat semasa Najib menjadi Menteri Pelajaran dahulu, beliau telah melancarkan Sekolah Bestari. Isteri beliau menyediakan komputer dan pelbagai bekalan alat pandang-dengar. Projek itu kantul akhirnya. Hari ini tidak ada sesiapa yang menyebutnya. Sedangkan beratus juta ringgit terbuang di dalam longkang. Projek Khidmat Negara berbangga dengan bajet sebanyak RM500 juta. Para pelatih hidup dalam keadaan yang daif, bergerak daripada satu kem latihan ke satu kem yang belum sempurna pembinaannya. Tidak ada unsur keselamatan di situ. Kini baru muncul pengakuan, betapa para pelatih itu dipilih bukan kerana mereka layak, tetapi kerana ada tanggapan mereka boleh bertukar menjadi begitu.

Sementara itu menteri berkenaan berlagak tegas dan pedas terhadap mereka yang tidak menghadirkan diri untuk latihan. Sekurang-kurangnya 10,000 pelatih tidak muncul lagi. Sebagai langkah permulaan, mereka telah diancam akan dikenakan hukuman penjara selama enam bulan dan denda beberapa ribu ringgit banyaknya. Akan terlaksana rencana itu? Pada 1970-an dulu, kerajaan telah menangkap dan mendakwa beberapa ribu pelajar Malaysia dan mahasiswa yang menunjuk perasaan secara haram. Hampir 20 tahun kemudiannya, muda mudi ini muncul di mahkamah kerana kesalahan yang sama, sedangkan ada yang sudah jadi anggota kanan perkhidmatan awam. Sikap mudah mengancam apabila arahan tidak dipatuhi ataupun apabila arahan itu dipertikai, sudah merebak menyeluruhi perangai pihak atasan. Pihak pembangkang tidak boleh mencabar keputusan sesuatu yang dianggap benar oleh kerajaan. Anak-anak muda Malaysia yang dipanggil berkhidmat itu selama tiga bulan kini diugut akan dipenjarakan dan didenda seandainya mereka terus menghilangkan diri. Sebaliknya tidak ada sebarang usaha untuk memperbaiki keadaan, kerana semua itu dianggap sebagai sesuatu yang mudah sahaja dan sebagai masalah keghairahan golongan muda untuk suka mengada-ngada.

Apakah yang boleh dibuat dalam masa tiga bulan? Masa selama itu hanya cukup untuk menjadikan mereka satu kumpulan yang mengenal erti kata disiplin. Pada mulanya mereka perlu menerima latihan menggunakan senjata. Tetapi latihan itu digugurkan serta-merta apabila 41 khemah yang menampung 85,000 muda-mudi itu tidak mempunyai bilik simpan senjata. Kalau asas persiapan begitu tidak diambil kira bagaimana mungkin projek itu boleh berjaya? Namun, keadaan belum menghampakan lagi kerana ramai yang akan mendapat komisen besar daripada bekalan uniform dan makanan serta kelengkapan. Lagipun para pegawai mempunyai masa yang tidak terhad untuk membeliakkan mata ketika melihat gadis-gadis remaja bermandi-mandian sehingga ada yang tidak terbendung nafsunya untuk merogol mereka. Kerajaan tidak ambil peduli apalagi untuk mengambil kira segala bahaya yang ada. Pengerusi Latihan Perkhidmatan Negara, Dr. Ahmad Fawzi Basri nyata tertekan dengan kisah rogol, bukan kerana ia sudah terjadi tetapi kerana ia mencemarkan program Perkhidmatan Negara itu. Inilah gambaran sikap mereka yang sedang berkuasa. Bolehkah sesuatu bertukar rupa mengikut suasana yang ada dan pemikiran yang sudah begitu majal? Jangkaan anda memang serasi dengan jangkaan saya juga.

MGG Pillai
pillai@streamyx.com
01.05.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN