TAG 1590:
Pelan Integrasi Nasional: Satu Lakonan Lagi?
(National Integrity Plan: Showtime Again?) Oleh Kim Quek - 26.04.2004

Tindakan Perdana Menteri Abdullah Badawi melancarkan Pelan Integrasi Nasional (PIN) sebagai satu pelan induk untuk memerangi korupsi telah mengingatkan saya kepada usaha beliau satu ketika baru-baru ini, dalam melancarkan satu Suruhanjaya Diraja untuk memperbetulkan pasukan polis yang sudah tenat – ini merupakan satu lagi perubatan lompong yang tidak akan mengubati penyakit yang membusung.

Dalam kisah penubuhan Suruhanjaya Diraja terhadap masalah polis dahulu, saya mengandaikan segala kegagalannya sama dengan kisah seorang pesakit barah yang diberikan satu pemeriksaan biasa, dan bukannya rawatan khusus yang menyeluruhi perubatannya. Dalam kes PIN ini, saya ingin menggambarkannya sebagai satu usaha yang tidak akan berjaya pada mula lagi, sama dengan kisah seorang pesakit barah yang diberikan rawatan oleh pakar barah yang tidak pun dilengkapkan dengan segala peralatan canggih dan ubat untuk memerangi barah itu.

Sememangnya PIN itu boleh dikatakan canggih-manggih dari aspek idealismenya, tetapi kita bukannya membincangkan perihal kanak-kanak sekolah yang tidak berdosa. Kita sedang berdepan dengan sekumpulan penyangak yang sudah membesar sehingga memberikan keaiban kepada masyarakat kita. Apakah senjata dalam PIN yang mampu memberikan tunjuk ajar yang berkesan kepada kumpulan penyangak ini?

Badan Pencegah Rasuah sepatutnya memainkan peranan utama dalam membasmi korupsi. Malangnya ia sudah menjadi seekor itik tempang yang terkurung. Yang lebih teruk lagi BPR bukan sahaja gagal membanteras korupsi, tetapi ia sebenarnya telah menggalakkan rasuah, di mana pelbagai usaha disediakan untuk melindungi para pemimpin yang rasuah yang berada di pihak kerajaan daripada dikenakan tindakan.

Tidak ada sebarang usaha dalam PIN untuk mengembalikan maruah dan martabat BPR. Kalaulah Abdullah benar-benar serius untuk membersihkan kerajaannya daripada korupsi, dia seharunya memberikan keutamaan merombak semula BPR di mana beberapa langkah di bawah ini harus diambil kira:

 a. Berikan kebebasan kepada BPR mengemukakan laporannya kepada Parlimen
 b. Berikan kuasa mendakwa kepada BPR. Buat masa ini BPR hanya bertindak sebagai satu agensi penyiasatan untuk Peguam Negara (Attorney General) yang mempunyai kuasa mutlak untuk mendakwa ataupun tidak.

 c. Ketua Pengarah BPR mestilah merupakan calon pilihan satu Suruhanjaya bebas yang dianggotai oleh tokoh-tokoh awam yang memang bermartabat tinggi di kalangan masyarakat.

Langkah yang paling mudah untuk merombak BPR berlandaskan cadangan di atas oleh Abdullah adalah lebih bernilai konsepnya berbanding ribuan kata-kata retorik yang diberikan dalam PIN itu.

Satu lagi kehaprakan PIN telah menyerlah apabila tidak ada tumpuan diberikan kepada peranan bebas pihak media dalam membanteras korupsi. Adalah satu fahaman umum yang diiktiraf seantero dunia betapa media yang bebas merupakan alat yang baik untuk membanteras korupsi dan salah guna kuasa di pihak atasan yang berkuasa. Malangnya media Malaysia memang diketahui dunia sebagai begitu tertekan dan dihamba abdikan oleh parti pemerintah, melalui adanya undang-undang menekan dan pemilikan media itu sendiri. Kalau benar Abdullah serius mahu membanteras korupsi, yang paling mudah dilakukannya ialah menghapuskan Akta Rahsia Rasmi dan Akta Percetakan serta Penerbitan. Ini akan membolehkan para wartawan membuat laporan  mengenai korupsi dan segala amalannya di kalangan orang atasan tanpa takut-takut dengan tindakan balas daripada pihak yang berkuasa.

Sepatunya Paklah telah melaksanakan strategi laksana serampang dua mata dengan cara memberikan kuasa BPR yang bebas dan membebaskan pihak media dalam kerja-kerja mendedahkan korupsi itu Sayangnya tidak ada perkara ini yang dibincangkan dalam perancangan beliau. Jadi bagaimana mungkin kita dipersalahkan apabila melihat PIN itu sebagai satu lagi sandiwara dalam beberapa tindakan Abdullah selama ini?

Akhirnya, pemimpin pembangkang Lim Kit Siang telah mencadangkan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri menyimpan satu daftar yang mengandungi aset semua wakil rakyat dan ahli keluarga mereka yang terdekat. Daftar ini mestilah disediakan untuk dipantau oleh rakyat marhaen seperti yang diamalkan oleh negara berdemokrasi seperti UK dan New Zealand. Bukan sukar sangat melaksanakan idea ini. Walaupun ia merupakan langkah kecil ke arah ketelusan, ia sebenarnya merupakan satu langkah yang menggalakkan kalau semua wakil rakyat menunjukkan keikhlasan mematuhinya. Adakah sebarang sebab kenapa Perdana Menteri tidak mengambil peduli akan cadangan ini?

-Kim Quek - 27.04.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN