TAG 1577:
SPR Terjebak Dalam Tipu-helah Pilihan Rayanya
(The EC is caught in its electoral machinations) Oleh MGG Pillai - 15.04.2004

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kefahaman bahawa kerja-kerja membuang undi adalah terlalu penting untuk dibiarkan kepada para pengundi. Si pengundi dianggap sebagai seseorang yang tidak akan faham segala isu dan mudah terpikat kepada cakap manis dan isu yang tidak relevan seperti agama ataupun kegiatan aktivis yang bergiat mengenai korupsi, maruah, ketelusan yang boleh menyekat si pengundi itu daripada memangkah calon BN. Oleh kerana inilah sejak bertahun lamanya, SPR berjaya menipu para pengundi sehingga menjadi sukar kini untuk memangkah undi sendiri. Seseorang insan mungkin menetap di Batu Gajah Perak tempat dia mengundi ialah di Tampin, Negeri Sembilan. Itu perkara yang mudah kerana akan ada pengundi hantu yang akan mengambil tempatnya nanti. Semua ini menjadi mungkin dengan kerjasama SPR, dan agensi lain dalam kerajaan, seperti Jabatan Pendaftaran Negara, yang mengeluarkan kad pengenalan haram kepada pendatang haram dan orang lain untuk membolehkan mereka memangkah undi bagi rakyat Malaysia yang enggan ataupun tidak mampu membuang undi. Lebih-lebih lagi mereka yang sudah lama mati bertahun-tahun dulu. SPR mempunyai hanya satu misi sahaja: menentukan agar BN terus mencengkam kuasa tidak kiralah apa caranya. Kalau perlu diputarbelitkan segala peraturan dan hukum-hakam, mereka akan melakukannya. Kalau perlu dikerah pengundi hantu merata tempat dan mengeluarkan daftar pengundi yang tidak lengkap maklumatnya, mereka akan melakukannya. Peranannya ialah melaksanakan tugas itu tidak kira apa ongkosnya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memang faham sangat akan perkara ini. Pada awal 2003, ketika sempadan baru dirancang, dia telah membuat lawatan senyap-senyap ke Sabah, untuk bertemu dengan pemimpin UMNO. Dia mempunyai dua tugas tertentu: menentukan agar kaum Islam menjadi suara majoriti dalam dewan undangan Sabah yang baru, dan kaum Cina yang amat diperlukan sokongannya oleh sesiapa yang mahu menubuhkan kerajaan, harus dijadikan satu kumpulan yang tidak bermaya dari segi kuasa undinya. Dia berjaya dalam dua usaha ni. Beliau telah mengadakan mesyuarat peribadi pada malam ketibaannya dengan mereka yang mempunyai pandangan yang sama dalam UMNO Sabah, sebelum bertemu dengan pemimpin UMNO yang lain pada keesokan harinya sebelum berangkat pulang. Beliau tidak pun bertemu dengan pemimpin lain dalam parti gagasan BN ataupun pihak pembangkang. UMNO telah mencadangkan satu jalan keluar daripada semua masalah itu dengan mewujudkan 70 kerusi Parlimen. Ini ternyata tidak menjadi kerana Sarawak juga perlu dinaikkan tarafnya. Lagipun UMNO tidak wujud di Sarawak dan komponen parti BN di Sarawak tidak akan menyetujui satu rencana tambahan kerusi semata-mata untuk menambahkan majoriti kepada konstitusi orang Islam.

Untuk menentukan penguasaannya, BN sudah bersedia menyetujui perjanjian awal dulu ketika dua negeri itu menganggotai Malaysia, di mana satu pertiga kerusi Parlimen diperuntukkan di sana. Tujuannya bukan untuk memenuhi kehendak perlembagaan tetapi untuk menentukan orang Islam akan terus memerintah hingga hari kiamat. Akhirnya SPR menyetujui menentukan agar 36 kerusi dari sejumlah 60 kerusi di Dewan Undangan Negeri Sabah itu mengandungi majoriti suara umat Islam, dan diwujudkan sampai 25 kerusi Parlimen pula. Tan Sri Rashid tidak bercakap mengenai majoriti Melayu, kerana orang Melayu di dua negeri itu tidak mahu dilihat begitu akrab dengan orang Melayu Semenanjung. Ini boleh dianggap laksana pedang yang ada dua matanya. Masyarakat Islam Sarawak dan Sabah, memang amat membenci sikap keangkuhan kuasa pusat, dan UMNO Sabah hanya indah pada rupanya sahaja. SPR sebenarnya sedang bermain api. Keangkuhan UMNO dalam kerajaan BN yang baru sudah begitu menyerlah. Orang bukan Islam sengaja dipinggirkan dan sengaja diberikan sindiran bahawa mereka hanya mempunyai peranan tukang sokong dalam kerajaan negeri yang dikawal ketat oleh kerajaan pusat. Seperti biasa tidak ada sebarang usaha diberikan untuk memikirkan lama-lama terhadap apa yang perlu dilaksanakan. Sekarang barulah orang sedar kenapa PAS mampu berakar umbi di dua negeri itu, lebih lagi di Sabah. Sebarang usaha UMNO berkempen di Sabah dan Sarawak akan menentukan peralihan sokongan orang Islam di sana yang akan memberi keuntungan kepada PAS. Begitulah juga yang telah berlaku di Semenanjung.

SPR lupa betapa kesetiaan perkauman adalah lebih perkasa daripada pengaruh politik ataupun kumpulan agama. Apabila agama dipolitikkan, yang meraih keuntungannya ialah parti teokratik ataupun kumpulan perkauman, ataupun kumpulan Islam ataupun bukan-Islam yang menentang satu kuasa asing. Perasaan marah yang dipendam oleh peribumi Sabah, tidak kiralah apa agama mereka memang amat menyerlah apabila mereka bercakap kepada pemimpin UMNO. Mereka tidak mahu disuruh-suruh oleh Kuala Lumpur. Mereka sedar kenapa UMNO dianggap penting di Sabah, kerana adanya ‘bank’ undi yang mampu membantu pemimpin di Kuala Lumpur memperkasa kedudukan mereka dalam pertandingan UMNO nanti. Tidak perlulah kita membesarkan perkara ini, tetapi demikianlah caranya bagaimana politik menjadi hamba abdi di negeri itu. Parti sekutu BN di Semenanjung telah meluru untuk menubuhkan cawangan di negeri itu dan cuba menonjolkan calon untuk pilihan raya. Tidak ramai orang Kuala Lumpur yang menyedari pengaruh tempatan yang menentang gelagat begitu. Pendapat begitu memang tidak dapat bertahan lama. Ia menjadi lebih buruk setelah kemenangan diraikan di Sabah ekoran pilihan raya umum bulan lalu. Rakyat Sabah yang serba-tahu sama ada dalam politik ataupun di luar politik, sama ada dalam BN mahupun dalam Pembangkang, melihat semua ini dengan perasaan suka-duka dan ketakutan, malahan golongan yang begitu optimis tidak berani mengetepikan kemungkinan berlakunya perpecahan dalam BN dan UMNO sebelum berulangnya pilihan raya umum yang akan datang. Dalam suasana ini nanti ahli politik yang beragama Islam akan bersedia menyebelahi para pemimpin politik yang bukan beragama Islam.

Tan Sri Rashid dan SPR mesti menanggung segala bebanan dan tanggungjawabnya. Penyelewengan mereka menguruskan pilihan raya umum ke-11 dulu relah membawa kesedaran di kalangan marhaen Malaysia betapa mereka sudah lama tertipu. Kerajaan BN dan UMNO masih berdegil menafikannya. Tuduhan dihalakan kepada SPR kerana masalah itu semua. Di waktu yang sama kerajaan BN mengejek pihak Pembangkang sebagai orang kalah yang kecewa dan terus berlagak bahawa segala-galanya masih berjalan dengan selesa. Tetapi BN sedang gelabah sakan. Lebih lagi selepas Pembangkang mengeluarkan butiran yang mendedahkan kepincangan SPR serta niat mahu mencabarnya di mahkamah. BN tidak mahu mendengar semua itu. Semua akhbar Perdana milik kerajaan sengaja mengetepikan isu itu. Terpulanglah kepada Rashid SPR untuk membuat penjelasannya, tetapi segala penjelasan itu ternyata haprak dan dangkal sahaja bunyinya dalam satu wawancara pada 13 April, 2004 Rashid menuduh parti politik pembangkang kerana sengaja menyalahgunakan kertas undi pos. Dia telah menonjolkan satu teori konspirasi, kerana dia memang ada satu kisah konspirasi bagi setiap kesilapan yang telah dibuat oleh SPR. Dalam usahanya yang sungguh melucukan itu, dia menganggap rakyat Malaysia semuanya dungu dan bebal belaka.

Satu contoh sudah mencukupi menyerlahkan perkara ini. Dalam satu sidang akhbar dia berkata betapa 5,000 helai kertas undi pos di Lumut tidak dikembalikan. Beliau berkata oleh kerana terlalu ramai kelasi kapal bertugas di laut, mereka tidak dapat mengundi menepati masanya. Nampak sangat dia bercakap bohong. Kalau semua kapal tentera laut kita pergi ke laut pada satu waktu yang sama, dan ini memang tidak mungkin akan terjadi, tidak lebih 2,000 tentera laut yang akan berada di perairan. Sepanjang pengetahuan saya, Tentera Laut Malaysia belum memiliki satu kapal induk pun, dan kita belum mempunyai rencana seperti itu lagi. Kalaulah ada pasukan begitu, memang tepatlah apa yang disebut oleh Rashid. Kalaupun mereka terpaksa mengundi di tempat yang khusus, kenapa pula kertas undi tidak diberikan kepada mereka yang hadir di situ? Kenapa kertas itu diagihkan kepada semua pihak, seperti yang disebutnya?

Kerajaan tidak boleh diam membisu lagi. Ia turut terlibat dengan kehaprakan yang dicetuskan oleh SPR. Diam membisu dan mengetepikan segala kesan kerja jijik SPR bukan satu pilihan baginya. Rakyat jelata sudah naik angin kerana ditipu bontang. Memang belum ada pertanda yang jelas mengenai hal ini. Tetapi cubalah bincangkan perkara ini dengan rakyat biasa di jalan raya, anda akan mendengar kemarahan yang lebih lantang dan hangat berbanding kemarahan marhaen semasa Anwar Ibrahim dilebarkan matanya. Segala perasaan kemesraan dan hormat kepada seorang Perdana Menteri yang baru, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebelum berlangsungnya pilihan raya umum dulu, sudah hilang hangus berdebu. Dia mesti persoalkan Tan Sri Rashid dan SPR. Tidak ada orang lain yang mampu melakukan segala tipu muslihat itu secekap beliau. Sudah tentu bukan pihak Pembangkang.

MGG Pillai
pillai@streamyx.com
17.04.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN