TAG 1575:
BN Mula Mereput Selepas Pembangkang Habis Terjerut
(The BN eats into itself after it decimates the Opposition) Oleh MGG Pillai - 12.04.2004

Kalau dalam keadaan lain, Barisan Nasional tentu sudah mampu menayangkan keangkuhannya terhadap kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum 2004 dulu sebagai bukti akan kegagahannya. Memang ada juga dibuatnya gelagat itu untuk seketika, dan bukan untuk lama-lama. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang begitu ghairah mahu menentukan kemenangan BN, telah membenarkan hukum-hakam serta peraturan pilihan raya dilanggar begitu sahaja oleh sesiapa direlakannya. Inilah akhirnya yang mencetuskan keresahan apabila pilihan raya itu dianggap terlalu banyak cacat-celanya. Sememangnya BN tidak mahu ambil pusing akan perkara ini. Ia sudah kembali mencengkam kuasa, tidak kiralah apa caranya, kerana itu sahaja yang dianggap penting, dan kerana itu ia bertindak pantas menubuhkan satu kerajaan. Lagipun Dato’ Seri Abdullah Badawi mesti meraih kemenangan besar untuk layak dijulang sebagai seorang Presiden UMNO, bukan melalui pertandingan dalam persidangan tahunannya yang akan berlangsung akhir tahun ini. Namun kini, BN sudah terkejut beruk menyedari betapa kemenangan besar mereka itu akan mencetuskan huru-hara juga, akhirnya. Daripada sejumlah 219 kerusi parlimen, BN menang 198 kerusi. BN juga menguasai 11 kerajaan negeri daripada 12 yang dipertandingkan – Sarawak masih belum mempunyai Dewan Undangan Negeri yang baru. Semua itu mendedahkan keretakan dalaman, dalam setiap parti BN, yang disorok dengan liciknya sebelum pilihan raya itu sebagai usaha memaparkan kesatuan yang padu.

Keadaan begini memang begitu lebih serius dalam UMNO. Paklah sendiri telah terkejut beruk apabila mengetahui gelagat panglima perang UMNO yang satu ketika dulu dirantai oleh bos lamanya Tun Kepala Taik Mahathir. Kini, barulah Paklah tahu betapa bagaknya panglima perang itu, semua. Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Tajul Rosli Ghazali telah menyatakan dengan jelasnya sebelum pilihan raya umum dulu, betapa dia sudah membuat keputusan siapa bakal calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri apabila dia tidak mahu ambil kira semua calon yang gagal dalam pilihan raya umum 1999 dulu. Akan tetapi, demikianlah halnya dengan setiap parti BN. Inilah yang menghantui Paklah sekarang ini: dia mesti tentukan pelantikannya sebagai Presiden UMNO tahun ini, dan menjauhkan pengaruh panglima perang di kalangan pemimpin UMNO. Baru-baru ini Tun Kepala Taik telah membuat pengakuan bahawa kemenangan besar BN dalam pilihan raya umum terbaru ini ada kena mengena dengan pengunduran beliau daripada arena politik yang menceriakan ramai rakyat negara ini. Mungkin juga ada kebenarannya, tetapi apabila dia berundur daripada pucuk kepimpinan UMNO, dan secara tidak langsung pucuk kepimpinan BN, gagasan itu sudah mula mereput dari dalam. Sejak UMNO mencetuskan rusuhan kaum pada 1969 dulu, pilihan raya umum telah berjaya meletakkan UMNO di puncak kuasa. Memang ada satu pakatan gagasan dalam semua itu. Tetapi tidak kiralah siapa yang menganggotainya. Buat masa ini sesiapa sahaja yang memimpin parti komponen BN, mereka mudah menjadi orang suruhan UMNO sahaja.

Akan tetapi UMNO telah membuat satu kesilapan yang mahu diteruskannya. UMNO mahu melihat dua tokoh paling utama terus tidak tercabar, tidak kiralah bagaimana mereka berada di jawatan itu pada tahap awalnya. Inilah yang dijadikan oleh Tun Taik Mahathir sebagai satu kesenian. Sejurus beliau ‘kalah’ kepada seorang pencabar pada 1987, dia telah bermuslihat menentukan dua jawatan utama itu tidak tercabar. Dia mengubah-suai segala peraturan parti untuk menyesuaikan keadaan dan mengetepikan mereka yang tidak diingininya. Dia berjaya dengan tipu-helah ini kerana bertindak ganas mengetepikan sesiapa yang tidak bersetuju dengannya. TKT mahu satu kumpulan pengikut yang taat setia kepadanya secara membabi-buta, dalam UMNO, di Majlis Tertinggi Parti dan di kabinet. Semua ini menyekat akar umbi UMNO daripada menggunakan hak mereka untuk memilih para pemimpin yang mereka suka. TKT Mahathir berjaya memutarbelitkan keadaan mengikut seleranya semata-mata kerana sebagai seorang Presiden UMNO dia berjaya meraih sokongan masyarakat Melayu dan mereka yang bermain politik dengannya. Keadaan demikian berterusan sehingga 1998, apabila dia tersilap langkah mengaibkan Timbalan Presiden UMNO, dan inilah yang terus menghambat beliau dan juga UMNO sehingga ke hari ini.

Masyarakat Melayu terus berpecah-belah selepas itu. Walaupun kemenangan besar UMNO pada pilihan raya umum 2004 itu menampakkan pada garis kasarnya, keupayaan UMNO untuk pulih semula, kemenangan yang begitu tercemar oleh penipuan besar menjadikan kemenangan itu satu titik-tolak perpecahan orang Melayu yang semakin berpecah belah dari segi fahaman politiknya sehingga memberi ruang kepada Islam untuk memainkan peranan yang lebih besar, pula. Dengan tersisihnya pengundi Melayu di setiap tahapnya, memberikan gambaran betapa sudah ada usaha besar untuk menghumban fahaman sekular dan kebudayaan Melayu daripada senario politik negara. Sejak UMNO dan PAS bertelagah mengenai negara Islam di Malaysia ini, ia sepatutnya sudah bersedia menyelesaikan segala masalah yang berbangkit darinya. UMNO di zaman pasca Pilihan Raya Umum ini, memerlukan pembabitan Paklah yang mesti menyekat kemaraan panglima perang parti, sejurus beliau menjadi seorang Presiden mengikut haknya. Inilah yang menyulitkan pergerakan Paklah, kerana tidak mampu bertindak tegas mengikut kehendak hatinya. Kabinetnya yang ada sekarang memang satu barisan pemain sarkas sahaja. Dia sendiri kerap bertindak tergesa-gesa seolah-olah ada yang menyebabkan beliau gelabah sentiasa. Semua ini adalah kerana mahu menepis serangan para panglima perang yang mahu menyulitkan urusannya.

Seolah-olah semua ini masih belum mencukupi, kita dapati setiap parti komponen BN menghadapi masalah yang serupa. Mereka meniru amalan UMNO mengenai pucuk kepimpinan yang tidak tercabar, dan gunakan amalan itu sebagai satu bukti yang mereka menguasai akar umbi. Mereka berurusan dalam kelompongan yang dikelilingi tukang jilat dan para kroni, sambil menginjak sesiapa yang dianggap sebagai ancaman berbahaya.

Urusan parti berjalan mengikut acuan bikinan pemimpinnnya. Masyarakat yang mereka wakili sentiasa tertipu dengan sengaja. Oleh kerana masyarakat itu tidak pun mempunyai kuasa bebas mereka yang diberikannya kuasa akan terus terpaut pada kuasa itu mengikut selera dan nafsu Presidennya. Sepanjang masa itu, seperti sudah menjadi amalan di kalangan masyarakat Melayu, hala tuju masyarakat akan dirangsang oleh gerakan dan laungan kumpulan yang muda dan anggota yang terpinggir hidupnya. Semakin kuat ayunan tekanan itu, semakin cenderung para pemimpin bergayut kepada Presiden UMNO. Demikianlah keadaan mereka sehingga hilang segala kecenderungan untuk berpolitik secara bebas. Mereka perlu berkuasa untuk beberapa dekad. Kesannya seperti terjadi dalam UMNO, para pemimpin yang lemah, terus mahu mencengkam kuasa seolah-olah kuasa itu datang dari langit untuk mereka. Segala kehaprakan yang berlonggok selama ini kini menyeringaikan taring dengan segala dendam kesumatnya.

Oleh kerana BN juga turut berkuasa, semua agensi dan institusi (kerajaan) turut menjadi hamba abdinya. Kuasa Parlimen diketepikan dan Dewan Undangan Negeri sudah tidak bermakna lagi, kerana sikap pentadbiran yang mengikut cita rasa sendiri. Pembangkang di Parlimen mahupun dalam Dewan Undangan Negeri sudah tidak dipedulikan, gara-gara kuasa berlebihan yang membolehkan mereka menyisih ataupun menghentikan sesiapa yang tidak sebulu dengan mereka. Dengan lain perkataan, BN menjadi satu parti eksklusif untuk tukang gayut, yang tidak ada matlamat memegang jawatan selain mahu terus bergayut kepada jawatannya. Yang lain tidak bermakna lagi. Inilah yang turut mencetuskan satu barisan kepimpinan bersifat gila kuasa di kalangan para pemimpin yang tidak mudah akur tetapi yang sudah di ketepi dan sengaja dilupakan. Cuma mereka ini tidak mudah dimusnahkan. Keadaan ini akan nampak menyerlah apabila timbul satu krisis. Pilihan Raya Umum yang berlalu yang memberikan kemenangan besar kepada BN, sekali gus mencetuskan kuasa berbuat begitu. Apabila BN ketawa besar terhadap kemenangan besarnya, ia terpaksa sekali gus berdepan dengan luahan muntah dari dalam. Kerana mereka yang telah tersisih dan dihumban ke tepi akan secara automatis bergabung tenaga dengan kumpulan haram yang membantah ini.

Itu sebabnya tercetus pelencung di mana wakil rakyat BN akan dipantau dengan cara satu kad kemajuan mereka (report card) dan cara lain lagi. Tentu kita mahu tahu kenapa sekarang pula? Kenapa tidak dilakukan perkara itu selepas pilihan raya yang lalu? Apa pentingnya perkara ini selepas pilihan raya umum yang ini? Inilah pelencung untuk menutup segala luahan masalah dalaman. Kita ambil contohnya di dalam UMNO; di mana kedua-dua pemimpin tertinggi, Paklah dan Najib mahu melindungi status mereka dengan bertegas bahawa dua jawatan yang mereka pegang itu mesti terus dikekalkan. Sesiapa yang tidak bersetuju ditohmah sebagai penderhaka. Apa yang tidak disebut secara terbuka ialah kisah Paklah yang gagal menumpaskan Timbalannya, kini terpaksa bekerjasama dengan beliau pula. Kerana tidak mahu diperlekeh, Dato’ Najib, cuba mencuri masa dengan berpura-pura menyatakan kesetiaan beliau terhadap Paklah. Semua ini adalah bertujuan melambatkan sebarang cabaran seandainya jawatan itu dipertandingkan. Bagaimana mungkin semua itu, sedangkan dua jawatan itu masih kosong lagi. Paklah dan Najib hanya merupakan Pemangku Presiden dan Pemangku Timbalan Presiden parti sahaja.

Kini semua perhatian tertumpu kepada pertandingan jawatan dalam UMNO. Paklah telah membuat kesilapan pertama dengan kabinetnya yang pertama. Dia telah membesarkan kabinet warisan daripada si Tun Kepala Taik dulu, menjadikannya tidak bermakna dan tidak berguna. Beliau tidak punyai pilihan lain, memandangkan serangan politik yang disasarkan arahnya. Dia perlu mencantas kabinet itu sejurus dilantik secara rasminya. Inilah yang sudah diambil perhitungan oleh para panglima perang. Mereka terus mengenjut tekanan. Akan tetapi ada pula satu unsur yang tidak menyenangkan kita. Paklah lebih rela bertolak ansur dan mengalah daripada berdiri gagah menampan tekanan itu. Kita telah lihat bagaimana dia sanggup mengorbankan sahabat akrabnya apabila Presiden parti mereka bertegas mahu menyembelih mereka. Kita sudah lihat betapa kempen anti-rasuah sudah pun sejuk dan menghilang, Menteri yang ghairah mahu membasminya sudah pun dihumban ke kandang murahan. Sambil Paklah cuba menyelesaikan masalahnya, apakah gerangan kelakuan pemimpin BN yang lain? Mereka juga sedang berhadapan dengan masalah rumit yang tidak ada penyelesaiannya. Akan tiba masa penentuan satu hari nanti apabila naungan UMNO yang menyelamatkan mereka daripada sanggahan anggota parti sendiri akan menghilang begitu sahaja. Inilah yang mesti diselesaikan oleh Paklah, kalau dia benar-benar serius mahu menonjolkan ketokohannya sebagai seorang Perdana Menteri yang muncul bukan semacam hangat-hangat tahi ayam sahaja.

MGG Pillai
pillai@streamyx.com
14.04.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN