TAG 1494:
Pakistan: Tali Rentang Presiden Yang Semakin Kendur 
(The Tightrope Is Fraying Under the President of Pakistan) Oleh Amy Walman. The New York Times 30 Disember, 2003


Ekoran serangan 11 September 2001, Jeneral Pervez Musharaf telah membuat pilihan berani untuk merobah sokongan negaranya terhadap kerajaan Taliban di Afghanistan dan menjadi sekutu Amerika dalam kempen menentang keganasan.

Akan tetapi sejak itu, Musharaf telah melancarkan serangan terhadap kumpulan militan Islamiah di Pakistan secara berpilih-pilih dan tidak menentu, dengan kesedaran bahawa nasibnya dalam dunia politik Pakistan sedang tergugat gara-gara wujudnya sokongan mendalam di kalangan sebahagian besar masyarakat dan beberapa parti politik serta di kalangan tentera Pakistan sendiri terhadap kumpulan yang dimusuhinya.

Kini, sudah berlaku dua percubaan membunuhnya dalam tempoh kurang dua minggu, Jeneral Musharaf mungkin terpaksa memikirkan semula pendekatannya. Petunjuk awal memberi pertanda bahawa mereka yang menyerang beliau adalah kumpulan Islamiah tempatan yang naik berang dengan hala tuju pilihannya.

Kalau pembabitan itu dapat diperakukan, mungkin ada segelintir pertanda bahawa sokongan beliau kepada Washington tidak dapat bertahan lama dan dia akan lebih liat untuk menentang kumpulan militan Pakistan secara keras

Ada pendapat para analis berkata, setelah dua tahun bermuka-muka kepada dua pihak, sudah tiba masanya General Musharaf membuat pilihan yang nyata.

“Dia seharusnya faham benar bahawa kumpulan Islam yang ekstrem tidak boleh dipercayai,” kata Hasan Askari Rizvi, seorang analis tentera di Lahore. “Mereka berada di khemah yang bertentangan. Sekarang ini mesti ada pilihan "Apakah anda bersama kami ataupun tidak.”

Pilihan begini yang merupakan sesuatu menyulitkan Presiden itu kerana kegiatan militan sudah menyumbang kepada kerajaan Pakistan, di sebalik persahabatan rapatnya dengan Amerika Syarikat. Ada pihak yang berkata keupayaan beliau menghambat para ekstremis itu menjadi terhad gara-gara ketaksuban beliau mahu terus mencengkam kuasa.

Satu hari sebelum terjadinya peristiwa membunuhnya untuk kali yang kedua, General Musharaf, yang telah merampas kuasa pada 1999, telah mencapai kata sepakat dengan beberapa parti keagamaan yang berada di bangku pembangkang dalam Parlimen, bawa dia akan turun daripada kuasanya sebagai Ketua angkatan tentera dalam masa satu tahun. Sebagai balasan, beliau berjaya mendapat sokongan mereka untuk melakukan beberapa perubahan kepada perlembagaan yang telah dilakukannya tahun lalu.

Kini, panglima ini digugat ‘percanggahan dalaman” kata MR. Rizvi, yang akan menampakkan kesan ketegangan tidak lama lagi. “Di satu pihak memang jelas dia mahu memerangi kumpulan ekstrem Islamiah, tetapi di satu pihak lagi dia bersekongkol dengan parti keagamaan yang menyokong Al Qaeda dan unsur-unsur yang cenderung kepada Taliban.”

Malahan, beberapa elemen dalam persekongkolan itu mungkin bersekutu dan tentunya memihak kepada kumpulan militan yang kini sedang diperhatikan apakah terlibat untuk membunuh Presiden itu. Mereka telah mendapat sokongan besar dalam pilihan raya umum tahun lalu setelah Presiden Musharaf melumpuhkan parti politik sekular arus perdana, yang dianggapnya lebih kuat mengancam kedudukannya.

“Dengan menandatangani perjanjian itu, kerajaan sudah terkepung di dalamnya," kata Samina Ahmad, seorang analis yang rapat dengan International Crisis Group, yang berpangkalan di Brussels. “Kini ia lebih bergantung kepada kumpulan mullah,” yang merupakan guru-guru agama.

Kumpulan militan dianggap penting kepada Pakistan kerana beberapa sebab yang menyulitkan usaha Presiden bertindak terhadap mereka. Satu ketika dahulu Pakistan memang memberikan sokongannya kepada kerajaan Taliban yang bersifat fundamentalis di Afghanistan dalam usaha untuk bermesra dengan satu negara jiran.

Akan tetapi, madrasah di Pakistan yang menyediakan anggota pengikut bawahan kumpulan Taliban itu.

Walaupun Musharaf telah menyatakan kesanggupan melakukan reformasi ke atas madrasah itu semua, ratusan ribu calon pejuang militan tetap dikeluarkan oleh madrasah tersebut. Musharaf tidak mampu bertegas dalam perkara itu kerana parti-parti keagamaan telah bertegas mahu memerangi tindakan beliau ke arah itu.

Kumpulan yang pro-Taliban bebas bergerak di antara negara yang mengongsi sempadan di mana Osama bin Laden dan Mullah Muhammad Omar, bekas pemimpin Taliban disyaki sedang bersembunyi. Namun, lebih 500 orang yang disyaki anggota Al Qada telah diserahkan oleh Pakistan kepada Amerika Syarikat.

Kemudian, timbul pula masalah Kashmir di mana kumpulan militan Islamiah telah berpangkalan di situ dalam satu permusuhan yang panjang dengan India kerana menjajah wilayah yang ramai umat Islam, sebagai penduduknya. Kumpulan militan Islam terus bertapak di sana dengan nama yang berbeza dan dengan pergerakannya yang terhad.

“Jeneral Musharaf fikir dia boleh memencilkan masalah Kashmir dan melihat kisah militan itu sebagai berbeza daripada keganasan,” kata analis politik, Talad Masood, yang merupakan seorang bekas jeneral juga.

Seperti beberapa orang lain, Mr. Masood berkata segala kepercayaan itu sudah pun berkecai seperti kenderaan dan mayat yang terkorban pada hari Khamis dahulu, semasa Musharaf berjaya terlepas daripada percubaan yang kedua untuk membunuhnya.

Lima belas jiwa terkorban apabila dua pengebom nekad menyerang konvoi beliau. Para penyiasat berkata salah seorang pengebom nekad itu mungkin bernama Muhamed Jamil, berusia 23 tahun, daripada Kashmir, seperti yang disebut dalam akhbar Dawn. Beliau pernah berjuang bersama Taliban di Afghanistan.

Jamil pernah ditangkap di Kabul, Afghanistan dan pada bulan Mac beliau telah diserahkan kepada pihak Pakistan. Pihak perisikan Pakistan telah menyoal beliau dan mengisytiharkan beliau sebagai ‘putih’ yakni tidak mengancam negara dan membebaskannya.

Jamil dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan militan Kashmiri, bernama Jais-e-Muhammad. Kumpulan itu telah diharamkan tetapi pengasasnya, Maulana Masood Ashar, masih lagi meneruskan dakwah jalanan dengan ucapan yang berapi-api. Mr. Azhar merupakan salah seorang antara tiga lelaki yang dibebaskan daripada penjara India dalam pertukaran tebusan kapal terbang yang dirampas pada 1999.

Beberapa rencana lain yang mahu dilaksanakan oleh Musharaf di kalangan kumpulan ekstrem telah menjadi kabur disebabkan kumpulan militan itu sendiri. Seorang perisik barat yang berpengalaman berkata bahawa Lashkar-e-Taiba, merupakan satu kumpulan fundamentalis yang dipercayai telah ditubuhkan oleh perisikan Pakistan untuk berjuang di Kashmir. Kumpulan ini dikatakan telah memberikan latihan kepada kader Al Qaeda dan Jemaah Islamiah, satu kumpulan militan yang aktif di Asia Tenggara.

Kenyataan bahawa Al Qaeda menganggap Musharaf sebagai salah seorang musuh ketat mereka sudah disedari pada 11 September tahun ini. Ketika itu Ayman al-Zawahiri, yang merupakan orang kuat Osama Laden telah berucap kepada rakyat Pakistan. Beliau telah menuduh Musharaf sebagai “seorang pembelot yang menjual darah umat Islam di Afghanistan.”

Rupanya, musuh-musuh Musharaf mungkin termasuk kumpulan yang pernah ditaja oleh tentera Pakistan satu ketika dulu. “Anak-anak Jihad sudah berpaling menentang penganjur mereka,” kata Imtiaz Alam dalam penulisannya di ‘The News’ pada Isnin lalu. “Perhubungan antara negara dan kumpulan jihad itu sudah bertukar rupa daripada satu perikatan kepada bermusuh-musuhan.

Yang sama menakutkan ialah kemungkinan kumpulan militan itu kini bekerjasama dengan anggota pasukan keselamatan, sama ada pihak tentera ataupun polis. Buat kedua kalinya kini, kumpulan yang hampir digelar asasin berjaya membolosi sekatan keselamatan Presiden untuk mengenal pasti konvoi yang mana satu yang disertai oleh Musharaf. Kedua-dua usaha itu terjadi semasa beliau dalam perjalanan ke Rawalpindi, yang merupakan ibu pejabat tentera Pakistan yang paling kuat kawalan keselamatannya.

Kecuali segelintir sahaja, kebanyakan pegawai tentera yang berpangkat tinggi itu adalah pro-barat, tetapi sudah ada kesangsian akan bertambahnya pegawai di peringkat pertengahan yang tebal kefahaman Islamiahnya sehingga menimbulkan kesangsian akan penglibatan mereka.

Jeneral Musharaf perlu menguji hubungannya dengan tentera Pakistan lebih lanjut lagi. Para analis berkata kalau dia benar-benar mahu menghapuskan kumpulan militan, dia tidak punya banyak pilihan kecuali mengetepikan strategi penggunaan militan dalam agendanya untuk Kashmir. Jika demikian, dia perlu bekerja keras untuk membabitkan setiap peringkat tentera Pakistan agar menyebelahinya.

“Saya memang bersimpati dengan beliau dalam hal ini,” kata Masood. “Dia berada dalam satu kedudukan yang amat kritis. Sebahagian tentera tidak akan menyokongnya. Keseluruhan suasana itu sudah bersemangat melakukan perkara ini, dan anda tidak mudah boleh mematikannya.”

- Amy Walman
Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN) - 01.01.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Click Here!

Tangguhkan dahulu!