ABDULLAH DENGAN KORUPSI: CABARAN SELEPAS 100 HARI
Oleh Syed Husin Ali - Dipetik drp ruangan Minda dalam Suara PRM terbaru
Sempena 100 hari Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, media perdana yang dimiliki atau dipengaruhi UMNO-BN telah menghidangkan pembaca dengan jamuan berita mewah mengenai kejayaan dan janji-janji Abdullah. Janji beliau yang terutama ialah untuk memerangi korupsi.

Dalam seminggu selepas tamat seratus hari itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah bertindak menangkap Eric Chia, bekas Pengarah Urusan Perwaja, dan Kasitah Gadam, Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, dan menghadapkan mereka ke mahkamah atas tuduhan melakukan korupsi.

Kenduri berita mewah berterusan. Walaupun media tersebut tidak mengheboh-hebohkan, namun mereka jelas membayangkan bahawa dua tindakan ini membuktikan Abdullah sudah mengotakan kata hendak memerangi korupsi. Malangnya, Abdullah seolah masih main-main perang saja, belum betul-betul
serius.

Penangkapan Eric Chia memeranjatkan sebab beliau sudah sembilan tahun dilindungi oleh Mahathir Mohamad. Tetapi tuduhan ke atasnya, yang bertumpu hanya kepada pembayaran RM76.4 kepada syarikat hantu, menjadi anti-klimaks. Apa sudah jadi kepada kerugian kira-kira RM3 bilion, hutang bank hampir RM7bilion, kontrak tanpa tender, bayaran RM13 juta kepada peguam Mahalingam yang telah membawa Hakim Negara Yusof Chin bercuti keluar negara?

Mengenai Kasitah Gadam pula, ini bukan kali pertama menteri didakwa kerana korupsi. Menteri Pelajaran dalam kabinet Tunku Abdul Rahman, Rahman Talib, dan MB Selangor Harun Idris di bawah pentadbiran Hussein Onn telah dihukum mahkamah. Siasatan ke atas Kasitah selesai dibuat oleh BPR kira-kira lapan tahun dahulu. Tetapi, walaupun kesnya diketahui, Mahathir melantiknya semula sebagai menteri.

Memang sudah menjadi pengetahuan umum bahawa siasatan telah dilakukan ke atas Rafidah Aziz dan Megat Junid kerana pemberian saham kepada anggota keluarga mereka, dan juga ke atas Rahim Tamby Chik kerana beberapa amalan rasuah.   Kertas pertuduhan telahpun disiapkan oleh kamar Peguam Negara,
dan ditandatangani oleh Ghani Patail, yang waktu itu menjadi pegawai di kamar tersebut.

Tetapi Mahathir membersihkan nama Rafidah dalam Parlimen; sebelum itu Rafidah mengugut akan membongkar nama menteri lain sekiranya tindakan diambil ke atasnya. Adakah sekarang ini BPR diberi kebebasan untuk mengambil tindakan ke atas Rafidah, Rahim dan Megat Junid? Setakat ini, hanya Ezam Mohd Nor, ketua Angkatan Muda keADILan yang telah dipenjarakan kerana melaporkan semula kes Rafidah dan Rahim.

Bagaimana pula dengan laporan-laporan polis terhadap Samy Vellu berhubung Maika, Lim Liong Sik mengenai kekayaan anak mudanya, Najib dengan pembelian senjata dan ramai lagi? Apa sebabnya kes Airod senyap begitu saja? Adakah kerana Hamid Albar, Jamaludin Jarjis dan juga Abdullah adalah terlibat?

Bahkan adakah BPR akan bebas menyiasat laporan-laporan terhadap anak dan adik Abdullah? Anaknya menguasai SCOMI, dan saham syarikat ini naik 1000 peratus di pasar saham selepas beliau mengambil alih. Begitu juga beliau diberikan tender menyediakan makanan untuk syarikat penerbangan MAS dengan janji untung 80 peratus terjamin selama sembilan tahun.  Adakah ini boleh berlaku kalau beliau bukan anak Abdullah? Adik Abdullah pula telah diberi kontrak membekal makanan kepada angkatan tentera, semasa Abdullah menjadi Menteri Pertahanan.

Rancangan penswastaan pemerintah telah menimbulkan berbagai-bagai amalan korupsi dan kronisme yang mengaitkan keluarga dan suku-sakat pemimpin politik pemerintah. Perkhidmatan elektrik, pos, air yang penting dan menjamin keuntungan besar diswastakan. Sebelum pilihanraya 1999 ada rancangan untuk menswastakan hospital dan bermacam-macam perkhidmatan berhubung dengannya yang belum diswasta lagi.

Oleh kerana rakyat dan parti-parti pembangkang serta NGO menentang kuat terhadap rancangan ini, pemerintah berjanji tidak akan meneruskannya. Kini diketahui bahawa kira-kira tiga bulan lalu, selepas Abdullah mengambil pucuk pimpinan negara, keputusan telah dibuat untuk mengkorporatkan hospital sera perkhidmatan kesihatan. Ini pasti akan berakhir dengan penswastaan. Adakah ini bertujuan untuk memberikan kontrak kepada kroni-kroni yang baru pula?

Kita diberitahu korupsi bukan terbatas kepada wang dan kontrak saja. Anwar dipenjara enam tahun atas tuduhan cuba mempengaruhi polis, yang dianggap sebagai korupsi. Kalau ini korupsi, bagaimana dengan perbuatan Mahathir mempengaruhi, bahkan menguasai polis dan kehakiman? Beberapa orang hakim, termasuk Fairuz, Augustine Paul dan Pajam Singh, yang membantu memastikan supaya Anwar dihukum, telah naik pangkat. Kemudian mereka terus dipilih untuk mendengar kes rayuan Anwar. Apa lagi?

Sebenarnya, ada jenis korupsi yang lebih serius, tetapi sengaja tidak dihiraukan sangat oleh pemimpin-pemimpin UMNO-BN, kerana mereka sendiri melakukannya, iaitu politik wang. Mahathir pernah menyelar amalan politik wang, tetapi lebih membataskannya kepada hanya pembelian undi untuk mendapat jawatan dalam UMNO. Beliau sedar, jikalau politik wang tidak disekat dalam UMNO, jawatan beliau sendiri akan terancam. Walau bagaimanapun politik wang dalam UMNO masih belum hapus.

Sebaliknya, politik wang yang dilakukan sebelum atau semasa pilihanraya umum, yang luas dan terang-terang dilakukan untuk membeli undi , tidak pernah diselar, apatah lagi diambil tindakan. Sebabnya, ia menjamin UMNO-BN terus berkuasa, kerana mereka saja yang mampu membeli undi. Adakah Abdullah akan bertindak dalam hal ini?

Baru-baru ini 12 orang anggota keADILan telah pulang kepada UMNO, parti asal mereka. Sudah diketahui umum sekarang ini bahawa mereka ditarik dengan bayaran wang, walaupun mereka sudah lama tidak puas hati dan merancang untuk pulang kepada UMNO. Mereka ini memang sudah biasa dengan kehidupan mewah dalam UMNO dulu, dan tidak tahan lagi dengan segala tekanan akibat berjuang dengan keADILan.

Sekarang ini sudah terbongkar bahawa Najib, melalui datuk-datuk yang menjadi kroninya, telah membayar pendahuluan RM25 ribu kepada tiap-tiap seorang dengan janji akan menambahnya. Bukankah ini rasuah? Saya setuju dengan gesaan Timbalan Ketua Angkatan Muda keADILan, Faizal Sanusi, supaya Najib disiasat dan diambil tindakan oleh pihak BPR dan polis.

Sebelum ini, kita mendengar bahawa di Kelantan banyak ibu-bapa  murid sekolah  diberikan sehingga RM500, kononnya sebagai bantuan. Kalau benar-benar hendak membantu keluarga susah memang tidak ada salahnya. Akan tetapi, penghulu dan pemimpin UMNO tempatan mengugut bahawa jikalau ibu-bapa itu tidak mengundi UMNO, jaga-jagalah. Mereka menggertak ada cara untuk mengetahui siapa mengundi parti mana.

Di Terengganu pula, wang royalti minyak telah dibolot oleh UMNO dan digunakan untuk memberi sebahagian daripada wang  itu kepada mereka yang dianggap “miskin”. Pada hal selama mereka memerintah Terengganu dulu kadar kemiskinan semakin bertambah dan hutang negeri kepada pusat semakin naik. Jumlah berjuta-juta diberikan kepada pemimpin UMNO negeri pula dengan tujuan melaksanakan projek-projek yang boleh memberikan peluang kontrak dan rasuah.

Perang menghapuskan korupsi yang diisytiharkan oleh Abdullah memang perlu. Tetapi ia  harus dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan dengan terbatas cara pilih-pilih.  Abdullah mesti perang cara betul-betul dan jangan kelihatan main-main perang saja untuk pilihanraya. Jikalau tidak, dalam jangka setahun dua lagi, rakyat tidak akan mempercayainya lagi.

- Suara PRM - 12.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN