WAJAH-WAJAH DR. MAHATHIR MOHAMAD
- DALAM KENANGAN TUNKU

Oleh SriBunian - Laman M@RHAEN

Assalamu’alaikum wm.wrt.,

Saya amat tertarik membaca artikel yang ditulis oleh YM Raja Petra Kamarudin, Editor Malaysia Today Net yang telah disiarkan dalam Malaysia Today pada hari Isnin 21 Februari 2005 yang lalu’. Artikel itu berjudul “Mahathir’s 1969 letter to Tunku Abdul Rahman “. Dalam artikel tersebut, Raja Petra tidak menyentuh isu atau tuduhan yang dibangkitkan oleh Mahathir terhadap Tunku sehingga menimbulkan kemarahan Tunku dan Tunku seterusnya memecat beliau dari UMNO. Dalam tulisan ini, saya tidak berhasrat untuk memetik semula tuduhan Mahathir terhadap Tunku yang terkandung dalam surat tersebut.
 
Selepas pemecatan itu, Mahathir terus bangkit menentang dan mengecam serta mengutuk kaedah Tunku mentadbir negara, khususnya ketika mengendali peristiwa pergaduhan di antara kaum pada 13 Mei 1969. Kecaman-kecaman ini terkandung di dalam ucapan-ucapan beliau di seluruh negara dengan menggunakan ‘plat form’ parti PAS. Mahathir juga bergerak memasuki dan menghasut pelajar-pelajar yang sedang menuntut di universiti-universiti tempatan dan di luar negara supaya bangkit menentang pemerintahan Tunku.
 
Mahathir telah mendapat sokongan yang besar di kalangan penuntut-penuntut Melayu yang sedang belajar di universiti-universiti tempatan seperti Anwar Ibrahim dan Musa Hitam. Anwar dengan beberapa kawan-kawannya yang bersemangat Melayu seperti Ibrahim Ali, Hishamudin Rais, Mohamad Sabu dan ramai lagi yang kini menjadi kaya raya kerana memberi sokongan kepada UMNO [meninggalkan semangat perjuangan semasa belajar dahulu, kerana pentingkan diri] bangun bangkit menentang Tunku dan kumpulannya dalam UMNO yang masih setia padanya seperti Senu Abdul Rahman dan Khir Johari. Anwar dan kawan-kawannya mencetak dan mengedar surat ini ke seluruh negara mengecam kepimpinan Tunku. Kelantangan suara Anwar menyebabkan beliau ditahan di bawah ISA selama dua tahun, selepas tercetusnya “Peristiwa Baling 1974”. Beliau hanya dibebaskan pada tahun 1976.
 
Sementara di luar negara pula, Mahathir berjaya mendapat sokongan dan dapat mempengaruhi sebahagian besar penuntut-penuntut yang belajar di sana yang menganggap tragedi 13 Mei 1969 itu meletus kerana dasar Tunku yang sangat berlembut dengan kaum bukan Melayu khususnya kaum Cina yang menyebabkan orang Melayu jauh ketinggalan dalam serba-serbi kehidupan mereka.
 
Di Australia contohnya, Mahathir yang mendapat ruang yang luas dengan bantuan Shahnon Ahmad yang ketika itu Shahnon sedang menuntut di situ. Dengan pertolongan Shahnon, Mahathir bebas bergerak menemui dan menghasut pelajar supaya menentang Tunku. Dan akhirnya Tunku terpaksa tunduk dengan desakan-desakan yang dibuat oleh kumpulan pro-reformasi yang ditimbulkan oleh Mahathir. Pada tahun 1970 Tunku terpaksa melepaskan jawatannya dan Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih tugas sebagai PM ke dua. Beliau kemudian melancarkan DEB untuk menyusun semula masyarakat Melayu yang ketinggalan berbanding dengan kaum-kaum lain.
Sampai ke hari ini dasar ini gagal untuk mencapai matlamatnya. Orang Melayu terus kekal di takuk lama, kecuali kumpulan UMNOPutra. Mahathir memberi pelbagai alasan atas kegagalan dasar tersebut. Ia tidak mahu mengaku akan kelemahannya, sebaliknya diletakkan segala kegagalan tersebut ke atas bahu orang-orang Melayu.
 
Tunku berkata [lihat buku Kenangan Tunku oleh K.Das, ms.138] : “Beliau [Mahathir] menghina saya, dia menggelar saya sebagai orang yang tidak punyai hati nurani. Dia kata semua orang Melayu bencikan saya dan pada waktu berlaku rusuhan 13 Mei, dia kata saya sedang bermain poker. Saya tidak tahu bagaimana dia boleh tahu saya sedang bermain poker atau tidak. Sebenarnya dia sedang bercakap mengenai dirinya sendiri. Dia lebih teruk daripada itu”.
 
Kata Tunku lagi : “Ya, 1959 baik, 1964 juga baik, tetapi 1969 adalah tahun yang terburuk kerana komunis mula membuat kacau dan juga orang-orang saya seperti Razak juga menghadapi masalah. Masalah yang ditimbulkan oleh Harun [Harun Idris], Mahathir [Dr. Mahathir Mohamad] dan Ghazali [Ghazali Shafei]. Mereka ingin mengambil alih kuasa [lihat ms.123]. Sambung Tunku lagi : “Harun, Mahathir dan Ghazali-semuanya bekerja dengan Razak untuk menyingkirkan saya, untuk mengambil alih tempat saya. Jadi, mereka ini semua satu kumpulan [lihat m.s.125].
 
Mengenai krisis Perlembagaan pada tahun 1983 dan 1993 yang membawa kepada penghapusan kedaulatan Raja-raja Melayu, Tunku memberi komen : “Kita boleh menjadi Republik dalam tempoh dua minggu-itu merbahaya. Dia adalah seorang yang tidak bertanggungjawab. Dia tidak peduli langsung pada kelas, pada undang-undang, pada arahan, pada Perlembagaan. Apa yang sesuai dengannya, dia buat [lihat m.s.143].
 
Kenapa Mahathir benci sangat kepada golongan bangsawan Melayu yang terdiri dari Raja-raja Melayu dan kerabat-kerabat, Tunku menjawab : “Dia [Mahathir] sebenarnya tidak ada apa-apa. Ayahnya adalah seorang pegawai bawahan di Kedah, dia pula seorang doktor di Kedah. Datuknya berasal dari India. Ayahnya separuh India atau tiga suku India. Ayahnya datang ke Alor Setar dan berkahwin dengan orang Melayu dan menjadi separuh atau tiga suku Melayu dan suku India. Dia merasa rendah diri. Itu sebabnya dia benci akan golongan bangsawan dan lain-lain kerana dia tidak mempunyai pendirian [lihat m.s.147].
 
Bercakap mengenai kedaulatan undang-undang dan pemerintahan undang-undang, Tunku memberi penjelasan : “ Mereka mesti patuh pada undang-undang, menghormati dan mendukung undang-undang, itulah sepatutnya, tetapi apa yang mereka buatkan sekarang, mereka tidak ambil peduli mengenai undang-undang , mereka gantung dan pinda undang-undang untuk menyesuaikan dengan perancangan mereka. Jadi mereka memerintah undang-undang di mana mereka tahu ianya akan mengekalkan kuasa mereka. Sesiapa yang menentang atau tidak bersetuju dengan mereka atau mengkritik mereka, mereka akan menyumbat orang itu ke dalam penjara [lihat m.s.150].
 
Itulah sebahagian wajah-wajah sebenar Mahathir seperti yang digambarkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra dalam buku “Kenangan Tunku” hasil wawancara dengan K.Dass. Ini termasuk perangainya yang anti Islam. tergamak menghina sunnah Nabi, menghina ulama, menutup SAR, memperkecil-kecilkan amalan dasar dan sunnah dalam beribadah.
 
Kenapa Mahathir begitu marah kepada Tunku. Jawapannya ialah kerana pada pilihan raya tersebut beliau mengalami kekalahan di tangan Allahyarham Yusuf Rawa [bekas Presiden PAS ke 5]. Yusuf menang kerusi Parlimen Alor Setar Utara [kini dikenali sebagai Parlimen Kubang Pasu]. Mahathir seorang manusia yang tidak mahu menerima kekalahan. Mahathir mahu menang sahaja, tidak mahu menerima kekalahan. Dengan kekalahan tersebut, beliau mula mencari alasan untuk menyalahkan orang lain. Begitulah sikapnya yang ditunjukkan dalam memerintah Malaysia. Beliau seorang yang enggan menerima kekalahan. Sekiranya ia kalah, ia akan melakukan apa sahaja terhadap sistem yang mengalahkannya itu. Ini terbukti kepada sistem pilihan raya kita yang sudah tidak ada lagi integritinya.
 
Memang benar apa yang diucapkan oleh Tunku itu. 21 tahun Mahathir memerintah, apa yang telah lakukan terhadap negara ini. Sistem pemerintahan menjadi rosak binasa, caca-marba, tidak ada lagi “separate of power” di antara 3 institusi utama negara seperti yang digariskan oleh Perlembagaan. Eksekutif mencampuri semua urusan institusi lain sehinggakan Parlimen tidak dihormati dianggap sebagai “rubber stamp” dan institusi kehakiman telah mengalami krisis keyakinan yang teruk di mata masyarakat. Jentera-jentera kerajaan digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa sedikit pun merasa bersalah untuk mengekalkan kuasa. Rasuah bermaharajagila dalam segenap lapangan kehidupan masyarakat. Rasuah berlaku dalam pelbagai sektor. Perasuah melibatkan tokoh-tokoh besar diberi perlindungan, malah dilantik sebagai menteri, MB, KM dan Yang DiPertua Negeri. Politik wang telah merebak dalam masyarakat amat sukar untuk dibasmikan, terutama ketika tiba waktu pemilihan dan musim pilihan raya. Duit gugur bagaikan daun kering di musim kemarau.
 
Mahathir menguruskan Malaysia bagaikan sebuah syarikat sendirian berhad, tempat memfaraidkan khazanah negara sesama mereka dan anak-beranak dan membiarkan rakyat terbanyak berada dalam kemiskinan dengan pelbagai tekanan kos kehidupan semakin meningkat dari hari ke hari. Semuanya memerlukan wang.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

- Sri Bunian - 26.02.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: