Masih Kedengaran Pesara Kerajaan Tidak Mengenang Budi

FAHAMAN YANG DIPAKSAKAN

Banyak pihak termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan menuduh pesara kerajaan yang menyertai parti PAS sebagai tidak mengenang budi, adalah satu tuduhan liar dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Bagaimana pula dengan pegawai kerajaan yang masih berkhidmat tetapi menentang kerajaan dengan cara tidak terbuka? Adakah mereka ini dianggap pengkhianat pula.  Apakah gaji yang diterima oleh pegawai yang sedang berkhidmat dan pencen pesara itu dibayar dari yuran ahli-ahli BN? BN  cuba memaksa rakyat menerima fahaman mereka iaitu BN itu kerajaan dan kerajaan itu BN. Rakyat tahu dan sedar bahawa apabila disebut saja KERAJAAN ertinya ialah PEMERINTAH dan RAKYAT. Pemerintah cuma dipilih oleh rakyat (mereka yang setuju dengan dasar & pemimpin BN) dan diberi kuasa untuk mentadbir, itu saja. Khazanah dan hasil mahsul negara bukannya milik mutlak BN. Maka tuduhan mengatakan pesara kerajaan tidak mengenang budi adalah satu tuduhan yang sangat dangkal oleh pengucapnya. Kadangkala rakyat yang bukan bertaraf menteri lebih faham erti demokrasi dari menteri.

CUMA PRASANGKA

Sebenarnya fenomena pegawai kerajaan menentang kembali kerajaan selepas bersara bukanlah berlaku secara tiba-tiba oleh sebab faktor `merajuk`
kerana tidak diberi jawatan pengerusi tetapi ia adalah lanjutan dari prinsip hidup seseorang pegawai kerajaan ketika mereka masih lagi berkhidmat. Apakah seseorang yang masih berkhidmat dengan kerajaan perlu meletak jawatan, hanya semata-mata untuk menentang kerajaan? yang ditentang oleh mereka itu bukanlah kerajaan, tetapi parti pemerintah iaitu BN. Pemerintah tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh pegawainya sendiri `menentang parti pemerintah` sebagai menentang kerajaan.

Ia boleh difahamkan sebagai pengkhianat pula. Dalam sistem demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia, seseorang pegawai kerajaan berhak untuk memilih parti mana yang bersih untuk membentuk kerajaan. Bukankah bersih itu naluri kehendak semua manusia tidak kira apa pun pegangan agamanya. Rakyat tidak boleh dikelirukan dengan sewenang-wenangnya, dengan istilah `tidak mengenang budi`, `pengkhianat` dan sebagainya. Mereka yang bersara dan kembali menentang parti pemerintah bukan lah setakat beberapa ex-Jeneral, bekas duta, bekas pengarah itu dan ini dan sebagainya, tetapi mereka yang menentang parti pemerintah selepas bersara jumlahnya yang sebenar jauh lebih besar dari itu. Cuma, oleh kerana semasa mereka di dalam perkhidmatan, mereka adalah di peringkat `grass root`, maka ia tidaklah  menjadi isu besar, dan ia berlaku seperti air yang mengalir.

Setiap hari ratusan malah ribuan pegawai kerajaan yang bersara. Maka tuduhan yang mengatakan mereka kembali menentang parti pemerintah kerana `merajuk` adalah tuduhan yang tidak benar. Berapa banyak jawatan pengerusi hendak disediakan untuk mereka? Umum mengetahui  apalah sangat jasa Pegawai Tinggi ATM dan Pegawai Tinggi Awam ini kepada BN terutama UMNO dari segi kepentingan politik jika dibandingkan dengan jasa Pegawai Tinggi Polis kepada UMNO. Lihat saja upah yang diperolehi oleh Tan Sri Hanif Omar, walaupun pada hakikatnya upah itu sepatutnya ditolak.

PEGAWAI KERAJAAN DIKHIANATI

Parti Pemerintah tidak boleh mendakwa bahawa  mereka sepatutnya disokong penuh oleh Pegawai Kerajaan,kerana mereka mendapat mandat penuh dari rakyat. Umum mengetahui sejak zaman berzaman bagaimana BN bertempur dengan Pembangkang di atas padang yang senget sebelah, lalu apakah status parti yang menang, yang membentuk kerajaan itu? Sah atau tidak sah? Halal atau haram? Benarkah mendapat mandat dari rakyat? Inilah yang bermain di fikiran Pegawai Kerajaan. Akal waras mereka tidak bolehkah menerima hakikat ini? Bolehkah prinsip hidupnya dibuang begitu saja dan bersegera patuh dan taat membabi buta kepada parti pemerintah yang baru dibentuk itu. Tidakkah mereka merasa telah diperbodohkan. Mereka terus bertugas dalam keadaan hati yang sangat terluka. Keikhlasan jauh sekali. Maka tuduhan mengatakan mereka tidak mengenang budi adalah tuduhan tidak benar sama sekali.

Oleh:  Saumagrho`din Al-Chechen - 10.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN