'Janji Syurga'
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
 
Pilihan raya akan diadakan tidak berapa lama lagi dan seperti yang kita maklumi SPR telah melarang parti-parti politik khususnya PAS dari menggunakan "Janji Syurga" dalam kempen pilihan raya umum nanti. Kita umat Islam terasa terharu/kecewa dengan larangan tersebut seperti juga larangan kerajaan Perancis melarang umat Islam memakai purdah di negara sekular tersebut. Kalau negara sekular Perancis melarang umat Islam memakai purdah kita tidak hairan tetapi masalahnya negara Malaysia yang kununnya negara Islam melarang umat Islam dari mengatakan pasal "janji syurga" ini yang susah kita hendak terima.

PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sebagai dasarnya bukan menjadi satu isu besar menjanjikan syurga dalam kempen politik mereka kerana sebenarnya mereka cuma menyampai dakwah Islam secara politik.  Islam dan politik tidak boleh dipisahkan seumpama kepala dengan badan.

Pemimpin-pemimpin PAS cuma menyampaikan risalah atau dakwah Islam kepada umat islam tentang akibat mereka yang melanggar larangan hukum Allah serta mereka yang memperjuangkan serta mematuhi perintah Allah. Bagi kita tidak salah bagi pemimpin PAS berkata tentang janji Allah kepada sesiapa saja kerana itu sudah menjadi kewajipan pemimpin PAS berdakwah kepada rakyat di negara ini. Soal mereka nak percaya atau tidak itu soal peribadi masing-masing.

Mengapa pemimpin Umno/BN begitu takut dengan kempen PAS itu? Kalau pemimpin PAS menyeleweng akidah umat Islam di negara ini, kita ada mahkamah syariah untuk mendakwa mereka bukan dengan cara larangan yang tidak masuk akal sama sekali.

Umat Islam di negara ini masih berfikiran waras serta tahu menilai baik buruk sesuatu perkara dan tidak semudah itu mereka percaya "janji syurga" pemimpin PAS kalau pemimpin PAS boleh memberi jaminan syurga kalau mengundi parti tersebut.

Tentu ramai umat Islam akan lari dari perjuangan PAS sekiranya pemimpin parti tersebut ternyata sudah menyeleweng kerana boleh memberi jaminan masuk syurga. Syuga neraka hak Allah bukan hak PAS. Itu semua umat Islam tahu jadi mengapa Umno/Bn begitu takut tentang "Janji Syurga" PAS???

Jangan pemimpin BN/Umno khususnya cuba hendak mengelirukan umat Islam dengan kenyataan pemimpin PAS tentang "Janji Syurga" tersebut.

Kita umat Islam sedar sebenarnya Pemimpin PAS tidak menjaminkan syurga pada pengundi cuma menyampaikan apa yang dijanjikan Allah kepada umat Nya yang patuh serta taat akan perintah Allah.

Kita minta agar SPR menarik balik larangan tersebut dengan serta merta kerana kita mahu PAS terus dapat menyampaikan amanah Allah kepada umat Islam serta rakyat di negara ini. Umno/BN tidak usah takut dengan "Janji Syurga" tersebut kalau Umno/BN tidak percaya pada janji syurga/neraka itu hak masing-masing.

Biarkan PAS menyampaikan dakwah Islam kepada seluruh rakyat negara ini dengan bebas seperti mana dalam Perlembagaan Malaysia yang membenarkan kebebasan beragama.
Diharap pihak yang berkenaan mengambil perhatian yang sewajarnya tentang perkara tersebut.
 
SELAMAT MENGUNDI DAN SEMOGA ALLAH MEMBERI PERTUNJUK KEPADA KITA SEMUA. INSYALLAH
 
Sekian harap maklum

Rakyat Malaysia Prihatin - 10.03.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN