SELAMATKAN REMAJA KITA
Oleh Roslan SMS - Laman M@RHAEN


THE STAR hari ini melaporkan penemuan dari kajian yang dilakukan oleh sebuah syarikat pengilang kondom iaitu DUREX GLOBAL SEX SURVEY 2004. Penemuan ini pasti mencemas dan membimbangkan mana-mana ibu-bapa dan anggota masyarakat yang menitikberatkan akhlak dan pembentukan moral keluarga.

Berdasarkan kajian tersebut dari 8,202 respondan di Malaysia dari kalangan remaja rata-rata didapati hitung panjang umur remaja yang mula mengadakan hubungan seks di luar nikah adalah 19 tahun. Manakala respondan dari kalangan remaja yang berumur 20 tahun ke bawah pula mengakui mula mengadakan hubungan seks seawal 17 tahun!

Inilah realiti golongan remaja kita pada hari ini. Suka tidak suka realiti ini turut melibatkan semua pihak termasuklah kita sendiri kerana pasti anak-anak kita, adik-beradik kita, saudara-mara kita ada yang terkelas dalam golongan ini. Bayangkan nasib dan masa depan masyarakat kita sekiranya trend membimbangkan ini berterusan. Remaja Islam yang terlibat sudah pastilah menanggung beban zina sepanjang hayatnya. Apa berlaku sekiranya hasil dari hubungan sumbang ini melahirkan zuriat pula?

Gambar: Pengunjung Konsert Scorpion bertemu Pemuda PAS

Jelas remaja kita pada hari ini berada dalam situasi yang bebas sehingga tidak lagi mampu dikawal oleh keluarga, masyarakat dan negara sendiri. Tambahan pula pintu-pintu untuk terus mencetuskan maksiat dan kelalaian yang membawa kepada maksiat berterusan di buka dari hari ke hari atas nama kemajuan dan kemodenan. Gelombang dunia tanpa sempadan yang tiada kawalan semakin mempunahkan penghidupan.

Lalu ke mana nak kita tuju? Kerajaan kelihatan bersungguh mahu menerapkan Islam Hadhari memartabatkan Rukunegara yang padanya terkandung rukun - KESOPANAN DAN KESUSILAAN namun kesemuanya dilihat retorik semata-mata, modal politik yang tiada nampak keberkesanannya. Hadhari sana-sini, namun yang haram tetap berleluasa, dilesenkan dan dibenarkan. Golongan yang ingin mengetengahkan formula penyelesian Islam dipandang dingin malah diperlekehkan pada pandangan masyarakat.

Lantas, jadilah kita laksana tikus mahu membaiki labu, labu semakin carik, lopong dan lunyai kerana tikus yang sepatutnya membaiki labu tadi turut membaham dan memamahnya demi melayan nafsu dan perutnya yang kosong. Bilakah kita boleh serius menangani masalah besar ini atau kita hanya sekadar menjadi labu tadi, menunggu masa dibaham tikus lapar yang dikatakan pakar!

Sila lawati BLOG saya di http://n32.blogspot.com/

Oleh Roslan sms
- 13.10.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: