Kenyataan Media PKR
KOFI ANNAN: PERANAN ANWAR LEBIH BESAR 
UNTUK KEAMANAN DUNIA ISLAM DAN BARAT



Dato’ Seri Anwar Ibrahim tiba di Washington D.C., Amerika Syarikat lewat malam, Rabu (23 Februari 2005) untuk memulakan lawatan kerja selama 7 hari. Anwar mempunyai jadual yang ketat di sepanjang tempoh lawatan pertama beliau ke Amerika Syarikat selepas Mahkamah membebaskan beliau dari penjara lebih 5 bulan yang lalu. Turut sama dalam lawatan ini ialah YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat (keADILan); Khalid Jaafar, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD); dan Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden keADILan.
 
Sebelum ini, Anwar telah melakukan lawatan kerja ke Arab Saudi, Afrika Selatan, Indonesia, Abu Dhabi dan Qatar.
 
Anwar dan rombongan yang tiba dari London di Lapangan Terbang Washington Dulles disambut oleh pegawai-pegawai yang diketuai oleh Edward J.Bolton, Timbalan Pengarah dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat.
 
Anwar berlepas ke New York pada hari Isnin (28 Feb) untuk mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan.
 
YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, Azmin Ali dan Michael Moller turut serta dalam pertemuan dengan Kofi Annan di Ibu Pejabat PBB. Kofi melahirkan keprihatinan terhadap Dato’ Seri Anwar dan melahirkan rasa gembira di atas pembebasan beliau.
 
Kofi adalah di kalangan pemimpin dunia yang menyuarakan pandangan beliau terhadap layanan buruk yang diberikan kepada Anwar semasa di dalam tahanan dan juga prihatin terhadap kebebasan mahkamah di Malaysia.
 
Kofi meminta Anwar supaya dapat bersama-sama menyumbangkan peranan yang lebih besar di pentas dunia untuk mewujudkan suasana yang lebih aman dan harmoni khususnya di antara Islam dan Barat.
 
 
Anwar Minta Wolfowitz Ambil Pendekatan “Constructive Engagement” Dengan Negara-Negara Islam
 
Sebelum itu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Paul Wolfowitz, Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat di Pentagon pada 24 Februari 2005. Perbincangan selama satu jam ini memberi tumpuan kepada perkembangan pasca pilihan raya di Iraq, konflik di antara Barat dan Islam serta program pembangunan semula Acheh.
 
Walaupun perbincangan berjalan dalam suasana yang harmoni namun Dato’ Seri Anwar menegaskan perbedaan pandangan beliau mengenai pendekatan Amerika Syarikat dalam menangani persoalan keganasan global.
 
Anwar mahu Amerika Syarikat mengambil pendekatan “constructive engagement” dalam menjalin hubungan dengan negara-negara Islam; dan tidak dilihat sebagai angkuh dengan pendekatan keras dan mengetepikan muafakat dan tidak mengambil pendekatan unilateral yang menjadi amalan pentadbiran Bush hari ini..
 
Anwar memberikan contoh Indonesia di mana sebuah negara yang mempunyai kepadatan penduduk Islam terbesar di dunia mampu membuat transformasi dan reformasi ke arah penyuburan demokrasi dan kebebasan media dengan aman dan teratur. Justeru itu, Anwar bersetuju dengan dasar pentadbiran Amerika Syarikat yang menyokong prinsip kebebasan.
 
Anwar yakin bahawa sebarang kemajuan positif ke arah demokrasi yang berlaku dalam mana-mana negara Islam akan memberikan dampak kepada negara Islam yang lainnya.
 
Pada masa yang sama, Anwar juga menegur sikap sebahagian besar pemimpin negara-negara Islam yang tidak konsisten – lebih cenderung untuk menyerang Amerika Syarikat tetapi bersikap ganas terhadap rakyat negara masing-masing termasuk menyekat kebebasan media, menghalang usaha ke arah demokrasi dan mengekalkan undang-undang kuku besi seperti ISA.
 
Sebagai contoh, kata Anwar, terlalu mudah bagi pemimpin-pemimpin negara-negara Islam membangkitkan kemarahan umat Islam mengenai kezaliman tentera Amerika Syarikat di penjara Abu Gharib di Iraq tetapi pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin ini mengamalkan kekejaman di penjara negara masing-masing.
 
Anwar sekali lagi menegaskan pendirian beliau yang mahu tentera Amerika Syarikat segera meninggalkan bumi Iraq, mendukung desakan pengunduran tentera Syria dari Lebanon dan tentera Israel dari tanah jajahan Palestin.
 
Anwar juga menjelaskan kepada Paul Wolfowitz bahawa laporan yang mengatakan bahawa Sheikh Yusuf al-Qardawi pernah mengeluarkan fatwa membenarkan pembunuhan rakyat Amerika dan orang awam adalah tidak benar dan berniat jahat. Anwar mendesak Amerika Syarikat supaya membetulkan pandangan serong mereka terhadap Sheikh Yusuf al-Qardawi kerana beliau sendiri telah bertemu dengan Sheikh Yusuf al-Qardawi di Qatar beberapa bulan lalu untuk mendapatkan penjelasan. Anwar mempertahankan bahawa Sheikh Yusuf al-Qardawi adalah seorang ulama’ besar yang sentiasa mengambil pendekatan yang sederhana dan terbuka kepada dialog dan perbincangan. Anwar mengulangi pendiriannya bahawa sebarang perbedaan pendapat tidak wajar menjurus kepada ketegangan.
 
Anwar kini sedang giat mengadakan dialog dan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan di Barat dan Timur Tengah dalam usaha beliau untuk menggalakkan peningkatan kefahaman mengenai tamaddun dan agama.
 
Dikeluarkan oleh Mohamed Azmin Ali - Oxford.

Kiriman PKR News - 03.03.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: