Perlukah MCA Menyatakan “Say No To PAS Islamic State“?
Oleh Pemerhati Lama

Apakah yang melayakkan MCA menyatakan seperti di atas di dalam Website MCA Online. Pada pengamatan kami, MCA hanya mendapat pandangan UMNO dengan mengatakan ‘Say No To Pas Islamic State’. MCA sebagai sebuah parti terbesar orang Cina tidak memperlihatkan usaha memahami sesuatu perkara yang langsung tidak diketahuinya dengan membuat kajian dan penyelidikan yang teratur rapi, ilmiah dan keterbukaan, sebaliknya bersandarkan kepada satu sandaran politik yang sempit yang juga gagal memahami kenyataan sebenarnya. Amatlah malang sebuah parti besar seperti MCA masih terbelenggu pandangan politik parti lainnya.

Rakyat tentunya ingin melihat MCA membuat kenyataan sebagai sebuah parti terbesar orang Cina yang benar-benar telus dengan membuat kajian terperinci serta berusaha mempertingkatkan kefahaman terhadap kehidupan orang Islam di Malaysia ini. Apakah MCA merasakan mereka telah gagal memahami keperluan orang Islam walaupun telah berada di arena politik Malaysia begitu lama atau mereka telah menjadi parti kecil yang terikat di bawah Barisan Nasional. Apakah dengan menyertai BN, MCA sudah hilang arah perjuangan memelihara kepentingan rakyat terbanyak atau hanya untuk orang Cina yang menyokong UMNO sahaja?

Sejarah menunjukkan orang Cina sentiasa berhelah bagi memelihara keharmonian masyarakat dan ianya satu tindakan yang terpuji tetapi jangan membiarkan kelompok orang Cina sendiri memendam rasa. Mereka perlu keluar dan berasa berupaya menyatakan pandangan MCA sendiri tanpa terikat pada mana-mana kemahuan orang lain.

MCA mungkin terlalu yakin kebenaran berada di dalam UMNO tetapi mereka juga sedar UMNO lebih banyak mendatang musibah. Apakah dengan terus berada di bawah belenggu ini lebih mendatangkan faedah kepada orang Cina atau sebaliknya. Penduduk Malaysia yang berbagai bangsa ini memerhatikan percaturan MCA dengan teliti, kalau MCA terus mengejar kebendaan dan materialistik, MCA akan menjadi seperti UMNO juga yang bakal menghadapi zaman kemelesetan yang panjang pada masa terdekat.

MCA bakal terus relevan sekiranya memperlihatkan perjuangan sebenar parti itu secara telus dan kenyataan yang dibuat daripada MCA sendiri dan bukannya atas arahan orang lain. Jangan biarkan ahli-ahli MCA tertunggu-tunggu keberanian kepimpinannya untuk menyatakan yang benar itu benar dan yang salah tetap salah. Jangan dibiarkan MCA seperti orang buta yang menemui gajah dan menyatakan sesuatu yang tidak dapat dilihatnya sebaliknya hanya berandaian sahaja. Mana pergi pemikir-pemikir MCA atau pandangan mereka dipinggirkan oleh kepimpinan atau keadaan terburuk mereka tiada usaha lagi untuk terus memikirkannya kerana kerenah kepimpinan dalaman.

Rakyat amat berharap MCA kembali seperti asalnya yang mampu memperkatakan sesuatu pandangan yang jelas menggambarkan kematangan kepimpinan dan politik sebenar MCA.

- Pemerhati Lama - 04.12.2003 (suntingan M@RHAEN)
Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/
Dapatkan maklumat terkini di Forum M@RHAEN.



Tapak Utama: http://marhaen.internations.net
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.

Click Here!