PAS Melaka Hantar Memorandum Mengenai 
Perlantikan Setiausaha Majlis Daerah Jasin Yang Muflis


Jasin (Melaka), 18 November 2003: PAS Melaka, yang diketuai oleh Yang DiPertua PAS Jasin, Ustaz Mujahid Yusof Rawa, telah mengadakan kenyataan akhbar dan menyampaikan memorandum kepada Yang DiPertua Majlis Daerah Jasin (MDJ), berkaitan isu Setiausaha Majlis Daerah Jasin, Abdul Manaf Jaffar, yang muflis. Ustaz Mujahid, yang juga Ketua Penerangan PAS Melaka, telah menyatakan rasa kesal dan ingin mendapatkan penjelasan bagaimana Setiausaha MDJ Abdul Manaf Jaafar yang diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Melaka pada 15 Oktober 2002 tetap kekal sebagai Setiausaha Majlis selama setahun lebih.

Isu ini telah mendapat liputan meluas akhbar perdana, menyatakan bahawa, Abdul Manaf yang telah dilantik sebagai Setiausaha MDJ pada 2 Jan 2000 secara kontrak untuk tempoh dua tahun itu, disambung perkhidmatannya untuk dua tahun lagi sehingga Disember 2004. Dalam hal yang berkaitan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, telah mempertahankan perlantikan Abdul Manaf sebagai Setiausaha MDJ.

Kira-kira jam 9:30 pagi, Ustaz Mujahid, diiringi oleh setiausaha PAS Kawasan Jasin, Sdr Abdul Karim Hj Kassim, Ketua Pemuda PAS Melaka, Sdr Azrin Majid, dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Jasin, Ustaz Kamaruddin Hj Sidek, telah membuat kenyataan akhbar, dan bertemu dengan Yang DiPertua Majlis Daerah Jasin, Tuan Haji Mustaza Abu Bakar di pejabatnya.

Dalam pertemuan singkat tersebut, Hj Mustaza walaupun mempertahankan perlantikan tersebut, beliau menyerahkan persoalan tersebut kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan tentang isu itu. Namun begitu, beliau bertegas bahawa kalau ada pun perlucutan jawatan, maka ia dilakukan atas alasan moral, dan bukan kerana menyalahi undang-undang. Sementara itu, Rais Yatim telah membuat kenyataan mengatakan bahawa jawatan dipegang oleh Abdul Manaf dengan sendiri telah terlucut apabila beliau diisytiharkan muflis oleh mahkamah, berdasarkan peruntukan mengikut Perkara 36 Akta Kebankrapan 1967 dan juga Peraturan Perkhidmatan 1993 (Etika Kelakuan).

PAS Melaka dalam kenyataan akhbarnya, telah menegaskan keprihatinan mereka terhadap isu yang telah menjejaskan kredibiliti MDJ sebagai sebuah Majlis Daerah yang berwibawa. Tindak tanduk Ketua Menteri Melaka dan YDP Majlis Daerah Jasin yang tidak peka atau sengaja mengabaikan status Setiausaha Majlis yang muflis walaupun pengisytiharan mahkamah berkuatkuasa sejak setahun lalu amat dikesali. Isu ini juga membuktikan bahawa Majlis Daerah Jasin gagal memastikan kepimpinan mereka bersih daripada mereka yang tidak layak secara undang-undang untuk memegang jawatan, terutama potfolio yang begitu penting seperti Setiausaha Majlis.

Kelalaian pihak MDJ ini telah menjejaskan kredibiliti mereka di hadapan rakyat Jasin, sebagai sebuah institusi yang ditadbir dengan baik dan bertanggungjawab. PAS juga kesal, pentadbiran negeri Melaka yang tidak mengambil pengajaran terhadap kes Abdul Kudus, iaitu Ketua Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang juga muflis, yang telah dilantik sebagai penjawat dalam kerajaan tempatan.

Oleh itu, PAS mendesak agar tindakan segera mengatasi kesilapan ini dibuat, dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika terdapat unsur-unsur rasuah dalam memberikan jawatan kepada pihak-pihak tertentu.

Petikan daripada PAS Melaka (kiriman selembu@excite.com)
http://www.pasmelaka.org/utama/18110303.htm - 17.11.3002

Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/



Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN

Click Here!