MELATAH HARI SELASA
Oleh Pak Ngah


APA ISTIMEWANYA ANGKA 28?

Pak Ngah tertanya-tanya, adakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapatkan khidmat Feng Shui dalam menentukan tarikh pilihan raya di Kuala Berang pada kali ini. Dengan jumlah pengundi yang kecil sahaja memerlukan sejumlah 12 hari untuk berkempen sedangkan Pilihan raya yang lalu hanya 7 hari setengah sahaja. Berbagai persoalan timbul? Mungkinkah tipu muslihat SPR berulang lagi. Pada hari penamaan calon dah pun tunjuk sikap yang tidak langsung profesional.

Tetapi lebih memusykilkan apabila Mahkamah pun mencari satu tarikh yang sama juga. Sebelum ini seluruh Malaysia sedia maklum pada 28 Ogos 2004 adalah hari terakhir Muktamar Pas. Seluruh Rakyat Malaysia sudah tahu termasuk Perdana Menteri, Menteri-menteri dan pemuka-pemuka yang lain termasuk juga Ketua Hakim Negara. Mungkin angka 28 ini amat menarik hati semua pemuka-pemuka tersebut atau boleh jadi ada udang di sebalik batu.

Kalau ada udang di sebalik batu sahlah ianya memberikan penjelasan yang nyata kepada semua rakyat Malaysia yang segala penentuan tarikh tersebut, iaitu Tarikh Pilihan Raya Kecil Kuala Berang dan Rayuan DSAI itu telah ditetapkan oleh pemuka UMNO atau lebih tepat Perdana Menteri sendiri dan bukannya oleh SPR atau Mahkamah. Jelas sekali slogan menolak rasuah dan salah guna kuasa pemuka Islam Hadhari ini hanya omongan kosong sahaja. Ianya tidak mengejutkan kerana pemuka ini sememangnya terkenal dengan sikap suka berbohong dan menipu.

Berikut diperlihatkan peristiwa yang bakal berlaku pada 28 Ogos 2004:

Akhirnya rayuan Anwar ditetapkan 28 Ogos
KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Hrkh)- Setelah ditangguh tanpa alasan, dan menerima kritikan daripada berbagai pihak, mahkamah akhirnya menetapkan keputusan rayuan terakhir kes Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 28 Ogos ini. 
Takdir Allah boleh merubah segalanya, mereka berhasrat menguasai semuanya pada tarikh tersebut, tetapi besok lusa tiada siapa boleh menduga hatta sesaat ke hadapan sekalipun tidak boleh sesiapa menjangkakannya. Tarikh 28/8 ini boleh pula menjadi tarikh kehancuran satu pemerintahan yang penuh kezaliman, pembohongan dan penipuan. Ianya bakal menjadi igauan paling menggerunkan kepada UMNO dan BN. Selepas tarikh ini sudah tidak ada lagi ong kepada angka 2 dan 8 kepada mereka sebalik ya menjadi fobia berpanjangan.

Pak Ngah mengakhiri tulisan pendek ini dengan memperlihatkan petikan untuk di hayati oleh semua rakyat Malaysia dan bersamalah kita di dalam kesemua aktiviti pada 28/8 tanpa ragu-ragu kerana kita yakin dengan janji Allah seperti berikut:

Kurma Madinah
Ketika Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabatnya untuk segera berangkat ke Tabuk menghadapi kaum kafir, mereka semua bersegera menyambutnya. Hanya beberapa orang sahabat yang tidak mengikuti peperangan tersebut, selain orang tua, para wanita dan anak-anak serta orang-orang munafik. Musim kurma hampir tiba dan masa itu musim panas yang terik sedang melanda, sementara perbekalan dan persenjataan yang dimiliki sangat minimum, akan tetapi Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya r.a. tetap berangkat. Di waktu itulah keimanan dan pengorbanan para sahabat diuji. Orang-orang munafik mulai menyebarkan desas-desus dan menghasut para sahabat r.a. agar tidak meninggalkan kebun kurma mereka dan tidak menyertai peperangan tersebut. Hasutan para munafiqin itu tidak hanya kepada para sahabat r.a. tetapi isteri para sahabat r.a. pun tidak luput dari hasutan mereka. Mereka para munafiqin itu berkata, "Suami-suami kalian pergi ke Tabuk sementara kurma di kebun-kebun kalian sebentar lagi ranum, siapakah yang akan mengurusnya. Mereka meninggalkan kesempatan yang bagus ini dan pergi meninggalkannya begitu saja". Isteri-isteri para sahabat itu menjawab dengan keimanan mereka, "Pencari rezeki telah pergi dan pemberi rezeki telah datang". Pada masa itu Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. dengan pertolongan Allah s.w.t. kembali dari peperangan dalam waktu yang sangat singkat. Allah s.w.t. menjaga kebun-kebun kurma dan keluarga mereka. Tidak satupun buah kurma yang telah masak itu jatuh dari tangkainya, kebun mereka berlipat ganda hasilnya dan walaupun demikian harga kurma Madinah saat itu mencapai harga tertinggi sehingga para sahabat r.a. tidak mendapatkan kerugian sedikit pun. Sampai saat ini kurma Madinah adalah yang paling digemari dan terkenal di mana-mana.

Malaikat Jibril a.s. berkata, "Menegakkan pilar-pilar agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri; harta; dan waktu untuk usaha agama lebih manis dari madu, dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit dari meniti sehelai rambut"

Allah s.w.t. berfirman, " Syurga-Ku itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat syurga-Ku itu lebih manis dari madu, dan jalan menuju syurga-Ku adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Dalam kita beramai-ramai di semua tempat yang ditujui tersebut Pak Ngah ingin berpesan, Pak Ngah bukannya menentang lawak jenaka, bergelak ketawa tetapi jangan lah berlebihan. Kalau semasa kita bersembang itu janganlah sampai gelaknya melampaui batas. Kita perlu mengambil iktibar dari gurauan Rasullullah sebagai pedoman.

 Berikut Pak Ngah membuat petikan dari Himpunan 1001 kisah;

Gurau dan Canda Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w. bergaul dengan semua orang. Baginda s.a.w menerima hamba, orang buta, dan anak-anak. Rasulullah s.a.w. bergurau dengan anak kecil, bermain-main dengan mereka, bersenda gurau dengan orang tua. Akan tetapi Rasulullah s.a.w. tidak berkata kecuali yang benar saja.

Suatu hari seorang perempuan datang kepada beliau lalu berkata, "Ya Rasulullah! Naikkan saya ke atas unta", katanya."Aku akan naikkan engkau ke atas anak unta", kata Rasulullah s.a.w.. "Ia tidak mampu", kata perempuan itu. "Tidak, aku akan naikkan engkau ke atas anak unta"."Ia tidak mampu".Para sahabat yang berada di situ berkata, "Bukankah unta itu juga anak unta?"

Datang seorang perempuan lain, dia memberitahu Rasulullah s.a.w.:"Ya Rasulullah, suamiku jatuh sakit. Dia memanggilmu". "Semoga suamimu yang dalam matanya putih", kata Rasulullah s.a.w. Perempuan itu kembali ke rumahnya. Dan dia pun membuka mata suaminya. Suaminya bertanya dengan keheranan, "Kenapa kamu ini?". "Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa dalam matamu putih", kata isterinya menerangkan. "Bukankah semua mata ada warna putih?" kata suaminya.

Seorang perempuan lain berkata kepada Rasulullah s.a.w.: "Ya Rasulullah, doakanlah kepada Allah s.w.t. agar aku dimasukkan ke dalam syurga". "Wahai ummi fulan, syurga tidak dimasuki oleh orang tua". Perempuan itu lalu menangis. Rasulullah s.a.w. menjelaskan, "Tidakkah kamu membaca firman Allah s.w.t. ini:"Serta kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta kami jadikan mereka senantiasa perawan (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya".

Para sahabat Rasulullah s.a.w. suka tertawa tapi iman di dalam hati mereka bagai gunung yang teguh. Na'im adalah seorang sahabat yang paling suka bergurau dan tertawa. Mendengar kata-kata dan melihat gelagatnya, Rasulullah turut tersenyum.

Akhirnya dari Pak Ngah, Insyallah kita akan mengharungi pertempuran di medan politik dan di mahkamah nanti dengan pertolongan Allah sedangkan mereka tidak ada tempat pergantungan seperti kita. Mereka hanya menggunakan kuasa yang ada pada mereka tetapi kita ada Allah yang bukan sahaja maha kuasa tetapi juga telah menjadikan diri-diri mereka-mereka itu.

.. Pak Ngah - 17.08.2004 (suntingan M@RHAEN)
Gambar-gambar/grafik kiriman Pak Ngah.


Hantar artikel ini kpd sahabat: