MELATAH HARI SABTU
Oleh Pak Ngah


KELDAI MENGAJAK TUANNYA TIDUR DI KANDANG

Pak Ngah mulakan hari ini dengan memetik salah satu himpunan 1001 kisah supaya diambil iktibar oleh semua. Suatu hari Allah s.w.t. memerintahkan malaikat Jibril a.s. untuk pergi menemui salah satu makhluk-Nya iaitu kerbau dan menanyakan pada si kerbau apakah dia senang telah diciptakan Allah s.w.t. sebagai seekor kerbau. Malaikat Jibril a.s. segera pergi menemui si Kerbau.

Di siang yang panas itu si kerbau sedang berendam di sungai. Malaikat Jibril a.s. mendatanginya kemudian mulai bertanya kepada si kerbau, "Hai kerbau apakah kamu senang telah dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai seekor kerbau". Si kerbau menjawab, "Masya Allah, alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah s.w.t. yang telah menjadikan aku sebagai seekor kerbau, daripada aku dijadikan-Nya sebagai seekor kelelawar yang ia mandi dengan kencingnya sendiri". Mendengar jawapan itu Malaikat Jibril a.s. segera pergi menemui seekor kelelawar.

Malaikat Jibril a.s. mendatanginya seekor kelelawar yang siang itu sedang tidur bergantungan di dalam sebuah gua. Kemudian mulai bertanya kepada si kelelawar, "Hai kelelawar apakah kamu senang telah dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai seekor kelelawar". "Masya Allah, alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah s.w.t. yang telah menjadikan aku sebagai seekor kelelawar dari pada aku dijadikan-Nya seekor cacing. Tubuhnya kecil, tinggal di dalam tanah, berjalannya saja menggunakan perutnya", jawab si kelelawar. Mendengar jawapan itu pun Malaikat Jibril a.s. segera pergi menemui seekor cacing yang sedang merayap di atas tanah.

Malaikat Jibril a.s. bertanya kepada si cacing, "Wahai cacing kecil apakah kamu senang telah dijadikan Allah s.w.t. sebagai seekor cacing". Si cacing menjawab, " Masya Allah, alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah s.w.t. yang telah menjadikan aku sebagai seekor cacing, dari pada dijadikaan-Nya aku sebagai seorang manusia. Apabila mereka tidak memiliki iman yang sempurna dan tidak beramal soleh, ketika mereka mati mereka akan diseksa selama-lamanya".

Kalau cacing yang kecil itu pun telah nyatakan pendiriannya, apakah yang dikatakan Manusia ini ingin terus bongkak. Pemuka UMNO ini tidak langsung mahu mengambil apa jua iktibar dari kisah-kisah yang ditulis di dalam Bahasa Melayu mungkin mereka hanya membaca di dalam bahasa Inggeris, mana nak jumpa keindahan cerita seperti ini. Lihatlah kesombongan dan keangkuhan mamak-mamak ini. Bahasa Melayu dirasakan macam bahasa mamak. Pemuka-pemuka ini perlu sedar diri. Siapakah mereka sebenarnya, bukan bermakna kahwin melayu jadi melayu. Kalau masuk Islam jadi Islam, itu benar sebab Islam tak kira bangsa. Melayu boleh jadi Islam, mamak pun boleh jadi Islam dan bangsa-bangsa lain juga boleh jadi Islam.

Lihatlah kenyataan dibuat pemuka-pemuka tersebut;

Infotainmen' kekal dalam slogan baru RTM
KUANTAN 12 Ogos - Menteri Penerangan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir menegaskan, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) akan mengekalkan perkataan `infotainmen' dalam slogan barunya `Saluran Infotainmen Anda'.

Menurut beliau, Infotainmen adalah perkataan teknikal dan pihaknya tidak bercadang menggantikan penggunaan istilah itu walaupun ia mengundang polemik di kalangan pakar bahasa.

"Penggunaan perkataan infotainmen adalah perkataan teknikal seperti mana penggunaan perkataan internet dan multimedia yang telah digunapakai dalam bahasa Melayu sebelum ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Perayaan Bulan Kemerdekaan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Kadir menasihatkan pakar bahasa yang menolak penggunaan istilah itu dan menyifatkannya sebagai istilah rojak supaya membaca penjelasan daripada Datuk Johan Jaaffar yang disiarkan dalam ruangan rencana, Utusan Malaysia hari ini.

Begitulah sikap pemuka-pemuka UMNO ini, seperti Keldai mengajak tuanya masuk kandang. Banyak lagi pemuka UMNO dengan berbagai perlakuan mengaibkan.

Teras dakwa pemikiran Timbalan Menteri Penerangan masih terjajah
Aug 12, 04 4:57pm
Timbalan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin dianggap tidak menghormati tradisi ilmu apabila tidak akur terhadap nasihat pakar bahasa berhubung penggunaan istilah Infotainment di RTM.

Sikap mentaliti mengkagumi istilah Inggeris untuk tujuan ketepatan maksud adalah petanda bahawa Zainuddin masih berfikiran penjajah dan pengkagum apa sahaja yang datang dari Barat.

“Teras berpendapat, fenomena meng’Inggeris’kan bahasa Melayu yang kini semakin berleluasa, di samping perbualan yang kini makin menjadi bahasa rojak, adalah petanda betapa kesungguhan masyarakat dan pihak berkuasa mendaulatkan bahasa Melayu kini semakin luntur,”

Semalam Pak Ngah buat petikan dan Pak Ngah tuliskan sekali lagi; dan perhatikan apa yang dilakukan oleh Timbalan Menteri Pelajaran. Nampak sangat macam orang tak berpelajaran.

Dalam konteks ini, keutamaan harus diberi kepada menjayakan proses pemilihan pemimpin yang menepati ciri penting kepemimpinan Rasulullah iaitu siddiq (benar), amanah (jujur), tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Ia juga boleh dirungkaikan kepada beberapa ciri terbitan (generic) lain seperti adil, berwibawa, telus, berintegriti, terbuka, berpandangan jauh, cekap, bersih dan berhemah.

Penganalisis politik, umumnya, mengakui bahawa ‘politik wang’ adalah sesuatu yang menjadi penyakit dalam sistem politik kepartian hari ini. Sesungguhnya gejala ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam dan amalan politik serta keperibadian Rasulullah.

Politik wang sesungguhnya melanggar keempat-empat prinsip asas keperibadian Rasulullah dan nilai terbitan lainnya.

Sebagai seorang pemimpin dan pemilih pemimpin, seharusnya dihindari golongan yang mengamalkan pendekatan politik kebendaan seperti itu. Sesungguhnya sesiapa yang terus mengamalkan dan terbabit dengan perkara sedemikian adalah golongan yang akan memusnahkan kepemimpinan negara pada masa depan.

Pemimpin di kalangan yang korup akan pasti menjerumuskan masyarakatnya dalam kemelut korupsi juga.

Datuk Mahadzir Mohd. Khir yang diberi amaran hari ini kerana dikatakan terlibat dengan politik wang
REMBAU 12 Ogos - Calon Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mahadzir Mohd. Khir yang diberi amaran hari ini kerana dikatakan terlibat dengan politik wang akan mendapatkan penjelasan daripada Lembaga Disiplin UMNO.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran bagaimanapun berkata, sehingga petang ini belum lagi dimaklumkan oleh Lembaga Disiplin tersebut.

Apa yang Pak Ngah bentangkan di atas adalah satu dua kenyataan yang dapat Pak Ngah pungut secara harian dari beberapa akhbar utama mereka dan Malaysiakini. Tujuannya untuk memperlihatkan keadaan sebenar apa yang mereka lakukan. Kita sentiasa perlu diperingatkan dengan tanda-tanda akhir zaman bagi meningkatkan insaf diri sesama kita yang bersaudara di alam yang fana ini. Akhirnya, salam dari Pak Ngah dan berdoalah agar kita dijauhkan daripada bersama golongan manusia yang dibenci Allah dan RasulNya.

…….. Pak Ngah - 14.08.2004 (suntingan M@RHAEN)
Gambar-gambar/grafik kiriman Pak Ngah.


Hantar artikel ini kpd sahabat: