MELATAH HARI KHAMIS
Oleh Pak Ngah


BILA KELDAI BERSUARA

Teringat Pak Ngah akan ayat 19 daripada Surah Luqman seperti berikut; Firman Allah Taala Maksudnya: Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. Banyaklah pengajaran boleh diambil daripada firman Allah ini.

Setiap perkataan yang keluar daripada mulut kita hendaklah daripada jiwa yang bersih dan dengan tertib, apa lagi kita orang Melayu. Apabila perkataan itu lahir daripada pemuka UMNO yang suka berbohong dan menipu ianya umpama suara keldai kerana penakulan yang dibawa adalah amat cetek dan mengambil nasihat dari orang yang salah atau sememangnya tidak tahu siapakah yang sepatutnya dirujuk. Kalau dalam hal yang mudah berhubung kait bahasa Melayu pun telah salah membuat rujukan apatah lagi dengan persoalan besar berhubung akidah umat. Telah menjadi amalan para pemuka Islam Hadhari yang suka berbohong dan menipu ini membuat rujukan kepada pihak yang hanya mengangguk sahaja atau mengiakan sahaja apa jua yang mereka mahukan.
Kenapa tidak dirujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menentukan penggunaan Bahasa Melayu yang betul atau kalau berhubung-kait dengan akidah kepada ulama yang tidak ada apa kepentingan dan bukannya Astora Jabat atau Dr Ismail Ibrahim. Inilah contoh terkini anutan Islam Hadhari yang amalannya bertempat;

`Infotainmen' bukan bahasa rojak - Zam
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) menolak tanggapan bahawa perkataan `infotainmen' pada slogan `Saluran Infotainmen Anda' di sebalik penjenamaan semula rancangan-rancangan RTM adalah bahasa rojak.

Sebaliknya, menurut Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, penggunaan perkataan itu telah mendapat kebenaran dan dirujuk kepada pakar-pakar bahasa progresif.

"Jadi saya harap orang ramai tidak memperbesar-besarkan penggunaan perkataan itu,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika diminta memberi penjelasan mengenai perkataan itu yang dilihat menjurus kepada penggunaan bahasa rojak.

Menurutnya, penggunaan istilah `infotainmen' sebenarnya lebih tepat dan menggambarkan maksud yang jelas berbanding istilah yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu iaitu hiburan bermaklumat.

Beliau memberitahu, pihaknya tidak bercadang untuk mencampuradukkan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sebaliknya penggunaan istilah itu lebih moden dan berupaya meringkaskan perkataan.

"Kita dah cari pelbagai istilah, tapi tidak tepat, istilah `infotainmen' sebenarnya mudah difahami kerana ia merupakan gabungan dua perkataan yang menjelaskan satu maksud umum,'' katanya.

Inilah bukti pembohongan dan penipuan paling jelas pemuka UMNO di dalam sesuatu perkara. Lihatlah betapa jijiknya mereka sehinggakan sanggup membelakangkan Dewan Bahasa dan Pustaka yang dibentuk oleh Kerajaan sendiri bagi menentukan penggunaan Bahasa Melayu yang betul. Pemuka ini memang tahu benar, sekiranya dia merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka sudah pasti ditolak. Kerana itu beliau sengaja tidak merujuk kepada pihak sewajibnya bertanggungjawab yang sudah pasti tidak akan mengikut cakap mereka. Inilah dasar pemimpin yang suka berbohong dan menipu serta penuh dengan putar belit. Pemuka ini memang tidak selayaknya dijadikan pemimpin oleh rakyat tetapi kepimpinan mereka menyukai pemuka yang sebegini. Keadaan ini sebenarnya sama dengan apa yang berlaku sejak adanya pemerintahan di dunia ini. Hanya ada beberapa pemerintahan yang telus dan berwibawa di dunia ini dan zaman itulah yang mengembangkan tamadun penghidupan Manusia. Pemimpin jenis ini hanya pelengkap pusingan kehancuran sesuatu tamadun sebelum wujudnya kepimpinan tamadun yang baru, maju dan lebih besar.

Kita lihat apa yang Dewan Bahasa dan Pustaka ulaskan berhubung penggunaan slogan pemuka UMNO terbaru kepada RTM 1 (Perhatikan bahagian dihitamkan);

DBP tolak `Infotainmen' cadang RTM guna `Inforia'
Oleh: MERAN ABU BAKAR. KUALA LUMPUR 10 Ogos - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak bersetuju Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) menggunakan perkataan `Infotainmen' dalam slogan baru kerana ia bukan berasal daripada bahasa Melayu dan mencadangkan digunakan `Infohibur' atau `Inforia'.

Ketua Bahagian Perkamusan DBP, Noresah Baharom berkata, RTM tidak pernah merujuk atau meminta sebarang pandangan daripada pihaknya berhubung perkara itu.

"Pihak DBP tidak bersetuju dengan penggunaan perkataan itu kerana ia merosakkan bahasa Melayu yang hangat dibincangkan supaya tidak menjadi bahasa rojak,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas langkah RTM menggunakan perkataan `infotainmen' di sebalik usaha penjenamaan rancangan-rancangan stesen itu.

Noresah berkata, slogan baru RTM, `Saluran Infotainmen Anda' menggunakan perkataan yang tidak tepat, malah jika dieja dan disebut dalam bahasa Melayu akan berbunyi sebagai `infotenmen' dan ia dilihat sebagai perkataan yang tidak mempunyai sebarang maksud.

Menurut Noresah, perkataan `infotainmen' itu adalah gabungan `information' atau maklumat, sementara `tainmen' adalah singkatan entertainment atau hiburan.

Selain itu, katanya, perkataan `infotainmen' tidak mengikut sistem pembentukan istilah bahasa Melayu.

Pak Ngah perlihatkan sekali lagi kata-kata Zam
`Infotainmen' bukan bahasa rojak - Zam
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) menolak tanggapan bahawa perkataan `infotainmen' pada slogan `Saluran Infotainmen Anda' di sebalik penjenamaan semula rancangan-rancangan RTM adalah bahasa rojak.

Sebaliknya, menurut Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, penggunaan perkataan itu telah mendapat kebenaran dan dirujuk kepada pakar-pakar bahasa progresif.

Inilah contoh paling jelas kehaprakan pemuka UMNO. Tidak semestinya bekas pemberita itu tahu akan tertibnya sesuatu bahasa. Itulah sebabnya asas keilmuan mesti ada sebelum dapat pergi lebih jauh, kalau tangkap atau serkup dan lantik sahaja inilah akibatnya. Pandai putar belit belum tentu berjaya tetapi lebih memudaratkan seperti mana telah terbukti.

Adalah tidak mengejutkan dengan sikap pemuka UMNO dalam pemerintahan ini sanggup melakukan apa sahaja demi untuk kepentingan diri dan kebendaan semata. Sikap CINTA DUNIA mereka amat nyata kelihatan. Apakah mereka boleh terus diharapkan untuk terus memerintah dengan penyelewengan, penipuan, pembohongan, rasuah, nepotisme, kronisme, penyalahgunaan kuasa, mengatasi undang-undang sehingga nyawa rakyat bagal menjadi galang gantinya. Duit rakyat telah lama disalah guna akibat tidak amanahnya mereka. Kini lihatlah kemajuan pembangunan yang amat mereka banggakan Mulai retak untuk runtuh. Lihatlah pada MRR2 yang bernilai RM238.8 juta telah retak dan nyawa rakyat bakal jadi galang gantinya pula. Inilah contoh-contoh bermulanya keruntuhan yang bukan sahaja tidak dapat dirasakan dan dipegang sebelum ini kepada benda yang sudah boleh dipegang kini. 31 daripada 33 tiang jejambat retak dan teliti berita ini;

31 tiang jejambat utama MRR2 bagi laluan Kepong dikesan retak
Oleh: RADZUAN HASSAN
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Sebanyak 31 daripada kesemua 33 tiang jejambat utama Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) bagi laluan Kepong yang ditutup sementara sejak Ahad lepas, didapati retak.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, ia dikenal pasti berdasarkan hasil kajian yang dibuat dan pihaknya mengarahkan kerja-kerja membaikinya disiapkan dalam masa tiga bulan.

"Keretakan itu tidak sepatutnya berlaku. Kita terpaksa menutup demi keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Mohd. Zin, kerja-kerja membaik pulih keretakan serta menguatkan semula struktur sudah mula dijalankan.

"Ia merupakan proses pressure crocheting iaitu seperti meletakkan gam yang kuat pada keretakan luar dan merapatkannya semula dengan membiarkannya sebati,'' jelas beliau.

MRR2 menyediakan jalan utama tanpa tol yang menjadikan pergerakan kenderaan yang lebih lancar tanpa perlu memasuki pusat bandar raya.
Ia menghubungkan beberapa lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Cheras-Kajang; Kesas; Lebuh Raya Damansara Puchong; dan Lebuh Raya Utara Selatan.

Bernilai RM238.8 juta - lebuh raya berkenaan adalah projek pakej II di bawah Sekretariat Usaha Sama Kontraktor Melayu-India Malaysia, Bumi Hiway (M) Sdn. Bhd. dan Konsortium Kontraktor Melayu (Wilayah) Sdn. Bhd.

Akhirnya Pak Ngah memetik satu teladan untuk tatapan dan peringatan buat semua. Ceritanya seperti berikut;
JENERAL TALUT: PERANG KEMERDEKAAN
Berkatalah Talut: "Saya datang menemui tuan, ya Nabi Allah, untuk minta keterangan dan petunjuk, tentang keldai bapaku yang hilang di tengah padang yang luas ini. Sudah beberapa hari kami berdua mencarinya, hampir kami berputus asa. Mudah-mudahan tuan kiranya dapat menunjukkan kepada kami tentang keldai itu dengan ilmu tuan yang tinggi itu.

Samuel lalu menjawab: "Adapun keldai yang hilang itu sekarang sedang berjalan pulang menuju kandangnya. Janganlah engkau bersusah payah lagi mencarinya. Saya pun ingin bertemu denganmu, tentang sebuah urusan yang lebih penting dan lebih mulia. Bukan urusan keldai yang hilang, tetapi urusan kemerdekaan yang sudah lama lenyap, urusan rakyat kita yang sudah lupa kandang.

Inilah yang sedang kita lakukan bagi membentuk umat yang sayangkan Islam melebihi sayangnya kepada harta benda. Jangan jadi seperti pemuka UMNO yang sudah lupa kandang.

.. Salam dari Pak Ngah - 12.08.2004 (suntingan M@RHAEN)


Hantar artikel ini kpd sahabat: