MELATAH HARI RABU
Oleh Pak Ngah


JELAS TEPAT KENA PADA TEMPATNYA

Cantik, cantik, inilah yang dikatakan orang dulu-dulu seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Kalau Pak Ngah yang cakap siapalah yang nak dengar dan percaya tambahan pula mana ada pangkat, cuma Datuk sahaja kepada beberapa orang cucunda.

Walau apa pun maksud yang diberikan oleh Presiden Akademi Pembangunan Intelektual Moden (MINDA) Datuk Mohd Nor Ali tetapi Pak Ngah tertarik dengan 5 sikap yang dikatakan olehnya itu. Cuma Pak Ngah ingin mengingatkan Datuk Mohd Nur Ali dan semua rakyat Malaysia, faktor lain yang dinyatakan oleh Datuk iaitu kepimpinan, perlu diletakkan adalah paling utama kerana ianya adalah asas, tunjang, pokok, teras kepada Bangsa Melayu. Kepimpinan yang terkongkong dalam paradigma UMNO yang kaku, beku dan terperangkap di dalam kepompong UMNO yang kuno inilah punca utamanya.

Rakyat bangsa Melayu yang tidak terkongkong dalam kepompong UMNO telah lama keluar daripada paradigma tersebut dan yang tinggal hanyalah di kalangan pemuka dan ahli UMNO sendiri yang masih terperuk di dalam kepompongan mengharapkan belas kasihan, bertongkat, menadah tangan memohon kepada pemuka mereka sendiri yang berkuasa. Mereka tidak boleh samakan semua orang Melayu sama seperti orang melayu UMNO. Orang Melayu lain yang bukan UMNO telah lama maju, bersaing, berjuang dengan titik peluh sendiri tanpa keluh kesah malahan mereka lebih gigih dari bangsa Cina dan India. Mereka sentiasa ditekan kepimpinan pemuka UMNO yang kuat berbohong dan menipu, yang lebih menyenangi kaum lain daripada bangsa Melayu yang telah pun keluar daripada paradigma kepompongan UMNO ini. Pak Ngah ingatkan kepada Datuk, jangan lagi disebut Melayu sahaja tetapi lebih tepat disebut melayu UMNO sahaja yang perlu mengubah sikap tersebut.

Berikut petikan yang Pak Ngah buat;

Melayu jadi bangsa kuat jika ubah lima sikap
KUALA LUMPUR 9 Ogos - Presiden Akademi Pembangunan Intelektual Moden (Minda), Datuk Mohd. Nor Ali berkata, lima sikap perlu diubah oleh orang Melayu jika mahu menjadi bangsa yang kuat dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Menurut beliau aspek-aspek tersebut ialah sistem nilai dan budaya, pencapaian intelektual, keimanan, tanggungjawab dan nilai moral serta kepimpinan.

Katanya, jika lima aspek tersebut gagal direalisasikan, usaha untuk membawa perubahan besar kepada orang Melayu sangat sukar dicapai.
"Untuk membawa orang Melayu sebagai bangsa yang kuat dan berperanan besar dalam semua aspek, satu anjakan dari dalam lima perkara itu perlu dibuat dengan segera.

"Faktor-faktor lain ialah kepimpinan mesti mempunyai kesungguhan dan bertanggungjawab penuh untuk membantu orang Melayu untuk mengubah nilai-nilai itu,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Seluruh rakyat Malaysia memahami dan dapat membezakan di antara KERAJAAN dan PEMERINTAH (Parti Politik yang memenangi Pilihan raya). Seperti mana yang Pak Ngah katakan di atas, kepimpinan pemuka UMNO yang suka berbohong dan menipu ini perlu keluar daripada paradigma kepompongan kuno mereka agar dapat membentuk anjakan kepada Melayu UMNO. Tetapi lihatlah sendiri apa yang dikatakan oleh salah seorang Pemuka Utama mereka sendiri yang kaku, beku dan kuno. Di mana mahu dilihat pencapaian intelektualnya, sistem nilai apa yang dapat dilihat pada dirinya, bagaimana boleh diberi tanggungjawab kepada kepimpinan yang semacam ini. Mereka gagal membezakan diri mereka dengan kerajaan. Kalau ya pun ianya adalah Kerajaan Barisan Nasional dan bukan Kerajaan UMNO sahaja. Inilah akibatnya apabila terlalu mengikut sahaja tanpa memahami hakikat sebenarnya. Lihat pada bahagian diHITAMkan Pak Ngah;
UMNO mesti proaktif -- Demi atasi kelemahan, keciciran Melayu dalam banyak bidang
Oleh: NOOR AZAM SHAIRI
KUALA LUMPUR 9 Ogos - UMNO segenap peringkat termasuk Majlis Tertinggi (MT) perlu memperhebatkan agendanya memperjuangkan ekonomi, pendidikan dan sosial orang Melayu yang dilihat masih belum memuaskan walaupun selepas 30 tahun Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, agenda itu perlu digerakkan melalui parti secara lebih proaktif supaya UMNO yang menjadi senjata orang Melayu, benar-benar dapat mengatasi kelemahan dan keciciran kaum itu dalam banyak bidang.

Katanya, UMNO perlu lebih menonjol dalam hal isu-isu pembelaan ini kerana orang Melayu sekarang menganggap semua yang dilakukan untuk mereka itu diusahakan oleh kerajaan.

"Orang sudah sebati dengan kerajaan dan tidak lagi nampak bendera UMNO di sebaliknya.

"Mereka melihat ini (dilakukan oleh) kerajaan tetapi bertanya UMNO di mana, walaupun dalam kerajaan itu adalah UMNO,'' katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia hari ini.

Berhubung dengan hal rasuah ini kita tengok pula apa kenyataan Ketua Pengarah nya. Nampak macam gah tetapi semuanya seperti skrip drama minggu ini sahaja. Semua penonton sudah tahu Jalan cerita dan pengakhir ceritanya. Ceritanya sama sahaja. Kata-kata dan slogan seperti ini sudah muak didengar rakyat “Bila kita siasat, kita tidak pilih ikan, ikan kecil, ikan besar, atau ikan yang bersisik, kita siasat,” Ungkapan seperti ini sudah berkumandang sejak zaman berzaman. Memang tidak memilih ikan tetapi mereka memotong kepala ikan dan disimpan. Yang dibelasah adalah badan ikan dan ekor ikan. Apa yang rakyat mahu diadili kepala ikan yang telah busuk dan baunya terhidu seluruh negara. Apakah hidung BPR tersumbat sehingga bau busuknya kepala ikan yang disimpan sendiri sudah tidak dihidu atau pun sudah mangli dengan bau tersebut sehingga tak terasa apa-apa lagi. Pak Ngah buatkan perumpamaan baru untuk mereka, ianya seperti “ANAK SELUANG TERDAMPAR KERING NUN DI AUR DAPAT DIHIDU, HARUAN MEDAK DIGALAS RASANYA MACAM TAK BERBAU.”

Perhatikan kenyataan Ketua Pengarah BPR ini;

Rasuah: BPR buka lebih 400 kertas siasatan
PUTRAJAYA 9 Ogos - Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah membuka lebih 400 kertas siasatan berkaitan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan pada tahun ini sahaja, membabitkan pelbagai kategori individu tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Zulkifli Mat Noor berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 259 tangkapan telah dibuat sehingga Jun lepas yang membabitkan 122 pegawai kerajaan dan 137 lagi dari kalangan orang awam dan swasta.

Menurut beliau, jumlah tangkapan itu yang menyaksikan peningkatan 103 kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah hasil usaha BPR membina asas yang baik bagi penyiasatan berkualiti pada tahun 2002 dan 2003.

"Saya sependapat dengan Peguam Negara. Bila kita siasat, kita tidak pilih ikan, ikan kecil, ikan besar, atau ikan yang bersisik, kita siasat,'' kata beliau.

Kalau begitulah sikap BPR, apakah boleh diharap apa yang dicakapkan oleh pemuka UMNO ini akan dipantau dan mengambil tindakan selayaknya amatlah tidak diyakini langsung. Bersama-samalah kita melihat janji oleh pemuka UMNO di kalangan mereka yang suka berbohong dan menipu ini, sama ada akan mengotakan janji mereka atau menjadi seperti mana orang yahudi yang apabila berjanji mereka sering memungkirinya. Sama-samalah kita melihat nya nanti. Pak teringat lagu lama yang berbunyi:

“APA GUNA BERJANJI
ALAU TAK DI TEPATI………….. MERANA DIRI……

BN janji tidak guna jentera kerajaan berkempen di Kuala Berang
Aug 9, 04 6:49pm
Barisan Nasional (BN) tidak akan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen dalam pilihanraya kecil Kuala Berang pada 28 Ogos depan.

Ketika menegaskan demikian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jentera kerajaan sebenarnya bertujuan untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, ia untuk memastikan rakyat memahami dengan lebih baik segala asar, program dan usaha yang dijalankan untuk menentukan kesejahteraan mereka.

Seperti lazimnya, Pak Ngah membentangkan apa yang telah dan sedang berlaku, namun apa yang akan berlaku hanya Allah yang tahu. Sebelum sesuatu berlaku selalunya akan ada petunjuk berhikmah Allah berikan, tetapi ramai di kalangan umat ini yang tidak nampak kerana tidak adanya cahaya menerangi hati mereka kecuali mereka yang tidak dibutakan hati mereka oleh Allah. Cahaya itu tidak ada pada kebendaan, tidak ada pada kebanggaan kemajuan tetapi timbul dari ilmunya yang diamal dan diajarkan kepada orang lain.

…….. Salam dari Pak Ngah - 11.08.2004 (suntingan M@RHAEN)


Hantar artikel ini kpd sahabat: