MELATAH HARI ISNIN
Oleh Pak Ngah


BAHASA MELAYU DI KACAMATA PEMUKA UMNO

Bila kita memperkatakan Bangsa Melayu, ianya tidak boleh lari daripada membicarakan 2 (Dua) perkara pokok iaitu Bahasa dan Tulisannya. Kalau bahasanya dipinggirkan dan tulisannya dihilangkan seperti mana sedang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional sekarang ini, Pak Ngah pasti Bangsa Melayu akan hanya tinggal sejarahnya bagi kajian Pusat Pengajian Tinggi di masa akan datang. Yang tinggal hanya orang Malaysia, Cina dan India.

Pemuka-pemuka pembohong dan penipu tak kira lelaki atau perempuan mereka hanya mementingkan kebendaan tetapi slogan mereka memelihara Melayu sedangkan diri sendiri dah tak nampak macam Melayu. Kalau wanita Melayu tentunya bersopan macam Melayu, pertuturan bahasa Melayu, tulis dengan tulisan Melayu, berpakaian macam orang Melayu (sudah tentu tak tinggal tudung kepala), pergaulan dan jiwanya Melayu bukan kata-kata di bibir sahaja. Ianya dipraktikkan dan jelas kelihatan semua ciri-ciri kemelayuannya.

Lihat lah pada seorang pemuka ini yang bercakap tentang jiwa Melayu sedangkan dirinya sendiri terlalu jauh tersisih dengan ciri-ciri kemelayuannya, lihatlah sendiri, mana kain tudung kepalanya dan lihat apa yang dituturkannya;

Jiwa Melayu tidak luntur
Kembali kuasai bahasa Inggeris peringkat global: Rafidah
Oleh Norfatimah Ahmad dan Zainab Mohd yatim

RAFIDAH tertarik melihat gambar lama ketika melawat pusat
Sumber NSTP, semalam. - Gambar oleh Effendy Rashid

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia terutama Melayu, tidak akan luntur kemelayuan dan kewarganegaraan mereka jika fasih berbahasa Inggeris, malah mereka boleh menjadi bangsa yang turut menyumbang ke arah kemajuan negara.

Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, orang Melayu boleh menjadi bangsa yang boleh dibanggakan jika mampu menguasai lebih daripada satu bahasa.

“Generasi sekarang harus menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua bagi membuka ruang kepada mereka berkomunikasi di peringkat global.

“Negara juga tidak mahu wujud kembali kumpulan ‘generasi hilang’ yang memiliki tahap penguasaan bahasa Inggeris yang begitu rendah dan serba kekurangan,” katanya.

Mengenai pihak yang mengkritik usaha mementingkan bahasa Inggeris, Rafidah berkata, mereka adalah golongan minoriti yang wajar memikirkan kesan kritikan mereka itu.

“Mereka perlu fikir semula. Saya rasa jika mereka sendiri tidak bercakap dalam bahasa Inggeris, mereka tidak akan sampai ke tahap di mana mereka berada sekarang,” katanya.

Beliau juga mahu media massa memberi fokus terhadap kepentingan menguasai bahasa Inggeris bagi membuka minda masyarakat untuk memajukan diri, bangsa dan negara.

Semua sanggahan terhadap penuturan lidah tak bertulang dan pengamalan Islam Hadhari yakni Islam Bertempat pemuka-pemuka UMNO dan BN ini sebenarnya telah tertulis di akhbar utama mereka sendiri pada tahun 2001, tetapi pemuka–pemuka UMNO dan BN ini memang mudah lupa kerana di mata mereka hanya kebendaan dan pembangunan kebendaan yang menjadi keutamaan. Mereka akan terus bersandiwara dengan kelakuan jijik tidak seperti orang Melayu. Mereka berdolak-dalik, berbohong, menipu, menindas semata mata untuk pengekalan kuasa. Mereka tidak langsung memikirkan tentang bangsa, bagi mereka kekayaan perlu dikuasai sepenuhnya oleh diri mereka, anak pinak mereka, kaum keluarga mereka dan sahabat handai mereka atau dengan kata lain mereka mengamalkan sepenuhnya Islam Hadhari unjuran mereka yang mempraktikkan Nepotisme, Kronisme, Korupsi dan zalim. Lihatlah muka hadapan Utusan Malaysia seperti berikut bagi menjawab penuturan lidah tak bertulang pemuka di atas. Hayatilah tulisan yang Pak Ngah hitamkan;

Muka Hadapan Utusan Malaysia 29 Mac 2001

Orang Melayu kian hilang pengukuhan identiti - Hassan
SERDANG 28 Mac - Tokoh Budaya, Datuk Hassan Ahmad berkata, orang Melayu semakin kehilangan pengukuhan identiti dan jati diri apabila mengetepikan penggunaan bahasa ibunda mereka.

Katanya, penggunaan bahasa Melayu semakin luntur sehingga menyebabkan bahasa itu disisihkan penggunaannya dalam kehidupan seharian, malah, semakin dipinggirkan oleh sektor swasta di negara ini.

"Kelemahan bangsa Melayu apabila kita semakin menyisihkan budaya sendiri dengan mengagung-agungkan budaya dan tradisi Barat kerana terpengaruh dengan apa yang dipanggil tuntutan globalisasi,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucaptama pada Wacana Pemikir Pengukuhan Jati Diri Melayu Pada Alaf Baru anjuran bersama Kumpulan Utusan dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Hassan turut mengkritik dasar bahasa kebangsaan yang menurutnya begitu longgar dalam pelaksanaannya menyebabkan kegagalan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan.

"Bahasa Melayu tercabar apabila hampir 600 pusat pengajian tinggi swasta menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan,'' katanya.

Beliau berpendapat, selain bahasa Melayu, agama Islam juga sebagai alat budaya yang banyak membentuk pandangan hidup dan akal budi sepanjang tamadun Melayu sejak lebih 2000 tahun lalu.

Beliau menegaskan, kemajuan satu bangsa itu terletak kepada kesedaran kebangsaan menerusi penghayatan bahasa dan agama untuk mencegah segala bentuk penjajahan Barat.

Turut hadir ialah Prof. Dr. Amat Juhari Moain selaku pengerusi wacana dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Khalid Mohd.

Sementara itu, Uthman pula menegaskan, orang Melayu perlu berbalik kepada ajaran al-Quran dan Sunah bagi mengembalikan jati diri Melayu dan memastikan ia tidak ketinggalan dalam mengejar arus globalisasi.

Selain itu, katanya, pembentukan jati diri juga perlu bersandarkan kepada kehidupan berdasarkan adat yang bersendikan hukum dan kitab, berakhlak baik serta memperkasakan budaya dan tamadun Melayu itu sendiri.

"Kebanyakan krisis jati diri dialami apabila satu perasaan yang menyebabkan kita rasa tidak yakin siapa kita mengenai faham nilai yang dirangkumkan dalam adat yang bersendikan hukum dan kitab.

"Disebabkan itu, pengukuhan jati diri terhakis manakala kita sibuk mengagungkan budaya orang asing,'' katanya.

Katanya, tamadun Melayu sebenarnya berpandukan oleh wahyu manakala falsafah yang datangnya dari akal manusia hanyalah sebagai pembantu untuk menerangkan kebenaran wahyu itu sendiri.

Awang Had pula menyifatkan pembentukan jati diri banyak berkait rapat dengan keadaan sekeliling sedia ada yang dinamik dan sentiasa berubah.

Malah beliau berpendapat perubahan era globalisasi bukanlah sesuatu yang baru kerana jati diri akan berubah bersama waktu dalam bentuk evolusi.

"Yang kekal dalam perubahan ialah perubahan itu sendiri kerana jati diri itu ialah satu keadaan yang wujud dalam minda yang harus ada penglibatan hakikat dalam elemen emosi,'' ujarnya.

Akhirnya Pak Ngah ingin berpesan, jangan jadi seperti Tenggang Derhaka, baru sehari menjadi saudagar sudah lupa diri atau Pak Pandir yang penuh gembira tetapi kampung tergadai atau Lebai Malang yang tak kenal Alif, Ba, Ta. Selamat bertemu lagi di lain lembaran.

…….. Salam dari Pak Ngah - 09.08.2004 (suntingan M@RHAEN)


Hantar artikel ini kpd sahabat: