MELATAH HARI SABTU
KENAPA PM MASIH TAK TAHU?
Oleh Pak Ngah - Laman M@RHAEN

Betulkah PM memang tak tahu yang kebanyakan masalah di peringkat daerah selalunya menghadapi gangguan pemimpin politik setempat dalam menjalankan tugas mereka? Pugar tanah, pembahagian tanah, ambil dan korek pasir, luluskan pembangunan dan berbagai kelulusan lain semuanya dan selalunya dating dari pemimpin politik setempatlah. Bukankah semua projek PLB semuanya dipegang oleh pemimpin politik tempatan begitu juga dalam memperolehi tender-tender terutamanya kelas F (Dulu dulu) sekarang dah tukar kelas macam lain pula.

Pegawai kerajaan kebanyakannya adalah professional dan menjalankan kewajipan berlandaskan peruntukan sedia ada tetapi mereka menghadapi masalah besar berhadapan dengan pemimpin politik tempatan yang amat rakus hendakkan semua projek dan semuanya nak ikut jalan belakang sahaja. Kerana itu adalah kurang tepat mengatakan Pegawai Kerajaan kurang mahir dengan bidang tugas mereka sebaliknya pemimpin politik tempatanlah yang langsung tidak mahir, kurang pengetahuan dan hanya tahu mengenakan tekanan dan mendabik dada mereka ada kuasa dan kenalan mereka adalah pemimpin besar politik tempatan, negeri dan negara. Lihat pada petikan berita berikut:

Pegawai kerajaan di daerah perlu mahir dengan bidang tugas
JOHOR BAHRU 24 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, para pegawai kerajaan di peringkat daerah perlu menguasai dan mahir dengan bidang tugas mereka supaya masalah di daerah dapat diselesaikan dengan segera.

Melalui cara itu katanya, banyak masalah di peringkat itu tidak perlu dibawa hingga ke peringkat Exco kerajaan negeri untuk diputuskan.

"Pegawai di peringkat daerah seperti Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah serta pegawai yang lain mesti mahir dengan segala undang-undang berkaitan dengan pejabat daerah,'' katanya kepada para pemberita di Kediaman Rasmi Menteri Besar Saujana, di sini hari ini.

Menurutnya, antara peraturan berkenaan yang perlu dikuasai oleh pegawai terlibat ialah Kanun Tanah dan undang-undang kerajaan tempatan supaya mereka dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.

Sekalipun PM sendiri yang mahukan laporan tersebut tetapi Kerajaan Selangor yang bermenteri besarkan DS Khir Toyo masih sanggup memberikan laporan yang tidak dapat memuaskan hati PM sendiri, ini menjelaskan kepada rakyat , ada sesuatu yang tidak kena atau cuba diselindungkan sekalipun rakyat ramai semuanya sudah dapat menduga dan amat percaya mereka akan akhirnya menjadikan isu kemusnahan Bukit Cahaya ini lemah dan tidak lagi menarik perhatian, apatah lagi apabila rakyat sudah menghilangkan tumpuan daripada kes JAWI dan ZOUK yang lalu. Begitulah mereka menyelesaikan masalah dari satu masalah mereka membentuk masalah lain yang akhirnya RAKYAT akan melupakan perkara pokok atau ISU UTAMA. Inilah berita tak puas hati PM:
PM tidak puas hati laporan awal isu Taman Pertanian
Oleh: SADATUL MAHIRAN ROSLI
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak berpuas hati dengan laporan awal berhubung isu Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam dan beliau mengarahkan kerajaan negeri Selangor mengemukakan satu lagi laporan yang lebih lengkap kepadanya.

Laporan berhubung ancaman sistem ekologi taman itu yang heboh diperkatakan sekarang, akan dibentang dan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting memberitahu: "Dalam mesyuarat Kabinet semalam, Perdana Menteri masih tidak berpuas hati dengan laporan awal yang diterimanya daripada kerajaan negeri Selangor.

Usaha terbaru mereka mencari jalan keluar isu kemusnahan Bukit Cahaya adalah dengan mengemukakan isu pencemaran baru yang akan diperbesar-besarkan. Rakyat akan terjurus ke arah kegiatan curi pasir pula dan sedikit demi sedikit melupakan isu, JAWI dan ZOUK, kemudiannya DS KHIR TOYO dan KEMUSNAHAN TAMAN BUKIT CAHAYA dan akan tertumpu pula kepada isu curi pasir. Isu ini juga telah digunakan bagi menghilangkan perbincangan awam semasa Kerajaan menghadapi isu lain satu ketika dahulu. Kini ianya akan berulang dan rakyat akan terus terikut perancangan UMNO dan BN. Mereka akan melupakan JESLINA, JAWI, ZOUK, DS KHIR TOYO, TAMAN BUKIT CAHAYA SERI ALAM dan bercakap pula pasal curi pasir yang lebih rendah implikasi politiknya kepada rakyat. Berita yang mereka ketengahkan:
Kejadian curi pasir berleluasa di Selangor
KUALA SELANGOR 24 Feb. - Kegiatan mencuri pasir semakin berleluasa di Selangor sehingga sesetengah pengusaha semakin berani `menodai' kawasan hutan simpan seluas 720 hektar di Rantau Panjang di sini.

Ibarat pencuri di siang hari - operasi mereka dijalankan tanpa henti di tiga sempadan daerah melibatkan Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak.

Ternyata, ketiga-tiga kawasan bekas lombong dan sungai itu menjadi kawasan `segi tiga emas' kepada pengusaha terbabit sehingga mereka berani memperlekehkan ketegasan kerajaan yang mengarahkan operasi sedemikian dihentikan serta-merta sejak Julai 2003 lalu.

Menurut sumber, keberanian pengusaha berkenaan dipercayai berpunca dari penguatkuasaan yang lemah.

Pelbagai laporan kepada pihak berkuasa mengenai perkara itu sejak beberapa tahun lepas tidak ubah seperti `mencurah air ke daun keladi' semata-mata.

Kegiatan haram itu masih berlaku secara terang-terangan dan dipercayai turut didalangi sindiket samseng dan tonto......

Kita lihatlah dalam hal yang melibatkan hal agama pun mereka tidak peka. Kita tetap menyokong sepenuhnya kenyataan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, Suruhanjaya Antara Agama (ICM) tidak boleh diwujudkan di negara ini kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi. Tetapi lihat pada kenyataan mereka yang tidak arif tentang Islam berhubungkait tindakan mereka yang tetap ingin menubuhkan ICM seperti berikut:
Jawatankuasa ICM nafi penubuhan pengaruhi urusan Islam
Oleh: HELMI MOHD. FOAD dan HERMAN HAMID
BANGI 24 Feb. - Jawatankuasa Pemandu Penubuhan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (ICM) menafikan dakwaan pelbagai pihak bahawa penubuhan badan itu akan mempengaruhi urusan agama Islam.

Pengerusinya, Malik Imtiaz Sarwar berkata, suruhanjaya itu juga tidak sekali-kali akan menjadi badan penghakiman terhadap pelbagai masalah membabitkan umat Islam termasuk kes murtad.

Sebaliknya beliau menjelaskan, ICM dicadangkan untuk bertindak menjadi perunding dan pendamai sebagaimana yang telah dirangka dalam kertas cadangan penubuhannya.

"Dalam isu seperti murtad, kita tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, sebaliknya hanya boleh mengemukakan pandangan.
"Misalnya kita memberikan cadangan bahawa sesuatu kes sepatutnya begini... jangan penjara tetapi beri kaunseling, namun ia terpulang kepada kerajaan atau jabatan agama untuk membuat penelitian,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi rehat selepas majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Ke Arah Penubuhan ICM oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim, di sini hari ini.

Sebagai penutupnya kita tetap menyokong semua yang baik kepada Islam dan kenyataan Menteri seperti berikut amat di sokong dan di alu-alukan dan ucapan terima kasih.
`Mana boleh, saya bantah ICM'
Oleh: MOHD. LAZIM ENDUT
HULU TERENGGANU 24 Feb. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, Suruhanjaya Antara Agama (ICM) tidak boleh diwujudkan di negara ini kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi.
Beliau menegaskan, jika ICM ditubuhkan tentunya agama Islam akan turut berada di bawah suruhanjaya ini.

"No way, mana boleh, saya membantah perkara ini,'' tegas beliau sambil menyifatkan usaha yang diterajui Majlis Peguam itu sebagai `membuka' isu lama.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati ketika memperkatakan sesuatu isu yang cuba menyentuh institusi keagamaan di negara ini.

"Saya tidak bersetuju dengan cadangan itu (menubuhkan ICM) kerana perlembagaan negara ini telah menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi. Kalau ICM ditubuhkan bererti Islam pun sudah pasti akan turut berada di bawah suruhanjaya itu, bagaimana ni?,'' katanya.

Semoga Allah meneruskan hidayahnya kepada semua pejuang yang ingin memartabatkan Islam , apatah lagi di Negara yang telah rakyatnya terlalu rindukan Islam yang syumul. Keadilan Islam tiada tandingannya. Wallahualam.

Selamat berjumpa lagi, InsyaAllah.

Pak Ngah - 24.02.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: