MELATAH HARI RABU
APA MAKSUD SEMUANYA INI, 
PM YANG DULU CHOK TONG TAK PERCAYA KA?

Oleh Pak Ngah (Laman M@RHAEN)


Terkilan, kecewa, sedih dan hampa. Hati siapa yang tidak terluka setelah puluhan tahun berbincang berhubung hubungan dua negara, tiba-tiba bekas PM Singapura Goh Chok Tong memberikan jaminan tidak akan adanya sebarang helah apabila beliau mengadakan pertemuan dengan DS Abdullah Ahmad Badawi nanti.

Apa erti semuanya ini, rupanya dari dulu mereka sentiasa berhelah, patutlah semua yang dirundingkan tidak berhasil. Untuk PM DS Abdullah Ahmad Badawi, rakyat memohon supaya lebih berhati hati kerana mereka telah menyebut dan selalunya bila orang menyebut bertambah besarlah helahnya. Untuk memudahkan bicara elok rasanya PM tidak menghadirkan dirinya kerana Chok Tong itu bukan PM Singapura lagi, suruh bekas PM kita Dr. Mahathir mungkin lebih bersesuaian. Macam mana setuju tak?

Risaulah Pak Ngah melihat kenyataan ini:

Chok Tong jamin tiada helah pertemuan dengan PM
SINGAPURA 17 Okt. - Bekas Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong memberi jaminan bahawa tidak akan ada sebarang helah apabila beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam usaha memperbaiki hubungan dingin Singapura-Kuala Lumpur.

Akhbar Sunday Times melaporkan, Chok Tong, yang memegang kedudukan sebagai menteri kanan selepas berundur sebagai Perdana Menteri pada Ogos lalu, akan mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur buat pertama kali tahun ini atas peranan beliau sebagai Wakil Khas Singapura ke Malaysia.

"Saya percayakan beliau (Abdullah) dan saya harap Abdullah pun begitu juga,'' lapor Sunday Times yang memetik Chok Tong sebagai berkata.

"Jika kami mengadakan rundingan, jika saya beritahu beliau (Abdullah) apa yang saya boleh lakukan dan tidak atau sama ada wujud sebarang cadangan dan jalan penyelesaian, beliau boleh percayakan saya bahawa tiada sebarang helah, tiada apa yang disembunyikan.

"Dalam hal ini elemen paling penting ialah kepercayaan. Itulah perkara pokok dan menjadi kunci rundingan.''

Selain daripada menumpukan soal kepercayaan, Chok Tong berkata, beliau tidak akan mendedahkan sebarang perkara lain mengenai rundingan dengan Perdana Menteri.

Ini kerana katanya, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk tidak membincangkannya menerusi media.

"Ia adalah proses yang sensitif. Adalah lebih baik jika saya dan Abdullah berbincang secara tertutup,'' ujarnya.

Tiada sebarang tarikh khusus ditetapkan untuk mengadakan mesyuarat itu.

Keadaan menjadi bertambah aneh apabila Malaysia pula yang mengalu-alukan jaminan tiada berhelah lagi oleh Singapura semasa berbincang isu tertangguh. Lihat petikan berikut:
Malaysia alu-alukan jaminan Goh tiada helah bincang isu tertangguh
PUTRAJAYA 18 Okt. - Malaysia mengalu-alukan kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong yang memberi jaminan tidak akan ada sebarang helah apabila beliau mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu-isu tertangguh dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak lama lagi.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Malaysia memang mahu melihat segala isu dua hala yang masih tertangguh dapat diatasi dan membawa faedah kepada kedua-dua negara.

"Saya pasti segala isu yang tertangguh dapat diatasi sekiranya ada semangat persefahaman, kerjasama dan ketulusan.

Ekoran dari keadaan tersebut, patutlah banyak rungutan yang telah disuarakan rakyat dan berikut Pak Ngah petik beberapa rungutan tersebut:
1. Telah lama perkara mengenai perjanjian air di antara Johor dan Singapura menghantui saya. Bagaimana sebuah Negeri (Johor) dengan persetujuan kerajaan boleh bertindak begitu bodoh dengan menjual air kepada Singapura dengan harga murah dan kemudiannya membeli semula dengan harga yang lebih mahal. Bukankah ini tidak masuk akal dan merugikan pula? Tidakkah terfikir bahawa lebih menguntungkan sekiranya Johor menjual air yang dirawat dengan harga yang lebih mahal berbanding air mentah?

Bayangkan harga air mentah sebotol berbanding air coca cola. Tambahan pula, mengapa kerajaan Johor boleh begitu tergamak menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara dengan memajakkan hasil bumi yang begitu penting kepada orang asing. Bukankah itu suatu bentuk penjajahan? Perkara sebenarnya memang merunsingkan kerana rakyat tidak diberikan keterangan dan tiada pula ketelusan dipihak kerajaan.
Pihak-pihak yang mempunyai maklumat mengenai perjanjian air di antara Johor dan Singapura patut memaklumkan kepada rakyat. Isu penswastaan air Johor yang timbul bagaimanapun telah memberikan saya suatu teori bahawa perjanjian tersebut sebenarnya disandari oleh sikap kerakusan kerajaan yang lebih memikirkan keuntungan banyak lebih dari segala-galanya. Dengan itu, keselamatan dan maruah negara dikompromikan atas sebab kerakusan untuk mendapatkan duit yang banyak. Sedihnya keuntungan itu tak pula diturunkan atau dimanfaatkan kepada rakyat.

kekecohan penswastaan air Johor telah menimbulkan beberapa maklumat di mana beberapa kesimpulan dapat dibuat. Kerakusan kerajaan mengaut keuntungan mengatasi segala-galanya tanpa memikirkan kedaulatan, maruah dan kebajikan (dengan bil air yang murah) rakyat.. Dari apa yang dinyatakan oleh akhbar Straits Times, Singapura menyebut bahawa kos untuk merawat air yang dibelinya dengan harga 20 hingga 30 sen dari Johor adalah RM2.00. Singapura kemudiannya menjual semula kepada Johor pada harga sekitar RM0.50 sen. Maka seolah-olahnya Johor rugi 30 sen. Hakikatnya ialah Johor menjual air pada rakyat pada lingkungan harga RM3.00. Bermakna Johor untung bersih RM 2.80 setelah tolak perbezaan harga jual sebanyak 30 sen dengan harga membeli semula iaitu 50 sen.

2. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, air telah menjadi punca terlalu banyak perselisihan faham antara Malaysia dan Singapura. Ini tidak sepatutnya berlaku. Retorik, tuduhan dan gambaran salah yang kerap dikemukakan telah memutarbelitkan isu ini. Pokoknya, bolehkah sesiapa sahaja di dunia ini pada hari ini, menyatakan dengan jujur bahawa 3 sen Malaysia atau 1.4 sen Singapura atau satu per lapan dolar Amerika, adalah harga yang berpatutan untuk membeli 1,000 gelen air?

Malaysia memahami kebimbangan Singapura. Tetapi apakah permintaan untuk mendapatkan harga berpatutan bagi air yang datangnya dari Malaysia, sesuatu yang melampau?

Walaupun Singapura meraih keuntungan sebanyak RM662.5 juta daripada air mentah Malaysia pada tahun 2001 sahaja, Singapura hanya membayar Johor sebanyak RM2.39 juta atau S$1.09 juta atau AS$628,947 pada tahun 2001 untuk bekalan air selama setahun. Ini bermakna setiap rakyat Singapura hanya perlu membayar 26 sen Singapura (AS 15 sen) setahun untuk air yang dibekalkan oleh negeri Johor.
Dengan kata lain, setiap rakyat Singapura telah menikmati air sebanyak mana yang mereka inginkan dari Malaysia untuk sepanjang tahun dengan harga yang tidak pun cukup untuk membeli sebungkus nasi lemak.

Sebaliknya, Johor membayar kepada Singapura sebanyak RM6.3 juta untuk air yang telah dirawat yang digunakannya dalam tahun 2001.
Tujuan dokumen ini adalah untuk menjelaskan hakikat yang sebenarnya. Kami berharap ini akan memberi pemahaman yang lebih jelas antara kedua-dua pihak, sama ada di seberang tambak atau di mana sahaja Singapura menyuarakan sungutan mereka.

Memang sukar untuk menjalinkan hubungan dua hala yang baik jika Singapura terus-menerus memberi gambaran bahawa Malaysia adalah sebuah negara kaki buli, negara yang tidak boleh berlaku adil dan negara yang tidak boleh mematuhi perjanjian antarabangsa, sama ada di dalam, mahupun di luar negara.

Kalau nak diceritakan lagi bertambahlah banyaknya, yang hendak dijelaskan di sini siapa yang sebenarnya telah termakan helah tersebut? UMNO, Perikatan atau Barisan Nasional, anda tentu telah dapat menjawabnya sekarang. Mereka gagal dan menjelang tahun 2009 Malaysia Baru akan menjelma, bersamalah kita menantikan MALAYSIA BARU

..….. Pak Ngah - 20.10.2004
(suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: