MELATAH HARI SABTU
UMNO NAK TAHU APA 'RANCANGAN B' SAMBUT KEPULANGAN ANWAR
Oleh Pak Ngah (Laman M@RHAEN)


Seperti mana telah diputuskan dalam perhimpunan agung mereka yang baru lalu, Anwar sudah tidak lagi relevan dan UMNO menutup terus pintunya kepada Anwar, tak kan dah lupa… sebut penderhaka lagi….. Pak Ngah peringatkan kembali. Lihat petikan ini:
TEKS UCAPAN
 MEMENUHI TUNTUTAN PERJUANGAN Ucapan Dasar Y.B. Dato' Hishammuddin Tun Hussein Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Rabu, 22 September 2004

11. UMNO menjadi parti keramat kerana kemurnian dan kesucian matlamat perjuangannya. Kemurnian dan kesucian ini perlu dipelihara dengan membina benteng-benteng kekuatan dan ketahanan. Kitalah yang merupakan benteng-benteng kekuatan dan ketahanan itu, yang dibina berteraskan kepada keikhlasan, kesetiaan, kemurnian dan kesucian perjuangan. Maka, Pemuda tidak akan membiarkan UMNO dilemahkan sekali lagi oleh dalang dan petualang. Pemuda akan menjadi pelindung parti dan tidak akan sama sekali membiarkan mereka yang derhaka kepada perjuangan, kembali menganggotai parti. Jangan sekali-kali kita lupa bahawa penderhaka ini pernah merosakkan perpaduan sesama kita, menjejaskan imej dan ekonomi negara melalui demonstrasi dan rusuhan jalanan serta mengemis campur tangan asing dami memenuhi kehendak politik yang sempit. Pemuda tidak akan membenarkan pengkhianat ini diberi ruang walaupun seinci untuk memusnahkan parti dari dalam buat kali kedua. Mereka yang pernah menentang UMNO, yang pernah membakar bendera UMNO dan yang pernah berarak mempersenda pemimpin UMNO, jangan mimpi untuk kembali berada dalam UMNO, apatah lagi untuk berada dalam tampuk kepemimpinan UMNO.

Tetapi pada hari ini, laman UMNO sendiri terkial kial nak tahu apa Rancangan B menyambut kepulangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Apa, UMNO dah mula meroyan atau gila talak. Hari itu bukan main tutup pintu terus, la ni apa dah jadi? Itulah kata-kata orang tua dulu-dulu: Kalau kail panjang sejengkal jangan di duga lautan dalam.

Mereka tertanya tanya dan berandaian sambil melemparkan ugutan dan amaran, secara tak langsung suruh polis pi tengok lah itu. Memang elok polis pi tengok kerana dijangka kesesakan lalulintas akan berlaku dan satu penghormatan besar akan diberikan kepada PDRM sekiranya mereka dapat berfungsi secara profesional menjaga kesesakan lalulintas dan sekalung hormat perdana kepada mereka. Sekarang ini PDRM bawah PM yang baru dah nampak lebih baik berbanding dulu, kita tak boleh salah mereka kerana kita pun faham tugas mereka.

Lihatlah ratapan gila meroyan, putus asa, melalut dan melelong UMNO terhadap majlis sambutan kepulangan Anwar:

Majlis Sambut Kepulangan Anwar di Stadium Bukit Jalil: Apa `Rancangan B’ Jika Permit Tidak Diluluskan?
Oleh: Zulkifli Ibrahim

PARTI Keadilan dengan nada yang sombong berkata mereka mempunyai `Rancangan B’ jika permohonan mereka untuk mendapatkan permit berhimpun di Stadium Bukit Jalil menyambut kepulangan mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dari luar negara ditolak oleh kerajaan.

Menurut seorang ahli jawatankuasa khas sambutan, Johari Abdul orang ramai yang ingin menyambut kepulangan Anwar yang dijangka pada 31 Oktober depan diminta berkumpul di Stadium Bukit Jalil dan jawatankuasa telah membuat permohonan rasmi kepada kerajaan untuk mendapat kebenaran mengunakan stadium bagi tujuan itu.

“Kami berharap menteri berkenaan akan meluluskan permohonan mengunakan Stadium Bukit Jalil untuk orang ramai berkumpul. Walau bagaimanapun, pihak jawatankuasa mempunyai `rancangan B’ sekiranya ia tidak diluluskan,” katanya sebagaimana yang disiarkan dalam laman rasmi sebuah parti pembangkang.

Banyak pihak melihat segelintir ahli-ahli parti Keadilan yang masih setia dengan perjuangan parti itu sekarang ini sudah seperti `besar kepala’ semenjak pengasas parti itu dibebaskan daripada penjara.

Namun begitu, mereka perlu ingat negara ini mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi dan dihormati, sesiapa yang bersalah melanggar undang-undang akan dihukum tidak mengira darjat dan kedudukan.

Jika dahulu negara dikejutkan dengan reformasi jalanan sehingga mengakibatkan pelabur takut untuk melabur di negara ini, tetapi hari ini mereka yang berhajat untuk berbuat demikian perlu berfikir seribu kali kerana pihak berkuasa dan keselamatan negara tidak akan memberi ruang kepada mereka untuk berbuat demikian.’

Sudah tentu, penyokong-penyokong Keadilan tidak mahu pisang berbuah dua kali kerana `seksa’ kehilangan nakhoda sungguh perit sekali tambahan pula pada saat genting menghadapi pilihanraya umum.

Pepatah Melayu ada mengatakan, kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga. Jangan disebabkan oleh kebiadapan segelintir penyokong-penyokong yang fanatik nokhoda dan sebuah parti terpaksa menanggung azabnya.

Rakyat negara ini baru sahaja selesai memilih sebuah kerajaan untuk memerintah Malaysia bagi jangka masa selama 5 tahun. Rakyat membuat keputusan memberi mandat dan kemenangan yang besar kepada UMNO serta Barisan Nasional (BN) untuk memimpin negara.

Paling malang dalam pilihanraya umum 2004 rakyat menolak pakatan pembangkang yang diketuai oleh Pas dan parti Keadilan. Pas bukan sahaja hampir kalah di semua negeri dan hampir-hampir kehilangan Kelantan manakala Keadilan hanya tinggal satu kerusi iaitu Parlimen Permatang Pauh.

Jika pakatan pembangkang terutamanya parti Keadilan merasakan rakyat masih menyokong mereka, tunggu pilihanraya umum 2009 biarlah rakyat membuat pilihan apakah masih ada tempat untuk parti Keadilan pada mata rakyat.

Merusuh di jalanan sebagaimana yang mereka lakukan dahulu adalah satu perbuatan pengecut dan bacul kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan kerajaan boleh ditukar setiap 5 tahun.

Menukar kerajaan melalui keganasan bukanlah cara di Malaysia dan mereka yang terlibat dengan rusuhan dan keganasan akan menerima hukuman yang setimpal kerana tidak ada sesiapa yang kebal serta boleh mengatasi undang-undang di negara ini.

Adalah diharapkan penyokong-penyokong parti Keadilan menjadikan peristiwa lampau sebagai pengajaran yang amat berguna dan rancangan mereka untuk mengunakan `pelan b’ diharap bukannya sepertimana yang mereka lakukan dahulu.

Terkini rakyat Malaysia berjumlah hampir 24 juta orang dan jika lima ribu orang menyambut kepulangan Anwar bukanlah bermakna rakyat Malaysia sudah menyokong parti pembangkang dan mereka yang berkenaan tidak perlulah `besar kepala’.

Ketakutan yang sedang dialami UMNO kini berada pada tahap yang parah dan merumitkan. Ianya bukan kerana sukar bagi UMNO menanganinya tetapi sesungguhnya UMNO langsung tidak berupaya menangani nya kerana segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan amalan mereka berada dan di lalui oleh Anwar seorang diri dan rakyat melihatnya dengan mata kepala sendiri. Apa jua yang bakal dilakukan UMNO ke atas Anwar selepas ini akan lebih membawa keburukan di mata rakyat dan dunia antarabangsa sekiranya tersalah atur. Dulu, kini,…. Dan selamanya UMNO akan terus buntu. Kekalutan kepulangan Anwar membuatkan UMNO merasakan mereka terlalu kecil berbanding hanya Anwar seorang, kini ketakutan itu kian menghantui UMNO yang sememangnya telah berhantu

..….. Pak Ngah - 16.10.2004
(suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: