MELATAH HARI KHAMIS
SAMY VELLU JANGAN MACAM ITU… DENGAR NASIHAT RAKYAT SAMA
Oleh Pak Ngah (Laman M@RHAEN)


Hari ini mukaddimah Pak Ngah berhubung alumni. Pak Ngah memanglah orang kampong mana lah tau sangat, sebut alumni saja, terus ingat “Bekas-bekas” Jadi bila tengok ada  alumni umno Pak Ngah tersenyum. Mereka memang telah tahu umno kini dah mula jadi alumni dan mereka telah pun menyediakan kelab mereka sendiri. Harapan Pak Ngah, walaupun apabila bermulanya era Malaysia Baru, pandangan alumni umno akan tetap diberi perhatian oleh Kerajaan Malaysia Baru dan jangan seperti sekarang ini, pandangan orang lain semuanya disanggah dan ditolak.

Kita berbalik kepada tajuk perbincangan kita. Salah siapa? Ibu mertuaku? Di dalam hal-hal Lebuhraya ini ada Menteri yang diberi tanggungjawab. Itulah salah satu kerjanya menentukan semua lebuhraya selamat digunakan sepanjang masa. Bila Pak Ngah sebut macam ini jangan dok putar belit pula. Tanggungjawab kepadanya tetapi bagaimana melaksanakannya terpulang kepada inisiatif dan daya intelek yang ada dan bukannya pandai cakap, bagi penakulan sahaja bila sesuatu berlaku. Ianya terus berulang perkara yang sama, penakulan yang sama, apa nak jadi ni hah. Pantun Melayu mengatakan:

Sorong Papan Tarik Papan
Buah Keranji di dalam Perahu
Bagi Makan engkau Makan
Suruh Mengaji Engkau Tak mahu

Lihatlah petikan surat khabar Utama UMNO dan BN ini:

Limpahan `air terjun' punca tanah runtuh
IPOH 12 Okt. - Limpahan takungan air seperti `air terjun' di puncak bukit bersebelahan lebuh raya dipercayai punca utama berlakunya kejadian tanah runtuh di Kilometer 303 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung malam tadi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, limpahan takungan air dari hulu sungai yang membawa tanah, runtuhan batu dan pokok itu telah merempuh jambatan berhampiran.

"Ia membabitkan runtuhan termasuk bungkahan batu besar dan benda lain dari puncak bukit setinggi kira-kira 700 meter dan insiden ini sama seperti kejadian di Genting Highlands pada tahun 1995,'' katanya selepas melawat kawasan kejadian di sini, hari ini.

Samy Vellu berkata, kesan dari kejadian itu menyebabkan tiga daripada 16 tiang rusuk jambatan yang merentangi sungai itu rosak dan kerja membaikinya akan dilakukan secepat mungkin.

Katanya, di samping kerosakan pada tiang jambatan, terdapat juga kerenggangan pada struktur jambatan akibat hentakan batu dan kayu balak semasa kejadian banjir lumpur berkenaan.

"Sungguhpun sudah tiga kali kejadian banjir lumpur berlaku, saya percaya struktur tanah di kawasan ini masih kukuh dan saya sama sekali menolak andaian terdapat pergerakan tanah di kawasan ini,'' katanya.

Semasa taklimat oleh para pegawai PLUS, Samy Vellu diberitahu bahawa pemeriksaan biasa yang dilakukan pada 6 Oktober di kawasan itu tidak mengesan sebarang masalah di kawasan berkenaan.

Masalah yang sama dan pemeriksaan akhir pada 6 Oktober dan kejadian berlaku 5 hari selepas itu, ajaib…ajaib. Inilah bukti percanggahan fakta dalam satu berita yang sama. Kalau kejadian seperti ke Genting Highlands tentulah terbentuknya takungan air yang memakan masa yang panjang dan pastinya dapat dilihat dari udara sekiranya pemeriksaan dibuat. Keruntuhan tak mungkin berlaku dalam masa sebulan, sebaliknya prosesnya berlaku selama berbulan-bulan. Helikopter bukan untuk bawa kenamaan sahaja ke sana ke sini, rasanya boleh juga kan 3 bulan sekali membuat tinjauan teliti sepanjang lebuhraya dan menyediakan gambar fotoudara untuk diteliti setiap 2 atau 3 bulan. Kalau tak boleh baca gambar fotoudara, Pak Ngah pun boleh tawarkan diri tetapi tak payah bayar konsultan banyak-banyak sebab untuk kepentingan rakyat. Cukup makan anak bini dan petrol kereta sudahlah. Kerja untuk orang ramai, masyarakat dan ummah ini mana boleh ambil kesempatan. Jangan jadi seperti mereka yang suka mengambil kesempatan dari kejadian ini untuk mengaut keuntungan peribadi, belajarlah berkorban untuk rakyat.

Kadang rasa geram juga bila teringat kata-kata si Samy “Apa, koran boleh bikin lebuhraya ke?” Tengoklah hari ini Lebuhraya yang dibina dimusnahkan dengan sekelip mata saja oleh yang mengutuskan Al-Quran tersebut. Kajian telah dibuat sejak tahun 2000 lagi, tak perlu kaji-kaji lagi, ambil langkah pencegahan, bukankah “prevention is better than cure” Tengok Laporan di bawah ini:

Sebanyak 105 lokasi di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan berpotensi untuk mengalami kejadian tanah runtuh pada bila-bila masa seperti yang berlaku di kawasan Gua Tempurung, Ipoh, semalam terutamanya dalam bulan ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan Hakisan Tanah Negara (NASET), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin yang membuat kajian mengenai perkara itu sejak tahun 2000 berkata, kawasan berkenaan ialah 43 lokasi di Perak, 39 (Selangor) dan 23 (Negeri Sembilan).

Menurut beliau, punca menyebabkan kawasan itu mudah mengalami runtuhan tanah ialah muka buminya yang berlekuk.

"Berdasarkan kajian yang kami buat sejak tahun 2000, keadaan muka bumi yang bergeluk atau berlekuk merupakan satu tahap kritikal di mana runtuhan tanah boleh berlaku pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi apabila hujan lebat.

"Berdasarkan data-data hujan yang diperoleh, kami dapati bulan Oktober merupakan bulan bahaya di sepanjang lebuh raya tersebut berikutan kadar hujan yang luar biasa, ia diikuti bulan April, September dan November,'' katanya.

Antara kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi mengalami tanah runtuh dikesan di Perak ialah di Sungkai, Slim River, Tapah, Bidor, Simpang Kampung Pulai dan Jelapang.

Akhirnya daripada Pak Ngah , DS Samy Vellu, dengarlah sama nasihat orang lain tetapi kalau tak mau dengar pun nasihat Pak Ngah, dengar nasihat PM sendiri seperti berikut:
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pemimpin yang baik mestilah seorang yang berani dan sanggup mendengar segala permasalahan dan kritikan rakyat walaupun ia pedih untuk didengar. “Sebagai pemimpin, kalau ada orang tegur dan bagi tahu kita di mana yang kita (lakukan sesuatu) salah, itu satu rahmat. Kalau tidak, kita tidak tahu mungkin apa yang kita buat itu tidak betul,'' katanya.

Menurut Abdullah, jika seseorang pemimpin itu tidak ditegur, mereka mungkin akan berasa megah lalu terpesong daripada tanggungjawab yang diamanahkan. "(Jadi) kalau kena kritik sikit, janganlah cepat marah, sebenarnya ada rahmat kalau ada orang tegur kita,'' tambahnya.

"Rakyat tidak boleh ditipu dan dibohongi. Kita kena berikan maklumat yang betul dan terbaik (pada masa yang sama) kita kena dengar kehendak rakyat,'' Dalam zaman ledakan teknologi maklumat sekarang, rakyat bukan lagi seperti dahulu kerana mereka kini mudah menjadi pengkritik hasil daripada ilmu pengetahuan tinggi yang ada pada mereka. katanya

Kalau terlalu lama selalunya banyak membuat kesalahan maklumlah “mangli” kata orang kampong Pak Ngah. Ditambah lagi dengan “Alah bisa tegal biasa”. Biarlah Keluar sendiri tak payah disuruh orang baru nak keluar. Teringat pula buku “SHIT” tulisan Prof Ameratus Dato’ Shahnon Ahmad. Semoga bertemu lagi insyaAllah.

..….. Pak Ngah - 14.10.2004
(suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: