TAG 1280: Pahang Darul Kasino
Oleh MGG Pillai Selasa 6 Mei, 2003. (Artikel ini ditulis untuk HARAKAH)
Kasino nombor dua Pahang mula beroperasi secara rahsia bulan ini. Perdana Menteri Mahathir (sKT) diam membisu mengenainya, sedangkan banyak telunjuk tertonjol-tonjol mencari orang yang mengeluarkan lesen kasino itu. Banyak jari yang tertumpu arah Menteri Kewangan Kedua, Jamaluddin Jarjis. Lesen kasino itu diberikan kepada seorang superkroni, Vincent Tan yang memang tidak teragak-agak mengumumkan operasi perniagaannya. Dia amat mengharapkan perusahaan baru itu akan merupakan talian hayat yang amat diperlukannya. Bagaimana mungkin kerana inilah benda yang akan menghambat BN keluar daripada Pahang dan negeri-negeri yang lain?

Dengan namanya ‘Tropicale Gaming,’ kasino kedua ini adalah satu perusahaan kecil kalau dibandingkan dengan Genting Highlands, yang berada hanya 10 minit jaraknya untuk dicapai di ruang angkasa. Namun, inilah projek yang pasti mencetuskan banyak tandatanya membabitkan dakwaan kerajaan BN yang negara ini sebuah negara Islam. Projek perjudian ini berada dalam satu kompleks tanah seluas 2,000 ekar yang difaraidkan kepada Vincent Tan dengan harga yang amat murah, untuk dia membuat satu tempat percutian yang menyerupai Colmar Tropicale Resort di Peranchis. Pada Februari lalu, pengurus besar pusat judi ini pernah memberitahu Dow Jones Newswire bahawa projeknya akan dibuka pada bulan Mei. Ia mempunyai 250 mesin judi berkomputer, dan mesin lain untuk permainan baccarat dan roulette.

Tempat percutian semacam ini tidak dapat bertahan seandainya tidak ada pengunjungnya. Mimaland yang dibuka pada 1970-an dulu di Gombak, Kuala Lumpur terpaksa ditutup setelah gagal mendapatkan lesen judi yang diharapkannya. Malahan, tempat percutian lain pun tidak mampu mengaut untung kalau hanya bergantung kepada kedatangan pelancong. Langkawi mungkin sudah lama bungkus menjadi satu bandar sepi lama dahulu lagi kalau tidak kerana ada kebebasan bebas-cukai dan zon perdagangan bebas. Jadi ini mencetuskan tandatanya lagi: apakah Colmar Tropicale dibina untuk menzahirkan khayalan seorang perdana menteri, dan dibina dengan kefahaman bahawa satu lesen kasino akan diberikan juga?

Dow Jones Newswire menambah: “Tidak mungkin Bukit Tinggi mengembar-gemburkan pembukaan Tropicale Gaming, kerana tidak mahu menjentik kemarahan dan sensitiviti sebuah negara Islam.” Keadaan yang lebih hangat dapat dijangka. Mahathir (sKT) bertegas bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam, dan beliau yakin bahawa ketegasan itu boleh mengatasi apa yang termaktub dalam Perlembagaan sehingga dia enggan perkara itu didebat dalam Parlimen. Namun demikian kerajaan BN terpaksa lebih peka terhadap peraturan keagamaan yang lebih ketat, kerana perjudian adalah amat ditegah dalam Islam.

Itu sebabnya tidak ada yang berani membesarkan perkara itu. Jari telunjuk dihalakan secara menggila arah pelbagai nama dalam kerajaan yang mengeluarkan lesen judi itu. Sebenarnya, setiap anggota kabinet telah membenarkannya. Kerana itu kabinet terpaksa berterus terang mengenainya. Jika tidak, seandainya ada rakyat Malaysia khususnya warga Islam bertindak mencabar lesen kasino itu di mahkamah, BN akan terhenyak dibuatnya. Lebih teruk lagi kalau lesen ini menjadi satu isu politik ketika pilihan raya umum nanti.

Vincent Tan turut menguruskan Pulau Tioman Resort. Projek itu semacam Colmar Tropicale yang menanggung kerugian besar. Kerajaan telah membenarkan beliau mengurus satu syarikat penerbangan untuk mengangkut pelancong, dan menjadikan pulau itu kawasan bebas cukai yang ketiga, selepas Langkawi dan Labuan. Besar kemungkinan satu lesen judi akan dibenarkan di pulau itu. Cuba bayangkan betapa sukarnya seorang anak Melayu Pahang yang mahu mendapatkan satu kawasan seluas 10 ekar di Pahang, dia perlu berlari ke sana-sini untuk menguruskan permohonannya. Bandingkan pula betapa mudahnya seorang superkroni daripada Johor yang diberikan ribuan ekar tanah daripada negeri itu? Dengan mudah sahaja!!!

Ada dua isu yang perlu difikirkan di sini. Satu ialah perihal Bukit Tinggi Resort. Yang lagi satu ialah lesen perjudian kasino. Jamaluddin Jarjis telah menandatangani lesen kasino, tetapi kabinet BN dan kerajaan negeri Pahang di bawah pimpinan Adnan Yaakob mesti bertanggungjawab secara peribadi dan secara kumpulan terhadap isu itu. Ini melibatkan Mahathir (sKT), timbalan beliau Abdullah Ahmad Badawi, menteri hal ehwal agama Abdul Hamid bin Zainal Abidin, dan penasihat agama perdana menteri Abdul Hamid Othman. Bagaimanakah orang yang bertanggungjawab dengan pentadbiran Islam diam membisu?

Kenapakah perkara ini dicetuskan sekarang? Selalunya pilihan raya umum mesti dilaksanakan sebelum diadakan pilihan raya parti UMNO yang dijangka berlangsung pada Jun tahun depan. Tetapi, pengaruh UMNO di kalangan orang Melayu sudah lama merudum sejak 1998 dulu gara-gara tindakan Mahathir (sKT) mengaibkan timbalan beliau Anwar Ibrahim. Gara-gara peristiwa itu Pahang sudah bergoyang sehingga mampu menafikan BN majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum nanti. Lantas adalah tidak bijak mengeluarkan satu lesen kasino pada waktu ini. BN mempunyai pendirian bahawa keputusan kerajaan boleh menjadi sesuatu yang tidak disenangi oleh rakyat apabila mereka mengetahui siapa yang menandatangani sesuatu keputusan kerajaan itu. BN beranggapan bahawa tanggungjawab kolektif adalah terhad kepada perkara munisipal sahaja. Namun, ia tidak boleh culas daripada menanggung tanggungjawab yang ini.

Sebenarnya, BN, kabinet Mahathir, Pahang BN dan Exco negeri adalah terlibat semuanya. Mereka mesti memberikan penjelasannya. Di Sabah satu ketika dahulu, seorang kroni mahukan satu lesen judi. Dia telah menawarkan RM50 juta kepada Ketua Menteri sebagai umpan untuk mendapatkan lesen yang memberinya keuntungan tahunan sebanyak RM200 juta. Lesen semacam ini memang bukan mudah diperolehi. Jadi, apakah inisiatifnya? Dana untuk pilihan raya? Ataupun dana untuk bersara?

Vincent Tan tidak mempunyai rekod perniagaan yang boleh membanggakan sesiapa untuk menulisnya. Syarikatnya Berjaya Group sedang dibebani hutang bernilai berbillion ringgit, dan sudah jatuh 90 peratus daripada harga biasanya dahulu. Dia telah diselamatkan lebih banyak kali berbanding kroni yang lain, kerana dia rapat dengan Mahathir (sKT). Jangan sesiapa lupa perkara ini, kerana Vincent Tan tidak teragak-agak menyaman sesiapa sahaja yang memandang rendah kepadanya. Tetapi Mahathir (sKT) memang sudah lama akrab dengan Vincent Tan. Satu ketika dulu Mahathir (sKT) merencana mahu menjadikan Bukit Tinggi sebagai pusat pentadbiran negara dengan galakan Vincent Tan. Pernah satu ketika dahulu kabinet bersidang di tempat percutian Vincent Tan di Bukit Tinggi. Selepas itu harga tanah di Bukit Tinggi naik menggila. Tetapi tercetus pelbagai pro dan kontra mengenai idea itu, sehingga ia malap begitu sahaja. Namun, Vincent Tan masih menjadi superkroni juga.

Sudah menjadi amalan di Malaysia untuk para super-kroni menyaman mereka yang memperlekeh keakraban mereka dengan pihak yang berkuasa. Vincent Tan telah difaraidkan konsesi Indah Water Konsortium, Monorail, Sports Toto, dan banyak lagi peluang membalun harta yang bernilai berpuluh billion ringgit banyaknya. Tetapi semuanya kantul. Namun dia diberikan lagi pelbagai peluang dan konsesi lebih banyak berbanding pihak lain. Apa yang saya tidak mengerti, kenapa dia membuka kasino ketika wujudnya tidak-keruan tentang politik BN.

Beginilah keangkuhan kuasa dan pengaruhnya. Vincent Tan terlalu yakin bahawa keangkuhan tidak akan menjejaskan imejnya. Dia merupakan seorang super-kroni dan tidak ada sesiapa yang berani menyentuhnya. Begitu juga dengan BN yang menganggap bahawa keangkuhan adalah satu kemestian. BN tidak selesa menerima nasihat terhadap apa yang dirancangnya, dan bertegas apa yang diarahkan adalah laksana khutbah. Kerana itu ia mentadbirnya sebuah negara Islam, dan pada waktu yang sama boleh mengeluarkan satu lesen perjudian. Apabila datang pilihan raya umum yang baru, ia akan menang lagi tanpa bersusah hati. Tetapi selalunya keangkuhan menjelma sebelum keaiban ikut sama. Lesen kasino ini akan menjadi pembuka bicaranya.

Pentadbiran Mahathir terpaksa menangani perkara ini. Dia dijangka melepaskan jawatan pada bulan Oktober, sejurus menjadi tuan rumah kepada persidangan puncak OIC di Putra Jaya. Tetapi, nampaknya persidangan itu akan ditunda sehingga April depan. Apakah ini bermakna dia akan terus bertahan sehingga itu? Sudah ada rencana melakonkan rayuan spontan daripada akar umbi UMNO yang akan bersidang pada kali yang ke-57 pada 11 Mei, tahun ini. Rencana hebat itu ialah lakonan bekas orang kuat Anwar Ibrahim, Dato’ Zaid Hamidi, yang akan disokong oleh rakan perniagaan Vincent Tan, tengku Adnan Mansor. Perkara ini memang sudah dijangka dan semakin menjadi nyata. Lagi dekat hari persaraan Mahathir (sKT) lagi besar harapannya perkara itu tidak akan menjadi. Mampukah beliau bertahan? Walaupun selepas tercetusnya Pahang sebagai Darul Kasino?

- M. G.G. Pillai
Terjemahan oleh MT-SPAR (suntingan M@RHAEN) - 07.05.2003

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN