POLITIK WANG UMNO(baru) => RASUAH => MASALAH NEGARA
Oleh Muramatsu  (Laman M@RHAEN)


Sebagai seorang rakyat yang tidak suka kedurjanaan, kita rasa terubat bila lihat Perdana Menteri (Paklah) dan Timbalannya bersungguh-sungguh membanteras kedurjanaan ke atas Taman Pertanian Negara dan orang asing yang memasuki negara secara haram.

Jika teliti baik-baik, pembangunan tanpa mengira kerosakan alam sekitar yang sedang berlaku di mana-mana dalam negara sekarang adalah kerana pelahap nak jadikan Malaysia (Selangor) negeri maju membangun dengan bangunan.

Sama juga kemasukan pendatang haram, kemasukan mereka untuk mempercepatkan kerja membina bangunan, ini juga kerana pelahap nakkan pembangunan seterusnya menjadikan Malaysia negara maju, maju dengan bangunan batu saja.

Kedua-dua ini ialah antara taik-taik hasil dari kerjatangan dan kepala otak wawasan Mahathir.

Rakyat sepatutnya jangan mudah lupa. Perkara yang kita hadapi dalam negara sekarang adalah hasil dari benih yang ditanam bekas Perdana Menteri yang disokong sepenuhnya oleh pemimpin UMNO(baru) yang menjadi pemerintah dalam negara sekarang.

Dua puluh tahun lebih rakyat digula-gula dengan cerita industri, didondang dengan wawasan negara maju, dibuai dengan teknologi maklumat sehinggakan undang-undang dan peraturan diabai demi itu semua – sedangkan negara maju amat tegas dalam pelaksanaan undang-undang dan peraturan.

Pembangkang sebenarnya, dari dulu dan terus menerus mengajukan semua penyelewengan dan ketidakadilan yang dilakukan, tetapi semuanya tidak diendahkan, bahkan diperlekeh.

Kenapa suara pembangkang tidak pernah diambil kira dalam mengajukan penyelewengan dan kedurjanaan yang dilakukan dalam negara?

Kita semua jangan lupa, banyak kali kenyataan pemimpin-pemimpin besar UMNO(baru) bahawa PAS anti pembangunan, terutamanya bila PAS membuat laporan kepada pihak bertanggungjawab mengenai kedurjanaan yang dilakukan, termasuklah Taman Pertanian dan Pendatang Asing yang kini menjadi masalah kepada negara.

Sampai punah ranah seperti yang sedang berlaku sekarang baru nak diambil tindakan. Adakah kerana PakLah serius nakkan pertanian pula? Lalu diambil tindakan yang tegas begini. Ini bercanggah dengan kehendak Mahathir dulu? Rakyat lihat ini semua.

Walaupun PakLah dan UMNO(baru)nya tidak pernah dengar pembangkang, tetapi sebagai rakyat, kita bersimpati ke atas apa yang berlaku akhir-akhir ini.

Oleh itu, atas sifat simpati itulah juga, kita tidak mahu tindakan membanteras pendajalan terhadap peraturan dan undang-undang seperti yang dibuat sekarang dihentikan. Biar ia berterusan. Undang-undang dan peraturan berjalan tanpa gangguan.

Bila diteliti lagi, kedurjanaan dan pengabaian undang-undang dan peraturan akan terus juga berlaku sekiranya soal pokok tidak dikenalpasti.

Soal pokok di sini bukannya pokok-pokok yang ditebang di Bukit Cherakah itu, tetapi di sebalik pokok-pokok yang ditebang itu ada benda lain. Misalnya rasuah. Ini soal pokok.

Memang elok dan sudah kena jika PakLah dan Najib mengenakan tindakan tegas dan drastik. Tetapi, pastikan melalui peraturan yang ada. Bukan ikut suka hati macam Mahathir buat dulu.

Namun ia dirasakan belum menyelesaikan soal pokoknya.

Misalnya, bagaimana pendatang asing boleh memasuki negara secara haram dengan bilangan yang terlalu ramai?. Mungkin wujud unsur-unsur perlanggaran undang-undang dan peraturan oleh pihak yang berwibawa.

Kemudian, bagaimana tanah di tepi taman boleh ditolak begitu saja sesuka hati tanpa ada aturan yang mesti diikut oleh kontraktornya?. Soalan ini yang rakyat nak pemimpin besar jawab secara terbuka.

Sepertimana PakLah nak Khir Toyo jawab, maka seperti itulah rakyat nak PakLah dan Najib jawab pasal Taman dan pendatang asing itu.

Jika diteliti sedikit lagi, kita merasakan makin hampir dengan jawapan kepada semua persoalan yang timbul sekarang.

Cuba kita masuk dan campuri sedikit urusan dalaman parti UMNO(baru) – walaupun mereka tidak suka. Kita akan temui di sana ada Politik Wang – mereka pun tahu.  Semua orang yang hidup dan mati pun sudah maklum politik wang berlaku dalam UMNO(baru). Bayi-bayi yang akan lahir pun boleh dengar masalah politik wang ini dibicarakan.

Cuma, akhir-akhir ini suara-suara nyaring yang membicarakan politik wang UMNO(baru) itu menjadi kurang jelas, mungkin kerana terlindung di sebelah Bukit Cherakah atau diserap habis oleh sistem bioinfomatik yang dibuat untuk mengesan penceroboh asing.

Mungkin UMNO(baru) lebih senang rakyat bising dengan isu Bukit Cherakah dan penceroboh asing berbanding rakyat fikir tentang politik wang dalam UMNO(baru).

Jangan lupa, UMNO(baru) lihat, politik wang itu sebagai masalah mereka juga, tetapi takat masalah di dalam UMNO(baru) saja. Padahal, mereka yang bergelumang dengan politik wang itulah yang menjadi pembesar negara lalu mengarahkan projek-projek, seterusnya meluluskannya kemudian keluar ke sana ke mari di pelusuk negeri melihat pembangunan yang diarah dan dilulus tadi – berkuasa setelah politik wang.

UMNO(baru), termasuk PakLah (dan bekas PM Mahathir) sendiri tidak mahu kelaskan politik wang sebagai rasuah lalu ia bebas dari BPR.

Kemudian, teliti teliti lagi, maka kita akan temui, Politik Wang sebenarnya ialah IBU dan BAPA RASUAH.  Apabila ia ibu dan apabila ia bapa rasuah, maka ia akan menghasilkan generasi anak-anak perasuah. Ibu, bapa dan anak perasuah akan mempunyai keluarga dan berkawan dengan perasuah juga.

Untuk itu, kesungguhan dan keseriusan PakLah terhadap Taman Pertanian dan usaha Najib membanteras PATI itu harap benar-benar tulen yang datang dari hati sanubari Islam Hadhari.

Maka, sudah sampai masanya PakLah serius juga dengan RASUAH ini.

Bawalah ke semua 18 orang yang pernah disebut dulu sebagai perasuah peringkat atasan. Dan kelaskan politik wang sebagai RASUAH seterusnya benarkan BPR siasat sepenuhnya.
 
Biar undang-undang dan peraturan yang ada berkenaan rasuah boleh dilaksanakan ke atas perasuah politik wang. Tetapi, sekarang undang-undang dan peraturan itu tidak lut kerana politik wang berlindung di dalam kulit tebal UMNO(baru) yang bergerutu hodoh itu.

Jika undang-undang dan peraturan berkaitan kemasukan orang asing dan hal ehwal alam sekitar boleh dilakukan dengan tegas sekarang, maka apakah undang-undang rasuah tidak boleh berbuat demikian juga.

Barulah namanya Gemilang, Cemerlang, Terbilang.

Jangan fikir politik wang itu masalah “dalaman” UMNO(baru) saja. Sebab perangai itu tidak diam di dalam UMNO(baru) saja. Kerana bila “diluar” UMNO(baru) ia akan jadi RASUAH.

Lebih baik lagi, jika tindakan yang dilakukan sekarang langkah permulaan “memperkenalkan” muka-muka perasuah yang dimaksudkan oleh PakLah waktu mula-mula jadi PM dulu.

Rakyat yang semakin prihatin sedang tunguuuuuuu!!!!!!.

Muramatsu 08.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: