DI SEBALIK PENGAMPUNAN KEPADA PENDATANG TANPA IZIN
Oleh Muramatsu  (Laman M@RHAEN)

Sebelah kiri ialah data-data jumlah daftar pemilih dalam tahun 1999 yang diambil dari laman sawang Suruhanjaya Pilihan Raya. Watashi ingin mengajak semua supaya kita sama-sama fikir apa sudah jadi dengan sistem keselamatan di negara kita Malaysia.

Jumlah pendatang haram/asing/tanpa izin yang diampun kerajaan seperti dilapur akhbar adalah 1.2 juta orang. Itu tidak termasuk yang tidak diampunkan kerana melakukan jenayah dan ditahan. Jika anggapan dibuat bahawa 1.2 juta adalah orang dewasa dan layak mengundi, maka bolehlah disebutkan di sini jumlah pendatang haram/asing/tanpa izin lebih ramai dari jumlah pengundi berdaftar dalam negara.

Pengundi paling ramai di Negeri Selangor, namun lebih ramai lagi pendatang asing Indonesia. Watashi serahkan kepada pembaca sekalian untuk membuat pembandingan dengan pengundi di negeri-negeri lain. Angka 1.2 juta adalah bukti yang sangat jelas bahawa sistem keselamatan negara tidak terjamin. TIDAK TERJAMIN!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!.  Soal bersedia memberi ampun adalah perkara lain. Perkara yang paling penting dan menjadi persoalannya ialah kenapa pendatang boleh masuk ke Malaysia seramai itu secara haram, secara asing dan tidak diizinkan? Soal ampun juga sebenarnya tidak timbul kerana mereka masuk secara melanggar undang-undang negara dan tidak dikenakan tindakan apa-apa. Keampunan boleh berlaku bila kerajaan kenakan tindakan ke atas mereka yang menceroboh dan kemudian diampunkan.

Sebagai rakyat yang sangat prihatin dengan keselamatan dan keselesaan, watashi ingin benar lihat kerajaan benar-benar hantar pulang mereka ini kerana mereka ini sudah banyak menjadikan rakyat tempatan berada dalam keadaan susah hati dan berasa tidak selamat. Memang logik banyak kes jenayah yang berlaku adalah melibatkan pendatang asing. Selepas diampunkan kali ini, janganlah lagi ada pula pengampunan yang kedua yang mana mungkin jumlahnya lebih dari 1.2 juta orang.

50,000 Pengundi Hantu Di Sarawak Dibersihkan (Berita Harian 30/01/04)

Ini pula kisah hantu dalam senarai pengundi yang diwartakan oleh SPR sebelum ia dibersihkan.  50K adalah boleh dianggap terlalu banyak ekor hantu yang dipelihara oleh SPR di dalam senarainya. 50K ekor hantu itu adalah separuh dari bilangan pemilih berdaftar di Perlis. Watashi boleh buat kelakar dengan angka demikian, tetapi ianya adalah satu perkara yang amat memalukan. Mungkin Pengerusi dan Setiausahanya tidak merasa malu, tetapi watashi rasa malu pada diri sendiri sebagai rakyat Malaysia yang mengundi. Bijak dan baik benar pulak rasanya bila SPR buang semua 50K ekor hantu dalam senarai mereka. Di samping terasa SPR bijak dan baik dan menjalankan tugas membuang 50K ekor hantu itu, sebaliknya pula atas kerana apa ia boleh berada di dalam senarai berkenaan? Adakah hantu-hantu berpuluh-puluh ribu ekor itu masuk sendiri ke dalam senarai SPR kerana dia hantu, atau ada beberapa ekor hantu raya yang memasukkannya ke dalam senarai Suruhanjaya Pilihan Raya? Soal bagaimana hantu-hantu itu masuk adalah lebih penting berbanding dengan bagaimana ia dibersihkan. Inilah persoalan pokok yang perlu difikirkan bersama.

Kedua-dua fenomena di atas sama ada mengampun pendatang haram/asing/tanpa izin atau membersihkan berpuluh-puluh ribu ekor hantu dalam senarai SPR, semua itu sepatutnya tidak boleh dibanggakan dan diingat sebagai kejayaan. Sebaliknya ia melambangkan satu keaiban yang teramat sangat dan berbahaya kepada sistem undang-undang dan peraturan serta keselamatan negara. Tidak keterlaluan dinyatakan di sini bahawa betapa Malaysia tidak mempunyai peraturan dan undang-undang yang kuat atau kalau ada pun, tidak dilaksanakan dengan betul dan lebih parah lagi apabila terlalu orang yang tidak hormat kepada undang-undang yang ada, seterusnya ia memberi peluang seluas-luasnya kepada pendurjana untuk berdurjana di Malaysia.

Muramatsu
Japan - 22.10.2004
(suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: