KRISIS IMEJ MENGHANTUI UMNO
Oleh Aman Rais - 5:29pm Tue Mar 9th, 2004 (Dipetik drp MalaysiaKini)

Masalah yang dihadapi oleh Umno selama ini, sejak awal 1990-an hingga sekarang ialah masalah imej. Pada rupa paras Umno, sudah tercalit imej korup, kronisme dan nepotisme. Oleh itu, ada yang menganggap Umno tidak boleh dipisahkan dengan politik wang, saluran untuk mengejar kekayaan dunia. Malah, ada juga yang menganggap Parti Melayu terbesar ini sebagai tidak Islamik!

Lumpur yang terpalit di muka Umno ini bertambah buruk apabila bekas pemimpin besarnya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengutamakan dasar sosial dan program perindustrian serta korporat yang "mega-mega" atau terpanjang, terbesar, tertinggi, terkuat dan pelbagai " ter…" lagi hingga menjadikan Malaysia negara yang mempunyai rekod "terbanyak" dalam buku rekod dunia.

Imej Umno semakin hitam apabila berlaku krisis politik antara Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Dari situ, krisis imej Umno semakin memuncak hingga orang Melayu mengambil keputusan meminggirkannya dalam pilihanraya 1999.

"Kekalahan" Umno dalam pilihanraya ke-10 itu berpunca daripada imej buruk yang ada pada Umno dan tindak-tanduk presidennya ketika itu, Dr Mahathir yang terlalu angkuh berkonfrantasi dengan orang Melayu. Akhirnya beliau menjadi liabiliti paling besar dalam Umno dan kerajaan.

Dan baru-baru ini, ketika berada di Kedah, negeri kelahirannya, beliau secara terbuka mengakui berasa malu terhadap "kekalahan" Umno dalam pilihanraya 1999. Lebih-lebih lagi apabila "kekalahan" itu turut berlaku di kampungnya. Cuma bekas Perdana Menteri Malaysia yang baru mendapat gelaran "Mahaputra" daripada UUM itu tidak menyebut bahawa "kekalahan" itu adalah berpunca daripada dirinya.

Krisis imej Umno ini nampaknya terpaksa digalas oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Sejak memegang tampuk kerajaan, Pak Lah cuba menempelkan imej Islamik dan bersih di muka Umno dan kerajaan.

Umno baru

Pihak media, terutamanya akhbar-akhbar arus perdana menjalankan propoganda menonjolkan beliau sebagai seorang yang alim dan bersih. Gambar-gambar Pak Lah mengimamkan sembahyang di Masjid Al-Badawi di kampungnya, masjid Putrajaya dan pelbagai tempat lain sering ditonjolkan.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan turut menjalankan program-program berasaskan Islam. Kurikulum baru mata pelajaran agama Islam di sekolah-sekolah sedang dirangka dan program sambutan Islam Hadhari diadakan di setiap negeri. Dan sebulan menjelang pembubaran Parlimen, langkah-langkah membanteras rasuah diambil dengan "mengorbankan" Tan Sri Eric Chia dan Tan Sri Kasitah Gaddam.

Ketara sekali, Pak Lah sedang cuba membentuk "sebuah Umno yang baru". Umno yang bersih, telus dan beridelisme memperjuangkan nasib orang Umno mengikut acuan beliau sendiri, bukannya mewarisi imej dan model yang ditinggalkan oleh Dr Mahahtir.

Semua langkah ini dilihat oleh para pemerhati politik sebagai langkah untuk membersihkan imej Umno dan kerajaan, selain satu gimik politik bagi memastikan Barisan Nasional menang besar pada 21 Mac ini.

Menyedari segala taktik dan strategi untuk mencuci dosa dan noda Umno itu, Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang telah menyerang peribadi Pak Lah. Beliau mendakwa tujuan Pak Lah mengimamkan sembahyang pada bulan Ramadhan dan disiarkan gambarnya diakhbar-akhbar sebagai bermotifkan politik.

Jelas sekali Menteri Besar Terengganu itu takut pengundi "terkeliru" dengan imej Islamik Pak Lah itu. Haji Hadi tidak mahu rakyat, khususnya pengundi di Terengganu dan Kelantan menganggap Umno sudah bersih, semata-mata kerana dipimpin oleh anak seorang ulama. Pemimpin PAS itu mengingatkan rakyat bahawa apa yang ditonjolkan oleh media massa itu tidak lebih daripada satu sandiwara pilihanraya.

Imej buruk

Haji Hadi mahu menyedarkan seluruh rakyat Malaysia bahawa imej buruk Umno yang dilakar oleh Dr Mahathir itu tidak mudah dikikis. Perubahan kosmetik tidak mengubah kekotoran dan kepincangan dalaman yang sudah berkarat di dalam kerajaan Barisan Nasional.

Dalam kesibukan Haji Hadi menconteng imej buruk pada Pak Lah dan Umno itu, Ketua Pemuda Keadilan, Ezam Mohd Nor yang terlucut hak untuk bertanding dalam pilihanraya kali ini pula sedang sibuk menghidupkan balik imej Dr Mahathir di dalam Umno. Beliau yang terlepas peluang untuk mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Pekan, cuba menggambarkan bahawa bekas Perdana Menteri itu masih mendalangi Umno.

Beliau menyifatkan Najib sebagai bayangan Dr Mahathir. Di atas alasan itulah, maka Ezam mahu menentang Najib walau di mana pun beliau bertanding. Bagaimanapun, jika rayuannya di mahkamah untuk mengenepikan peraturan yang melucutkan haknya bertanding, gagal, maka Ezam akan kempunan.

Mengapa Ezam masih mengaitkan Najib dengan Dr Mahathir? Jawapannya mudah, Najib ditonjolkan oleh bekas Perdana Menteri itu sebagai calon Timbalan Perdana Menteri. Secara terbuka dan secara halus, beberapa kali Dr Mahathir menekan Pak Lah supaya memilih Najib.

Jadi jelaslah bahawa Najib adalah orang Dr Mahathir. Apabila beliau menjadi "anak emas" Dr Mahathir maka pastilah aspirasi dan cita-cita politik mereka berdua seiring. Apabila mereka seiringan, maka sekaliguslah Anwar Ibrahim juga menjadi musuh politik Najib.

Oleh itu, pada perkiraan Ezam, jika Najib kekal berkuasa dalam Umno, jika Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam nanti, harapan untuk membebaskan Anwar Ibrahim melalui saluran Umno akan tertutup.

Nasib Najib

Oleh itu Najib mesti ditewaskan dalam pilihanraya kali ini bagi membuka laluan kepada pemimpin lain untuk naik sebagai orang nombor dua Pak Lah. Tentunya dalam perkiraan Ezam, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menggantikan Najib jika berlaku kekosongan bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri itu.

Ezam masih melihat Muhyiddin sebagai orang yang boleh diharapkan untuk membantu membebaskan "bosnya" dari penjara. Oleh itu, usaha mesti dibuat untuk menaikkan

Muhyuddin. Dan satu-satunya cara yang ada sekarang ialah dengan menewaskan Najib di Pekan. Apabila tewas dalam pilihanraya, tentunya Najib tidak akan dilantik semula sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, untuk menewaskan Najib bukannya mudah. Pekan adalah kampung halamannya. Walaupun beliau hanya menang dengan majoriti tidak sampai 300 pada pilihanraya 1999 (hanya 241), namun senario politik semasa banyak menyebelahinya. Lebih-lebih lagi dengan persempadanan semula kawasan pilihanraya yang telah memasukkan kem-kem askar di Jalan Gambang ke dalam parlimen Pekan.

Oleh itu salah satu cara untuk mejejaskan peluang Najib untuk menang ialah dengan mencacatkan imej beliau. Maka Ezam menyerang Najib dengan menggambarkannya sebagai "bayang-bayang" Dr Mahathir.

Walaupun terlepas peluang untuk mencabar Najib, Ezam nampaknya terus berkempen di Pekan dengan harapan calon yang menggantikannya akan menang. Satu tugas yang amat sukar, kalaupun bukan mustahil!

Begitulah krisis imej yang dihadapi oleh Umno. Tidak Islamik dan korup. Semuanya gara-gara Dr Mahathir yang terlalu ghairah dengan wawasan 2020nya. Imej yang buruk itu telah mengorbankan pengaruh Umno pada tahun 1999. Dapatkah imej itu dibersihkan dengan sekelip mata? Bersihkah Umno dengan tiadanya Dr Mahathir?

Undi rakyat pada 21 Mac ini akan menjawabnya

Aman Rais - 09.03.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN