KESAN-KESAN KEPINCANGAN BARISAN NASIONAL
Oleh Meluat UMNO
 

Peringkat Nasional

1. Tindakan yang paling nekad dilakukan oleh BN ialah usaha penghapusan Islam meskipun dicanangkan merata dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Terkini ialah perihal yang berlaku ke atas SAR (Sekolah Agama Rakyat) Banyak SAR terdapat di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah iaitu negeri yang mempunyai pengaruh PAS dan Parti Alternatif tertinggi. Kurikulum di SAR berusaha untuk mendidik pelajar ke arah kefahaman Islam yang syumul dan pencapaian akademik serta sahsiah pelajar yang cemerlang. Ini terbukti di dalam peperiksaan nasional yang diambil seperti PMR, SPM dan STPM. Dalam masa yang sama sekolah kerajaan dan juga sekolah asrama penuh berhadapan dengan masalah disiplin pelajar yang membimbangkan. Terdapat gejala samseng di sekolah kerajaan. Perihal ini tidak disenangi oleh BN. Justeru itu tindakan BN bersifat politik dan seterusnya bantuan kepada SAR tidak disalurkan atau diberikan secara minimal dan pada masa yang sama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil diberikan peruntukkan meskipun bilangan pelajar di sekolah jenis kebangsaan ini mempunyai bilangan pelajar kurang dari 10 orang. Dengan tindakan tidak adil ini banyak SAR terpaksa ditutup atau mendapati bilangan pelajar amat berkurangan tetapi dalam masa yang sama bantuan diberikan kepada sekolah jenis kebangsaan. Inilah model sebuah kerajaan persekutuan yang menindas negeri yang tidak mengikuti telunjuknya.

2. Negara gempar dengan permasalahan gejala sosial di semua peringkat umur. Laporan akhbar dan statistik jabatan polis dan jabatan kebajikan masyarakat menunjukkan peningkatan. Buang bayi, sumbang muhrim, bersekedudukan, budaya lucah, samseng di sekolah, samseng di jalan raya adalah berita yang terdapat setiap hari di akhbar-akhbar di Malaysia. Ini memberi implikasi yang sungguh menyayat hati. Beginikah rupa sebuah negara Islam! Yang pasti inilah bentuk negara Islam Klon ciptaan BN serta kesan secara langsung pembangunan yang dibawa oleh BN.

3. Tahun 2003 adalah rekod bagi penawaran bon . Dianggarkan sebanyak USD4.0 (bersamaan RM10.0 billion) telah ditawarkan kepada syarikat luar (yang terakhir sebanyak USD1.0 billion semasa persidangan tahun IMF di Dubai pada September 2003). Syarikat terlibat adalah TNB, Petronas, Telekom dan kerajaan sendiri. Yang anehnya syarikat yang mengisytiharkan keuntungan masih memerlukan pinjaman. Yang jelas syarikat hanya bertindak sebagai intermediary kepada kerajaan kerana kerajaan tidak mempunyai kewangan dan terpaksa berhutang. Dari segi teori kiranya ekonomi sudah pulih, sudah baik, tidak perlu pinjaman kerana pelabur akan membawa masuk dana. Ini bererti ekonomi tidak pulih dan pelabur tidak berminat untuk melabur di Malaysia, tambahan pula ekonomi China menawarkan pulangan yang lebih tinggi. Jadi di manakah kerajaan mendapat kewangan untuk berbelanja khususnya perbelanjaan yang kerajaan sudah commited seperti projek pembangunan sekolah, projek makmal komputer, projek Dewan Wawasan di Jitra, projek Dewan Millenium di Kepala Batas, projek hospital, balai polis, penjara yang ditawarkan kontrak kepada kroni. Kita tidak mengandaikan melalui pinjaman dari institusi kewangan dalaman kerana faedah yang diberi kepada peminjam adalah terlalu rendah dan justeru itu institusi kewangan tidak mempunyai kewangan yang cukup. Jadi, yang pasti, ia melalui institusi tabung dana negara seperti KWSP, Tabung Faedah Persaraan, LTAT, Tabung Haji, Petronas dan syarikat milik kerajaan.

4. Tahun 2003 juga mencipta rekod keganasan pemerintah. Seorang menteri mencerca dan mengugut penjawat awam. Rakyat mengetahui peristiwa ini kerana ianya disiarkan oleh TV dan yang pasti ratusan malah ribuan kes di mana penjawat awam diugut, disingkir, ditukar dan pelbagai lagi kerana tidak bersetuju atau mempunyai pandangan berbeza dengan ketua nya. Pemerintahan BN tidak memisahkan pemimpin parti dengan penjawat awam dan kesan nya berlaku penyalah gunaan kuas yang berleluasa. Diskriminasi berlaku hanya disebabkan perbezaan fahaman politik atau pandangan yang tidak seiring dengan ketua.

5. Isu berhubung dengan rasuah tidak menunjukkan keprihatinan yang jelas. Setelah hampir 25 tahun BN dengan slogan Bersih, Cekap dan Amanah, banyak tafsiran telah dikemukakan. Betulkah pentadbiran di Malaysia cukup bersih. Banyak persoalan tidak dapat dijawab. Begitu juga dengan Amanah. Berapa banyak kewangan negara tidak dapat di akaunkan. Semenjak 1982 berapakah tangkapan dibuat berhubung rasuah meskipun ramai tahu perkara itu benar berlaku. Perlu diingat bahawa pentadbiran yang ada sekarang adalah keseluruhan pentadbiran dahulu. Dato Seri Abdullah adalah antara pengasas dan peneraju kepimpinan dahulu. Justeru itu, meskipun terdapat tangkapan dan pertuduhan di mahkamah, tangkapan yang dibuat adalah kepada isu-isu yang lama yang sepatutnya sudah dapat keputusan mahkamah. Tangkapan yang dibuat sekarang lebih cenderung untuk mendapat simpati pengundi lebih lagi pengundi atas pagar kerana pilihan raya akan berlaku dalam tempuh terdekat. Justeru itu kes-kes seperti BMF, Pelaburan dalam Tabung Haji, Pelaburan dalam KWSP, Pelaburan Petronas/MISC dalam Konsortium Perkapalan, Projek PPRT, Projek Orkid Ketengah, Pelaburan FELCRA di Africa Selatan, kerugian mata wang Bank Negara Malaysia, skandal MAS tidak ada pertuduhan ke atas Pak Menteri dan yang terbabit dengan beberapa menteri masih tidak ada keputusan umpamanya kes Rafidah, Rahim Tambi Chik, penemuan wang tunai semasa penyiasatan ke atas Ali Abul Hassan, tuduhan terhadap Khir Toyo, Kes Ketengah yang membabitkan Annuar Musa dan puluhan kes lain dan penyeleweng yang sengaja disembunyikan. Begitu juga kes di pejabat tanah, kes pegawai awam menyalah guna kuasa, kes curi pasir yang berleluasa, kes buang sisa toksik adalah gambaran betapa lemah dan longlainya moral dan etika pihak berkuasa. Jadi tidaklah mengejut apabila akhbar The Asian Wall Street Journal melaporkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai Undang-undang serta peraturan yang komprehensif untuk membasmi rasuah dan melaksanakan corporate governance (Malaysia mencapai markah 9/10 dari aspek undang-undang dan peraturan dan antara terbaik di Asia) tetapi malang dari segi perlaksanaan dan penguatkuasaan kerana pencapaian Malaysia ialah 3/10 dan meletakkan Malaysia antara negara yang paling senang untuk membolosi Undang-undang dan peraturan.

6. Putrajaya adalah lambang kebanggaan negara – kata pemerintah. Tetapi hakikatnya adalah amat unik, pilu dan terharu. Putrajaya adalah milik Putrajaya Holdings syarikat yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir yang berperanan membangunkan Putrajaya (Kompleks Pentadbiran, Kediaman Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Perumahan Kakitangan dan Pegawai, Taman Rekreasi, Pusat Convention dan sebagainya. Perbadanan Putrajaya pula berfungsi sebagai Majlis Perbandaran (Municipal Council) yang terlibat dengan kebersihan , keceriaan dan keselamatan Putrajaya. Putrajaya tidak dimiliki oleh kerajaan malah kerajaan menyewa Kompleks Pentadbiran dari Putrajaya Holdings dan Putrajaya ditadbir oleh Tun Dr Mahathir secara Sole Administrator.

7. Peningkatan jumlah pemegang ijazah yang tidak dapat pekerjaan terus meningkat.. Laporan akhir Oktober menganggarkan terdapat hampir 100,000 siswazah menganggur, kebanyakan dari kalangan siswazah perempuan. Terdapat jabatan yang mempunyai 6 kekosongan tetapi menerima hampir 5000 permohonan. Pada bulan puasa baru-baru ini terdapat sebuah stesen radio menawarkan kursus secara percuma kepada kakitangan dari kilang, jabatan dan syarikat yang menawarkan skim VSS . Salah satu syarikat yang terlibat ialah BERNAS. Inilah nasib yang menimpa Lembaga Padi Beras Negara (LPN) setelah diswastakan. Ini jelas menunjukkan kerajaan BN tidak berkemampuan mengekalkan pekerjaan serta mewujudkan peluang pekerjaan.

8. Khidmat Negara adalah bersifat politik BN bukan berhasrat untuk mewujudkan ketahanan dan kesetiaan rakyat pada negara. Pelajar dari Kelantan dan Terengganu tidak dibenarkan mengikuti latihan di negeri sendiri, juga termasuk semenanjung Kedah dan Perlis. Mereka dihantar ke Langkawi dan pelajar negeri Kedah dan Perlis tidak dihantar mengikuti latihan di Kelantan atau Terengganu. Jelasnya ia bukan bersifat integrasi nasional tetapi bersifat politik sempit BN. Begitu juga dari jumlah bilangan kumpulan pertama di mana pelajar berbangsa Cina hanya lebih kurang 300 orang sahaja dan yang paling ramai pelajar Melayu. Adakah Khidmat Negara hanya tertumpu kepada pelajar Melayu. Banyak kebimbangan di sanubari ibu bapa. Mengapa pelajar yang sedang menunggu SPM dipilih? Mengapa tidak memastikan remaja yang melepak di Pasar raya, gedung perniagaan , pelumba haram? Apa objektif sebenar program Khidmat Negara? Adakah juga disebabkan keperluan untuk menyiapkan pusat latihan yang hampir 33 buah dapat menghasilkan berjuta kewangan? Juga kontrak untuk uniform, pembelian peralatan dan perkakasan serta keperluan makanan dan logistik?

9. Sistem Saraan Malaysia mensyaratkan semua kakitangan mengikuti kursus untuk kenaikan gaji dan pangkat. Setelah hampir 6 bulan dilaksanakan kini terdapat banyak sungutan. Yang jelas kursus yang diikuti tidak menepati kerja yang dijalankan. Akan tetapi perbelanjaan nya cukup tinggi. Difahamkan bahawa Kementerian Kesihatan memerlukan hampir 155 juta untuk kursus penilaian tahap kecekapan. Bagaimana pula dengan Kementerian Pendidikan, Pertanian dan agensi lain? Bagaimana ukuran kejayaan? Tetapi yang ditekankan oleh PM adalah kakitangan awam mesti bersifat amanah dan cekap, bertimbang rasa , tidak boros. Ternyata wujud tersilap fokus di antara perkhidmatan awam dan dasar negara.

ISU Tempatan (peringkat negeri)

1. Pada hari pertama kredit ASB dimasukkan ke dalam akaun pelabur (2.1.2004) terdapat ratusan orang beratur di setiap kaunter untuk mengeluarkan dividen untuk digunakan membeli keperluan sekolah, manakala yang tidak mempunyai pelaburan pula beratur di kedai pajak gadai. Ini menggambarkan bahawa ekonomi Malaysia tidak berkembang dengan terdapat ramai orang yang hidup miskin dan terpaksa bergadai.

2. Pada 3.1.2004 Polis telah membuat serbuan di pusat membeli-belah (pasar raya) di Alor Setar dan menahan ratusan belia dan terdapat yang masih di sekolah rendah dengan pelbagai kesalahan akhlak dan lalu lintas. Budaya rosak di kalangan belia memang parah di KL, Johor Bahru dan budaya samseng di sekolah. Ini menunjukkan bahawa BN bertanggung jawab menyebarkan budaya lepak, keruntuhan akhlak di negara ini.

3. Pecah rumah, samun, penculikan dan pembunuhan berlaku setiap hari di Malaysia. Rakyat hidup dalam kebimbangan dan terdapat kes pembunuhan berlaku akibat dari ceti haram (along) di mana mangsa tidak mampu menjelaskan hutang sebanyak kurang dari RM10,000. Di Kubang Pasu terdapat kes di mana seorang korporat telah diacukan pistol di leher dan kereta Mercedes dirampas disebabkan tidak dapat menjelaskan pinjaman.

4. Isu terbesar tahun 2003 melibatkan pembunuhan gadis dan suri rumah Canny Ong, Haleza dan Norita jelas menunjukkan permasalahan moral rakyat Malaysia khusus di kalangan belia dan pemuda. Ini jelas kelemahan pembangunan masyarakat yang dibawa oleh BN.

5. Setiap hari kes rasuah dilaporkan di dalam akhbar dan berita. Sudah pasti berjuta wang rakyat hilang dan tidak dapat dikesani. Adalah lebih malang jika pesalah dilindungi. Satu lagi kejahilan pemerintahan BN.

6. Setiap hari dilaporkan 10 kecurian motor berlaku di sekitar Kubang Pasu dan Alor Setar. Penjenayah dikesani di kalangan remaja yang masih di bangku sekolah dan penganggur. Ini adalah gambaran masyarakat Malaysia yang sakit. Tidak ada matlamat hidup, jiwa kosong dan dipengaruhi oleh budaya negatif, lucah dan runtuh akhlak.

Isu Di Kelantan

1. Isu yang dibawa oleh BN bahawa PAS tidak tahu mentadbir adalah lapuk. Bagaimana mungkin sesuatu organisasi boleh bertahan selama lima belas tahun sekira terdapat kelemahan. Yang jelas taraf hidup rakyat Kelantan seperti di negeri lain di Pantai Barat. Pembinaan rumah baru (bungalows), pembelian kereta baru oleh rakyat Kelantan (kelisa dan kancil tertinggi di Malaysia mengikut satu bancian) umrah dan ziarah adalah manifestasi tentang keupayaan pendapatan rakyat Kelantan.

2. Permintaan kepada Pengajian Akademik seperti PJJ, Luar Kampus di semua peringkat-ijazah pertama, sarjana dan kedoktoran adalah tertinggi dibandingkan dengan negeri lain. Ini menunjukkan kemampuan rakyat Kelantan dari segi persediaan kewangan dan keprihatinan terhadap pendidikan dan kemajuan diri. Yang jelas dengan peningkatan ini rakyat Kelantan sebenarnya lebih berdaya saing dibandingkan dengan rakyat negeri lain.

3. Kekuatan utama pentadbiran PAS ialah mewujudkan persekitaran kehidupan yang berkualiti. Kesibukan mencari rezeki diseimbangkan dengan tuntutan pengajian agama, kerja-kerja amal, kerja kemasyarakatan dan rekreasi serta dikawal pula dengan pengharaman dan pencegahan aktiviti maksiat.

4. PAS berusaha untuk mewujudkan satu pentadbiran yang berlandaskan syariat Allah. Terdapat usaha yang sangat berjaya seperti penutupan dan pengharaman aktiviti perjudian, TOTO , Loteri dan Nombor Ekor, Memastikan aktiviti kebudayaan tidak bertentangan dengan hukum Islam. Mengehadkan premis dan kawasan minuman keras untuk bukan-Islam, mewujudkan Sistem Ekonomi Islam seperti Ar Rahnu yang diikuti oleh beberapa negeri dan organisasi dan kini merupakan tarikan utama Bank Rakyat.

5. Asas kempen dan propaganda BN ialah BN membawa pembangunan. Yang jelas BN amat ketinggalan zaman. Pada masa kini rakyat tidak hairan kepada pembangunan. Yang penting ialah tahap kualiti kehidupan. Apa guna pembangunan fizikal tetapi kosong pembangunan rohani. Kerana ketandusan dan kekosongan jiwa maka terjadilah pelbagai keruntuhan akhlak. Rasuah, gejala sosial seperti rogol, zina, liwat, mencuri, menyamun, merompak, peras ugut pembunuhan menjadi tajuk utama akhbar tempatan. Satu manifestasi dari hasil pembangunan yang dibawa oleh BN. Pemimpin BN pernah mengatakan perilaku ini tidak dapat dielakkan dan mempunyai korelasi dengan pembangunan. Yang jelas ini adalah bentuk kegawatan pemerintahan BN.

6. Kemelut yang paling dahsyat pimpinan BN ialah KKN atau Kolusi, Korupsi dan Nepotisme. Maka terjadilah pembinaan projek mega, projek ubahsuai , projek peningkatan kapasiti, projek PPRT dan sebagainya yang tidak mengikut spesifikasi atau tidak mempunyai spesifikasi langsung. Akhirnya terjadilah sekolah, hospital, klinik, balai polis, penjara, kediaman polis , tentera, guru dibina di tempat yang tidak sesuai dan strategik, lebih spesifikasi seperti terdapat bilik darjah yang kosong , dewan yang tidak diperlukan kerana sudah terdapat dewan yang boleh digunakan, jalan raya yang dibina hanya untuk kegunaan JKK sahaja. Maka terjadilah pembaziran kewangan , tenaga dan masa. Sebenarnya inilah tanggung jawab utama Pengarah Eksekutif MTEN, membuat penilaian ke atas setiap aktiviti ekonomi dan sosio-ekonomi, mencari alternatif dan memastikan kapasiti ekonomi negara sentiasa berkembang. Oleh kerana ciri utama pemberian tender dan kerja dibuat berdasarkan KKN maka terjadilah cantas mencantas, tikam menikam dan sehingga bawa kepada pembunuhan dan penahan di penjara dan ISA.

7. KKN tidak terbatas kepada pemberian tender dan projek. Ia juga melibatkan kenaikan pangkat. Maka terjadilah pelantikan kenaikan pangkat yang tidak menepati sasaran. Orang yang tidak mempunyai kelayakan, hanya atas restu politik sempit BN , telah mendapat kenaikan pangkat dan diberi tugas sudah pasti tidak dapat melakukan kerja dengan baik dan memuaskan. Yang jelas, pegawai berkenaan hanya mengampu tuan (pemimpin politik) sahaja atau terdapat kes pegawai disambung tempoh perkhidmatan walaupun sepatutnya sudah bersara maka terjadilah beliau sebagai mata kepala kepada pemimpin BN

8. Pencapaian yang paling hebat ialah kehadiran pelancong ke Kelantan. Terdapat angka yang menunjukkan bahawa terdapat hampir melebihi 10 juta pelancong melawat Kelantan. Pelancong datang dari segenap pelosok negara dari Johor Bahru hinggakan ke Padang Besar, Perlis. Angka ini tidak disiarkan oleh media perdana milik BN. Yang jelas tahun demi tahun pelancong suka melawat Kelantan. Pasti terdapat tarikan yang hebat? Penduduk nya? pentadbiran negeri nya? makanan nya? budaya nya? tatasusila budi rakyat nya? Oleh itu di mana “Kelantan gerhana “ jika pelancong penuh memenuhi bandar Kota Bharu hinggakan bilik hotel kehabisan setiap musim cuti dan perayaan.

Oleh MELUAT UMNO, Jitra Kedah - 10.03.2003 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN