PERTAHANKAN ISLAM DAN DEMOKRASI
DALAM PILIHAN RAYA KECIL DI DUN KUALA BERANG (8 - Akhir)
“ADAKAH MELAYU AKAN HILANG DI DUNIA?”
Kiriman: Meli

Assamu'alaikum wm.wbt
Saudara-saudara pembaca budiman,

Tulisan saya dalam siri yang terakhir ini mengajak pengundi-pengundi di DUN Kuala Berang merenung dan berfikir untuk membuat pemilihan yang tepat pada hari Sabtu, 28.8.2004 ini. Jangan tersalah pilih nanti buruk akibatnya hingga ke anak cucu-cicit kita masa hadapan.

Satu soalan saya lontarkan kepada saudara-saudara untuk berfikir masa depan orang Melayu dan juga masa depan agama Islam di dalam  Negara ini. Adakah Melayu akan hilang di dunia? Apabila Melayu hilang bermakna Islam juga turut menghilang. Orang Melayu mengikut takrif Perlembagaan ialah orang-orang yang bercakap Melayu, mengamalkan budaya Melayu dalam kehidupan seharian dan menganut agama Islam.

500 tahun dahulu Hang Tuan pernah berkata bahawa ”Melayu Tidak Akan Hilang Di Dunia”. Adakah kenyataan itu benar?

Bagi saya kenyataan itu tidak benar kerana setiap kejadian di dunia ini bersifat sementara dan tidak akan kekal buat selama-lamanya. Setiap yang bernyawa pasti akan mati dan semua bangsa yang ada ini akan lenyap di suatu hari nanti. Keyakinan bahawa orang Melayu tidak akan hilang di dunia kemungkinan akan menyebabkan seseorang itu menjadi syirik. Mengikut ajaran Islam, manusia tidak bersifat kekal dan abadi. Allah SWT boleh memusnahkan bila-bila masa sahaja jika IaNya mahu seperti mana yang berlaku terhadap umat-umat yang terdahulu yang derhaka. Semuanya dimusnahkan Allah SWT kerana ingkar tidak mahu tunduk dan patuh terhadap titah-perintahNya yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah Nabi SAW.

 Kepupusan bangsa Melayu bukan merupakan sesuatu yang mustahil. Kehancuran bangsa ini sudah nampak tanda-tandanya. UMNO yang memerintah dalam Negara ini membelakangkan ajaran Allah SWT dan RasulNya. UMNO memerintah berpandukan kepada hawa-nafsu dan logik akal (mantik) bukan berdasarkan Al-Quran dan Hadis Nabi. Undang-undang dicipta berasaskan akal manusia. Mereka mencipta pelbagai undang-undang bagi menjaga kepentingan mereka sendiri. Bukan untuk kepentingan rakyat. Mereka hanya mengwar-warkan seperti wanita hodoh bermake-up bagi nampak cantik, hakikat sebaliknya untuk faedah kepimpinan UMNO yang memerintah.

 Berlaku zalim terhadap sesama insan demi kepentingan dan kekuasaan UMNO dan pemimpinnya. Amanah yang diberikan oleh Allah SWT telah diselewengkan dalam pelbagai bentok dan cara. Semuanya menjuruskan kepada kepentingan peribadi bukan untuk kemaslahan rakyat jelata. Rakyat telah dijadikan perkakas untuk pemimpin mencipta kuasa, kedudukan dan kekayaan. Menjadikan harta Negara sebagai harta warisan, memfaraidkannya di kalangan mereka. Kekayaan Negara berlegar-legar di kalangan mereka sahaja. Sebahagian besar pemimpin UMNO tidak berakhlak dan mempunyai standard moral yang rendah. Saya berani mencabar siapa dari kalangan pucuk pimpinan UMNO yang mempunyai akhlak dan moral yang tinggi. Tolong tunjuk dan buktikan kepada rakyat siapa mereka itu. Akibat pemimpin yang tidak berakhlak dan bermoral inilah yang akan menghancurkan atau akan memupuskan orang Melayu di Malaysia ini pada suatu hari nanti.

UMNO memerintah secara sombong dan angkuh tidak pernah mahu mendengar pandangan rakyat. Yang hitam dikatakan putih dan yang putih dikatakan hitam. Orang baik dikatakan jahat, orang jahat dikatakan baik. Rakyat menjadi keliru dan bercelaru fikirannya tidak dapat berfikir secara rasional. Pemimpin yang tidak berakhlak dan bermoral rendah diangkat menjadi pemimpin. Mereka sahaja yang betul, semua kesalahan dilonggokkan ke atas bahu orang lain. Mereka telah, sedang dan akan membuat apa sahaja tanpa mengambil kira halal-haram, dosa-pahala, mengikut undang-undang atau tidak dan berapa kosnya sanggup dibayar bagi mengekalkan kuasa memerintah buat selama-lamanya.

Akibat daripada perbuatan mereka itu, rakyat menghadapi penderitaan dan kesengsaraan yang amat teruk yang kita tidak boleh gambarkan apa yang akan berlaku seterusnya. Sandiwara UMNO ini akan terus dilakonkan selagi ia berkuasa. Rakyat menjadi miskin kerana UMNO mengabaikan kebajikan rakyat yang menjadi tanggungjawabnya sebagai pemerintah. Rakyat terpaksa membayar pelbagai bentok perkhidmatan yang menjadi keperluan asas [basic needs] dengan kadar yang tinggi untuk faedah kaum pemodal dan juga untuk kerajaan UMNO supaya boleh berbelanja dengan boros tanpa berhemah serta program bagi mengayakan suku-sakat mereka.

Masyarakat dilanda dengan pelbagai masalah sosial yang tidak boleh diatasi dengan undang-undang yang ada. Hilang satu, timbul satu sehinggakan akal, agama, nyawa, harta-benta dan keturunan semakin terancam dan terhakis hari demi hari. Mereka masih lagi berseronok dengan menganjurkan pelbagai agenda maksiat dan berebut-rebut jawatan. Inilah tanda-tanda bala dari Allah SWT kepada rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu.

Sejarah telah membuktikan bahawa banyak bangsa yang terkenal dengan tamadunnya telah pupus dan tidak dikenali lagi. Kita telah membaca dan mendengar kemegahan tamadun Aryan, Babylon, Viking, Aztec dan beberapa tamadun lagi yang pernah gilang-gemilang pada masa dahulu dan kini telah pupus ditelan zaman.

Di seluruh Asia Tenggara juga dari segi sejarah dan geografi pernah dihuni oleh bangsa Melayu yang pernah juga dikenali sebagai ”Kepulauan Melayu”telah hilang, kalau ada pun bangsa Melayu yang mempunyai identiti, bahasa, budaya dan agama sudah berubah dan berbeza.

Kepupusan sesuatu bangsa bukan bererti keturunan bangsa itu tidak wujud lagi di muka bumi ini. Cuma identiti, cara hidup dan segala-segalanya tidak menggambarkan bangsa itu lagi. Kemusnahan Kerajaan Melayu-Jambi tidak bererti bahawa tiada ada lagi keturunan Melayu di situ, mereka masih ada di Sumatera sampai masa kini, tetapi mereka tidak lagi mengelar diri mereka sebagai bangsa Melayu. Begitu juga yang terjadi terhadap cucu-cicit kaum Apache di Amerika. Mereka masih lagi berdarah keturunan Apache, tetapi mereka lebih dikenali sebagai bangsa American.

Terdapat 3 faktor yang membawa orang Melayu akan pupus di bumi Malaysia ini. Pertama, pada satu ketika nanti kuasa politik orang Melayu akan hilang. Ini kerana mainan politik UMNO yang tidak berupaya memikirkan jangka panjang, mereka hanya untuk menang dalam tempoh yang singkat. Melalui setiap persempadanan semula kawasan pilihan raya setiap 10 tahun sekali, kawasan-kawasan Melayu yang majority menjadi mangsanya. Lihat contoh terdekat, persempadanan semula pada tahun 2002, tiada ada lagi kawasan Melayu di Semenanjung pantai barat yang majoritinya melebihi 80%, kebanyakannya di bawah 70%. Pengundi bukan Melayu khususnya dari kaum Cina dibawa masuk bagi menghapuskan pengaruh PAS, tetapi sebaliknya orang Melayu yang rugi. UMNO paling bodoh berpolitik. Sampai bila UMNO akan bergantung harap kepada institusi-institusi kerajaan seperti parlimen mahkamah, polis, JPN, SPR, media, jentera-jentera kerajaan dan pegawai-pegawai atasan kerajaan yang akan membantu UMNO mengekalkan kuasa. Apabila rakyat mulai sedar dari tidur akan temberang UMNO ini, rakyat akan bangkit menentang UMNO. Cuba saudara-saudara perhatikan jadual di bawah:

KEDUDUKAN KUASA POLITIK ORANG MELAYU BERBANDING BUKAN-MELAYU DARI TAHUN 1959 - 2004
TAHUN P.RAYA
MELAYU
BUKAN-MELAYU
JUMLAH 
PERATUS
1959 67 37 104 64.4
1964 69 35 104 66.3
1969 82 62 104 56.9
1974 91 63 144 59.1
1978 87 67 154 56.5
1982 88 66 154 57.1
1986 103 74 180 58.2
1990 102 78 180 56.7
1995 100 92 192 52.1
1999 104 89 193 53.9
2004 119 100 219 54.3
Sumber: Meli, Laman Marhaen, siaran : 27.7.2004

Perhatikan kedudukan politik orang Melayu pada tahun 2004 sangat lemah dan rapuh. Bandingkan dengan kedudukannya pada tahun-tahun sebelum itu. Komposisi di parlimen amat membimbangkan jika ia berterusan begini. Menyedari hakikat inilah, melalui MM, 22.8.2004, semasa menghadiri Mesyuarat Agung MIC, Abdullah Ahmad Badawi merayu parti-parti gabungan dalam BN jangan meminta berlebih-lebihan. Kita tahu kuasa tawar-menawar ini akan berterusan di kalangan parti-parti bukan Melayu bagi menjaga kepentingan kaum masing-masing.

Kita juga sedar bahawa UMNO/BN memenangi pilihan raya dulu melalui satu kaedah yang turut dibantu oleh JPN, SPR dan pasukan polis memindahkan pengundi-pengundi dari kawasan yang mereka kuat seperti di negeri-negeri Johor, NS dan Melaka di bawa mengundi di 4 buah negeri yang kuat pengaruh PAS iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. 4 buah negeri ini peratus yang mengeluarkan mengundi paling tinggi hampir mencecah 98%. Manakala 3 buah negeri di atas, peratus yang mengeluarkan mengundi hanyalah di bawah 75%.

Kaedah seumpama ini, sekiranya diambil peluang oleh parti-parti bukan Melayu dan mereka bergabung melawan UMNO, sudah tentu mereka akan menang mudah kerana selama ini pun mereka jadi penentu bagi kemenangan BN seperti yang ditunjukkan dalam pilihan raya umum 1999. Undi Melayu sudah berpecah dua di antara PAS dan UMNO. Lagi pun undang-undang membenarkan mobilisasi ini baharu sahaja dilaksanakan dalam pilihan raya umum yang lalu, kena tunggu di antara 6-7 tahun lagi, baru boleh dibuat pindaan semula.

Sekiranya peluang ini diambil kesempatan oleh parti-parti bukan Melayu dan mereka membentuk satu pakatan yang kuat dari Sabah hingga ke Perlis pada pilihan raya umum ke 12 pada tahun 2009, pasti UMNO akan tumbang menyembah bumi. Kekuatan UMNO bergantung sejauh mana ia dapat menipu dan memperbodohkan rakyat melalui media dan institusi-institusi milik kerajaan, apabila rakyat mulai sedar, maka dengan sendirinya UMNO akan menjadi lemah dan tergugat keunggulannya di persada politik tanah air. Apabila kuasa politik ini beralih tangan kepada orang bukan Melayu, maka Melayu Malaysia akan menjadi Melayu seperti di Singapura.

Lihatlah apa yang sudah terjadi kepada bangsa penduduk Langkasuka, Sriwijaya, Palembang, Patani dan beberapa kerajaan Melayu lama yang masyhur di satu masa yang lalu telah hilang akibat kehilangan kuasa politik dan sekarang tidak wujud lagi.

Faktor kedua, bahasa iaitu Bahasa Melayu [BM] menjadi penjamin kewujudan bangsa Melayu. Sekiranya ia tidak digunakan lagi dalam kehidupan rakyat seharian, pertuturan rakyat pelbagai kaum, urusan rasmi kerajaan, bahasa ilmu untuk pendidikan dan bahasa utama dalam semua jenis komunikasi, maka ia mendorong kepupusan bangsa Melayu. Kewujudan bangsa bergantung kepada bahasa, sekiranya hilang bahasa, bangsa juga akan turut hilang. Tun Syed Nasir Ismail pernah berkata:”Bahasa Jiwa Bangsa”.

 Akibat pemimpin-pemimpin UMNO gila kuasa dan gila pembangunan untuk mencapai Negara maju, BM mula dipinggirkan. BM yang menjadi pengantar dalam sistem pendidikan Negara telah ditukarkan kepada Bahasa Inggeris dari sekolah rendah sehingga ke universiti. Kedudukan BM di ambang bahaya. Kedaulatan BM dicabar oleh anak Melayu sendiri. Kepentingannya diabaikan dan diperkecilkan dan Bahasa Inggeris telah diberi keutamaan dan diagung-agungkan. Orang Melayu tidak mahu mencontohi bangsa Cina, keturunan Cina bertaburan di seluruh dunia, tetapi mereka tetap mempertahankan bahasa dan kebudayaan mereka. Orang lain yang ingin berkomunikasi dengan mereka mesti mempelajari bahasa mereka, begitu juga dengan Jepun. Mereka mendaulatkan bahasa mereka, tidak kita sebagai orang Melayu, kita mengalah dan berusaha belajar bahasa orang lain untuk berkomunikasi dengan mereka.

Faktor ketiga, budaya juga penting, seperti juga dengan bahasa. Hilang budaya, hilanglah bangsa. Budaya ialah cara hidup yang menjadi identiti sesuatu bangsa Budaya Melayu juga semakin hari semakin terhakis tidak menjadi amalan harian lagi. Budaya Melayu tidak dimegahkan lagi, sebagai gantinya budaya asing dibawa masuk dan diberi galakkan oleh UMNO. Hidup muda-mudi kita penuh keseronokan dan hiburan. Hilang jati diri. Kehidupan masyarakat kita telah berubah mengikut arus peredaran zaman. Cara hidup bersosial, berkomunikasi, pergaulan, cara berjiran, kemasyarakatan dan sebagainya telah berubah lebih barat dari barat sendiri telah tidak melambangkan identiti budaya Melayu itu lagi.

Bagaimana untuk mengekalkan bangsa Melayu di bumi Malaysia ini. Jawapannya kembali kepada Islam secara menyeluruh bukan separuh-separuh seperti mana yang diamalkan oleh UMNO. Islam bersifat universal. Tidak mengira kaum dan bangsa. UMNO mengamalkan nilai-nilai nasionalistik atau semangat kebangsaan dan pragmatik dengan slogan-slogan yang berubah-berubah mengikut keadaan dan suasana. Nilai-nilai ini akan padam dengan sendiri apabila sampai masanya seperti pelita akan padam sendiri apabila kehabisan minyak.
 
Oleh itu, saya merayu kepada seluruh pengundi-pengundi di DUN Kuala Berang, sekiranya mahu Melayu dan Islam serta demokrasi tertegak di bumi Malaysia ini, langkah pertama tumbangkan UMNO di sini, kemudian rangka strategi melemahkan UMNO dan seterusnya mengambil alih pemerintahan dan mendaulatkan Islam memerintah bukan Islam diperintah. Cara ini sahaja untuk mengekalkan bangsa Melayu [Islam] dan demokrasi.

Sekian, mudah-mudahan kita berjaya. Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT memohon taufik dan hidayahnya, selepas hampir 2 minggu kita bekerja keras untuk memenangkan Islam dan Demokrasi. Terima kasih. Wassalam.

Oleh: Meli - 27.08.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: