PERTAHANKAN ISLAM DAN DEMOKRASI
DALAM PILIHAN RAYA KECIL DI DUN KUALA BERANG (3)

Kiriman: Meli

Assamu'alaikum wm.wbt
Saudara-saudara pembaca budiman,

Semakin jelas kepada kita bahawa SPR memang benar-benar menjadi “BARUA DAN DAJAL-SYAITAN“ laknatullah kepada UMNO. Memang tepat jangkaan kita bahawa penetapan tarikh 28.8.2004, hari Sabtu adalah ditentukan oleh UMNO bukan SPR. Ini dapat dibuktikan melalui tarikh tersebut terdapat 3 peristiwa penting yang terpaksa kita tempuhi. Pertama, pilihan raya kecil di DUN Kuala Berang, kedua, Muktamar Tahunan PAS dan ketiga, keputusan rayuan DS Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Persekutuan juga turut ditetapkan pada tarikh yang sama. UMNO amat kurang ajar mempergunakan institusi kerajaan bagi kepentingannya.
 
Strategi ini mudah bagi kita untuk memahaminya. Tujuan UMNO memperalatkan SPR dan Mahkamah Persekutuan adalah untuk mengurangkan tumpuan orang ramai khususnya penyokong-penyokong Keadilan yang akan terlibat dengan kes Anwar dan penyokong PAS pula terlibat dengan Muktamar. Bagi sesiapa yang memahami perjalanan sistem kehakiman di Malaysia khususnya kes Anwar, maka jawapannya sudah diketahui bahawa rayuan Anwar akan ditolak.
 
Jadi, penumpuan terhadap kempen pilihan raya di DUN Kuala Berang menjadi “kurang panas“ dan dengan ini memudahkan UMNO menjalankan propaganda kempennya tanpa halangan yang besar dari penyokong kedua-dua parti ini [PAS dan Keadilan]. UMNO akan menjalankan kempennya dari rumah ke rumah, melalui saluran media massanya, melalui institusi-institusi kerajaan dan sebagainya. Bagi PAS, jangan jadikan Muktamar pada tahun ini sebagai medan berkumpul dan asyik mengasyik berseloka dan bergembira. Tumpukan perhatian terhadap pilihan raya di Kuala Berang.
 
Sekali lagi melalui ruangan ini, saya akan cuba memberi beberapa pandangan supaya semua petugas-petugas PAS dan Keadilan dalam BA dapat menjalankan peranan masing-masing lebih berkesan. Berikut diperturunkan beberapa strategi yang perlu diberi perhatian :
 
i. Nyatakan dengan penuh kasih sayang kepada ahli-ahli dan penyokong-penyokong UMNO bahawa dasar perjuangan dan apa yang dilakukan oleh UMNO itu bertentangan dengan dua kalimah syahadah yang dilafazkan, solat yang dilaksanakan, zakat yang dikeluarkan, puasa yang dilakukan dan haji yang disempurnakan. Dasar UMNO melalui Negara Islamnya dan Islam Hadharinya bertentangan dengan Tauhid Asmak Was Sifat dan Tauhid Uluhiyyah. Mereka melakukan dosa syirik atau dosa bersubahat kerana mereka mensyirikkan Allah SWT. Nyatakan dengan jelas perjuangan UMNO menolak atau mengkesampingkan hukum Allah dengan menghukum hukuman ciptaan manusia yang berlawanan dengan hukum Allah SWT, serta mereka menjunjung dan mendaulatkan Perlembagaan Lord Reid adalah satu kemungkaran besar. Adalah juga satu penderhakaan kepada Allah Yang Maha Berkuasa yang tidak boleh ditebus dengan membina satu juta masjid yang akan, sedang dan telah dibina oleh UMNO.
 
Pemimpin mereka sanggup menghina Nabi Muhammad SAW, memperlekehkan hukum Allah, menghina para ulama dan mengagung-agungkan orang-orang yang melakukan mungkar dan maksiat seperti memberi nilai dan pemujaan erti dan hiburan secara berlebih-lebihan. Zaid Ibrahim, MP Kota Bharu umpamanya menghalang perlaksanaan hukum Allah dengan membawa hukum Allah ke mahkamah. Ini bererti hukum Allah dibicarakan dan mempertikaikan kekuasaan Allah SWT. Beliau juga mengagung-agungkan Perlembagaan Lord Reid dan memperbodoh, memperleceh dan mempersendakan Majlis Mufti.
 
 (Gambar: ZAID IBRAHIM, MP KOTA BAHRU DENGAN BANGGA MENENTANG HUKUM ALLAH SWT)
 
ii. Semua petugas perlu berterus terang dalam membicarakan isu tauhid dan syirik kepada Allah SWT kepada saudara-saudara kita dari UMNO supaya mereka benar-benar faham dan insaf, di samping kita selalu berdoa agar mereka diberi hidayah dan taufik oleh Allah SWT untuk dapat membezakan antara haq dan bathil, menolak yang bathil yang dibawa oleh UMNO dan menerima yang haq yang dibawa oleh PAS.
 
iii. Jelaskan kepada ahli-ahli UMNO bahawa UMNO itu parti kotor yang mengamalkan rasuah. Rasuah menjadi budaya UMNO dulu, kini dan selama-lamanya. Tunjukkan bukti-bukti yang pemimpin-pemimpin besar UMNO terlibat dalam gejala rasuah ini. Orang UMNO yang bencikan rasuah tentu jijik dan tertanya-tanya bagaimana wakil-wakil rakyat, Exco dan para Menteri mereka dalam masa yang singkat sahaja boleh jadi kaya raya dan menjadi jutawan serta dapat hidup bermewah-mewah, tidak seperti sebelumnya. Terangkan kepada mereka supaya mereka boleh mengambil iktibar dari jenis 4 pemimpin. Pertama, sebelum menjadi pemimpin, ia miskin, sesudah menjadi pemimpin ia kaya raya. Kedua, sebelum menjadi pemimpin, ia miskin, sesudah menjadi pemimpin ia tetap miskin. Ketiga, sebelum menjadi pemimpin ia kaya, sesudah menjadi pemimpin ia kaya dan keempat, sebelum menjadi pemimpin ia kaya, sesudah menjadi pemimpin ia menjadi miskin. Tunjukkan kepada orang UMNO bahawa pemimpin mereka berebut-rebut dan bergaduh-gaduh serta mengamalkan politik kotor dan politik wang kerana mengejar jawatan parti, tetapi perjuangan mereka merugikan bangsa Melayu.
 
iv. Jelaskan kepada orang UMNO bahawa kejayaan-kejayaan yang dicapai orang Melayu hanyalah satu khayalan pemimpin-pemimpin UMNO semata-mata bagi menutup kelemahan mereka yang telah memerintah selama 47 tahun merdeka. Hanya segelintir orang Melayu yang berjaya. Orang Melayu yang menjadi kroni pemimpin. Anak saudara mereka kaya-raya, sedangkan majority orang Melayu masih di takuk lama. DEB yang dilancarkan pada tahu 1970 gagal memartabatkan orang Melayu. DEB gagal meningkatkan taraf hidup orang Melayu. Kegagalan DEB ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam Parlimen pada bulan Mei 2004 yang lalu. Orang Melayu menang sorak, kampung tergadai. Berapa banyak profesional Melayu? Berapa banyak gudang-gudang dan kedai-kedai di bandar-bandar besar dan kecil di Negara ini milik Melayu? Berapa banyak tanah-tanah rizab Melayu hilang tanpa ganti? Orang Melayu masih lagi ketinggalan dalam semua lapangan, pendidikan, ekonomi, sosio-budaya, perniagaan dan keusahawanan berbanding dengan orang bukan Melayu. Orang Melayu hanya ke depan dalam bidang hiburan yang mengasyikkan. Merekalah juara. Menyanyi dan menari siang-malam. Sure heboh, Malaysia Idol, Akademi Fantasia dan pelbagai lagi, orang Melayulah menjuarainya.
 
v. Beri kefahaman kepada orang UMNO bahawa dasar pemimpin-pemimpin mereka memerintah Malaysia bermatlamatkan hidup adalah untuk habuan dunia. Tentang iman, tauhid, syirik, Islam, dosa-pahala, maruah diri dan akhlak tidak begitu dipentingkan. Yang penting bagi mereka ialah jawatan yang setinggi-tingginya, kuasa yang tidak boleh dicabar oleh sesiapa pun, wang dan kemewahan hidup. Ingat pada akhirat hanya ketika solah, selepas memberi salam, ia hilang apabila bertemu dengan ahli-ahli korporat yang akan menawarkan sesuatu.
 
vi. Mereka hidup dalam kepura-puraan, bersifat nifaq yang amat ketara. Mereka pandai berlakon di hadapan rakyat. Lakonan mereka begitu realistik. Kata-kata mereka amat memukaukan. Kemahiran mereka dalam perhubungan awam [PR] memang terpuji. Kemahiran pemimpin UMNO dalam “damage control“ memang first class. Kemahiran pemimpin UMNO dalam melakukan pembohongan juga first class sehinggakan jika mereka kata “yang putih itu hitam dan yang hitam itu putih“ rakyat dari semua golongan akan mempercayainya, walaupun mata mereka nampak putih itu putih dan yang hitam itu hitam. Tolong terangkan kepada orang UMNO.
 
vii. Gejala sosial semakin menjadi-jadi semenjak UMNO menang besar dalam pilihan raya umum yang lalu. Mana dia Islam Hadhari yang diwar-warkan itu yang boleh mengatasi masalah ini. Peningkatan kes rompakan, ragut, rogol, jenayah seksual, perzinaan, budaya samseng, ketagih arak, perjudian dan pelbagai lagi gejala negatif melanda masyarakat kita sekarang ini tidak mampu di atasi oleh UMNO berasaskan mantik (logik akal) dan enggan kembali kepada ajaran Rasulullah SWT. Semakin lama UMNO memerintah, masyarakat kita sedikit demi sedikit akan mengalami kehancuran. Hanya masa akan menentukan.
 
 
Sekian buat kali ini. InsyaAllah kita akan bersua kembali dalam suasana pilihan raya kecil DUN Kuala Berang, Terengganu. Terima kasih. Wassalam.

Oleh: Meli - 19.08.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: