PERTAHANKAN ISLAM DAN DEMOKRASI
DALAM PILIHAN RAYA KECIL DI DUN KUALA BERANG (2)

Kiriman: Meli

Assamu'alaikum wm.wbt
Saudara-saudara pembaca budiman,

Tulisan saya Bahagian 1 yang disiarkan oleh Laman ini pada 7.8.2004 (Pertahankan Islam Dan Demokrasi Dalam PRK DUN Kuala Berang), memperjelaskan peranan SPR melalui Pengerusinya, Abdul Rashid Abdul Rahman telah dipergunakan oleh UMNO sekali lagi untuk memanjangkan tempoh pilihan raya kecil di Kuala Berang mulai 30 Julai 2004 [ hari kematian Komarudin Abdul Rahman ] sehingga 28 Ogos 2004 [ hari penamaan calon pada 16 Ogos 2004, hari Isnin lepas ]. Ia secara tidak langsung dapat membantu jentera pilihan raya UMNO mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihan raya tersebut, di samping ia juga dapat memberi advantage kepada UMNO kerana ketika itu dari 26 hingga 29 Ogos 2004, PAS telah dijadualkan mengadakan Muktamar tahunannya di Kelantan. Jadi, pada perkiraan Rashit dan UMNO, PAS sudah tentu sibuk menyelenggara Muktamar itu dan kekurangan masa untuk memberi tumpuan dalam pilihan raya kecil di Kuala Berang. Menang mudah bagi UMNO. Itu harapan UMNO dan Rashit.
Tiada ada alasan yang boleh diterima kenapa tempoh pilihan raya ini dipanjangkan, sedangkan dalam pilihan raya umum yang lalu masanya dipendekkan hanya menjadi 7 ½ hari sahaja. Sepatutnya pilihan raya umumlah tempoh berkempen dipanjangkan kerana ia melibatkan seluruh Negara dengan 219 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN. Mesti ada udang di sebalik mee. Pokok tidak akan bergoyang, kalau tiada ada angin. Semua kita tahu ini semua adalah taktik dan strategi UMNO kerana mereka belum bersedia lagi.
 
Senario pilihan raya yang lepas
 
DUN Kuala Berang terletak di dalam kawasan Parlimen Hulu Terengganu dan tiga lagi DUN-DUN iaitu Ajil, Telemong dan Manir [ diwakili oleh PAS melalui Dato’ Harun Taib ].
 
Pada pilihan raya yang lalu, negeri Terengganu mempunyai pengundi berdaftar seramai 450,442 dan undi pos sebanyak 5,482. Jadi, jumlah keseluruhan pengundi ialah 455,924. Selepas pembuangan undi pada 21.3.2004, perkiraan undi menunjukkan UMNO mendapat 340,974, manakala PAS pula mendapat 266,626. Jumlah pengundi yang keluar mengundi berjumlah 607,600. Jumlah yang berdaftar berbanding jumlah yang keluar pengundi menunjukkan perbezaan seramai 151,676. Dari mana datangnya perbezaan bilangan ini? Peningkatannya begitu drastik sekali sebanyak 70,000 atau 17.1%. Hebat sungguh UMNO.
 
Di DUN Kuala Berang sekarang mempunyai pengundi berdaftar seramai 11,430. Dalam pilihan raya yang lalu Komarudin Abdul Rahman mengalahkan Dr. Mamad Puteh dengan majority sebanyak 1,695. Di Kuala Berang mempunyai 10 tempat pembuangan undi [ pada tahun 1999 hanya ada 7 ], semua tempat mengundi ini UMNO menang dan PAS kalah. Ia jadi terbalik, pada tahun 1999 PAS menang di semua tempat mengundi dan UMNO kalah. Pengaruh PAS agak kuat di kawasan penduduk yang membuang undi di Sekolah Kebangsaan Tanggul, PAS mengalami kekalahan tipis sebanyak 32 undi sahaja, di SMK Tengku Ampuan Intan, PAS kalah sebanyak 44 undi dan di Sekolah Kebangsaan Getang, PAS kalah sebanyak 58 undi.
 
UMNO menang dengan majority besar di SK Kuala Berang [dalam pekan Kuala Berang] sebanyak 378 undi, SK Langgar 294 undi dan di SK Telaga 279 undi. Purata majority yang dimenangi oleh UMNO bagi 10 tempat mengundi ialah 158 undi. Pada kali ini, adakah PAS berupaya untuk membuat “Vote swing“ seperti mana yang berlaku pada tahun 1999?
 
Di samping kekuatan UMNO, kita juga perlu menilai kelemahan kita juga. Dalam pemerhatian saya dalam pilihan raya kecil Parlimen Pendang dan DUN Anak Bukit, Kedah pada 18 Julai 2002 dan pilihan raya kecil Indera Kayangan, Perlis pada Januari 2002, saya dapati banyak kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memenangi pilihan raya kecil Kuala Berang. Saya bukan untuk mengajar itik berenang, tetapi cuba memberi sedikit nasihat sebagai panduan menghadapi pilihan raya tersebut.
 
Panduan Memperkemaskan Jentera Pilihan Raya di Kuala Berang
 
i. Pengurusan di UPU
 
Semua UPU wajib dibuka dan beroperasi dari sekarang sehinggalah tamat pilihan raya. Semua UPU mesti beroperasi 24 jam, terutama dalam tempoh masa berkempen sangat hampir dengan hari pembuangan undi. Semua maklumat berkaitan dengan pilihan raya mesti dikumpulkan dan dianalisis di sini. Maklumat ini perlu dikemaskinikan setiap masa Perlu mengkaji secara mendalam trend setiap pengundi di kawasan UPU masing-masing. Kenalpasti kecenderungan dan minat pengundi, bahagikan pengundi kepada beberapa kategori yang boleh dibuat pemantauan berterusan sehingga ke hari pembuangan undi pada 28.8.2004 ini. Jadikan UPU sebagai markas gerak kerja pilihan raya. Bilik operasi jangan biarkan orang tidak dikenali masuk tanpa kebenaran. Di masa yang lalu berdasarkan pengalaman saya, di UPU penyelenggaraannya sangat lemah, maklumat tidak kemaskini dan sukar untuk mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan kempen dan potensi kita untuk menang dalam pilihan raya yang sedang berlangsung itu dan bagaimana pula strategi kita untuk menarik golongan pengundi atas pagar mengundi kita.
 
ii. Sumbangan Petugas Luar
 
Setiap kali pilihan raya kecil diadakan, ramai pendokong-pendokong parti dari luar akan datang tolong berkempen. Oleh itu, segala urusan seperti makan-minum, penginapan dan pembahagian tugas hendaklah dilakukan secara sistematik dan profesional. Jangan sekali-kali berlaku pertindihan tugas di antara individu dan negeri-negeri.
 
iii. Bekalan dan Kemudahan
 
Perlu ditubuhkan sebuah Jawatankuasa khusus untuk mengendalikan urusan bekalan dan kemudahan. Hanya Jawatankuasa ini sahaja yang diberi tanggungjawab menguruskan segala keperluan yang diperlukan oleh pendokong-pendokong parti seperti makanan, perubatan, pengangkutan dan sebagainya. Segala sumbangan dalam apa jua bentuk sekalipun hendaklah disampaikan melalui Jawatankuasa ini dan Jawatankuasa inilah nanti akan membekalkannya kepada pendokong-pendokong parti yang bertungkus-lumus berkempen untuk memenangkan parti.
 
iv. Kawalan Keselamatan
 
Kawalan keselamatan dan risikan hendaklah diperketatkan. Jangan sekali-kali dibiarkan bilik UPU kosong tiada ada petugas. Ini mengundang sesiapa sahaja boleh menceroboh masuk dan mencuri maklumat-maklumat penting. PAS perlu ingat bahawa kita akan menghadapi peperangan dan serangan dari Tentera Bersekutu [UMNO, MCA, MIC, Polis, FRU, SPR, institusi-institusi kerajaan, seluruh rangkaian TV dan radio serta seluruh rangkaian media arus perdana]. Mereka akan bekerja bersama-sama siang-malam bagi memusnahkan kita. Kita akan musnah bagaikan rumah disambar api. Musnah dan menjadi abu yang akan berterbangan ditiup angin ke udara tanpa haluan. Taktik dan strategi perlu disusun dengan mengemukakan pelan bertindak bagi menghadapi situasi tersebut. Hendaklah dibentuk satu pelan bertindak sebelum dan selepas pengundian perlu diadakan dan dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dan bertawakal kepada Allah SWT.
 
v. Pemantauan Berterusan
 
Pemantauan berterusan hendaklah dilakukan semenjak dari hari penamaan calon sehinggalah malam pengumuman keputusan pilihan raya. Jangan sekali-kali kita lalai membuat pemantauan ini, lalai sahaja hantu dan syaitan akan menceroboh masuk. Pada hari pengundi, pastikan kenderaan mesti cukup dan memberi perkhidmatan pengangkutan yang mesra kepada pengundi-pengundi dan iringlah pengundi-pengundi sampai ke kawasan yang dibenarkan oleh pihak SPR, jangan biarkan pengundi ini disambar oleh UMNO. Tentera Bersekutu [TB] akan menyerang kita dari pelbagai sudut, maka Lajnah Penerangan mesti membuat “counter attack“ serangan tersebut dengan menerbitkan risalah-risalah atau pamphlet dan sebarkan ke seluruh kawasan, taman-taman perumahan, kedai-kedai kopi, stesen bas, stesen teksi, pekan hari, masjid-masjid dan surau-surau, rumah-rumah orang-orang kampung dan sebagainya untuk menjawab tohmahan TB bukan menyerang mereka [ baca UMNO ]. Bahan-bahan seumpama ini mudah diperolehi sama ada melalui Laman-laman yang sedia ada di Internet atau keratan-keratan akhbar yang menunjukkan kehaprakan UMNO. Ini penting untuk kefahaman orang-orang atas pagar, mereka perlukan jawapan segera daripada kita bagi menjawab serangan TB itu. Pihak yang dilantik menjaga peti undi memerlukan latihan mengenai “ilmu perang pilihan raya“ . Berhati-hati untuk menandatangani Borang 14. Perlu juga berhati-hati dan memerlukan petugas yang berani untuk mengemukakan sebarang kekeliruan yang timbul. Jangan sekali-kali biarkan peti undi di bawa ke tempat pengumpulan undi tanpa diekori oleh petugas-petugas ini. Jangan buka ruang untuk pihak TB melakukan penipuan.
 
vi. Cabaran Dari Puteri UMNO
 
Dalam pilihan raya umum yang lalu, salah satu faktor yang menyumbang kepada kemenangan UMNO ialah peranan yang dimainkan oleh Puteri UMNO. Awasi pergerakan Puteri UMNO ini yang akan menjadi keluarga angkat yang dikatakan cukup berkesan bagi mempengaruhi keluarga angkat mereka. PAS perlu ada perancangan sendiri bagi menghadapi masalah ini.
 
vii. Menghadapi Penipuan Tentera Bersekutu [TB]
 
Setiap kali pilihan raya diadakan, TB akan mengamalkan penipuan dan rasuah seperti mana yang mereka tunjukkan dalam pemilihan dalam parti mereka. Money politic adalah darah daging mereka. Rasuah itu UMNO, UMNO itu rasuah. Tiada rasuah, tiada UMNO. Tiada ada dosa-pahala dalam kamus politik mereka. Semua halal dilakukan asalkan mencapai matlamat kemenangan. Lihat UM, 12.8.2004, melaporkan bekas EXCO Pahang, Dato’ Omar Othman didakwa kerana melakukan rasuah. Akbar yang sama melaporkan Lembaga Disiplin UMNO mendapati 3 tokoh utama UMNO melakukan rasuah dalam pemilihan baru-baru ini. Sebanyak 366 aduan diterima yang melibatkan politik wang dan salah laku.
 
(Gambar kiri: ANTARA TOKOH UTAMA UMNO YANG DIDAPATI BERSALAH MENGAMALKAN POLITIK WANG DALAM PEMILIHAN BARU-BARU INI.)
 
Penipuan TB boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Pertama, menipu rakyat di kawasan pilihan raya yang terlibat dengan pembangunan projek-projek “segera“. Apabila terdapat kawasan DUN atau Parlimen diisytiharkan kosong, maka laporan dari Pejabat Daerah, Majlis Tempatan, UPEN, Agensi Pembangunan Wilayah dan MARA akan dibentangkan. Semua projek diklasifikasikan sebagai “urgent dan top priority“. Sumber dana untuk projek-projek segera ini akan dicuri dan dipindahkan dari dana rancangan pembangunan kawasan lain. Ia bertujuan mempamerkan imej baik dan prihatin UMNO terhadap rakyat. Projek favourite ialah jalan kampung, lorong-lorong mini tar masuk ke rumah-rumah penduduk, mengecat dan mengindahkan masjid dan surau dan sebagainya.
 
Kedua, perasmian segala apa projek yang akan dibuat, sedang dibuat atau yang telah dibuat telah siap, tetapi belum dirasmikan. Rasmi dewan, sekolah, tadika, perumahan rakyat, arked, gerai, surau, masjid, jalan, projek pertanian, penternakan, perladangan, balai polis, padang sukan hinggakan ke perasmian jamban pun boleh diaturkan. PM,TPM, Menteri-menteri dan sesiapa sahaja akan datang untuk merasmikan semua ini. Tujuannya ialah untuk memberi ucapan dan berkempen.
 
Ketiga, merasuah rakyat miskin dengan pelbagai bantuan. Bantuan persekolahan, bantuan kemiskinan dengan menyampaikan beras, susu, ikan sardin, minyak masak, tepung, pakaian, kain pelikat, kain batik dan juga wang tunai. UMNO akan memainkan propaganda bahawa hanya “UMNO sahajalah di dunia ini“ yang prihatin terhadap rakyat miskin. Sebahagian besar rakyat miskin ini mempunyai tahap pendidikan yang rendah dan masih mempunyai perasaan feudal yang mentaati pemimpin
dan tidak boleh sama sekali mengingkari titah perintah pemimpin anti akan dikenakan tindakan yang akan menjadikan penduduk tersebut menderita dan semakin susah.
 
Keempat, bagi kawasan yang mempunyai penduduk minoriti [Cina atau India ataupun Siam] lawatan pemimpin UMNO akan diatur untuk mengunjungi penempatan penduduk ini. Pemimpin UMNO akan beramah mesra dengan penduduk dan berjanji akan memberi bantuan untuk memperbaiki keperluan asas atau projek-projek pembangunan di situ.
 
Kelima, ugutan dan budaya samseng untuk menakut-nakutkan penduduk untuk pergi mendengar ceramah dan mengundi PAS.
 
Keenam, memutarbelitkan fakta. PAS akan dituduh parti yang memecah-belahkan orang Melayu, pemimpin PAS mementingkan kedudukan, PAS parti yang ekstrem, hudud PAS bercanggah dengan al-Quran, Islam PAS tidak pentingkan pembangunan, PAS hanya berjuang perkara-perkara yang remeh-temeh, nasib dan negeri orang Melayu akan ketinggalan jika PAS memerintah dan pelbagai tuduhan liar akan muncul di media-media arus perdana.
 
Keenam, pengundi hantu dan kita berhadapan dengan sekelompok manusia berbangsa Melayu yang tidak jujur, tidak amanah dan pengkhianat kepada agama, bangsa dan tanah air.
 
viii. Guna Strategi Orang Kalah
 
Strategi ini penting untuk kita senantiasa berada dalam keadaan yang berwaspada dan bekerja kuat. Tidak mudah merasa puas apa yang telah dibuat. Kita akan terus berjuang ke saat-saat terakhir tanpa terasa penat dan bersemangat kental serta berhati waja.
 
ix. Berdoa Kepada Allah SWT Setiap Waktu
 
Pejuang-pejuang Islam tidak boleh seperti pejuang-pejuang TB. Mereka boleh melakukan apa sahaja apa yang mereka suka. Minum arak, menari dan menyanyi sampai ke pagi, pergaulan bebas lelaki-perempuan, tidak tutup aurat, berzina, tangkap khalwat [seperti apa yang berlaku terhadap orang kuat ADUN Kuala Nerang], tidak sembahyang dan pelbagai lagi perkara-perkara mungkar, bagi mereka semua halal melakukannya. Tidak kepada pejuang-pejuang Islam dalam PAS. Mereka wajib menunaikan solat 5 waktu, walaupun sibuk dan penat berkempen. Senantiasa berdoa dan memohon pertolongan dari Allah. Jangan melakukan perkara-perkara mungkar nanti doa kita tidak direstui oleh Allah SWT. Orang-orang zalim terus menerus memerintah kita kerana persiapan mereka rapi dan senantiasa bekerjasama di antara mereka seperti mana ditunjukkan oleh Amerika membuli Negara-negara umat Islam.
 
Sekian untuk kali ini. InsyaAllah kita akan bertemu lagi dalam usaha saya untuk memberi sedikit maklumat dan panduan bagi menghadapi pilihan raya ini. Wassalam.

Oleh: Meli - 18.08.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: