ADAKAH KITA PERLU MENYERTAI PILIHAN RAYA TAHUN 2009?

Assamu'alaikum wm.wbt
Saudara-saudara pembaca budiman,

Sudah lebih tiga minggu pilihan raya umum ke-11 telah berlalu, namun rakyat masih lagi membicarakannya. Pelbagai gelagat yang paling kotor dalam sejarah pilihan raya di Malaysia kita telah dapat melihat, mendengar dan membaca dari bermacam-macam pandangan serta ulasan dari pelbagai sumber. Dalam pilihan raya tersebut, PAS yang merupakan parti pembangkang terkuat di Malaysia mengalami kekalahan paling teruk selepas tragedi tahun 1978. PAS hanya mampu memenangi 7 kerusi parlimen dan 36 kerusi DUN, manakala Keadilan hanya menang satu kerusi parlimen menerusi Presiden partinya iaitu Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Ada pandangan menyarankan agar PAS membuat muhasabah diri kenapa pada pilihan raya kali ini, PAS ditolak oleh rakyat. Setengah pandangan pula menyeru PAS membuat reformasi secara menyeluruh ke atas kepimpinannya dan bermacam-macam lagi pandangan, ulasan dan pendapat memberi pelbagai reaksi menarik agar PAS menyusun strategi secara rapi bagi menghadapi pilihan raya umum ke 12 pada tahun 2009 nanti.

Semua pandangan dan pendapat yang dilontarkan kepada PAS dan Keadilan supaya memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang ada itu serta dapat menyusun semula gerak kerja bagi memastikan PAS dan Keadilan mencapai kejayaan pada tahun 2009. Kita tidak pernah menafikan sebarang kelemahan yang kita miliki. Kita mengakui, kita sebagai manusia biasa, memang ada kelemahan-kelemahannya. Kita bukan UMNO yang tidak pernah mengakui kelemahannya. Semuanya diletakkan kesalahan kepada orang lain. Kita berusaha bersama-sama memperbaikinya sebaik sahaja pilihan raya tahun 1999 berakhir. Gerak kerja disusun, strategi dirangka, pelan tindakan dibentuk dan pandangan dari pelbagai pihak didengar dan diambil tindakan yang mana sesuai mengikut kesesuaian masa, suasana dan tempat. Dikembangkan hubungan dua hala, peringkat kepimpinan atas-ke bawah, peringkat pimpinan bawah-ke atas, tidak seperti yang ujud dalam hierarki UMNO iaitu hubungan sehala, atas ke bawah. Peringkat bawahan wajib patuh apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kepimpinan di peringkat atasan.

Hubungan dua hala yang dibentuk oleh PAS ini adalah bertujuan untuk bermuhasabah mencari kelemahan-kelemahan yang ada tanpa disedari oleh pucuk pimpinan. Sesiapa sahaja boleh mengkritik dan memberi idea kepada kepimpinan. Hal ini terbukti dalam sebarang perhimpunan atau dalam muktamar tahunan PAS yang diadakan setiap tahun. Pucuk pimpinan tidak pernah mengambil tindakan terhadap ahli-ahli yang membuat kritikan terhadap pimpinan, malah dialu-alukan terutama di era Allahyarham Dato’ Mohd. Fadzil Noor. Saya sendiri pernah berbincang dengan Allahyarham mengenai perjalanan parti dalam satu kesempatan di Majlis Seminar Di Muassasah Darul Ulum, Kedah, sedangkan saya siapa, tiada ada kena mengena dengan parti PAS. PAS bukan sebuah parti bersifat feudal seperti mana yang diamalkan oleh UMNO. Ia terbuka.

Semua pandangan dan ulasan yang diberi itu tidak berpijak di bumi yang nyata. Adakah mereka sedar atau buat-buat tidak sedar bahawasanya Malaysia ini diperintah oleh sebuah rejim diktator NAZI FRONT. Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO memerintah ala NAZI dalam sebuah Negara diktator melalui undang-undang yang sah yang mereka cipta sendiri dan mereka sendiri yang melanggarnya.

Adakah mereka tidak sedar bahawa PAS dan Keadilan telah menyusun strategi lebih mantap selepas pilihan raya tahun 1999. Mereka mempunyai pakar-pakar strategis yang berketrampilan mengemukakan pelbagai idea dan pelan bertindak bagi menghadapi UMNO/BN dalam pilihan raya 2004 itu. Keahlian dalam PAS mempunyai pelbagai latar belakang yang telah memberi sumbangan yang amat bernilai dalam harakah Islamiah di ruang lingkup yang amat terbatas dan tertekan.

Adakah mereka tidak sedar atau masih lagi mamai dalam mimpi yang indah bahawa UMNO telah mempergunakan segala jentera dan kuasa yang ada padanya untuk mengekalkan kuasa tersebut. UMNO telah mempergunakan SPR membuat persempadanan semula bagi melemahkan pembangkang khususnya PAS, mencipta pelbagai undang-undang dan peraturan yang bercelaru, memindah dan menghilangkan nama-nama pengundi [mendapat kerjasama penuh dari Jabatan Pendaftaran Negara], mengendali pilihan raya secara lintang pukang cacamarba bertujuan melemahkan PAS dan Keadilan. Menggunakan pasukan polis mulai 1.7.2001 bagi menghalang PAS dan Keadilan mengadakan ceramah bagi menyampaikan maklumat kedua kepada rakyat disekat. Mereka dihalau dan ditangkap bagaikan anjing kurap termasuk kepimpinan tertinggi PAS. Usaha melemahkan Keadilan diteruskan dengan penangkapan tokoh-tokoh berwibawa di bawah ISA. Kebangkitan PAS dan Keadilan yang bersatu tenaga dikekang habis-habisan dengan menggunakan pelbagai cara halal dan haram. Tujuannya hanya satu untuk menghancurkan kedua-dua parti ini.

Penggunaan media massa yang dikawal begitu rapi sehingga tidak ada ruang atau saluran bagi PAS dan Keadilan untuk menyuarakan pandangan dan pendapat bagi kepentingan rakyat dan Negara. Jentera-jentera kerajaan dipergunakan sepuas-puasnya bagi menjamin kekuasaannya tidak terjejas, malah politik wang yang menelan kos berbilion ringgit digunakan untuk membeli undi rakyat yang tidak peka terhadap amalan demokrasi.

Saya amat bersetuju dengan pandangan Rustam A.Sani dalam Harakah cetak 1-15 April 2004, beliau menyebut sebenarnya parti pembangkang terperangkap dengan lakonan UMNO mewar-warkan pilihan raya ini dengan pelbagai gelagat sehinggakan parti-parti pembangkang terasa mereka akan memperoleh kejayaan yang lebih cemerlang dengan membuat penilaian terhadap UMNO yang buat-buat bodoh dan mereka berkelahi sama-sama mereka berebut kerusi masing-masing, sedangkan pada hakikatnya UMNO telah tahu terlebih dahulu, yang mereka akan memperoleh kemenangan yang besar seperti kata Aman Rais dalam kulumnya di Malaysiakini.com, UMNO telah menulis di papan hitam akan kemenangan yang bakal dirayakannya dengan bantuan SPR, Polis, JPN, kedudukan kewangan yang kukuh untuk membeli undi dan jentera-jentera kerajaan yang sanggup sujud menyembah kaki UMNO.

Dalam keghairahan tersebut, PAS dan Keadilan masuk bertanding dengan penuh keyakinan akan menang dalam satu perlawanan yang amat nyata berat sebelahnya. Sepatutnya PAS dan Keadilan perlu memboikot pilihan raya ini kerana dari awal-awal lagi SPR telah melakukan satu kerja tidak berprofesional dan mendapat teguran dari Majlis Raja-raja. PAS dan Keadilan perlu tahu apa yang dibuat agensi-agensi kerajaan yang giat membantu UMNO untuk menang dalam pilihan raya ini.

Saya sendiri, minggu kedua selepas keputusan pilihan raya diumumkan telah keluar mencari maklumat secara peribadi tentang perjalanan pilihan raya ini yang terburuk yang telah dilakukan oleh SPR atas arahan UMNO. Pelbagai golongan saya dekati untuk mendengar pandangan rakyat akar umbi. Ada golongan penyokong UMNO, ada golongan atas pagar, kaum bukan Melayu khususnya Cina dan Siam serta ahli-ahli dan penyokong PAS dan Keadilan. Rata-rata yang saya temui itu, mereka terkejut apa yang terjadi. Landslide victory yang dinikmati oleh UMNO itu menjadi satu tanda tanya yang sukar untuk diberi satu jawapan yang pasti. Ada orang cina yang saya temui juga turut terperanjat bagaimana PAS [ mereka sebut bola ping-pong ] yang kuat boleh kalah begitu teruk sekali. Kata mereka, setiap kali UMNO menghadapi pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, pelbagai teknik penipuan dan penyelewengan serta politik wang telah menjadi amalan sejak azali lagi, tetapi pada kali ini penipuan dan penyelewengan amalan demokrasi dilakukan secara terang-terangan bukan lagi secara gelap seperti dahulu lagi.

Inilah ciri-ciri sebuah kerajaan pemerintahan dalam bentuk NAZI FRONT yang ujud di German di masa perang dunia kedua dahulu, kini muncul semula di Malaysia di abad ke 21 ini. Sekiranya sistem ini tidak dirombak, maka tidak berguna sama sekali kita berjuang di medan pilihan raya yang penuh penipuan yang tidak mengikut lunas-lunas demokrasi tulen. Adalah menjadi satu pembaziran masa, tenaga, keringat, fikiran dan wang ringgit, malah kita memberi satu harapan yang kosong atau sebuah impian kepada penyokong-penyokong kita yang bekerja siang-malam tanpa mengenal penat lelah dan tanpa duit kupang yang mewah seperti UMNO. Mencurah tenaga untuk mencapai kemenangan melalui pilihan raya dalam sebuah negara yang diperintah oleh diktator NAZI FRONT adalah sia-sia sahaja.

Dalam simple studi saya itu, saya ada menemui beberapa orang pemimpin PAS dan beberapa bekas wakil rakyat yang kalah dalam pilihan raya itu. Mereka rata-rata bersetuju dengan pandangan bahawa kita patut memboikot pada pilihan raya ke 12 seperti mana kita memboikot pilihan raya semula di Sungai Lembing tempoh hari, sekiranya sistem ini kita tidak dapat merubahnya. Apa guna dan faedahnya, apabila kita masuk bertanding, kaki dan tangan kita diikat, dikenakan pelbagai peraturan bagi menyekat pergerakan kita, sedangkan mereka senang-senang mencabulinya tanpa sebarang tindakan, malah mereka mendapat kerjasama penuh dari SPR, Polis, JPN, media, wang yang banyak, jentera-jentera kerajaan dan sebagainya. Biarlah mereka lawan seorang-orang.

Sekiranya PAS memboikot pada pilihan raya akan datang, ia akan memberi kesan yang negatif kepada UMNO. PAS adalah sebuah parti kedua terbesar selepas UMNO yang mempunyai keahliannya cacamarba, Keahlian PAS sekarang ini sudah mencapai lebih satu juta orang. Semuanya manusia Melayu yang beragama Islam 100%. Kalau dicampurkan dengan keahlian parti Keadilan, kemungkinan keahlian kita menghampiri ke angka dua juta orang [ anggaran sahaja, tiada ada data tepat ]. Pemboikotan ini akan memberi imej buruk terhadap amalan demokrasi di Malaysia di kaca mata dunia luar. Ianya juga akan menjejaskan tarikan pelabur-pelabur luar untuk melabur di Malaysia, ini satu pengajaran kepada UMNO. Nama Malaysia akan tercalar di peringkat antarabangsa. Tiada ada lagi pemimpin Malaysia yang merasa bangga bercakap mengenai demokrasi di pentas dunia.

Berjuang untuk kepentingan rakyat bukan semata-mata melalui saluran pilihan raya. Banyak lagi pendekatan yang boleh digunakan untuk melawan UMNO bagi kepentingan rakyat. Pilihan raya merupakan sebahagian kecil saluran yang kita gunakan. Masih banyak lagi saluran yang belum kita cuba dan kita gunakan sepenuhnya.

Kaedah konservatif yang digunakan oleh Badan Bertindak Penyelewengan Pilihan Raya ke-11 dan tindakan pengumpul tandatangan bagi membantah keputusan pilihan raya tersebut, bawalah berjuta tandatangan pun, ia tidak akan membawa apa-apa hasil. Sejarah telah membuktikan bahawa tindakan ini tidak akan berjaya mencapai matlamatnya. Hanya sekadar melepaskan geram, berarak ke seluruh Negara untuk tunjuk rasa terhadap pengendalian pilihan raya yang terkotor. Semua sistem yang ada di Malaysia kini di bawah tapak kaki Dolah Badawi. Raja mana yang berani [ baca majlis Raja-raja ] menyatakan pilihan raya ini tidak mengikut peraturan dan perlu disemak semula? Hakim mana yang berani mengisytiharkan pilihan raya tersebut tidak sah dan batal? Jadi, siapa yang berani? Tidak siapa yang berani untuk melawan Dolah Badawi. Gunakanlah sebanyak mana yang mahu menubuhkan panel peguam yang handal-handal, Dolah Badawi cukup dengan seorang hakim yang akan mempertahankan kemenangannya itu. Kes Anwar Ibrahim menjadi dalilnya.

Jadi bagaimana untuk melawan UMNO? Hanya ada dua pendekatan sahaja yang ada. Pertama, kita tidak perlu lagi patuh kepada undang-undang kerana mereka sendiri telah terang-terang mencabuli undang-undang yang mereka cipta sendiri seperti yang kita saksikan dalam pilihan raya yang lalu. Tiada ada Negara di dunia yang diperintah oleh diktator yang boleh ditumbangkan melalui pilihan raya dan menerusi mahkamah, kerana kedua-dua institusi ini dipengaruhi oleh pemerintah sehinggakan mereka tidak berani menyuarakan kebenaran.

Kita perlu turun ke jalan raya menunjuk perasaan ketidakpuasan hati kita kepada kerajaan ini. Kita tidak perlu berlembut lagi. Sudah lama kita berlembut dan bertolak ansur, sampai masanya kita perlu bertindak secara keras dan menentang undang-undang yang zalim lagi menindas. Persoalannya, siapa yang akan menjadi pemimpin untuk memimpin rakyat menunjuk perasaan menentang kerajaan. Adakah Haji Hadi, Nik Aziz, Mat Sabu, Mahfuz Omar, Salahuddin Ayob, Wan Azizah, Dr. Syed Hussain, Azmin Ali, Ezam Mohd.Noor, Tian Chua atau siapa? Sanggupkah pemimpin-pemimpin kita kena tangkap dan disumbat dalam penjara. Adakah rakyat kita bersedia ke arah itu dalam keadaan kita dalam kekenyangan. Tindakan ini penuh dengan risiko yang tidak boleh diduga. Macam-macam boleh terjadi. Silap-silap langkah nyawa melayang dari badan. Inilah yang dikatakan pengorbanan. Berapa banyak pejuang-pejuang kemerdekaan yang terkorban. Nama-nama seperti Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Abdul Rahman Limbong, Datuk Sagur, Mat Salleh [di Sabah], Datuk Bahaman dan ramai lagi yang sanggup berjuang mengorbankan jiwa dan raga untuk faedah generasi sekarang ini. Tanpa pengorbanan mereka, mustahil kita kecapi apa yang kita nikmati sekarang ini. Sekarang kita masih lagi dijajah oleh bangsa kita sendiri yang lebih sukar dan rumit untuk menebus kemerdekaan ini berbanding dari penjajahan Inggeris dahulu kala dan sekarang kita mesti menuntut kemerdekaan kedua. Bersediakah kita semua ke arah itu?

Kalau pendekatan pertama tadi tidak berjaya kerana kesedaran rakyat kita belum lagi mampu bertindak ke arah itu, maka jalan yang paling selamat dan berkesan, marilah kita bersama-sama memboikot pada pilihan raya ke 12 yang akan diadakan pada tahun 2009. Inilah kaedah yang terbaik untuk kita gunakan. Sebenarnya kita mampu berdepan dengan UMNO secara anak jantan, bukan dengan kaedah yang diguna pakai oleh UMNO sekarang ini. Kaedah ini kita akan kecundang kerana kita berlawan secara perempuan, tangan diikat di belakang, kita tidak mampu mempertahankan diri apabila muka kita ditumbuk bertubi-tubi oleh UMNO dan akhirnya kita jatuh tersungkur menyembah bumi.

Sebagai kesimpulannya, saya merayu pengurusan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti ini mengadakan mesyuarat bersama membincangkan agenda khusus memboikot pilihan raya ke 12 nanti, sekiranya tidak ada apa-apa perubahan terhadap sistem pilihan raya yang kita amalkan sekarang. Kita sama-sama sudah dapat menjangka siapa pemenangnya kerana kita bermain di padang yang tidak sama rata. Pengadilnya berat sebelah, penjaga garisan pun turut menyebelahi lawan kita dan ada penonton secara senyap-senyap tolong menyumbat gol untuk lawan kita.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

- Meli - 09.04.2004
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN