Senarai Laporan Polis dan BPR
Assamu'alaikum wm.wbt

Saudara-saudara pembaca budiman.

Melalui Laman ini semalam, saya telah menulis mengenai penglibatan terbaru [sebenarnya dah lama] BPR menjadi "barua" kepada UMNO dalam usaha UMNO untuk mengekalkan kuasa dengan apa cara sekalipun. (Kini Tiba Pula Giliran BPR Menjadi Barua Umno) Sebenarnya UMNO lemah dan berselimut dengan pelbagai masalah dalamannya. Indah rupa hanya mainan media propagandis semata-mata. Ibarat wanita hudoh, menyembunyikan kehuduhanya dengan memakai make-up tebal-tebal supaya kelihatan cantik dipandang.

Daripada segi politik amalan demokrasi, UMNO kalah berhujah. Untuk meneruskan survival masa depannya, maka UMNO terpaksa mengunakan apa cara sekali pun, melalui undang-undang yang dipinda sesuka hati bagi menjaga kepentingan politik jangka pendeknya, mengunakan institusi-institusi kerajaan dan cara-cara di luar undang-undang akan pasti digunakan sehingga institusi-institusi terlibat hilang kredibilitinya di kaca mata rakyat dalam menegakkan keadilan. UMNO tidak peduli semua itu, asalkan kuasa tetap dikekalkan di tangannya. Hilang kuasa, hilanglah semua di dunia ini.

Dalam tulisan ini saya akan senaraikan beberapa kes yang dibuat laporan polis dan BPR, tetapi tidak disiasat. Kes-kes ini ditujukan khas kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terangganu Din Adim dan Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Terangganu Idris Jusuh dengan harapan jangan ashik pandang ke celah kangkang sendiri, dongaklah ke langit lihat bintang-bintang bertaburan. Kalau asyik ke kangkang sendiri, nampak benda itulah sahaja.

Kes-kes yang dilaporan adalah seperti berikut:

Laporan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim pada 9.7.1999 [Jumaat] di Balai Polis Tun H.S Lee berkaitan kenduri saham oleh Rafidah Aziz yang ketika itu, beliau (Rafidah) sebagai Pengerusi Pembahagian Saham Bumiputra di MITI.  Pendedahan kes ini mengakibatkan Ezam Mohd. Noor meringkuk dalam penjara.

Laporan polis juga dibuat oleh Anwar Ibrahim pada 19.7.1997 [Isnin] di balai polis yang sama berhubung dengan skandal PERWAJA. Secara terperinci, kes ini boleh dilihat dalam sebuah buku yang diterbitkan oleh Saudara Baharudin Ismail. Dalam buku ini terkandung dokumen-dokumen penting dan maklumat berharga bagaimana skandal ini boleh berlaku.

Laporan Anwar juga di Balai Polis yang sama pada 30.7.1999 [Jumaat]  berhubung dengan Tun Daim Zainuddin menerima RM600 juta daripada Tajudin Ramli, Halim Saad dan Wan Azmi.

Laporan Anwar juga berhubung perlakuan rasuah Rahim TC di Balai Polis [BP] yang sama pada 20.8.1999 [Jumaat].

Laporan Anwar juga pada 12.11.1999 di BP yang sama berhubung dengan skandal Projek Empangan Bakun yang melibatkan anak-anak KM Sarawak, anak bekas PM ke-4 dan proksi orang-orang politik tertentu.

Laporan Anwar juga di Balai Polis Tun H.S. Lee Jalan Stadium pada 12.11.1999 [Jumaat] berhubung dengan akuan bersumpah Dato’  Shafei Yahya, bekas KP BPR yang mana Mahathir menghalang BPR mensiasat dan menutup kes bekas KP Unit Perancang Ekonomi, JPM Dato’ Ali Abdul Hassan Sulaiman [yang kemudiannya dilantik sebagai Gabenor Bank Negara].

Kes ini dibuat laporan polis di seluruh Negara :

i. Mahfoz Omar buat laporan di Balai Polis Jalan Stadium, Alor Setar pada 15.6.2000.
ii. Tian Chua, Dr.Sanusi Osman dan Dr. Zulkifli Ahmad buat laporan di BP Dang Wangi pada pukul 3.51 petang pada 25.6.2000 dengan 310 tandatangan.
iii. Roslan Kassim di BP Seremban dengan 177 penyokong pada 7.7.2000.
iv. Saifudin Nasution di buat BP Jitra.

[Kes ini sama dengan kes tuduhan Anwar menghalang tugas polis dalam kes penyiasatan terhadap beliau yang membabitkan Umi Hamifida dan Azizan Abu Bakar]

Laporan polis oleh Ezam Mohd. Noor berhubung Penswastaan Rumah Masak Tentera kepada Syarikat Desatera Sdn, Berhad kepunyaan Kamaluddin Abdullah.

Laporan polis oleh Jawatankuasa DAP mengenai JE FUND yang mengumpul sumbangan RM16 juta dan pembagiannya tidak mengikut peraturan dan orang yang tidak berhak, tetap menerima habuan masing-masing.

Laporan polis oleh Lim Kiat Siang pada 13.6.1997 berhubung kekayan melampau yang dimiliki oleh anak Dr. Ling Leong Sik, Ling Hee Leong. Kes mahkamah Dr. Ling vs Soh Chee Wen [bekas pemimpin MCA Selangor dan rakan perniagaan anak dan isteri Ling Leong Sik belum berakhir, tetapi beliau telah meletakkan jawatan Menteri dan Presiden MCA. Bagaimana kedudukan kes ini sekarang?

Kes kerugian dan salahurus MAS dan pembelian balik oleh kerajaan telah dibuat laporan polis pada 27.1.2001 di BP KLIA oleh Ezam Mohd. Noor, Mahfuz Omar dan Faisal Sanusi bersama-sama dengan 1,336 tandatangan.

ii. Roslan Kassim dan Ibrahim pada 17.2.2001 di BP Seremban.

iii. Nga Kor Miang melaporkan di BPR Ipoh, pegawai yang menerimanya ialah Abu Kasim Mohamad.

Laporan kes rasuah terhadap Dr. Khir Toyo, Menteri Besar Selangaor dibuat secara detail dan dilakukan penyelidikan secara teliti kepada BPR, di Putrajaya oleh Ahmad Lutfi Othman pada 23.10.2001. Sekali lagi pada 8.11.2003 setelah sumber dari BPR Putrajaya menyatakan lapaoran Lutfi pada 23.10.2001 hanyalah sebagai maklumat bukan aduan rasmi [ berlainan pula dengan kes di Terangganu, BPR bertindak pantas walaupun ia hanya dibekalkan dengan makluman bukan aduan rasmi]. Sekali lagi pada 9.11.2001 di BPR Shah Alam kepada Penguasa Azni Yahya. Aduan tambahan pada hari Selasa 4.12.2003 jam 10.30 pagi berkaitan pembelian tapak banglo di lot no.14 jalan 2/1 G. Lagi laporan dibuat laporan polis dan BPR pada bulan mei 2002 terhadap salahurus pembelian kereta rasmi MB dan exco yang tidak mengikut peraturan.

Menteri Pembanguan Luar Bandar, Dato’ Azmi Khalid buat laporan polis dan BPR pada 21.11.2001 penyelewengan peruntukan PPRT sebanyak RM40 Juta. Projek penetasan ayam di Gading Galoh, Kok Lanas RM20 juta. Projek ternakan ikan hiasan dan tanaman orkid di bukit Sireh, Kuala Krai RM15 juta, projek ayam telor di Gading, Galoh RM5.69 Juta dan pilihanraya 1999.

Laporan polis untuk menyiasat bangunan yang didirikan dengan mengunakan duit kerajaan di atas tanah lot 1431 mukim Bukit Kampung Chengal Daerah Kadak atas nama Annuar bin Musa no.kp; 4978615.

Laporan polis atas penyelewengan wang ihsan pada 19.12.2001 oleh Abd.manaf Ahmad dari Kg Peris Ajil [mewakili 20 orang yang berhak] di BP Kuala Brang.

Laporan polis oleh Fauzi Abdul Rahman terhadap Khalili Yaakob pada 28.3.2001 penyelewengan balak dan politik wang.

Penyusunan semula TimeDotCom dan disenarai di BSKL, sahamnya tidak dilanggani menyebabkan ia mengalami kerugian. Penanggung utama tidak mahu menanggung kerugian tersebut [seperti yang dijanjian], kerajaan terpaksa masuk campur dengan mengunakan duit KWSP, KWAP dan Dana Harta bagi membeli saham yang tidak dilanggani itu. Perkara ini dilaporakan oleh akhbar The Sun pada 12.3.2001. Berasaskan laporan The Sun, Lim Kiat Siang membuat laporan polis untuk menyiasat penyusunan semula itu di BP Tun H.S Lee, Jalan Stadium. Ini bersamaan dengan kes Ezam Mohd. Noor yang mana pada 14.3.2001, Mingguan Malaysia melaporkan yang Ezam akan megerakkan rakyat seluruh Negara untuk mengadakan demontrasi. Laporan ini digunakan oleh Zulkifli Alwi [agen pemuda UMNO] dan Yusri pemberita yang terlibat dalam melaporkan berita itu terus membuat laporan polis dan Ezam ditangkap pada malam Raya Haji dan disoalsiat serta didakwa di bawah akta hasutan di mahkamah.

Laporan polis dan BPR mengenai sekumpulan pegawai atasan PUNB yang memasarkan bon bernilai 19.0 Billion [USD5 Billion] di pasaran kewangan London, siapa yang terlibat?

Laporan polis dan BPR oleh Lim Jak Wong [ADUN Bachang], Sim Tong Him [ADUN Bandar Hilir] dan Goh Liong San [ADUN Tenggara] pada 12.5.2001 mengenai 157 tuntutan T&T yang bernilai RM168,099.00. Ini bukan tugas rasmi, sebaliknya tugas parti berkempen di Lunas 1,500 KM 4 hari berturut dan urusan peribadi seperti meraikan bakal-bakal haji dan menghadiri majlis perkahwinan yang dilakukan oleh 18 orang BN termasuk Ali Rustam KM Melaka.

Laporan polis dan BPR oleh Mazlan Aliman dan Exco Pemuda PAS Johor terhadap Ketua Pegawai Eksekutif, Zainal Abidin Osman yang juga merupakan ADUN Endau berhubung salah-urus kewangan KPYPJ pada 6.8.2002 di BP Central JB.

Saudara-saudara pembaca budiman begitulah sedikit sebanyak yang boleh saya senaraikan perlakuan rasuah dan menyalahgunaan kuasa yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan BN, tetapi polis dan BPR tidak bertindak sepertimana yang mereka tunjukkan di Terengganu itu. Jadi masalah rasuah ini akan terus merebak sebagai api dalam sekam akan merosakkan sistem pentadbiran. Laungan untuk membasmi rasuah dan menyalahgunaan kuasa hanyalah sekadar penyedap telinga mendengarnya.

Semua institusi di Malaysia kini sudah hilang kredibiliti dan kebebasan. Keadilan sukar untuk ditegakkan kerana semua institusi [kehakiman, Jabatan Peguam Negara, polis, BPR dan SPR telah menjadi 'barua' UMNO. Barua di sini bermaksud seperti maksud kamus DBP ialah seseorang yang menjalankan tugas atau kerja bagi pihak orang lain. Bila disuruh sahaja orang itu terus melakukannya tanpa memikirkan baik-buruk tugas yang diberikan itu. Boleh juga dikatakan sebagai tali barut. Di sebelah utara bahasa barua bermaksud hamba.

Kita perlu mengingatkan UMNO, bila bertindak perlulah berlaku adil tanpa memilih bulu. Yang salah tetap bersalah. Rakyat Malaysia kini bukan lagi rakyat 50-an, 60-an atau 80-an, tetapi rakyat kini terdedah dengan pelbagai maklumat dan rakyat semakin hari semakin celik. Rakyat yang berpendidikan semakin bertambah sebab itu  walaubagaimana hebat pun media-media  membuat propaganda siang malam dan pelbagai langkah diambil untuk melemahkan Pembangkang, namun usaha-usaha tersebut gagal dan belum menyakinkan UMNO untuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat ini.

Sekali lagi kita merayu kepada UMNO yang memerintah supaya berlaku adillah kepada semua pihak. Kita takut teori politik akan berlaku seperti berikut: “Apabila ahli-ahli sesebuah pertubuhan itu dikawal terlalu ketat dan ada tindakan-tindakan yang dianggap tidak adil berlaku, maka mereka merasa kebebasan mereka untuk bersuara pun sudah dirampas, akan lahir di kalangan mereka orang yang akan memberontak. Ini satu fenomena yang biasa terjadi dalam sejarah ketamadunan manusia “ dan kita berharap perkara ini tidak berlaku di Malaysia yang kita sama-sama cintai ini.

Sekian, dulu kali ini di lain kesempatan Insya Allah kita bertemu lagi.

Wassalam.

- Meli - 13.12.2003 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: