Surat Terbuka Buat Pemimpin DAP
Peringatan Buat Pemimpin DAP: Berpijaklah Di Bumi Nyata



Melihat perkembangan politik pembangkang semenjak mutakhir ini menyaksikan DAP cuba memperlihatkan dialah sebenarnya jaguh pembela rakyat. DAP secara tanpa segan silu menyerang parti pembangkang lain seolah–olah pembangkang lain seperti keADILan dan PASlah merupakan musuhnya. Kenyataan menyerang pembangkang lain telah membuatkan seolah-olah BN bukan lagi musuh politik DAP.

DAP perlu sedar bahawa parti itu tidak mampu berdiri sendiri lagi lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Merujuk kepada peristiwa sambutan Penutupan Tol Jalan Cheras pada 14 September 2003 yang lalu telah menjelaskan lagi imej sombong dan dungu DAP. Terdapat dua majlis sambutan malam itu. Satu dianjurkan oleh BN  dan satu dianjurkan oleh DAP. Majlis yang dianjurkan oleh DAP telah dihadiri oleh hampir kesemua pemimpin tertinggi DAP termasuk Lim Kit Siang.

Kesemua pemimpin DAP dan penganjur sepanjang ucapan mereka yang hanya diucapkan dalam bahasa “mandarin” dan sesekali Inggeris itu tidak langsung melihatkan keinginan DAP untuk bekerjasama dengan pembangkang lain, jauh mengiktiraf sumbangan pembangkang lain dalam perjuangan memartabatkan hak rakyat Malaysia di samping DAP mengetepikan langsung penggunaan Bahasa kebangsaan.

DAP cuba menyatakan, mereka sahajalah yang memperjuangkan rakyat dalam isu tol dan perbagai isu lain. Mungkin mereka tidak mengetahui atau sengaja untuk tidak menyedari bahawa hampir setengah yang hadir malam  itu terdiri dari aktivis reformasi, penyokong keADILan dan  PAS. Malah kehadiran pemimpin pusat keADILan malam itu langsung tidak dipedulikan. Selain saya, Dato’ Sanusi Abdullah (Exco Pemuda keADILan Pusat) dan Ng Lum Yong (MPT keADILan) turut hadir.

Kami aktivis reformasi yang hadir juga kesal dengan kejadian di mana penganjur cuba menghalang beberapa hadirin yang hadir dari mengibarkan bendera PAS dan Keadilan.

Cara sambutan DAP yang memutarkan lagu berentak disko dan mengajak hadirin menari disko  di tepi Jalan Cheras juga langsung tidak memperlihatkan usaha mempertingkatkan minda dan memperkasakan kuasa rakyat. Nampaknya apa beza DAP dan BN yang malam itu sambutannya penuh nyanyian, tarian dan berakhir dengan ramai yang mabuk.

Ayuh DAP jangan kamu terlalu sombong, seperti kamu sahajalah yang benar-benar berjuang. Surat terbuka yang saya tulis ini bukan untuk mengeruhkan hubungan semasa pembangkang tetapi hanya untuk peringatan kepada teman pimpinan DAP. Buangkan keruh ambil yang jernih tapi sebelum itu berpijaklah di bumi nyata.

Salam Reformasi buat semua pemimpin DAP !

Badrul Hisham Shaharin
Ketua Penerangan
Angkatan Muda
Parti Keadilan Nasional
016 – 3242564
chegubard@freeanwar.com - 22.09.2003


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!