KERUGIAN RM26.4 JUTA TNB MEMBIMBANGKAN

KENYATAAN MEDIA
YB Haji Husam Musa
Ahli Dewan Rakyat, Kubang Kerian
Pada 28 Januari 2004

KERUGIAN RM26.4 JUTA TNB MEMBIMBANGKAN

Saya merujuk kepada berita hari ini bahawa  TNB mengalami kerugian sebanyak RM26.4 juta bagi suku tahun ini berbanding keuntungan RM663.2 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Kerugian ini disebabkan kerugian tukaran asing bagi hutang TNB dalam matawang Yen Jepun sebanyak RM382.7 juta. Ini mengingatkan kita semula kepada jumlah hutang TNB yang dikira besar RM31.3 biliion. RM 16 billion adalah pinjaman asing.

Sungguhpun jumlah hutang yang akan matang pada tahun ini adalah RM740 juta sahaja, namun 42% dari jumlah hutang TNB berkenaan akan matang dalam tempoh lima tahun akan datang. Ini bermakna sejumlah sekitar RM12 billion akan matang dalam tempoh lima tahun akan datang. Adakah TNB mampu mengendalikannya? Jika pengurusan TNB tidak mengambil langkah berkesan yang segera untuk menyusun semula hutangnya, kami percaya TNB akan bermasalah.

Kami selaku Ahli Dewan Rakyat sebelum ini telah berkali-kali membangkitkan di Dewan Rakyat perlunya TNB memandang berat usaha penyusunan semula hutangnya. Nampaknya TNB tidak melakukan apa-apa sehingga terbukti ia mengalami kerugian akibat hutangnya, seperti yang kita saksikan.

2. Sungguhpun TNB mencatat kenaikan dalam keuntungan operasinya bagi tempoh suku pertama tahun ini, peratus keuntungan kasar yang diperolehi oleh TNB adalah amat rendah jika dibandingkan pencapaian oleh Janakuasa Elektrik Swasta dimana TNB membeli tenaga elektrik dari mereka.

YTL Power umpamanya, mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM603.4 juta bagi tahun kewangan 2003. Margin keuntungan bersih bagi YTL Power untuk tahun 2002 ialah 43% berbanding TNB hanya 9.6%. Bagi Malakoff umpamanya, margin keuntungan bersihnya adalah juga lebih tinggi dari TNB iaitu 34.25%.

Ini dicapai antara lain TNB membeli tenaga yang dibekalkan oleh Janakuasa swasta sekalipun melebihi margin simpanan yang munasabah, selain harga pembelian tenaga oleh TNB dari mereka begitu tinggi. Pada masa ini, margin simpanan TNB adalah 45% melebihi kadar biasa pada kadar 15-20%.

Ini bermakna TNB membayar tenaga daripada janakuasa swasta melebihi keperluannya. Ia menguntungkan janakuasa swasta tetapi merugikan TNB.

Apa perlunya TNB mempunyai margin simpanan sampai 45%?

3. Langkah TNB akhir-akhir ini merundingkan pembelian janakuasa yang merugikan dan menjualkan janakuasa yang menguntungkan adalah juga sesuatu yang menimbulkan tanda tanya tentang pengurusan prudent perniagaannya.

Pengakuan Pengerusi TNB bahawa ia merundingkan pembelian Northern Utility Resources (NUR) adalah suatu contoh.

Sekali pun NUR telah menyiapkan janakuasanya untuk membekalkan elektrik ke kawasan Kulim High Technology Industrial Park, janakuasanya belum beroperasi. Sebaliknya ia membeli tenaga daripada TNB untuk dijual ke kawasan itu.

Ini bermakna jika TNB membeli janakuasa ini, kapasiti pengeluaran tenaga TNB akan lebih meningkat dan melebihi keperluan yang sebenar. Sudah tentu kadar keuntungan TNB sekali lagi akan mengecil.

4. Berdasarkan beberapa contoh di atas, adalah jelas pengurusan TNB perlu dipantau dengan teliti.

Kemampuan Pengerusi TNB sebenarnya wajar dipersoalkan. Sejauh mana beliau mampu mengatasi kerumitan kewangan TNB? Bahkan secara prinsip, pelantikan tokoh politik menerajui TNB sendiri boleh dipersoalkan.

Kita bimbang TNB diterajui lebih banyak atas pertimbangan politik dari perniagaan dan tumpuan terhadap isu-isu utama TNB tidak dapat diberikan kerana komitmen politik mengatasi pengurusan berkesan di TNB. Pembelian janakuasa elektrik yang merugikan mungkin akan dibuat berasaskan pertimbangan politik.

Jika kerajaan tidak peka, TNB mungkin menghadapi kerugian yang lebih besar pada masa hadapan. Keadaan ini mungkin memaksa kerajaan membenarkan kenaikan tariff elektrik sebagai jalan mudah membantu TNB memperkukuhkan kedudukan kewangannya.

5. Walau apa juga prestasi TNB, kami berharap tariff elektrik tidak dinaikkan selepas pilihan raya ini. Sekian terima kasih.

Dikeluarkan oleh
Pejabat Ketua Pembangkang
Parlimen Malaysia.

Kiriman WJWO - 29.01.2004



Sertai Maillist M@RHAEN